BAB 13

Romance Completed 6832

Lama mereka terdiam. Masing-masing bagai hilang bicara hinggalah Haikal tiba-tiba terbersin di atas riba Ika. Ika yang tersentak cepat-cepat mengeluarkan tisu lalu menyapu hidung Haikal yang berhingus. Kedengaran suara lelaki itu berdehem cuba menghilangkan rasa kekok.

“So…” Lelaki itu merendahkan tubuhnya hingga separas dengan Haikal yang duduk di atas riba ibunya.

“Sakit apa dia?” Soal Doktor itu dengan nada mengagah. Haikal ketawa. Doktor itu menegakkan semula tubuhya. Dia mula menjalankan tugasnya. Suhu badan Haikal diambil. Tekak anak itu juga diperiksa.

Ika hanya memandang kosong lelaki itu. Selesai semua, Doktor itu mencatatkan preskripsi ubat-ubatan yang perlu di ambil. Baru Ika mahu beransur, Doktor itu menegur terlebih dahulu.

“Ika…” Lembut suaranya. Ika memandang Zariff yang sudah merenungnya. Seperti dahulu, pandangan lelaki itu sukar ditafsir.

“Saya nak minta maaf dengan sikap saya masa di kampus dulu.” Lancar sekali pertuturannya. Riaknya tenang sahaja, walau hatinya dilanda debar yang tak sudah. Cintanya kepada Ika semakin hari semakin membara meski dia tahu berdosa mencintai isteri orang. Tetapi, setelah mendengar berita tentang pasangan itu dari sahabatnya, Ray… Hatinya meronta ingin mendapatkan Ika. Dia mahu Ika tahu, Dia sentiasa ada di sisi gadis itu, tapi malangnya Ika tidak dapat dia jejaki. Ika berhenti belajar dan pulang ke kampung dan dia sendiri telah menamatkan pelajarannya.

Ika tersenyum lembut. Terpana Zariff melihat senyuman itu.

“Tak mengapalah. Semua tu dah lama berlalu.” Ika sudah memimpin Haikal ke pintu. Belum sempat dia melangkah keluar, sekali lagi namanya diseru. Dia berpaling. Zariff sudah bangun mendapatkannya.

“Kawan?” Soal Zariff dengan nada mengharap. Ika terdiam sejenak sebelum senyuman kembali menguntum di bibir merahnya. Dia mengangguk perlahan.

“Kawan…” Jawabnya yakin. Kini giliran Zariff pula tersenyum gembira. Kad di dalam poket seluar sleknya dihulur pada Ika. Ika juga menyeluk beg tangannya lalu sekeping kad dihulurkan pada Zariff. Lelaki itu tersenyum senang melihat Ika pergi. Sempat juga dia melambai pada wanita yang sentiasa mendiami hatinya itu dan juga anak kecil yang comel itu.

Setelah beberapa bulan, hubungan Ika dan Zariff menjadi rapat. Ika senang dengan sikap Zariff yang mesra. Malah Haikal sendiri begitu sukakan Zariff. Pandai benar lelaki itu melayan karenah anaknya yang sudah mula pandai memangilnya dan merengek meminta itu ini menggunakan telunjuk pendeknya itu.

“Papa…” Terdiam Zariff dan Ika yang sedang rancak berbual itu. Mata mereka terarah pada Haikal yang sudah menghulurkan tangan pada Zariff minta didukung. Zariff menggendong tubuh montel Haikal. Ika hanya memerhati dalam diam. Ada rasa sebak bertandang dalam jiwanya.

“Papa…” Sekali lagi Haikal menyeru sambil menarik kolar baju Zariff lalu mengunjuk ke arah sebuah lori aiskrim berdekatan taman. Zariff tersenyum.

“Ya, Haikal anak papa. Nak aiskrim? Jom..” Zariff memerhati pula Ika di sebelahnya yang hanya diam membisu.

“Mama nak makan aiskrim juga?” Soal Zariff dalam nada ceria. Ika tersenyum hambar. Dia menuruti langkah Zariff.

Zariff mengelap mulut Haikal yang comot dengan tisu yang dihulurkan Ika. Lama dia memandang wajah ayu Ika yang diam sedari tadi.

“Ika..” Ika mengangkat wajah. Pandangan mereka bertaut.

“Boleh tak kalau saya ingin menjadi papa Haikal. Suami Ika?” Jelas Ika kelihatan tersentak. Bibir Ika bergerak perlahan, tapi tiada suara yang keluar.

Beberapa ketika mereka terdiam. Ika menyeka tubir matanya yang berair. ‘Isteri Kimi…’ Tiba-tiba suara arwah Hakimi bagai terdengar di telinganya. Betapa dia merindui panggilan manja itu. Betapa dia merindui Hakimi… Hatinya berbisik perit.

“Ika…” Zariff tahu gelodak hati gadis itu. Dia tahu cinta gadis itu pada Hakimi tidak pernah mati. Tapi, dia juga ingin mendapat walau sedikit ruang dalam hati Ika buatnya menumpang kasih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience