BAB 1

Romance Completed 5754

Kereta Perodua Bezza berwarna Hijau diparkir bertentangan dengan pagar kecil rumah agam itu. Kalau tadi enjin kereta sudah dimatikan dan dia berdiri di luar sambil berbalas mesej dengan seseorang, sekarang tidak lagi. Kini, dia sudah berada di dalam kereta, merendahkan kerusi pemandu dan mungkin kerana keletihan, dia sudahpun berdengkur kecil. Enjin kereta yang hidup membawa angin sejuk daripada alat pendingin hawa, nyaman membuai lena.

“Puan, pelan-pelan sikit langkah tu! Puan bukan sihat sangat. Nanti jatuh, macam mana?”

Wanita itu tidak langsung mahu mendengar. Baginya, dia harus pergi dari situ. Tak boleh tidak! Memperlahankan langkah bermaksud memberi peluang kepada mereka yang berada dalam rumah agam itu untuk keluar dan menemui dirinya. Dia tidak mahu itu berlaku. Hati yang sedang luka ini harus dibawa pergi. Kalau boleh, dia hendak pergi jauh... jauh dari situ! Jauh dari semua...

“Puan!”

Mak Long Hasnah dah tak tahu nak kata apa. Dia melaung tapi wanita yang juga majikannya itu langsung tak peduli. Terus saja melangkah mendahuluinya. Meninggalkannya! Menepati kata yang dia sangat-sangat ingin pergi dari rumah besar ini. Sudah tidak betah lagi berada di situ walaupun sesaat.

“Itu ke kereta anak saudara kamu, Hasnah? Kereta Perodua Bezza Hijau tu? Baguslah, enjin pun dah hidup tu. Kita masuk aje, kamu suruh dia pecut laju-laju. Biar tak seorang pun sedar yang saya dah tak ada dalam rumah tu.”

Waktu itu, dia yang berada dalam kereta sudahpun terjaga. Kerusi pemandu ditegakkan dan dalam keadaan mamai dia melihat dua orang wanita mendekati keretanya. Yang seorang tu, yang pakai baju kedah dan kain batik... memang dia kenal sangat. Itu mak longnya yang juga orang gaji di dalam rumah agam ini. Mak Long Hasnah. Tapi, yang seorang lagi tu?

Hidayati segera keluar daripada kereta. Kening sudah berkerut. Hati tertanya-tanya. Apa ke halnya dengan perempuan-perempuan tu? Lari macam tak cukup tanah aje? Apa yang dikejar? Siapa yang mengejar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience