1. | MENDAMBAKAN KEPASTIAN |

Romance Series 1474

SINGAPURA pada tahun 1954. Dingin pagi masih lagi belum hilang. Hujan semalam membuat udara pagi itu lembab. Sebuah kereta berhenti di tepi jalan dengan bonet enjin terbuka. Seorang drebar yang beruniform putih dengan kot tutup berbutang tujuh berdiri di dekat kereta itu dengan tubuhnya merapat ke penumpang yang duduk di dalam.
Penumpang itu menurunkan kaca tingkap. Angin pagi yang segar menerobos ke dalam kereta dan si drebar yang bersongkok miring itu membongkok mengamati. Dia anak raja yang berdaulat. Mukanya bujur dengan sebaris misai di atas bibir.
"Amacam Dol?" tanyanya ingin mendapatkan penjelasan. Melihat ke mata Dol dengan pandangan keraguan.
"Entahlah, Tunku," Dol berkata dengan hambar sambil menentang mata Tunku. "Patik telah menelitinya, tetapi patik sendiri pun tidak dapat menentukan apa kerosakannya. Barangkali motokar ini ada penyakit kus-kus."
"Penyakit kus-kus?" Tunku mengangkat alisnya. Nadanya dipagut kehairanan.
"Berlaga angin, Tunku," ujar Dol, agak berseloroh.
"Tak jadi apa, Dol," kata Tunku. "Untuk bertukar angin, saya boleh naik teksi."
"Ya, patik juga sependapat dengan Tunku," kata Dol dengan penuh hormat. "Biar patik dapatkan teksi." Lantas badannya melurus tegak.
"Itu yang semolek-moleknya, Dol," ujar Tunku menyokong kata-kata Dol itu.
Dol berpaling untuk melambai sebuah teksi yang berbalam dari kejauhan.

ABDUL Wahab menatap ke muka. Di mukanya terbentang jalan raya yang langsung ke pusat kota Singapura. Kesan hujan yang turun sejak awal senja hingga tengah malam tadi sudah tidak kelihatan di atas permukaan jalan.
Wahab seorang pemandu teksi. Pagi itu seperti lazimnya, dia mengenderai keretanya di Changi, salah satu bahagian pulau Singapura. Dari tempat duduknya, dia melihat Dol melambaikan tangan untuk melanggan teksinya.
Terdetik hatinya hendak meminggirkan keretanya ke tepi jalan.
Dol maju ke hadapan. Dia membongkok ke jendela di sebelah kiri Wahab.
Wahab berkalih dan menjengahkan pandangan ke arah jendela belakang. Matanya menerobos keluar, melihat kereta dengan bonet enjin terbuka.
"Motokar rosak ya?" duga Wahab.
"Ya, motokar saya itu rosak enjinnya," balas Dol.
Wahab menoleh. "Apa dia rosak?"
Dol menghela nafas. "Entahlah, saya pun tak tahu apa sebabnya. Tak semena-mena rosak."
Wahab mengangguk-angguk.
"Tuan saya nak pergi ke Raffles Hotel. Bagaimana, encik?"
"Raffles Hotel? Itu tidak menjadi keberatan buat saya."
"Pergi ke Raffles Hotel berapa?" tanya Dol.
"Macam biasa, satu ringgit setengah," jawab Wahab.
"Baiklah. Tunggu sekejap, ya? Biar saya ambil tuan saya dulu."
Wahab mengangguk.
Dol segera berlalu pergi untuk membuka pintu dekat tempat duduk Tunku. Tanpa membuang masa, Tunku terus melangkah keluar dari kereta.

WAHAB tak perlu menunggu terlalu lama. Dalam waktu seminit didengarnya ada suara langkah kaki melangkah mendekati teksinya. Dia membalikkan badan apabila pintu belakang di sebelah kiri kereta itu dibuka.
Seorang lelaki sambil menjinjing beg yang mungkin berisikan kain bajunya terus masuk dan duduk.
Dol menutup pintu kereta.
Wahab memasang pendengaran. Dia meruncing telinga. Cukup dekat untuk menangkap potongan-potongan dialog mereka.
"Jangan kuatir, Tunku. Tinggalkan perkara motokar ini sebagai urusan patik," Dol memberitahu Tunku tanpa diminta.
"Kalau begitu, hantarlah ke workshop," usul Tunku.
"Baiklah, patik akan uruskan perkara itu," tekad Dol.
Dia berundur ke belakang dan mengatur langkah pergi.
Tunku mencondongkan tubuhnya ke depan dan menepuk bahu Wahab.
"Saudara, sudah masanya kita berangkat."
Wahab segera menjalankan tugas. Dia menoleh ke belakang, lalu mengenderai kereta itu keluar dari tepi jalan, mengikut arus lalu lintas.
Di tepi jalan itu ada dua orang yang berkumis dan berbadan sasa menongkat skuter masing-masing di bawah sebatang pohon besar, mengawasi teksi itu lewat. Kemudian dengan skuter, mereka mengikut teksi itu dari belakang.
Matahari mula mendaki kaki langit. Waktu pagi serupa itu lalu lintas di jalan raya kurang sibuk. Pun begitu, Wahab mengenderai teksi itu menuju ke Raffles Hotel dengan penuh hati-hati.
Tunku yang memakai pakaian kebangsaan hitam dan bersamping kain songket Terengganu itu meletakkan beg jinjitnya ke sebelah kanan tempat duduknya. Kemudian songkoknya diletakkan di atas beg.
Tunku nampak rapi, rambutnya terpelihara. Kemas kelihatannya. Memperlihatkan ketokohan wataknya sebagai pemimpin. Nampaknya dia seorang yang berbudaya dan santun. Kena dengan perwatakan dan jawatannya.
Wahab berfikir seorang diri. Ada semacam rasa aneh menyelinap ke dalam diri Wahab ketika dia pertama kali melihat lelaki itu tadi. Macam sudah lama dia mengenali lelaki itu dan rasa-rasa pernah dia melihat sebelum ini. Dia memerah ingatannya.
Ditatapnya lagi wajah penumpang itu melalui cermin kecil pandang belakang di depan muka, mengintai dengan ekor pandangnya. Matanya penuh selidik. Dia mengagak tentulah penumpang itu anak raja dari seberang tambak.
Tunku dapat merasai pandangan itu kerana mereka terlalu dekat. Dia sempat melirik Wahab dari balik kaca matanya, tapi tingkah lakunya sangat tenang.
Pandangan mata penumpang itu kelihatannya sempat membuat Wahab malu. Sejenak dia ragu-ragu, kemudian dengan hati-hati bertanya, "Tuan, bolehkah saya bertanya?"
"Kenapa tidak?" Tunku cepat-cepat menjawab.
"Sepertinya saya pernah melihat tuan. Tuan ini Tunku dari Persekutuan agaknya?" Wahab menguji.
"Iya, sangkaan saudara memang benar. Sayalah yang bernama Tunku."
"Saya cuma inginkan kepastian," Wahab tersenyum simpul. Telahannya tepat. "Agak lama juga saya tahu tentang diri tuan. Saya rajin baca surat khabar."
"Baguslah kalau saudara dah tahu hal saya." Tunku menganggukkan kepalanya ke arah Wahab lalu bertanya dengan perhatian yang sungguh-sungguh. "Saudara siapa nama?"
"Saya? Nama saya Wahab, tuan."
"Apa kabar, Che' Wahab?"
"Saya di dalam sihat," sahut Wahab.
"Baguslah kalau begitu."
"Tuan bila sampai?"
"Baru saja," jawab Tunku dengan yakin.
"Saya merasa bangga kerana dapat berjumpa dengan Tunku yang mulia ini," Wahab memuji. Dia mengajukan lagi pertanyaan, "Jika tak menyusahkan tuan, boleh beritahu ada apa tuan datang ke mari?"
Anak raja itu menjawab kemusykilannya. "Begini, Che' Wahab. Kedatangan saya ke mari kerana ada tiga hal yang mustahak. Pertama, saya nak pergi Rumah Sakit Umum kerana melawat kawan yang mendapat kemalangan. Nak melihat keadaannya. Kemudian saya nak pergi jemputan kawin di Bedok. Lepas itu, saya kena pergi ke Studio Jalan Ampas kerana perjumpaan sosial."
"Oh, begitu."
Tunku tidak berkata lagi.
Wahab juga mendiamkan diri.
Kesepian terbentang antara mereka beberapa ketika.
Tunku mengambil senaskah surat khabar yang berada di lantai kereta sambil menaikkan alis mencerminkan erti bertanya.
"Ini surat khabar Che' Wahab?" Tunku bertanya dengan sopan.
"Ya," terdengar jawapan.
Tunku membuka lipatan dan mulai menyelak-nyelak lembaran akhbar Berita Singapura itu. Gerakan matanya cepat dari kiri ke kanan. Dari atas ke bawah. Kepala berita dibaca. Tajuk-tajuk berita boleh sahaja yang panas sedangkan isinya hambar.
"Hari-hari tak ada lain berita," suara Tunku agak ramah. "Melainkan pencuri, pembohong, menipu, menjual diri. Tak habis-habis. Orang sekarang tak serik kalau tak dikenakan hukuman berat!"
"Memang adat dunia, tuan. Tidak selalunya indah," Wahab bersuara lembut menyenangkan dan melirik sekilas ke arah Tunku. "Kalau tidak ada khianat, membuat angkara, dengki sesama makhluk dan melakukan pembunuhan sesama manusia, tidak dipanggilkan dunia. Inilah dunia yang kita huni sekarang."
"Ya, sudah semestinya," ujar Tunku memahami.
Dia membuka kaca matanya dan mengusapnya sebersih mungkin dengan saputangan. Setelah beberapa lama, mata Tunku tertumpu kembali pada akhbar yang terdedah di hadapannya. Sebaik dia menatap helaian tujuh, dia tertarik dengan foto seorang lelaki dengan wajah ceria dan tersenyum seperti diterangi lampu neon.
Dibacanya kepala berita itu, "Ramlee jadi pilihan."
Tunku membaca ayat-ayat seterusnya dengan teliti.
"Menurut berita surat khabar ini, Ramlee yang menjadi percakapan orang ramai sekarang, dipilih bintang penyanyi radio bahagian lelaki untuk seluruh Malaya bagi tahun 1953, Che' Wahab. Gelaran itu adalah daripada Radio Malaya."
"Kalau dia berjaya pun sudah kena pada tempatnya. Patutnya orang macam Ramlee ini di Hollywood duduknya," ujar Wahab sambil menjalankan keretanya lebih perlahan kerana ada beca yang ditumpangi oleh dua pelancong asing lewat lalu di hadapan.
Tunku mengangkat kepala dari surat khabar untuk melihatnya.
"Perkataan Che' Wahab sungguh menarik hati. Adakah apa-apanya? Apa Che' Wahab kenal Ramlee?' tanyanya ingin tahu.
Wahab menganggukkan kepala dan tersenyum, "Siapa yang tidak kenal Ramlee yang kebelakangan ini seorang pemain wayang yang terkenal dari Malay Film Productions? Dia juga boleh menyanyi. Tuan ada dengar?"
"Dengar apa?"
"Lagu Ramlee yang sudah menjadi bual bibir orang ramai, Tidurlah Permaisuri. Bagus, bukan? Ia akan menjadi satu lagu paling agong sekali dan Ramlee seorang yang merdu benar suaranya."
"Bukan begitu, Che' Wahab," tingkah Tunku. "Bukan itu yang saya maksudkan."
"Jadi, apa maksud tuan?"
"Maksud saya ni, begini. Pernahkah Che' Wahab kenal dengan Ramlee secara perseorangan?"
"Pernah, tuan. Namun semua itu sudah lama berlalu," Wahab menjawab bangga.
Dia nampaknya mengingat-ingat kembali, tetapi kemudian dia menggelengkan kepalanya.
"Ah, itu semua riwayat lama. Tak guna diulang-ulang lagi. Lagi pun apa guna menyingkap tabir lama."
"Janganlah Che' Wahab berkata begitu. Saya sungguh tertarik. Saya ingin mendengarnya," Tunku teruja mendengar maklumat itu.
Wahab menghentikan keretanya kerana lampu lalu-lintas menyala merah. Dari tempat duduknya, Wahab menengok ke belakang melalui cermin kecil di depan muka.
Kedua penunggang skuter tadi meluncur mendampingi teksi itu.
Wahab mengawasinya dengan mata yang licik. Kedua-dua orang itu tidak pernah dikenalnya. Dia tertanya-tanya dalam keheranan. Sesuatunya diperhitungkan. Sesuatu terbangun dalam dada Wahab. Musuhkah?
"Apa yang dua orang itu mengikut ni?" tanya Wahab dengan perasaan hati yang aneh. Kebimbangan mencuit perasaannya. Kemudian dia berputar menghadap kepada Tunku dan berkata, "Tuan, dua penunggang skuter itu nampaknya macam musuh saja kerana sikap mereka mencurigakan. Saya takut kalau-kalau mendatangkan kesusahan kita."
Tunku melipat akhbar. Kemudian menaruhnya di atas tempat duduk. Tanpa menoleh ke belakang, dia berkata, "Che' Wahab jangan bimbang. Itu ASP Latiff dan mata-mata Bakar. Mereka berdua memikul tanggungjawab mengawas dan menjaga hal keselamatan saya. Takut-takut kalau kejadian apa-apa. Che' Wahab tentu tahu komunis mengancam saya. Di mana-mana dan bila-bila saja."
Wahab mengangguk. Dia mulai menangkap makna segalanya itu.
"Oh, jadi tak adalah apa-apa?"
"Jangan kuatir, Che' Wahab. Tak ada apa-apa nak dibimbangkan."
"Nampaknya komunis ni mengganas betul."
"Begitulah nampaknya. Sudah berapa banyak contoh yang telah terjadi. Peristiwa pembunuhan Henry Gurney umpamanya," terang Tunku tenang. "Sungguh kejam perbuatan komunis."
"Ya, itu betul. Mereka telah melakukan kekejaman dan berbuat sesuka hati semenjak orang Jepun tak ada di sini. Mereka ugut, mereka takutkan rakyat."
"Selain dari itu, mereka juga menyerang dan membakar balai polis di Bukit Kepong tanpa belas kasihan. Dengan perbuatan mereka yang semacam itu, akan menjadi suatu riwayat yang dunia tidak mengampunkan selama-lamanya."
"Benar kata-kata tuan itu. Kata orang-orang, sangat ngeri hasil kekejaman komunis di Bukit Kepong itu, ya tuan?"
"Ya, memang benar Che' Wahab. Sungguh menyedihkan."
"Kenapalah komunis sanggup berbuat sekejam itu?"
"Saya ingin memperingatkan Che' Wahab. Komunis berpakat dengan bangsa asing supaya memaksa rakyat yang patuh pada kejujuran, benci pada kejahatan dan membela kepentingan ramai untuk menerima mereka menjadi pemerintah dan ingin merosakkan kepercayaan kita kepada Tuhan."
"Oh, begini sebabnya kekacauan ini semua. Nampaknya komunis menjadi alat untuk bangsa asing berkuasa dan bertindak sewenang-wenangnya dengan mengorbankan kebahagiaan dan kesenangan rakyat. Kekejaman komunis merupakan kebaikan di mata mereka."
"Di samping itu, ya. Kita harus awas. Mungkin ada di antara kita yang sanggup bermuka-muka untuk kepentingan dirinya sendiri."
"Kita di sini semuanya insan yang inginkan perdamaian. Apakah kita sudah habis ikhtiar, tuan? Kalau tidak, sanak saudara kita pula akan menemui ajal yang dahsyat."
"Satu jalan saja yang dapat menyekat komunis daripada mengganggu rakyat buat selama-lamanya."
"Dengan jalan apa, tuan?"
"Dengan jalan merdeka," kata Tunku penuh semangat. "Ini akan memberi kita kekuatan zahir dan rohani "
"Ya, terlanjur tuan telah berkata begitu, ada perkabarannya tentang merdeka, tuan?" Wahab terus menyoal tanpa berselindung.
"Perkara ini, saya jamin kita akan berjaya jikalau kita terus mendesak untuk bangunkan kembali daulat bangsa. Tanah air kita kaya raya, kitalah yang mesti menikmati kekayaan tanah air kita."
"Ya, memang betul. Kita mesti tunjukkan kepada Inggeris bahwa kita berhak untuk membentuk nasib kita sendiri."
"Fikiran saya sudah tetap dan berazam akan menjalankan pekerjaan yang semulia ini sehingga berjaya tetapi dengan cara beradat. Saya tak setuju dengan kekerasan. Kekerasan bererti kecelakaan. Kita berjuang untuk menuntut hak dan membela nasib kita. Jadi, perlulah perjuangan itu dilakukan dengan secara damai. Pun begitu, ia memerlukan masa dan susunan. Sebab saya suka bertindak dengan cara cukup teratur. Kerana nusa dan bangsa, apa yang saya kata, saya mesti kota. Hanya kuasa Tuhan sajalah lagi."
"Oh, bagus betul perkabaran ini dan saya berdoa mudah-mudahan apa yang tuan maksudkan akan terjadi, tuan. Sebab tujuan tuan adalah jujur dan murni "
"Terima kasih Che' Wahab. Kepercayaan Che' Wahab terhadap saya, itulah yang mendorong semangat saya untuk berjuang. Maka itu, hendaklah kita semua bersatu padu. Bersatu hati. Bagaimana kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh. Kalau kita mempunyai semangat yang teguh, semangat yang tabah untuk menentang segala cubaan, kemerdekaan mudah dicapai. Tetapi kita harus menyusun terlebih dahulu. Kita tunggu sajalah masanya," ujar Tunku lalu mengalihkan pembicaraan. "Sekarang, ceritakanlah kepada saya mengenai Ramlee."
Tunku memandang Wahab dengan wajah mengharapkan sesuatu.
"Baiklah. Saya akan ceritakan satu kisah yang sangat bagus."
Wahab termenung sejurus. Kepalanya disarati peristiwa lampau. Dihimpit suatu rahsia besar minta dibongkar. Segalanya terpancar di wajahnya.
"Saya masih ingat dengan jelas kepada hari yang membawa kenangan," kata Wahab kemudian. Dia sudah bersedia berkongsi pengalaman silamnya dengan Tunku.
Tunku bertanya kepada Wahab, "Bila kejadian itu?"
"Kira-kira tujuh tahun yang lalu," Wahab menjelaskan.
Memang banyak kenangan yang menyerbu kotak fikirannya. Kenangan itu semua berlumba-lumba dalam kepalanya. Subur dalam ingatannya. Seperti baru berlaku semalam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience