13. | SELUAS LANGKAH |

Romance Series 1474

PAGI datang seperti biasa. Matahari mula muncul di garis cakerawala. Cahaya matahari jatuh di atas muka Sukardi yang masih mendengkur enak di bangku.
Apabila Ramlee sedar semula, keretapi sudah tiba di destinasi.
Tengku Zaleha sudah tiada.
Ramlee mencuit Sukardi.
"Yong, bangun Yong! Kita dah sampai, Yong! Mari turun!" katanya kepada Sukardi.
Sukardi terpisat-pisat bangun. Dia mengesat-ngesat mata lalu mengeliat ke kiri dan ke kanan. Matanya terkelip-kelip akibat rasa mengantuk yang belum hilang.
"Yong, tempat yang kita tuju sudah sampai. Kau dan aku sudah berada di Singapura sekarang."
Sukardi mengeliat lagi. Terasa badannya telah segar.
"Biar kita cuci muka dulu," kata Sukardi memberi saran kepada Ramlee.
"Ha,ah. Itu yang sebaik-baiknya, Yong."

PIHAK Shaw Brothers berjanji akan menunggu mereka tetapi sehingga habis penumpang keretapi itu keluar, tidak ada seorang pun yang datang bertanya. Maka Ramlee dan Sukardi pun berjalan perlahan-lahan keluar dari stesen itu.
Akhirnya sampailah ke hadapan Balai Polis Tanjung Pagar. Kemudian mereka memasuki Anson Road. Mereka bertemu dengan seorang India penjual kopi kandar di tepi jalan.
"Kita naik kereta sewa saja," kata Ramlee sambil menghadap secangkir kopi.
"Baik kita tahan beca."
"Ah, yang itu murah. Mari, jom!" kata Ramlee menyetujui.
Sukardi meneguk habis kopinya.
Setelah minum, mereka pun lalu memanggil sebuah beca. Kepada penarik beca itu ditanya, "Pergi Robinson Road, berapa?"
"Dua puluh sen," jawab tukang beca itu.
Mereka pun menaiki beca tersebut.
Anson Road dan Robinson Road tidak jauh letaknya.
Tiba-tiba Sukardi terpandang pada salah sebuah bangunan yang jelas terdapat tulisan nama Shaw Brothers.
"Eh, tengok tu," Sukardi hampir berteriak.
"Berhenti! Berhenti! Kami nak turun!" kata Ramlee sambil menoleh kepada penarik beca.
"Tolong berhentikan beca ini, pakcik."

RAMLEE dan Sukardi pun berjalan menuju ke pintu bangunan itu. Apabila kaki mahu menaiki anak tangga ke ruang atas, mereka ditahan oleh seorang Sikh yang menjadi jaga.
"Apa mahu sini?" tanya Sikh itu dengan sangat ragu-ragu. Dia merenung Ramlee dengan penuh syak wasangka.
"Tabik tuan Singh. Ini wayang gambar pusing, ka?" Ramlee bertanya.
Sikh itu menarik nafas lantas berkata, "Saya bukan tuan. Saya jaga. Nama saja orang Melayu. Adat tak tahu."
Ramlee tersentak. Geram sungguh hatinya apabila dikata begitu.
"Oh, kau sindir ya? Aku cepuk nanti!" cetus Ramlee dengan suara keras.
"Nanti dulu, encik. Ada marah ka?" Rupa-rupanya Sikh itu cemas juga mendengar suara Ramlee yang mula meninggi.
Sukardi hanya menatap.
Dalam masa mereka bertengkar dengan jaga itu, tiba-tiba muncul Abdul Wahab. Dia berjalan ke arah mereka.
"Apa ni gaduh-gaduh? Ini office, bukan tempat lawan boxing," kata Wahab.
"Dia banyak degil Che' Wahab. Dia kepala dalam ada batu besar duduk," Sikh itu membalas.
Wahab memerhatikan wajah Ramlee dan Sukardi buat beberapa ketika. Matanya berkerdip sedikit. "Oh, kau berdua! Baguslah kau berdua sudah ada di sini. Lama saya tunggu kedatangan saudara berdua di stesen keretapi tadi."
"Maafkan kami membiarkan saudara menunggu."
"Oh, tak mengapa. Selamat datang ke Singapura. Bagaimana perjalanan?"
"Siang malam tidur duduk," Sukardi berseloroh.
"Ha, mari. Ikut saya," kata Wahab kepada Ramlee dan Sukardi.
Ramlee menjeling ke arah Singh yang masih memerhatikan dirinya.
"Lagi mahu pandang sama orang. Apa? Kau ingat kau raja ya? Polis? Kommisioner, ya?" Sikh itu berkata. "Saya ni apa? Batukah? Kayukah?"
Ramlee mengetap bibirnya.
"Saudara tak usah berkecil hatilah. Jaga tu otaknya terganggu sedikit. Dia selalu begitu. Angin satu badan tapi hatinya baik," kata Wahab memberikan jaminan. "Sudahlah. Lupakan saja."
Ramlee mengangguk.
Wahab membawa Ramlee dan Sukardi naik ke atas dan di depan sebuah bilik, dia menyuruh mereka berhenti di muka pintu sementara dia masuk ke dalam.
"Saudara berdua tunggu sini. Jangan ke mana-mana. Sekejap saya datang," Wahab memberi arahan kepada Ramlee dan Sukardi.
Mereka mengangguk tanda faham.
Ada kira-kira setengah jam kemudian Wahab pun keluar dan mengajak mereka turun.
"Sekarang ni kita ke mana?" tanya Sukardi ingin tahu.
"Kita pergi ke studio Jalan Ampas."

RAMLEE dan Sukardi dibawa berkeliling bandar Singapura terlebih dahulu dengan kereta yang dipandu Wahab. Drebar itu menunjukkan tempat-tempat yang menarik. Akhirnya kereta itu memasuki sebatang jalan yang berlopak-lopak.
Wahab mengurangi kecepatan kereta di depan pintu sebuah bangunan seperti gudang dengan seorang Sikh sebagai jaganya. Orang Sikh itu lalu membuka pintu untuk kereta itu masuk.
Studio Jalan Ampas pada masa itu merupakan sebuah tempat yang masih penuh dengan semak-semak, rumput dan lalang. Sebuah bangunan gudang yang dikatakan studio dan sebuah bangsal yang ada di hadapannya terdapat di situ.
Bangsal itu sebuah bangunan buruk berlantaikan simen dan berbumbung genting yang bocor. Terdapat juga sebuah bilik air untuk tempat mandi di dalamnya.
Wahab menghentikan keretanya di depan pintu yang di luarnya bertulisan: Studio No. 8 yang adanya pejabat studio untuk menurunkan kedua penumpangnya.
"Inilah rumah yang dia orang panggil film stadio, ya?" tanya Sukardi kurang percaya.
"Cakap biarlah betul. Bukan film stadio, film studiolah," Ramlee membetulkan.
"Besar, ya?"
"Ha, ah."
Wahab tetap duduk dalam kereta. Mereka disuruh berjumpa dengan manager.
Ramlee berpaling kepada Wahab. "Manager siapa?"
"Shaw Wong Yoke namanya," sahut Wahab.
Dari tempat duduknya Wahab melihat ada seorang laki-laki yang berdiri hampir di situ. Dia menjenguk ke luar.
"Hei, Mat! Mat!" panggilnya.
Laki-laki itu berpaling ke arah yang memanggil namanya. Dia mendekat dan membungkuk ke jendela kereta. Muka Wahab direnungnya.
"Aku ada urusan lain. Tolong bawakan dua orang ini jumpa manager," kata Wahab kepada Ahmad.
Ahmad menegakkan tubuh, mendekati dan memperhatikan. "Saudara dua orang nak jumpa sama manager, ya?"
"Iya." Ramlee mengiakan.
"Ha, kalau begitu marilah ikut saya," katanya, melangkah pergi.
Beberapa minit kemudian mereka sudah berada dalam Studio No. 8.
Ramlee dan Sukardi melihat S. Roomai Noor sedang mengajar beberapa pendatang baru bagaimana mahu menghadapi screen-test.
"Saudari-saudari, ingat segala-galanya yang saya ajar?" berkata Roomai Noor.
Mereka mengangguk-anggukkan kepala sahaja.
"Ha, sekarang mulalah berlatih."

PINTU pejabat diketuk orang. Shaw Wong Yoke yang duduk di belakang meja tulis tersentak.
"Ya, masuk!"
Ramlee dan Sukardi masuk, Ahmad menutup pintu sambil menggotong dua kerusi.
"O.K. O.K. Lu bawak balik itu lori sekarang juga." Wong Yoke diam sejenak, menghisap rokoknya dan melanjutkan. "Ya, sekarang juga. Ha? Kalau itu lori tak boleh jalan, lu pikullah!"
Wong Yoke memutuskan hubungan telefon. Dia meletakkan ganggang. Dia berpaling kepada para tamunya.
"Tuan manager. Dua orang ini nak jumpa tuan," kata Ahmad.
"Ha, duduk, " Wong Yoke mengundang dengan nada suara berubah.
Ahmad menunjuk kerusi, sementara dia sendiri duduk di kerusi lainnya.
Dengan tertib dan sopan Ramlee berkata, "Terlebih dahulu kami memperkenalkan diri kami. Saya Ramlee. Ini Sukardi."
"Lu dua orang apa hajat datang ke mari?" tanya Wong Yoke dengan lembut. Dia mematikan puntung rokoknya.
"Kami mempunyai hajat yang besar, encik. Kami berdua ni nak jadi film star," kata Ramlee. Begitulah tekad dan keazamannya.
"Film star?" Manager itu mulai kelihatan tertarik. Dia memperhatikan Ramlee dan Sukardi dengan pandangan yang tidak disembunyikan dari hujung kepala sampai ke kaki, lalu bertanya, "Dulu pernah berlakon di mana-mana?"
"Kami boleh menyanyi, menari, boleh main lawak."
"Lawak yang macam mana?" tanya Wong Yoke tak sabar.
"Lawak yang macam mana encik mahu? Sebab, ini ada macam-macam lawak encik. Ada yang lawak menangis. Ada yang lawak ketawa. Ada yang lawak bertumbuk," kata Ramlee sungguh-sungguh.
Wong Yoke mengangguk dengan air muka membayangkan kepuasan. Dia melihat arlogi tangannya. Pukul sebelas kurang sepuluh minit.
Wong Yoke mengambil pensil dan mengetuk-ngetukkannya di meja. "Walau macam mana pun tak payahlah saya berpanjang lebih lagi. Lu dua orang mulai latihan dari besok hari jam 10 pagi."
"Mengapa besok?" tanya Sukardi dengan berani. Dia agak kurang mengerti.
"Sebab Mr. Rajhans ada urusan yang penting di Johor. Malam baru balik. Hari ini lu berdua boleh berehat. Besok saya mahu tengok apa yang lu dua orang boleh buat."
Wong Yoke mengangguk ke arah Ahmad, menyuruh mereka pergi.
"Saudara-saudara tentu penat kerana jauh berjalan. Mari saya tunjukkan bilik."

RAMLEE dan Sukardi kemudian dibawa ke bangsal. Ia dibahagikan berpetak-petak seperti bilik. Untuk mereka berdua diberikan sebuah bilik.
Bilik tersebut penuh tertampal dengan berbagai gambar bintang film Hollywood yang digunting dari majalah.
Tiba-tiba pintu bilik mereka diketuk orang. Sukardi membukanya, dia melihat Ahmad membawa dua buah tempat tidur dari kain kanvas.
Sesudah mandi dan bercukur, mereka pun keluar makan tengah hari di kedai orang India yang terdapat di simpang masuk ke Jalan Ampas itu. Selesai makan, mereka membeli penyapu dan gayong.
Setelah sampai kembali ke bilik, mereka mulai membersihkan bilik itu sambil bernyanyi. Tiba-tiba mereka didatangi oleh seorang anak muda. Orangnya kurus dan ada dua batang gigi emas.
"Saudara ini siapa?" tanya Ramlee dengan ramah.
"Nama saya Said. Saya bekerja menjadi pemasang kawat letrik di studio ini," sahut anak muda itu memperkenalkan diri.
"Nama saya Ramlee," Dia memutar tubuh dan menghadap Sukardi. "Ini saya kenalkan, Sukardi. Tapi panggil saja Yong."
"Siapa yang menyanyi tadi?" tanya Said.
"Ramlee," jawab Sukardi.
"Ramlee, bukan main bagus engkau menyanyi," kata Said sedikit menyanjung. "Saya juga adalah seorang pencinta seni muzik. Pandai main alat-alat muzik?"
"Jika boleh saudara bawakan satu gitar dan satu ukulele, kami boleh bermain muzik dan menyanyi sekali," jawab Ramlee.
"Soal ini jangan kau berdua susahkan. Jika saudara berdua berkehendak, buat saya tidak ada apa-apa halangan. Nanti saya uruskan. Jadi, tinggalkanlah perkara ini kepada saya. Ini perkara mesti jadi."
Sukardi menyeringai. "Kalau begitu, terima kasih saudara. Kami sangat bahagia kerana mendapat sahabat seperti saudara. Saya harap kita akan menjadi sahabat buat selama-lamanya."
"Kalau sekali saudara suka bersahabat dengan saya, seribu kali saya terima."
Setelah berdiam selama beberapa detik, Said bertanya. "Nampaknya saudara berdua ni orang baru di Singapura ini. Apa betul?"
"Itu benar, kami baru sampai di tempat ini."
"Hendak mengadu untung di negeri orang. Kalau-kalau ada penghidupan yang lebih baik."
"Sampai dengan apa?"
"Dengan keretapi."
"Apa yang menyebabkan saudara berdua ke mari?"
"Kami bercita-cita mahu jadi pemain wayang," sahut Ramlee menjelaskan. "Sebab itulah kami di sini."
"Jadi pelakon wayang," sela Sukardi.
"Sangat murni tujuan saudara berdua dan saya hargai segala cita-cita saudara berdua yang ingin menjadi anak wayang itu. Jadi, tambah juga jumlahnya bangsa kita yang menjadi ahli seni."
"Itu sudah tentu."
"Saya tak boleh lama di sini. Sekarang, biarlah saya minta diri dulu, ya? Ada kerja yang hendak saya buat. Petang nanti saya datang lagi, bawa gitar dan ukulele."

"BOLEH tumpang tanya?" sergah seseorang dengan suara yang terdengar bernada sopan.
Said menoleh ke arah belakang.
Ternyata yang menegurnya adalah Kassim Selamat. Dia sedang melangkah ke arahnya.
Abu Hassan berjalan di belakangnya.
Said memandang kedua orang itu. "Cari apa saudara?"
Kassim menghampiri Said. "Kami mencari orang."
Said mengerutkan kening. "Siapa gerangan namanya?"
"Namanya Ramlee," jelas Kassim.
"Ramlee?"
"Ada kenal pemuda yang bernama Ramlee?"
"Jalan terus. Belok sebelah kiri. Di hujung bangunan itu, itulah biliknya."
"Terima kasih, ya?"
"Sama-sama."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience