BAB 8

Romance Completed 6832

“Sebelum ni, peluk pun tak kisah.” Sindirnya lagi.

Terasa mahu pecah pembuluh darahnya mendengar sindiran dari mulut Zariff itu. Nafasnya sudah tidak teratur. Dia tahu dia khilaf. Tapi, andai sahaja dia tahu yang dipeluknya itu bukan Hakimi… Ah! Semuanya telah terjadi. Ika mendengus marah, dia mahu melangkah pergi dari tempat yang tiba-tiba terasa panas itu.

Sekali lagi tangannya dicapai. Ika cuba menepis, tetapi pegangan Zariff terlalu kejap. Ika menggigit bibir mungilnya. Suhu kemarahannya sudah memuncak. Ringan tangan Ika menampar pipi Zariff yang tidak bersedia itu.

“Jangan BIADAP!” Marah Ika. Kesemua yang menjadi penonton terkedu dengan tindakan mengejut Ika. Ika merentap tangannya dari pegangan Zariff. Hilang hormatnya pada seniornya itu. Hilang kesopanannya sebagai seorang gadis melayu saat merasa maruahnya tidak dihormati!

“Hormat sedikit!” Marah Ika lagi.

Zariff mengetap bibirnya. Pipinya yang terasa pijar dipegang lalu digosok perlahan.

“Hormat?” Zariff tertawa sinis. Entah mengapa mulutnya menjadi biadap sekali hari ini. Bayang Ika melabuhkan kepala di bahu Hakimi semasa di kafe semalam benar-benar membangkitkan api kemarahannya.

“Macam mana nak hormat kalau kau tu sendiri perempuan murahan!” Tengking Zariff. Terhinjut bahu Ika dengan suara Zariff yang meninggi. Terasa panas matanya, namun ditahan air matanya dari mengalir.

“Kau nampak sahaja sopan bertudung. Tapi, menggatal dengan jantan.” Suara Zariff sudah tidak meninggi namun nada sinisnya masih kedengaran.

Ika mengerutkan wajahnya. Menggatal? Ika berfikir sejenak. Takkan lelaki ini maksudkan Hakimi, suaminya. Baru Ika mahu membuka mulut, Ray terlebih dahulu memegang bahu Zariff.

“Apa ni, bro. Jangan buat scene dekat sini.” Tegur Ray. Dia menarik Zariff berlalu dari situ diikuti Adrian. Affendi memohon maaf pada Ika yang masih kelihatan bingung sebelum menuruti langkah rakan-rakannya.

Ika berkalih ke kiri dan kanan. Dia memicit-micit kepalanya yang berdenyut hebat. Baru dua minggu di sini, tetapi sudah bermacam perkara yang berlaku. Kata-kata Zariff terngiang-ngiang di telinganya. Ika bangkit lalu duduk berlunjur di atas katilnya. Biliknya yang gelap membuat dia berasa tidak selesa. Dia bangun lalu duduk di kerusi belajarnya. Telefon bimbitnya di capai lalu jarinya pantas menaip mesej buat Hakimi.

‘’Dah tidur ke?’

Lama mesejnya tidak berbalas. Dia mendengus. Sudahlah seharian dia tidak berjumpa Hakimi. Tidak rindukah suaminya itu padanya. Entah pukul berapa, Ika terlelap di meja coklat itu.

Matanya yang terpejam rapat terbuka semula. Tengkuknya yang terasa lenguh dipicit perlahan. Dia mengerling jam tangan yang di sangkut di tepi rak buku. Baru pukul lima.

Ika bangkit mahu menuju ke katil, namun baru sahaja bangun tekaknya terasa ditunjal-tunjal. Laju dia membuka pintu biliknya dan menerpa ke tandas bersebelahan dengan biliknya. Habis segala isi perutnya dimuntahkan ke dalam singki itu. Baru dia mahu melangkah balik, rasa mual itu datang kembali.

Ika memicit kepalanya yang berdenyut. Tiba-tiba gerakan tangannya terhenti. Matanya bulat memandang pantulan imejnya di cermin.

“Takkan, aku mengandung?”

Ika merehatkan kepalanya di meja panjang dewan kuliah itu. Tidurnya yang terganggu malam semalam menambah berat di kepalanya. Dewan itu semakin lengang kerana kuliah telah berakhir beberapa minit yang lalu.

“Ika tak sihat lagi ke?” Hakimi yang setia berada di sebelahnya menggosok-gosok lembut belakang Ika. Ika mengerutkan keningnya.

“Tak… Mengantuk. Kepala rasa pening sikit je.” Ujar Ika perlahan.

“Kita pergi klinik.” Ajak Hakimi. Wajahnya dihiasi kerutan bimbang. Ika membuka mata lalu mengangguk perlahan. Hakimi membantu memimpin Ika menuruni anak tangga hingga ke pintu depan kuliah. Sudah sampai di laluan pelajar pun, tangan Hakimi tidak lepas dari memimpinnya. Risau isterinya rebah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience