15. | SEBELUM TERLANJUR |

Romance Series 1474

"BEGITU ceritanya," Wahab menerangkan.
Tunku dan Wahab keluar dari lobi Rumah Sakit Besar menuju ke udara terbuka. Mereka berjalan menuju ke tempat parkir.
"Boleh saya duduk di depan?" Tunku bertanya pada Wahab.
"Boleh," Wahab menjawab dengan singkat.
Ketika Wahab duduk di belakang kemudi, Tunku membuka pintu di seberangnya dan dengan tenang duduk di kerusi depan di sebelahnya.
Wahab memegang kemudi lalu melihat ke luar jendela kereta. Ada dua susuk tubuh berjalan menuju ke arah mereka.
Orang pertama ialah seorang laki-laki yang mukanya kelihatan tercukur licin. Orang yang satu lagi ialah seorang laki-laki yang berjanggut runcing. Umur mereka sekitar tiga puluhan.
Si janggut membungkuk dan menaruh lengan bawahnya di jendela kereta.
Wahab berpaling kepadanya.
"Pergi panggung Kapitol, boleh?" dia bertanya.
Wahab merasakan lidahnya seakan-akan menjadi kaku, susah sekali untuk menjawab.
Melihat wajah Wahab, Tunku menggapai ke belakang dan dengan cepat membuka pintu di belakangnya. Setelah itu dia memberi tanda pada mereka untuk duduk di belakang .
Mereka lalu naik ke kereta dan menutup pintunya.
Wahab menyalakan mesin kereta dan mundur keluar dari tempat parkir hospital. Dia menjalankan kenderaannya ke tengah arus lalu lintas.

WAHAB mengenderai keretanya tanpa berbicara.
"Kau pikir kalau kita mogok, bolehkah terbela nasib kita?" Ismail mendedahkan keraguannya kepada Hamid setelah kereta sudah cukup jauh dari hospital.
Hamid tersenyum, mengurut janggut dan menepuk bahu orang yang bertanya.
"Tentulah. Kau tahu berapa pekerja-pekerja kilang getah di Batu 5 itu dapat? Tiga kali ganda tau?" jawab Hamid selamba. Dia memadam bersih syak wasangka di hati Ismail.
"Macam mana boleh dapat macam itu sekali?" Ismail bertanya, ingin tahu.
"Mogok," pantas Hamid membalas, menjelaskan duduknya perkara.
Ismail menggosok dagunya yang licin. "Walaupun begitu, dengan secara mogok yang mengejut, bolehkah terbela nasib kita? Aku percaya, jikalau kita tergopoh-gopoh dengan mogok, nanti nasib kita serupa dengan buruh-buruh yang lain. Terpaksa mengganggur kerana kilangnya terpaksa ditutup."
"Betul kata saudara itu. Mogok bukan boleh begitu saja. Ia memerlukan masa dan susunan," Wahab mencelah.
"Mogok berarti menderita. Sudah adakah cadangan saudara-saudara untuk menentang penderitaan itu? Sudah adakah saudara-saudara wang untuk membantu anak dan isteri saudara-saudara kalau mogok saudara-saudara itu berpanjangan?" Tunku memberi komentarnya.
Sebelum Hamid dapat menjawab, lsmail sudah mendahuluinya. "Yang kita lawan Mid bukan orang miskin. Orang kaya. Dia tidak akan susah. Kita yang harus ada mati kelaparan, Mid."
Hamid berkata masam, "Mail, nampaknya semangat yang berkobar-kobar tadi telah mulai sejuk. Jangan jadi perempuan mudah terkejut. Kita mesti tunjukkan kepada majikan kita bahawa kita berhak untuk membentuk nasib kita sendiri. Kita mesti tunjukkan kepada majikan kita bagaimana caranya kilang itu harus dijalankan."
"Aku bukan takut mogok. Tetapi aku cadangkan walaupun kita mahu mogok Mid, kita harus menyusun terlebih dahulu sebagai kata saudara... " Ismail berkata. Kemudian dia melirik Wahab.
"Nama saya Wahab"
"Saudara Wahab tadi."
Hamid tak berkata apa-apa.
"Sebab itu aku suka bertindak dengan cara cukup teratur. Jangan ambil tindakan yang tergopoh-gopoh. Kita berjuang untuk menuntut hak dan membela nasib kita. Jadi, perlulah perjuangan itu dilakukan dengan secara teratur, sempurna dan damai. Jangan ada kacau-bilau."
Hamid kematian bicara. Persoalan mula berbolak-balik dalam dirinya.
"Bagaimana pendapat kau sekarang?" Ismail bertanya.
Hamid tidak menjawab. Dia merenung kosong ke hadapan. Memang ada asas kalau gusar dan risau membengkak.
Untuk sesaat Hamid tidak mengatakan apa-apa.
Ismail menunggu dan memberinya waktu untuk berfikir. Inilah yang diinginkannya.
"Ya, memang betul kau punya pikiran, Mail." Akhirnya Hamid berkata sambil menarik nafas panjang. "Itu yang lebih baik."
Beberapa waktu lamanya mereka berdiam diri.
Kemudian Hamid berkata, "Mail, besok mari kita tengok lumba kuda di padang lumba kuda sana?"
Ismail mengerutkan dahinya dan berfikir dengan muka muram. Lalu dia berkata, "Kalau aku yang bertaruh, mesti kalah. Kenapa kalau kau yang bertaruh mesti menang?"
"Aku pun tidak tahu mana kuda yang boleh menang," tukas Hamid.
"Ah, selalu saja kau yang menang. Aku mesti kalah," kata Ismail tidak sabar.
"Sabar. Kesalahan kau tu begini," kata Hamid kepadanya. "Bila kau kejar perempuan, kau kejar perempuan yang kuat lari. Tapi bila tentang kau memilih kuda, kau memilih kuda yang tak kuat lari. Itu saja kesalahan kau."
"Royal Blood. Dialah yang dapat menang," sampuk Tunku selamba. "Kuda yang paling handal dan digemari ramai. Saudara bertaruhlah ke atas Royal Blood."
"Bukankah Royal Blood mendapat kemalangan?" sentak Hamid tidak sabar.
"Royal Blood tidak cedera. Hanya jockeynya saja yang cedera sedikit. Kemenangan sudah tentu bagi Riyal Blood."
Ismail berkata, "Terima kasih atas anjuran saudara itu."
Tunku hanya tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience