LAMPU-LAMPU dipadamkan sehingga suasana jadi remang-remang kerana cahaya lampu dindingnya agak malap-malap.
Lampu sorot yang benderang menyuluh susuk tubuh Zaleha.
Zaleha berdiri di tengah pentas dan menyanyi, "Bengawan Solo. Riwayatmu ini. Sedari dulu jadi. Perhatian insani. Musim kemarau. Tak seberapa air mu. Di musim hujan air. Meluap sampai jauh... "
Dia hebat sekali. Suaranya merdu dan lunak. Dia memberikan persembahan yang tidak berlebih-kebih, konsisten dan tidak mengecewakan.
Waktu berputaran. Waktu seakan-akan pantas berlari. Tengku Zaleha dipaksa menyanyikan beberapa lagu tambahan. Dia membawakan tiga buah lagu sebelum dapat mengundurkan diri.
Sementara itu, kamera jurufoto berketak-ketik menjalankan khidmatnya untuk mendapatkan gambar-gambar yang lebih dramatik.
Lampu ruangan menyala kembali.
Zaleha membongkok hormat sebelum berpaling ke belakang. Lalu dia mendepakan tangannya. "Para hadirin, marilah kita berikan tepukan hebat kepada kumpulan muzik ini!"
Tepukan gemuruh bergema di segenap ruang dewan.
Zaleha berpaling untuk pergi, meninggalkan pentas.
ZALEHA kembali ke mejanya. Kerongkongnya terasa kering sebaik dia menarik kerusi untuk duduk. Dia menuang sisa jus oren ke dalam gelasnya, lalu meneguk isi gelasnya sampai habis.
"Saya dah agak dah yang Tengku akan lakukannya dengan baik. Izinkan saya memuji suara Tengku yang seperti suara dari kayangan itu. Tengku ada bakat yang perlu," Roseminah memuji.
Zaleha mengangkat kepala dan memandangnya. Perhatian Roseminah membesarkan hati Zaleha. Dia memilih untuk senyum.
Tamu-tamu menghampiri untuk mengucapkan puji-pujian.
Seseorang telah berkata padanya, "Oh, Tengku Zaleha. Tidak saya sangka Tengku boleh menyanyi begitu bagus. Kebolehan Tengku diketahui oleh sebarang record company tentu sekali mereka melarikan Tengku."
Zaleha tersenyum dan mencuba memikirkan sebuah jawapan. Tapi dia tidak bersuara apa-apa . Sekadar itulah saja.
"Saya terkejut betapa bagusnya mendengar suara Tengku. Belum pernah saya dengar suara yang begitu merdu. Semerdu buluh perindu," puji seorang lain.
Yang mendengar mengangguk-angguk.
"Zaleha, anak ku," suara Tengku Zakaria mengatakan. Dia seorang laki-laki separuh abad yang gemuk, dengan potongan rambut pendek dan dengan pembawaan yang penuh kemampuan.
Tengku Zaleha membalikkan badannya dan memandang Tengku Zakaria dengan tercengang dan tak percaya. "Bapak!" akhirnya dia berkata setengah berteriak.
Gadis itu berdiri, mendekatinya dan berdiri dalam jarak beberapa inci di hadapannya. Kemudian menutup jarak di antara mereka dengan meletakkan kedua tangannya di atas bahu Tuan Zakaria.
Tengku Zakaria memeluk erat tubuh di hadapannya.
Beberapa saat kemudian mereka berdua duduk.
Setelah duduk, Tengku Zakaria berkata dengan tulus. "Suara kau sungguh merdu, Zaleha. Sungguh segar jiwa bapak bila mendengar kau menyanyi. Bukan main bagus engkau menyanyi malam ini, ya?"
"Zaleha tak tahu yang bapak ada mendengar tadi. Kalau Zaleha tahu... " Dia terhenti kehabisan kata-kata.
Tengku Zakaria berpaling kepada anaknya. "Ya, tentu kau akan berhenti menyanyi. Sebab itu bapak tunggu hingga kau habis menyanyi. Selamat hari jadi buah hati, cahaya mata ayah dan selamat panjang umur. Bapak ada bawa bungkusan untuk kau, Zaleha."
DEEN memandang para pendengarnya.
"Para hadirin yang dihormati sekalian. Saya harap para hadirin sekalian menjadi sangat terhibur dengan pertunjukkan kami," Deen mengumumkan, memancing perhatian. Dia berhenti sebentar kemudian melanjutkan. "Sekarang pancaragam nak berhenti rehat dulu. Pertunjukkan ini akan diteruskan selepas 15 minit untuk menyukakan para hadirin sekalian. Sementara menunggu, lihatlah kepandaian dan kebijaksanaan seorang tukang silap mata yang termasyhur, Master Chua Foo Ling!"
Tengku Sofiyah berpaling kepada Tengku Zakaria, "Saya suka lihat tukang sila mata yang pandai keluarkan arnab dari songkok."
Tengku Zakaria mengangguk setuju.
WAKTU istirehat adalah waktu untuk merokok dan bercakap-cakap bagi Ramlee dan Sukardi di belakang pentas.
"Aku tidak sangka Tengku Zaleha mempunyai suara merdu," Sukardi berkata. Sekilas matanya melihat gerak-geri Zaleha dari balik tabir. Ditatapnya Zaleha penuh takjub. "Orangnya pun cantik."
"Itu memang benar, Yong. Sungguh merdu suaranya dan sungguh menawan hati wajahnya," Ramlee menyetujui.
Sukardi berpaling kepada Ramlee. "Betul kata kau, Ramlee. Ada sesuatu yang istimewa tentang dia, bukan?"
"Orangnya cantik, pandai menyanyi dan tingkah lakunya pun baik," Ramlee menekankan.
Sukardi mengeluarkan sekotak rokok dan menyodorkannya pada Ramlee.
Ramlee mengambil sebatang.
Sukardi menyulut rokok itu dengan sebuah pemetik api kemudian mengambil sebatang untuk dirinya.
Mereka merokok tanpa bersuara. Lama juga mereka tenggelam di dalam pemikiran masing-masing
"Kau tahu aku suka keseronokan. Inilah hidup aku. Tetapi kalau begini caranya berterus-terusan, hasilnya aku akan rugi. Aku tak semakin muda. Dah tiba masanya aku mengubah hidup aku. Aku ingin membina penghidupan aku sendiri, Yong," Ramlee berkata kepada Sukardi sambil melepaskan asap rokok ke udara.
Sukardi mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Tawaran Mr.Rajhans bagus. Ia datang sudah kena pada waktu. Sekarang aku harap kau turutkan kemahuan aku," ucap Ramlee mengharap. Perkara inilah yang meniti fikiran Ramlee sekarang ini.
Sukardi berjalan beberapa langkah sambil menundukkan menundukkan kepalanya, kelihatan memikir sesuatu. Kemudian dia berbalik menghadap Ramlee dan mendekatinya.
Mata Sukardi dan mata Ramlee bertentangan.
Ramlee menghampiri Sukardi. Kedua belah bahu Sukardi dipegangnya.
"Yong, ini bererti sangat buat aku. Cubalah pertimbangkan sekali lagi. Mana boleh dapat peluang begini? Seumur hidup tidak akan tersembul peluang begini," Ramlee berkeras. Tawaran itu peluang yang tidak harus dilepaskan. Dia nekad untuk melunasi keazaman dan impiannya. "Malah ada yang hidup sepanjang hayat mereka tanpa mendapat peluang ini."
"Apa kebarangkalianya kita akan lulus uji bakat?" tanya Sukardi sambil menghisap rokoknya.
"Jawapannya tak ada pada ku, Yong. Tetapi janganlah difikirkan sangat. Hati hendak, semua jadi. Belum try, belum tahu."
Sukardi berfikir sejurus. Apa yang diucapkan Ramlee itu kedengarannya sungguh-sungguh. "Ramlee, kau pandai berkata-kata. Kau percaya kita boleh berjaya?"
Ramlee menatapnya. "Ya. Apalah ertinya bakat kita. Hanya dapat dinikmati di Pulau Pinang ini."
"Bukan aku tidak bercita-cita, Ramlee."
"Tapi kau tak ada semangat. Kau mesti mempunyai semangat yang teguh. Semangat yang tabah untuk menentang segala cubaan. Segala dugaan yang mesti kau alami kelak. Nah, sekarang berikan keputusan."
"Baiklah. Kalau begitu kuat desakan kau, aku menurut," kata Sukardi menyetujui. Dia faham benar dengan hujah yang disampaikan Ramlee.
"Ha, kalau begitu, jadilah kita pergi ke Singapura?" Wajah Ramlee berseri-seri.
"Ramlee, aku tak sampai hati membiarkan engkau pergi seorang diri. Aku akan ikut kau. Akan ku temani kau walau ke mana pun," kata Sukardi, memberi jaminan dan harapan.
"Alhamdullilah, syukur. Kalau kau sudah bersetuju, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan," kata Ramlee gembira. "Di suatu masa nanti, impian kita akan terlaksana, Yong. Kita akan mencatat sejarah."
"Itu sudah tentu, Ramlee. Untuk sesuatu yang kau yakini, memang patut pun. Yang pasti, jangan persoalkan kesetiaan ku terhadap kau."
Ramlee, yang merasa telah berhasil, memuji, "Kau orang baik, Yong."
Share this novel