BAB 3

Romance Completed 6832

Ika tersenyum kecil. Memang itu kebiasaan mereka setiap kali mahu menamatkan perbualan di telefon. Serupa dengan pasangan bercinta. Hakikatnya mereka masih mencuba mengasuh rasa itu.

“Ain Zulaikha juga sayangkan Muhammad Hakimi Farish.” Ujar Ika. Dalam hati pasangan itu mengharap suatu hari nanti perkataan sayang itu bisa diganti dengan cinta.

Terhinjut bahu Ika saat terasa belakangnya ditepuk agak kuat. Berkerut mukanya menahan pedih yang menjalar di kulit belakangnya.

“Apa ni ibu, pukul Ika. Sakit. Nanti buatnya lebam dah tak lawa.” Omel Ika. Bibirnya sudah muncung sedepa.

“Mana tak pukul. Yang Ika sibuk-sibuk melantak kat dapur ni kenapa? Suami ika tu. Dibiar seorang je dalam bilik. Tak cukup ke makan dekat meja pengantin tadi.” bebel Zalila. Ika tersengih. Dia dan Hakimi sudah selamat dinikahkan semalam. Petang tadi juga telah selesai walimatul urus yang memang telah dipersetujui kedua-dua buah keluarga untuk dibuat di rumah keluarga Ika secara ringkas. Tidak perlu terlalu meriah. Cukup sebagai syarat sahaja.

“Mana nak cukup, mak. Tadi masa kenduri kena control ayu. Makan dua tiga sudu je.” Ika menyambung suapan terakhirnya yang terbantut tadi. Zalila hanya menggelengkan kepala melihat sikap anaknya itu. Selesai, Ika membawa pinggan dan gelasnya di singki. Baru ingin mencuci, Zalila terlebih dahulu menegah.

“Dah. Dah. Dah. Pergi naik atas. Biar mak yang cuci. Pengantin baru, tapi ditinggalkan saja suaminya sendiri dalam bilik.” Zalila menolak tubuh langsing anaknya keluar dari dapur.

Ika memanjat anak tangga dengan tawa yang masih bersisa mendengar bebelan ibunya. Sampai si depan biliknya, pintu coklat itu ditolak perlahan. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam bilik itu yang hanya diterangi lampu tidur. Dia dapat melihat tubuh Hakimi berbaring mengiring di atas katil membelakanginya.

“Lah.. Dah tidur budak ni.” Ujar Ika perlahan. Ika terus melangkah ke bilik air setelah mencapai tuala dan gaun tidurnya.

Selesai membersihkan diri, ika merebahkan tubuhnya yang terasa penat di sebelah Hakimi. Saat itu juga Hakimi berpaling.

“Eh? Tak tidur lagi?” Soal Ika agak terkejut.

Hakimi mengukir senyuman nakal.

“Belum… Tunggu Ika.” Tubuh Ika dirangkul erat.

“Terima kasih jadi isteri Kimi.” Bisik Hakimi perlahan di kuping telinga Ika.

Ika menyusun buku-buku yang di bawanya ke meja belajar setelah selesai mengemas katil dan pakaian. Dia yang memang gemarkan buku-buku novel ‘thriller’ english membawa sesekali beberapa koleksinya.

Sedang dia sibuk menyusun buku, telefonnya berbunyi menandakan mesej baru masuk. Ika mengukir senyuman membaca mesej suaminya itu.

‘Awak… Kita dah siap kemas. Jom turun makan. Kita tak nak isteri kesayangan kita ni pengsan masa orientasi. Tinggal-tinggallah dulu buku-buku awak tu.’

Ika tertawa kecil. Ada-ada sahaja Hakimi ni. Dari mana entah suaminya tahu yang dia sedang menyusun buku.

“Pakwe mesej ke?” Tegur Alissa, rakan sebiliknya. Dua lagi rakannya, Amirah dan Syuhada sudah turun makan tengah hari.

“Tak lah. Suami mesej.” Ujar Ika sambil menguntum senyuman penuh makna. Alissa hanya tertawa kecil. Dia tidak mempercayai Ika sebenarnya. Bukankah mereka masih terlalu muda untuk menjadi isteri orang.

“Saya nak turun makan. Nak ikut?” Ajak Ika.

Alissa menggelengkan kepala.

“Tak nak lah kacau awak dengan suami awak nak berdating.” Tawa mereka sama-sama pecah.

Membulat mata Ika mendengar bicara senior di hadapannya. Dia bertukar pandang dengan Diana yang baru dia kenali semasa sesi pengenalan dalam kumpulan kecil tadi. Diana menarik lengan Ika lalu mendekatkan bibir nipisnya di telinga Ika. Tidak mahu senior garang itu menangkap kata-katanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience