MALAM yang sungguh nyaman. Ramlee dan Zubaida menghabiskan masa bersama di tempat joget New World Park. Mereka memilih duduk di meja yang paling dekat sekelompok pemain muzik berseragam putih. Pancaragam Pemuda Indonesia.
Keduanya memerhatikan beberapa orang pengunjung lelaki dan perempuan menarikan tarian rumba. Meriah sungguh.
Ramlee berpaling di tempat duduknya dan memandang Zubaida.
"Sangat seronok malam ini, ya?" katanya. Dia kelihatan seperti merasakan sesuatu kegembiraan.
Zubaida diam bagai tidak mengendah. Dia menghulurkan tangannya ke depan dan bertepuk setelah pancaragam berhenti bermain muzik.
Para pengunjung yang lain juga bertepuk. Tepukan bergemuruh.
Sesudah mereka bertepuk beberapa saat, pemimpin pancaragam, Hassan Suradi iaitu abang kepada Sukardi mengangkat tangannya, cuba menenangkan para hadirin.
Suasana bertukar hening seketika. Seluruh mata yang hadir tertuju kepadanya.
Setelah semuanya mengunci bibir, Hassan Suradi pun bersuara untuk mempersilakan para pengunjung mengambil tempat masing-masing dengan berpasangan. Menghadapi piano kembali, dengan cepat dia memainkan sebuah lagu lain.
Muzik berbunyi dan dansa pun dimulai.
"Mari kita menari," ajak Zubaida kemanja-manjaan. Dia bangkit dari kerusinya.
Ramlee anggukkan kepala sahaja. Kemudian berjalan bersama Zubaida ke lantai dansa.
Ramlee menghulurkan tangan kiri dan menggenggam tangan kanan Zubaida. Tangan kanannya memaut bahu kiri Zubaida dengan erat. Mula-mula dia berdansa dengan instink, tapi beberapa saat kemudian sudah mula menjiwai serta menikmatinya.
"Pandai kau menari?" tanya Zubaida, sambil menatap wajah Ramlee.
"Kau pandai lagi," ujar Ramlee perlahan.
"Ah, ini memang pekerjaan aku," Zubaida mengingatkan.
Zubaida masih muda, baru berumur belasan tahun. Tubuhnya mungil, tingginya hampir tidak ada lima kaki, tapi sangat cantik. Dia adalah di antara anak-anak joget yang selalu mengikuti pancaragam yang bermain di taman hiburan itu.
"Ya tak ya juga. Itu betul." Ramlee tersedar kesilapannya, menyedari telah melakukan tindakan dungu, tapi sudah terlanjur buka mulut. Dia tersengih memikirkan kebodohan diri sendiri.
"Remy, kalau aku tanya, marah tak?" soal Zubaida kepada Ramlee yang mesra dipanggil Remy.
"Cakaplah. Apalah salahnya?" ujar Ramlee lembut.
"Begini, Remy. Tak dapatkah kau membaca gerak-geri aku terhadap kau?" Zubaida menggoda. Dia kelihatan terdorong oleh nafsu yang terpendam dalam hatinya. "Kan sudah bertahun-tahun lamanya?"
Ramlee amat mengerti apa yang tersirat di dalam fikiran Zubaida itu. Dia menyatakan kasih dan cintanya yang ikhlas.
"Oh, soal cinta yang kau maksudkan, ya? Aku akan terangkan sekarang. Sebenarnya kasih sayang ku pada mu memang ada Baida. Aku bukan tidak suka pada engkau. Kau adalah calon yang sempurna," Ramlee membuat pengakuan. "Tapi apa boleh buat. Cintaku sudah diambil. Jiwa ku sudah menjadi kepunyaan orang lain. Sayang, kau terlambat setapak saja. Tiketnya dah sold-out."
Kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Ramlee itu benar-benar mengecewakanZubaida.
"Siapakah gadis pilihan kau?" Zubaida teramat cemburu. Tetapi nadanya jelas tiada marah langsung.
Ramlee memandang wajah mulus Zubaida. "Itu rahsia aku."
"Mengikut gerak rasa di dada ku, aku dapat menerangkan apa yang terlindung di hati mu. Kau cintakan adik ku Azizah, bukankah begitu?" Mata Zubaida menuduh. "Kau juga telah mengarang lagu untuk Azizah supaya ia boleh meresap ke lubuk jiwanya."
"Aku sama Azizah cuma teman biasa," tingkah Ramlee.
"Maksud kau orang yang kau cintai selama ini bukan Azizah?" tanya Zubaida, ingin kepastian.
Ramlee menggeleng-gelengkan kepala.
"Orangnya cantik barang kali, ya Remy?" Zubaida ingin penjelasan.
"Ya, Baida. Orangnya memang cantik. Cantik nama, cantik rupanya, cantik pula budi bahasa."
Zubaida tiba-tiba menguji, "Remy, mulai malam ini, lupakan gadis itu dalam ingatan mu. Aku akan hiburkan kau lebih dari dia dan aku rela lakukan apa saja buat kau. Remy, aku ingin mendampingi kau selamanya. Siang dan malam, hanya engkaulah yang menjadi harapan ku."
"Baida, kau harus mengerti. Kau hanya mencintai bayang-bayang. Aku tidak boleh membalas cinta kau kerana kasih ku tak dapat ditukar ganti. Tiada tempat lagi untuk orang lain. Aku tak pandai lagi mencari cinta dengan perempuan-perempuan lain."
Begitu rusuh hati Zubaida.
"Aku sayang sama kau tapi apa boleh buat? Kau sengaja tak sayang pada aku," katanya menahan sedih yang meruntun jiwa.
Dia menggetap bibir. Apa lagi yang mampu dilakukannya?
"Siapa bilang aku tak sayang pada mu?" pujuk Ramlee, lembut. Sekilas lintasan, menerpa riak simpati dalam sinar matanya.
"Ah, tak mungkin. Apakah buktinya?" desis Zubaida seperti mencabar. Wajahnya masam kelat sedikit.
"Baiklah, kalau kau ingin tahu. Tetapi tidak dengan kata-kata biasa." Entah macam mana idea ini melintas di persimpangan hati Ramlee.
Kata-kata Ramlee itu secepat kilat menarik minat Zubaida. Dia mengangguk-angguk menyetujui.
DENGAN penuh keyakinan, Ramlee melangkah ke pentas. Dia membuat permintaan kepada Hassan Suradi. Setelah sebuah diskusi singkat tentang kunci dan nada, Ramlee berdiri di tengah pentas.
Puluhan anak mata di segenap penjuru kini tertumpu kepadanya.
Demi mendengar muzik beralun, pemuda itu bersuara mengikut kepakaran yang dia ada. Dia mendendangkan lagu merdu untuk Zubaida.
"Baida, Baida. Oh kesuma dewi. Baida, Baida. Oh asmara murni. Siang malam selalu ku terbayang. Wajah mu nan jauh membayang... " Ramlee menyambung lagi. "Baida, Baida. Wajah mu berseri. Baida, Baida. Sebagai melati... "
Zubaida mendengar setia dan terus menelinga. Tertarik, bahkan teruja. Matanya bersinar bahagia. Dia begitu asyik jadinya kerana perasaannya dilontar kesyahduan.
WAKTU datang dan pergi. Gemuruh tepukan penonton.
"Baida, apa kau tidak suka nyanyian ku itu tadi?" tanya pelantun lagu Baida itu setelah usai acara. Dia mengharap nyanyiannya dapat melepaskan beban yang merantai pemikiran orang yang duduk di hadapannya.
"Ya, semuanya telah ku lihat. Kau tahu Remy? Nyanyian mu sungguh menawan sukma. Sungguh segar jiwa ku mendengar suara mu yang merdu," jelas Zubaida secara jujur dan ikhlas. Nadanya berbaur teruja. Dia benar-benar girang.
Zubaidah menoleh ke arah Sukardi yang tiba-tiba menjengah muka dari celah-celah orang ramai. "Bukankah begitu, Yong?"
Pertanyaan Zubaida itu mencuit hatinya. "Memang benar, Baida. Suara Ramlee sungguh merdu."
Tanpa dipelawa Sukardi terus duduk .
"Baida, barulah kau tahu Baida. Lagu itu ku karangkan semata-mata untuk kau," Ramlee menerangkan sewaktu punggung Sukardi baharu beberapa saat menyentuh kerusi.
Zubaida tersenyum suka. Kepuasan menyelinap ke lubuk hatinya.
Ramlee pandang Sukardi. "Yong, boleh aku cakap sekejap tak?"
Sukardi menoleh. "Iya, Ramlee. Nak cakap apa?'
"Tetapi bukan di sini. Mari kita ke sana supaya aku dapat terangkan." Jarinya menunjuk ke suatu penjuru.
Ramlee dan Sukardi bangkit berdiri.
Kedua laki-laki itu menoleh pada Zubaida.
"Kami terpaksa pergi sekarang. Ada perkara mustahak," Ramlee berkata.
Kening Zubaida terangkat tinggi. "Mustahak? Ada perkara apa?"
"Kami nak berjumpa dengan seorang kawan sebentar pasal... " jawab Ramlee teragak-agak. Dia kelihatan serba salah.
"Pasal double base," Sukardi mencelah tiba-tiba, memecah kebuntuan.
"Iya, begitu."
Setelah itu mereka berbalik dan pergi dengan segera.
DI suatu sudut yang agak terceruk .
Sukardi memandang ke wajah sahabatnya. "Ha, ada apa Ramlee?"
"Yong, tolong pinjamkan basikal."
"Kau nak ke mana?" tanya Sukardi penuh kehairanan.
"Aku dah janji dengan girl aku nak jumpa dia malam ini," kata Ramlee penuh semangat. "Aku ingin berjumpa dengannya seberapa segera."
"Siapa perempuan itu?" Sukardi bertanya, inginkan kepastian.
"Kau ni macam tak tahu saja. Siapa lagi? Hanya Normahlah bagi ku di dunia ini. Dia bakal menjadi teman hidup ku. Sebelum aku dapat berjumpa dengannya aku tak dapat tinggalkan Pulau Pinang," beritahu Ramlee.
Sukardi mengangguk tanpa sebarang keraguan.
RAMLEE tergesa-gesa mendapatkan basikal Sukardi di garaj basikal New World. Dia mengayuh tanpa menghiraukan angin malam yang berhembus, menghantar kedinginan ke tubuhnya. Kian lama kian hampir ke tujuannya.
Matanya memandang jauh ke muka. Wajah Normah yang tersembunyi di rusuk kalbu berbalam-balam di ruangan matanya.
Share this novel