BAB 9

Romance Completed 5754

HIDAYATI mundar-mandir dalam ruang tamu rumahnya. Berjalan ke sana ke mari sambil-sambil intai di celah langsir. Memandang ke luar ke arah lelaki yang tetap setia menunggu dia bagi lampu hijau untuk masuk ke dalam rumah ini.

Untuk apa lelaki ini datang ke mari, Hidayati tidak tahu. Rasanya kisah Mak Cik Hana dah beres dah. Wanita itu sudah berjaya dipujuk oleh anak sulungnya itu. Kata mak long, adik-adik mamat sengal yang ‘kepoh’ dulu, sudahpun meminta maaf kepada ibu mereka. Dan, berita sensasinya, Mak Cik Hana sudah berjaya dipujuk agar kembali ke pangkuan encik ‘daddy’. Itupun kerana perempuan yang menghantar gambar kepadanya datang menangis-nangis meminta maaf. Drama sungguh!

“Hidayati! Kenapa kamu tak ajak si Iqram tu masuk?”

Hidayati tepuk dahi. Habislah! Mak long sudah usai solat. Dan nampaknya emak saudaranya itu sudah sedar akan kehadiran Iqram. Terkocoh-kocoh mendapatkan lelaki itu yang sedang enak bersandar pada dinding keretanya. Entah kata-kata pujukan macam mana telah mak long gunakan sehingga lelaki itu sanggup masuk ke dalam rumah. Boleh tersenyum pulak tu. Pandai mak long buat lawak, ya?

“Duduk, Iqram! Hidayati, pergi buat air!”

Arahan itu mandatori, memang Hidayati tak boleh nak kata tidak. Jadi tuan rumah kenalah beradap. Tetamu mesti diraikan. Jadi dengan langkah longlai, Hidayati ke dapur.

"Lapar sangat ke? Tadi, buka puasa kan dah makan?” gumamnya.

Selang lima minit kemudian dia meletakkan talam ke atas meja. Ada dua biji cawan berisi air teh dan kuih Seri Muka biarpun wajah tukang hantar kuih langsung tak ada seri. Masam mencuka adalah!

Kini Hidayati sudah tahu kenapa lelaki ini datang. Otak dia dah ingat balik. Teringat pada soalan Puan Hana. Teringat pada tempoh masa yang diberi oleh wanita itu kepadanya. Ya, tempoh 3 hari yang Mak Cik Kiah berikan sudah sampai. Jadi, lelaki ini mahukan jawapan darinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience