6. | MENENTU JALAN |

Romance Series 1474

HARI sudah kelihatan semakin gelap. Lampu-lampu di jalan raya kota Georgetown mula melimpahkan cahaya. City Light Hall di tengah bandar itu sedang mengadakan majlis istimewa sempena ulang tahun kelahiran Tengku Zaleha. Menjelang pukul sembilan, sebahagian besar tamu sudah datang.
Kamar solek di City Light Hall itu adalah ruangan untuk berbedak dan kelihatan bersih serta rapi. Lukisan indah disangkut di beberapa muka dinding.
Tengku Zaleha duduk di muka cermin besar yang tergantung di dinding dan mulai menyisir rambutnya. Rambutnya hitam kelam bagai arang. Kulit mukanya putih memucat.
Tahun itu Zaleha mencapai umur 18 tahun. Bertambahnya usia memberikan beberapa perubahan pada diri Zaleha. Tubuhnya mula menunjukkan tanda-tanda perubahan menjadi wanita dewasa. Dia kelihatan bertambah cantik dan berseri.
Gadis itu mengeluarkan sekeping gambar potret dari dalam tas tangannya. Dia meneliti gambar itu dengan penuh pengharapan. Dia mengakui dalam hatinya, hanya ada seorang pria yang telah berhasil menggugat hatinya
Seorang pria langsing seperti perawakan atlit dengan roman muka seorang intelek. Sepasang bola mata memancar dari kelopak mata yang cekung.
"Hai, Engku Ghazali. Cintakah engkau pada ku?," bisiknya dengan suara meragu. Itulah pertanyaan yang sering menggodanya dengan penuh rasa risau. Hanya kata-kata itulah yang sering berpeleseran dalam mindanya. Dia cinta padanya. Dia memujanya. Semakin difikirkan, hal ini semakin menggoda dan memenuhi hati sanubarinya. Dia bimbang kalau kemungkinan yang diimpikannya punah begitu saja.
"Ghazali, hati ku tidak sabar menahan gelora asmara," kata Zaleha sambil membetulkan duduknya. "Berikanlah aku kebahagiaan."
Pintu tiba-tiba terkuak dan dua gadis berpakaian mewah masuk ke dalam. Mereka masih muda, baru lewat belasan tahun.
Zaleha berpaling dengan cepat dan menyembunyikan gambar itu ke bawah tempat abu rokok supaya tidak menimbulkan syak orang. Kemudian membedak dirinya di hadapan cermin.
"Selamat hari jadi, Tengku Zaleha," sapa gadis yang lebih dekat kepadanya. Wajahnya bujur sirih dan kulitnya kuning langsat. Tubuhnya mungil dan pinggangnya begitu ramping. Gadis yang bernama Tengku Sofiyah itu berkata lagi, "Moga panjang umur."
Zaleha mengangguk. Tapi tak menjawab.
Sofiyah duduk di muka cermin, mengelus-elus rambutnya.
"Mana bapak Tengku?" tanya Roseminah yang duduk di sebelah Zaleha. Rambutnya yang panjang hanya dilepaskan saja, terjuntai menyelimuti bahu. Dia dan Zaleha tidak jauh dari segi umur.
"Dia ke Alor Setar untuk menguruskan perniagaan. Dia sudah diberitahu. Katanya dia nak datang tapi lambat sikit." Jawab gadis itu santun dengan tiada menengok. Secalit gincu disapu pada bibir tipisnya.
Roseminah merasa curiga. Sesuatu melastik pandangannya ketika membereskan mekapnya. Matanya jatuh pada gambar yang terselit di bawah tempat abu rokok di hadapannya.
Dia mencapai gambar itu. Lalu disimpul ya senyum pendek dengan makna tersendiri dan berkata, "Saya dapatlah satu barang. Kalau tak dapat dicari, akan terus kehilangan."
Roseminah melihat Zaleha dalam cermin.
Tersentak besar Zaleha. Dia tergamam untuk berkata-kata.
Sejurus Roseminah bersuara lagi, "Rupanya Tengku ada mempunyai yang gagah dan cantik."
Sesuatu dalam nadanya membuat wajah Zaleha terasa panas.
Roseminah berdiri dan menghadapi Sofiyah yang sedang mengaca wajahnya di cermin.
"Apa Tengku tidak tertarik melihat gambar ini? Cukup lawa, bukan?" kata Roseminah dengan nada suara yang tinggi sambil mengangkat gambar itu tinggi ke atas agar Sofiyah dapat melihatnya.
Sofiyah beralih posisi, menyelesakan kedudukannya. Dia melihat Roseminah tersenyum. Senyum yang entah mengapa.
Zaleha bingkas bangun dari kerusi. Dia melompat berusaha merebut gambarnya, tapi Roseminah melompat ke belakang. Dia mencebik muka sambil memuncungkan mulutnya, endah tak endah sahaja.
"Berikan kembali gambar saya!" Zaleha merayu sambil menyebakkan rambut yang jatuh terurai di keningnya.
"Sedangkan gambarnya begitu hebat, apa lagi orangnya yang betul?" ujar Roseminah, lalu menoleh kembali kepada Zaleha. "Terangkan gambar ini gambar siapa? Tengku ada perasaan terhadapnya?"
"Jangan kau merepek-repek tak tentu hala macam burung nuri," sangkal Zaleha. Dia berusaha menguasai diri.
"Gambar siapa tu, Rose? Cuba saya tengok?" Sofiyah bertanya setelah melihat Zaleha tidak menghiraukan pertanyaan Roseminah.
"Tengok gambar ini, cantik rupanya," kata Roseminah dan menyerahkan gambar itu kepada Sofiyah. "Tengku kenal dia?"
Sofiyah cuba mentafsir. Matanya dalam, berdaya tusuk hebat.
"Kalau tak salah, ini Tengku Ghazali?" senyum Sofiyah, tanpa menyedari kegemparan yang ditimbulkannya.
Sopan diletakkannya gambar itu di atas meja.
Zaleha tersipu-sipu disebabkan rasa malu yang teramat.
"Ha, kau cakap yang bukan-bukan, Sofiyah," kata Zaleha mengelak. Tangannya memegang gambar yang diambil dari atas meja.
"Pandainya Tengku berpura-pura, ya? Jangan anggap saya ni budak-budak, yang dapat dibonekakan." Sofiyah menatap Zaleha. "Saya dapat membaca dari aliran mata Tengku yang bulat itu. Saya senang meneka perhubungan macam mana antara Tengku berdua sebab saya sudah merasai apa yang Tengku rasakan sekarang. Perasaan cinta adalah satu anugerah. Sudahlah Tengku, janganlah Tengku berdolak-dalih lagi."
Zaleha tahu Sofiyah mengamatinya. Dia tersenyum.
"Sekiranya ya saya ada membuat begitu, itu adalah hal diri saya dan tidak berkaitan dengan kau," katanya.
"Tengku dan saya adalah sepupu. Kerana itulah saya perlu mengambil tahu hal Tengku. Kerana Tengku keluarga saya," Sofiyah menyanggah.
"Oh, baru saya tahu sekarang. Dengan Tengku Ghazali itu rupanya, ya?" Roseminah baru mengerti. Dia menoleh pada Sofiyah.
"Pukul canang! Beritahu pada rakyat!" selorohnya.
"Baik, tuan puteri! Rombongan orang-orang memukul canang tidak lama lagi akan sampai!" jawab Sofiyah. Ada nada memperolok-olokkan pada suaranya.
"Beta mahu diadakan hari keramaian untuk rakyat meraikannya!" seru Roseminah.
"Tolonglah jangan mengusik! Saya sudah cukup diseksa!" tempelak Zaleha.
"Kami cuma bergurau saja. Janganlah marah," Sofiyah semacam memujuk Zaleha.
Tiba-tiba seakan-akan baru terlintas dalam otaknya sesuatu yang harus difikirkan, Zaleha memberi peringatan tajam, "Ingat! Perkara ini rahsia kita bertiga!"
Secara spontan Roseminah mengangguk faham. Begitu juga Sofiyah.
"Janganlah Tengku bimbang. Pandai makan, pandailah simpan," Roseminah berjanji.
Dengan bersungguh-sungguh, Zaleha berkata, "Bagus! Bagus! Saya pegang janjinya. Persahabatan kita jangan sampai bubar."
"Suka sama suka, kawin," kata Roseminah. "Bila Tengku nak kawin?"
"Masih tergantung lagi di awan," kata Zaleha perlahan. Suaranya kedengaran getir.
"Mengapa pula Tengku katakan begitu?" Roseminah tidak bisa menahan keinginannya untuk bertanya.
"Ghazali tidak tahu saya mencintainya," Zaleha menerangkan. Mukanya kelihatan menjadi begitu muram.
"Oh, gitu! Ini tak bagus. Tiada yang lebih teruk daripada ketidak pastikan," Sofiyah terperanjat. Suaranya mengandung kekesalan.
"Ya, memang begitu kenyataannya. Tapi saya akan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk menjelmakan impian saya itu," kata Zaleha penuh harap.
"Yakin dengan diri sendiri. Saya berharap satu hari nanti mudah-mudahan Tengku berbahagia dengan Tengku Ghazali," ujar Roseminah. Dia pegang dagu Zaleha yang runcing. "Saya ingin melihat Tengku berumah tangga!"
Zaleha tepis tangan Roseminah.
"Saya cuba akan memajukan perkara ini kepadanya," tegas Zaleha dengan bersungguh-sungguh.
Matanya kemudian terpaku pada jam dinding di belakang Roseminah. Kemudian dia melihat jam di tangannya. Sekarang sudah jam sembilan. Sesuatu seperti terlintas dalam benaknya.
"Sudahlah, jangan kita panjangkan soal ini. Mari kita masuk ke dewan," katanya sambil beranjak maju.
Roseminah dan Sofiyah beranjak mengikutnya.

PENGERAS suara memberitahu kedatangan Tengku Zaleha. Dia disambut meriah dan dipotret ketika memasuki dewan City Light Hall. Lima minit kemudian, Zaleha dan rombongannya sudah duduk di meja utama yang membujur sejauh dua belas kerusi, tak jauh dari pentas.
Matanya menyapu seluruh isi ruangan.
Tamu-tamu mulai mencurah-curah datang dan yang lain sudah duduk, sambil bercakap-cakap atau bersandar pada punggung kerusi supaya dapat bercakap-cakap dengan orang di meja sebelahnya. Kebanyakan dari mereka masih muda usia.
Zaleha mendongak ke pentas, tempat sekelompok pemain muzik berseragam putih sedang menyentel biola dan gitar. Yang lain sedang meniup-niup trompet dan klarinet untuk mencuba nadanya.
Di sudut pentas, Sukardi memperhatikan Zaleha dan terpesona melihat kecantikannya. Seperti dihipnosis, Sukardi tidak mampu melepaskan pandangan dari Zaleha. Ada sesuatu yang seolah-olah dikenalnya pada muka gadis itu. Dia pernah melihat gadis itu di suatu tempat.
Sukardi merapati Ramlee.
"Aku pernah lihat perempuan itu sebelum ini. Kau kenal perempuan itu tak?" tanya Sukardi.
Ramlee mendongakkan kepala lalu menatap ke arah meja yang ditempatkan di muka pentas itu. Matanya mencerlang tiba-tiba.
Zaleha sedang mendengarkan apa yang dikatakan Roseminah dengan asyik sambil tergelak berdekah-dekah dengan kawan-kawannya yang lain.
Ramlee mengangkat kening dan berfikir.
"Perempuan yang ketawa itu, lah. Siapa itu perempuan?" tanya Sukardi lagi.
Ramlee terpegun. Pada saat itu dia teringat sesuatu. "Eh, perempuan ini yang keretanya rosak tempoh hari. Kita tolak ramai-ramai. Dialah orangnya!"
Sukardi menghela nafas. "Ya, inilah perempuannya. Jadi kita bertemu lagi. Ternyata dunia begitu sempit."

SUATU perasaan bangga yang aneh menyelinap dalam hati Tengku Zaleha ketika seorang pelayan mengusung kek hari jadi berwarna merah jambu dengan 18 batang lilin.
Tengku Sofiyah yang duduk di sebelah Zaleha bangkit berdiri. Dia memungut sudu dari meja dan mengetuk-ngetuknya pada gelas minuman.
Para tamu di sekitarnya berhenti bercakap dan memandang Sofiyah. Kemudian para tamu yang duduk di tengah ruangan diam dan akhirnya seluruh ruang City Light Hall yang besar itu jadi sunyi senyap. Demikian pula pemain muzik yang ada di pentas.
Sofiyah berdehem. "Diucapkan selamat kepada tuan-tuan dan puan-puan sekaliannya. Izinkan saya mengenal diri kepada sesiapa yang belum kenal saya. Saya ialah Tengku Sofiyah, sepupu kepada Tengku Zaleha. Yang tuan-tuan dan puan-puan berkumpul di sini agaknya semua sudah pun tahu. Sebelum kita minta Tengku Zaleha memotong kek tanda rasmi hari kelahirannya, saya minta pada sidang hadirin sekalian, marilah kita nyanyikan lagu selamat buat Tengku Zaleha Tengku Zakaria terlebih dahulu."
Sofiyah berbalik dan melihat kepada Zaleha.
Para tamu mengikuti pandangannya.
Sofiyah berseru, "Marilah kita ramai-ramai nyanyikan sebuah lagu untuk selamat Tengku Zaleha. Sama-sama, satu-dua-tiga! Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan Tengku Zaleha. Allah selamatkan kamu!"
Sambutan para tetamu yang bertepuk tangan memekakkan telinga.
Zaleha bangkit berdiri.
Tiap mata memandang Zaleha.
"Ini hari yang amat bermakna. Syukur kepada Tuhan kerana dengan kurnianya telah melanjutkan usia saya 18 tahun. Hari ini sangat gembira buat saya. Saya harap begini buat selama-lamanya," katanya kemudian.
Tepukan bergema lagi. Tepukan yang bergemuruh.
Sementara jurugambar sibuk mencari sudut yang sesuai untuk merakamkan kebahagiaan Zaleha ketika itu.

SAAT makan tiba. Mereka semua menghadapi hidangan yang masih berasap-asap dan baunya lazat. Sambil itu sekali-sekala mereka berbual. Para pemuzik pula memainkan berbagai lagu-lagu yang tersohor.
Selesai menjamu selera, Roseminah melihat kepada Tengku Zaleha dengan pandangan tajam.
"Tengku Zaleha, saya pikir ada bagusnya kalau Tengku menyanyi pada malam ini," usulnya selamba sahaja. Suaranya lembut penuh permohonan.
"Saya seganlah, suara saya ni dah serak. Dah lama tak berlatih," ujar Zaleha. Walaupun dia sudah ahli dalam hal ini, dia tidak mungkin menyanggupi begitu sahaja.
"Janganlah begitu, nyanyilah satu lagu," pujuk Tengku Sofiyah.
Zaleha membuka mulutnya, tapi kemudian menutupnya tanpa memberi jawapan.
"Nyanyilah satu lagu, Tengku. Temasya ini tak berserilah kalau Tengku tak menyanyi," gesa Roseminah penuh semangat.
Zaleha menggoyang-goyangkan kepalanya.
Roseminah tidak tunggu lama lagi. Dia segera bangkit dari kerusi hingga meja bergetar. Dia maju ke kaki tangga bahagian depan pentas, berjalan dengan gaya mendadak, bagaikan orang yang berasaskan dirinya terkenal. Ketika sampai di mikrofon, dia memancing perhatian.
"Tolong ambil perhatian semua! Tolong ambil perhatian! Dengar sini sekalian. Pada malam yang berbahagia ini, apa kata kalau Tengku Zaleha hiburkan kita dengan nyanyian?"
"Tapi saya tidak pandai menyanyi," balas Zaleha pantas sambil mencebik bibir sampai herot-merot. Resah menyelar jiwa.
"Ah, janganlah bohong. Kita tahu Tengku pandai atau tidak," tindas Roseminah. Dia tersenyum dingin.
Belum sempat Zaleha nak bersuara lagi, tiba-tiba dalam sebuah kesatuan, seluruh tamu berdiri, berteriak menuntut sebuah lagu. Teriakkan tetamu melantun-lantun di segenap penjuru.
Zaleha terdera. Garis-garis kegusaran mencalarkan hatinya. Lidahnya kelu untuk terus menutur bicara. Hal seperti ini tak dapat berlangsung terus dan perlahan-lahan tetapi tetap, dia bangun dan mula bergerak ke mikrofon di atas pentas. Langkahnya diatur rapi.
Tepukan bergema segenap ruang dewan.
Roseminah menyeringai lalu mengacungkan kedua tangannya yang dikepalkan.
Zaleha melangkah ke mikrofon dan Roseminah meminggir, memberi jalan, berpaling dan menuruni tangga, berjalan ke meja utama.
"Nyanyi lagu?" Zaleha mengerutkan wajahnya. Dia tidak bersuara seketika. "Saya boleh cuba. Tapi suara saya tidak berapa bagus."
Ketika tetamu tetap berteriak menuntut, dia mengangkat bahu dengan putus asa. Dia tak boleh buat apa-apa. Itu keputusan ramai. Dia harus akur. Tapi diam-diam dia tahu bahwa itu adalah hal yang mudah saja.
"Baiklah, saya akan cuba. Saya akan cuba buat yang terbaik."
Dia berbalik pada rombongan muzik.
Pemimpin pancaragam, Deen menghampiri Zaleha. "Lagu apa yang Tengku nak nyanyikan?"
"Nak nyanyi lagu apa, ya? Lagu Bengawan Solo?"
Deen mengangguk. "Baiklah, kami boleh mainkan lagu ini."
Deen berpaling dan berjalan kembali ke rombongan muzik. Setelah sebuah diskusi singkat tentang kunci dan nada, Deen berucap di mikrofon, "Diucapkan selamat kepada tuan-tuan dan puan-puan. Hadirin sekalian. Pada malam ini kita semua merasa gembira kerana Tengku Zaleha akan menyanyikan satu lagu untuk kita, 'Bengawan Solo'. Jadi, bersuka-sukalah para hadirin sekalian, ya. Silakan Tengku Zaleha."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience