BAB 5

Romance Completed 6832

“Okay, apa-apa hal nanti aku beritahu kau.” Ray bersuara sambil menepuk bahu rakannya itu. Affendi dan Adrian mengangguk. Mereka berempat tahu sangat perangai Zariff ini. Pasti ada yang mengganggu perasaan rakan baik mereka itu.

“Okay, sekarang kita pecah kepada lima orang satu kumpulan. Rasanya kumpulan sama dengan semalam dah okay dah.” Kedengaran lembut suara kak Ayu memberi arahan. Ika segera melingkar tangannya di lengan Diana. Apa-apa hal, dia tidak mahu ditinggalkan keseorangan.

Ika memandang sekeliling hutan dihadapannya itu. Pagi tadi mereka bertolak menaiki empat bas. Dua bas bergerak menuju ke Bera, Pahang manakala dua bas yang dinaikinya dan Hakimi berhenti di kawasan Raub, Pahang. Bunyi unggas dan cengkerik menambah kecut perut Ika yang sememangnya penakut ini. Bunyi salakan anjing sayup-sayup kedengaran secara tiba-tiba membuatkan Ika terjerit kecil. Dia memaut tangan Diana lebih kuat. Diana menggelengkan kepalanya.

“Kau ni okay tak? Boleh ke ikut masuk hutan?” Diana memandang wajah Ika yang masih melilaukan mata ke kawasan sekeliling. Sedang masih ramai orang di kawasan ini Ika sudah takut sebegini, bagaimana di dalam hutan nanti?

“Kita beritahu kak Ayu?” Ajak Diana namun Ika menggelengkan kepalanya.

“Kan senior dah cakap no excuse melainkan ada penyakit.” Ujar Ika dengan suara yang bergetar.

“Kumpulan empat, kita gerak sekarang!” Suara lantang Zariff membuat beberapa mahasiswa yang leka berbual sesama sendiri terdiam. Ika merapatkan tubuhnya dengan tubuh Diana. Kumpulan empat merupakan kumpulannya. Ika cuba menelan air liur. Terasa kesat sekali. Dia menyeka peluh sejuk di dahinya.

Ika dapat melihat Hakimi berlari-lari anak mendekatinya.

“Ika tenang, ya? Kimi kumpulan lima. Kimi ikut belakang Ika. Ika jangan takut.” Pujuk Hakimi. Dia berlalu setelah Ika menganggukkan kepala tanpa menyedari renungan tajam Zariff.

Seketika kemudian, Anuar, Kevin dan Vinoth yang sekumpulan dengannya melintasi kawasan mereka berdiri.

“Fighting!” Ujar Anuar kepada Ika dan Diana. Mereka hanya mampu tersenyum. Perjalanan dimulakan dengan diketuai Zariff diikuti tiga lagi ahli leaki di dalam kumpulan mereka. Ika dan Diana membontoti dari belakang. Awanis dan Ain yang turut sama mengetuai misi ini menjaga di bahagian belakang sekali.

Mereka melalui denai dengan berhati-hati hanya berpandukan cahaya dari lampu suluh yang dipegang ketua kumpulan, Zariff, Awanis dan Ain. Bunyi desiran dedaun ditiup angin membuat jantung Ika berdetak kencang tidak menentu.

Tiba-tiba Vinoth terjerit kecil membuatkan Ika turut sama terjerit. Pantas dia memeluk tubuh Diana. Awanis dan Ain bergerak ke hadapan untuk menjenguk apa yang terjadi manakala Ika dan Diana terpaku di tempat yang sama.

“Kenapa ni?” Ain bertanya. Suaranya kedengaran cemas.

Rupa-rupanya Vinoth terjatuh kerana tersandung akar pohon Meranti. Malangnya, lututnya terkoyak kerana terkena batu tajam. Darah yang mengalir keluar membuat keadaan semakin cemas. Lelaki india itu tidak mampu berdiri kerana kesakitan yang amat mencucuk.

“Awanis, Ain. Korang stay sini. Aku dengan Anuar pergi dapatkan bantuan.” Lampu suluh di tangan Awanis dicapai lalu dihulurkan kepada Anuar. Mereka kemudiannya menghilang dalam pekat malam.

“Siapa ada kain bersih? Kita kena tekan tempat luka. Darah terlalu banyak.” Kedengaran suara Ain bernada cemas.

“Saya!” Diana menjawab. Dia meleraikan pelukan tangan Ika di pinggangnya sebelum berlalu sambil menyelongkar beg galasnya. Ika hanya memerhati dalam diam. Sehelai tudung ungu dihulurkan kepada Ain.

Ika memeluk tubuhnya. Dia merasakan bulu romanya berdiri. Matanya melilau ke seluruh kawasan yang hanya kelihatan samar-samar diterangi cahaya bulan. Tidak semena-mena angin kuat berhembus dari bahagian hadapan membuat Ika menjerit seperti dirasuk. Dia membuka langkah seribu meninggalkan ahli kumpulannya yang menjerit memanggil namanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience