BAB 14

Romance Completed 6832

“Riff… Ika terlalu sayangkan Hakimi. Ika cintakan dia.” Suara Ika kedengaran serak. Zariff menundukkan wajahnya.

“Saya tahu. Tapi, berilah peluang pada saya. Sudah lama saya bawa cinta untuk Ika dalam hati ini. Dah sampai masanya saya curahi hidup Ika dengan cinta yang saya bawa ini. Dah tidak tertanggung rasanya merindui Ika.” Ika terdiam. Dia mencari anak mata Zariff. Mata lelaki itu turut berkaca. Terpancar keikhlasan dari mata itu.

Ika tertunduk menekur tanah. Sungguh dia tidak mampu menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupnya sedang hatinya masih terpaut kuat pada arwah suaminya. Zariff mengeluh lemah.

“Saya takkan putus asa, Ika. Saya yakin suatu hari nanti hati awak akan terbuka juga buat saya.” Ada getar dalam suara lelaki itu.

‘Jangan terlalu yakin, Riff…’ Getus hati Ika. Tidak sanggup dia memberi harapan pada lelaki itu bilamana dia sendiri tidak yakin mampu melupakan Hakimi.

Zalila dan Rahim saling berpandangan. Seketika kemudian mata mereka kembali terarah pada wajah pemuda di hadapan mereka.

“Kami tak tahu nak cakap apa.” Tutur Rahim teragak-agak.

Zalila menggenggam tangan suaminya, Rahim. Apa yang mereka rasakan kini sama. Terkejut dengan lamaran Zariff dan keliru memikirkan anak tunggal mereka, Ika.

“Setahun, Zariff. Setahun Ika seperti mayat hidup. Dia cukup menderita atas kehilangan arwah Hakimi. Cintanya pada arwah terlalu mendalam. Kami tak rasa dia mampu menerima orang lain dalam hati dia.” Tutur Zalila berhati-hati. Bimbang jejaka di hadapannya terluka.

“Saya tahu. Tapi, izinkanlah saya menjaga Ika. Saya yakin Ika akan kembali bahagia dengan saya. Saya terlalu cintakan dia.” Zariff mengetap bibirnya.

“Saya juga sudah jatuh sayang pada Haikal. Saya ingin menjaga mereka. Masa ni Ika mungkin kelihatan okay, tapi hati dia. Saya tidak mahu ika terus-terusan dibayangi arwah Hakimi.”

Rahim menarik nafas panjang. Dia tahu lelaki ini ikhlas. Dia yakin dengan cinta lelaki ini buat anaknya. Dia juga tahu anaknya kelihatan tabah walhal setiap malam gadis itu menangis sambil memeluk gambar arwah suaminya. Ika masih terseksa. Hatinya masih terluka. Jiwanya masih menderita.

“Kami akan cuba pujuk.”

Senyuman menguntum di bibir Zariff. Janji itu sudah cukup membakar semangatnya. Dia akan terus berjuang mendapatkan cinta Ika.

Lama Ika termenung di balkoni biliknya. Tidak sangka, akhirnya dia sah menjadi isteri Zariff. Itulah Ika. Permintaan ibunya sebolehnya dia tidak akan tolak. Kini, atas permintaan ibunya jugalah dia berada di sini. Air matanya menitis lagi. Teringat senyuman bahagia ibu dan bapa mertuanya yang datang ikhlas dari hati melihat dia kembali meneruskan hidup. Begitu sekali mereka menyayanginya.

Ika tersentak saat dia merasakan pelukan di pinggangnya dari arah belakang. Jantungnya berdebar tidak menentu saat merasa panas nafas suaminya menampar pipi. Zariff memangku dagunya di bahu isterinya.

“Ika… Terima kasih jadi isteri abang.” Sekali lagi Ika terkedu. Saat itu kata-kata Hakimi terngiang-ngiang telinganya. ‘Terima kasih jadi isteri Kimi.’ Air mata Ika semakin laju mengalir. Rindunya pada arwah Hakimi memalu hebat dadanya.

Zariff yang menyedari bahu isterinya yang terhinjut-hinjut menahan sebak segera meleraikan pelukan. Tubuh Ika dipusingkan menghadapnya. Berkerut dahinya melihat empangan air mata Ika yang telah pecah itu.

“Kenapa ni, sayang?” Jarinya mengesat pipi Ika yang dibasahi air mata. Dia tetap bertanya walaupun dia dapat meneka sebab di sebalik air mata isterinya itu.

Zariff memimpin tangan isterinya masuk ke bilik. Dia duduk di birai katil. Ika juga menurut. Dia melabuhkan punggung di sebelah suaminya.

“Shusy… Dah jangan menangis.” Pujuk Zariff.

“Maafkan Ika, bang. Ika terlalu ridukan dia.” Ucap Ika dalam nada yang tersekat-sekat. Hatinya masih bergendang sebak. Zariff mengetap bibir. Dia cuba menahan rasa. Sebagai suami, tipulah jika tiada rasa cemburu dalam hatinya. Zariff hanya diam. Dia menggenggam erat tangan isterinya. Dibiarkan isterinya meluahkan rasa sebak di hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience