4. | KETIKA HUJAN MELUNTURI |

Romance Series 1474

BUTTERWORTH. Waktu itu hujan menitis memakmurkan bumi. Langit yang terdampar saujana luas tanpa hujung kelihatan mendung dan diselubungi awan hitam begitu pekat. Di sana sini terlihat air menggenang, memenuhi lopak-lopak dan membecaki jalan yang hancur asalnya kerana tak pernah diperbaiki. Lalu-lintas jarang-jarang, hanya dua atau tiga kenderaan yang datang dan pergi.
Dalam curahan hujan yang bertali-temali itu, seorang laki-laki berpakaian seragam cokelat dengan kancing-kancingnya berwarna emas tercegat macam tunggul di pinggir jalan. Tetapi dia bagai tidak peduli lagi rintangan begitu. Dia dengan penuh daya pengamatan, memandang berkeliling seperti ada yang dicarinya. Hujan bukan saja membasahkan seluruh persekitaran, malahan turut mengaburkan pandangan.
Abdul Wahid membuangkan pandangan ke seberang jalan. Nampak papan tanda nama bertulisan: Restoran Mustika. Sebahagian besar pengunjungnya yang tidak kurang dari sepuluh orang adalah orang-orang setempat yang sedang makan dan rancak berbual-bual.
Wahid melihat ke satu arah. Di sebuah pondok yang tidak jauh dari restoran itu, ada sekumpulan anak muda sedang mengadakan latihan muzik. Enam orang semuanya. Duduk berkeliling.
Wahid mulai kelihatan tertarik. Kemudian tanpa menghiraukan hujan yang turun dengan lebat, dia lalu melintas di jalan menuju ke arah anak-anak muda tadi. Tetapi sebuah lori kecil dengan kecepatan tinggi menghentikan langkahnya.
Pemandu lori itu berteriak, "Hoi! Kau nak mati?!"
Wahid menggetap bibir. Dia berasa sangat sakit hati mendengar kata-kata herdikan itu. Seperti sebilah belati yang tajam melapah hatinya. Ada rasa hatinya hendak menyeranah si pemandu tetapi fikirannya menghalang dan dia masih mampu bersabar. Tiba-tiba sahaja hati Wahid meminta agar jangan terlalu gopoh. Kemudian kakinya didepangkan menginjak dada jalan dengan cermat.

RAMLEE melirik jam tangannya sambil memeluk biola. Sudah jam 5:20 petang.
"Mana Si Deen? Dia suruh kita datang sini pada pukul lima. Sekarang sudah lewat 20 minit, tak nampak muka hidungnya," katanya.
"Iya. Mengapa Deen belum datang lagi?" suara Sukardi datang mencelah sambil mencuba nada gitarnya. "Dia janji dengan kita dia nak mai, tapi nampaknya dia tak jadi agaknya?"
"Hujan begini punya besar. Bagaimanalah dia nak datang? Agaknya tentu dia tumpang berteduh di mana-mana," terang Saeed sambil memukul-mukul bongo.
"Hujan lebat tak berhenti-henti. Seolah-olah Tuhan hendak membasuh dunia ini dari dosa dan noda," Ismail berkata.
Ramlee mengalih pembicaraan, "Aku baru saja menyiapkan satu lagu iaitu... Alunan... ha, Alunan Biola. Ya, itulah nama lagu itu. Aku rasa paling beruntung kalau sekiranya boleh kita mainkan di sini."
"Mengapa tidak?" kata Zalono dan alat yang dimainkannya ialah tamborin yang terletak di atas ribanya.
"Ya, kah?" Nada Ramlee berbaur teruja.
"Ya, betul," celah Mat Zain.
"Ini keroncong tau?" ujar Ramlee seolah-olah baru sedar bahawa penjelasan itu penting ertinya. "Faham semua?"
Ramlee bangun perlahan-lahan. Dia berdiri tegak.
Biola di tangan dikukuhkan genggamannya. Dan sejurus kemudian terdengar alunan biolanya. Gesekan biola begitu menakjubkan. Merdu sekali dan mendayu melodinya.
Ramlee berpaling kepada yang lain-lain sambil berkata, "Sekarang sama-sama, ya?"
Dijentikkan jarinya.
Alunan sebuah muzik keroncong menyusul. Satu irama yang indah dan mengusik.
Kemudian Ramlee bersuara dengan nada berlagu.
"Sayup terdengar alunan biola. Bergema ditingkah irama. Lemah lembut dibawa pawana. Di angkasa raya. Merdu mesra diiringi suara. Nyanyian yang menggetarkan jiwa. Dalam hati merindu asmara. Meresap ke sukma. Diiringi siliran sang bayu. Bagai suara buluh perindu. Mergastua pun berlagu. Menghilangkan rindu. Alangkah merdu alunan biola. Terpesona hati mendengarkannya. Hilang sudah dahaga di kalbu. Mendengarkan lagu."
Tiba-tiba Sukardi gagah berdiri apabila melihat Wahid terjengul di muka anak tangga pondok itu.
"Attention!" tempiknya menyerukan perintah.
Muzik terhenti. Hilang begitu sahaja.
Ramlee terpinga-pinga. Mat Zain dan Zalono saling berpandangan. Saeed dan Ismail terkulat-kulat mendengar tempikan Sukardi.
"Tabik, tuan Sarjan!" kata Sukardi, yang membuat Wahid terheran-heran. Sesudah mengangkat tabik, Sukardi menegur, "Tuan, jangan main hujan. Nanti demam."
"Saya bukan Sarjan!" sanggah lelaki berseragam cokelat itu sambil meletakkan kakinya ke atas anak tangga yang pertama. Dia menambah, "Barangkali saudara ni salah sangka kerana saudara melihat saya berpakaian begini. Jadi, saudara pikir saya ni bekerja menjadi sojar di mana-mana tempat. Tetapi, yang sebenarnya saya berpakaian begini kerana saya seorang drebar."
"Maafkan sahabat saya. Dia suka bergurau," kata Ramlee, segera menyampuk, mengambil hati Wahid. "Dia cuma mengusik saja kepada saudara, janganlah kecil hati."
Wahid tersenyum. Dia faham sekarang.
"Tak. Saya tak kecil hati, saudara."
Ramlee ragu sejenak, kemudian bertanya, "Saudara ni apa hajat datang ke mari?"
"Saya sangat memerlukan pertolongan saudara," kata Wahid sungguh-sungguh. Namun apa yang disebutnya tidak jelas maknanya.
Ramlee tak dapat mengira-ngira kehendak sebenarnya dari Wahid. Dia mengeluarkan semua wang dalam saku seluarnya. Semuanya duit syiling dua ringgit lima puluh sen.
Dia berkata, "Inilah saja duit yang ada pada saya. Cukupkah untuk kegunaan saudara?"
Wahid kebingungan.
"Itu bukan maksud saya, saudara. Bukanlah pertolongan dengan wang ringgit tetapi dengan jasa saudara-saudara yang ada di sini," kata Wahid kemudian.
"Saudara telah menerangkan kedudukan yang sebenarnya. Sekarang pertolongan apa yang saudara mahu pada waktu yang begini?" tanya Ramlee.
Semua mata tertuju pada Wahid.
"Kereta saya tersangkut di lumpur tidak jauh dari sini. Tak mahu bergerak. Saya telah berusaha tapi tidak berhasil. Inilah kesulitan yang sedang saya hadapi. Jadi, saya ke mari minta ramai-ramai tolong tolak kereta itu. Mudah-mudahan berjaya," kata Wahid merayu.
Ramlee berkata kepada Wahid, "Jangan susah, saudara. Sesiapa yang perlu pertolongan kami, kami tetap menolong." Kemudian berpaling kepada teman-temannya. "Hangpa semua setuju?"
"Setuju!" sahut mereka.
Wahid bersyukur apabila mendengar kata-putus daripada anak- anak muda itu.
"Baiklah. Semua orang ikut," Ramlee mengajukan kata-kata itu kepada semua yang berada di pondok itu. "Tapi Saeed, kau jangan pergi mana-mana. Kau tunggu di sini dan jaga harta-harta ini."
Ramlee menyuruh Saeed mengawasi alat-alat muzik mereka.
Yang dikatakan Saeed itu mengangguk.
Ramlee memandang Wahid.
"Saudara jalan dulu," katanya kepada Wahid. "Nanti kami ikut dari belakang."
"Baiklah."
Wahid segera berbalik dan bergegas menuju ke keretanya dengan langkah tergesa-gesa. Melawan titik-titik hujan yang menimpa dan menentang arah datangnya angin.
"Mari kita pergi!" seru Ramlee. Serentak dengan itu kakinya mula memijak anak tangga, terus melangkah turun. Dia ikuti Wahid.
Sukardi dan lain-lain mengikutnya.
Mereka pergi berlima semuanya.

WALAUPUN hujan sudah rintik-rintik, tapi anginnya kencang. Terdengar desir angin menampar daun-daun pokok. Mereka terus berjalan mengharung kelam hujan. Akhirnya mereka sampai ke sebuah kereta besar tersadai di pinggir jalan di satu persimpangan.
Abdul Wahid mengecilkan langkahnya, merunduk dan masuk ke dalam kereta. Tangannya memusingkan kunci. Enjin kereta menderu.
Ramlee, Sukardi, Mat Zain, Ismail dan Zalono membongkok di bahagian belakang kereta, mengumpulkan segenap tenaga.
"Dengar semua!" Ramlee berteriak memerentah. "Ramai-ramai! Satu, dua, tiga. Sekali tolak!"
"Oi! Sama-sama oi! Satu! Dua! Tiga!" Ramlee berteriak lagi.
Serentak dengan itu Ramlee dan pemuda-pemuda sebaya dengannya bersama-sama mulai membuat gerak menolak ke depan dan sesaat itu pula mereka menghayun langkah ke depan.
"Tolak kuat-kuat!"
Dalam waktu tak lama, kereta itu sudah mula beranjak maju.
Wahid menginjak brek dan kereta berhenti.
Setelah kereta berhenti, Wahid menoleh dari belakang kemudi. Dia memandang ke luar dan memberikan sebuah senyum puas.
"Terima kasih banyak di atas pertolongan saudara-saudara semua!" teriak Wahid.
"Sama-sama!" kata mereka dengan kuat.
Kaca jendela bahagian belakang kereta itu menggelongsor turun. Ia dibuka seorang gadis berumur sekitar tujuh belas dan cantik.
Ramlee mengamati, kemudian mendekatinya.
Setelah membuka kaca jendela separuh luas, penumpang yang berada di kereta itu menjenguk ke luar, sengetkan kepalanya ke arah Ramlee yang menuju ke arahnya.
Tiba-tiba pandangan mereka bertemu.
Ramlee tergamam sedetik. Matanya mencerlang, merenung muka bujur sireh seorang gadis yang tidak saja cantik, tetapi juga berpembawaan anggun. Rambutnya mengombak sampai ke bahunya, hidungnya mancung dan bibirnya bak delima merkah.
Ketika mukanya diterap udara yang dingin, si gadis yang bernama Tengku Zaleha Tengku Zakaria itu segera merasakan udara yang segar-bugar mengisi paru-parunya. Sekali-sekala tubuhnya dicium oleh tempias butir-butir hujan.
Santun dia berkata, "Terima kasih saudara-saudara. Saya merasa senang. Dengan pertolongan saudara beramai-ramai, dapatlah kereta ini bergerak sebagai sedia kala."
Mata Zaleha menyelidiki pemuda-pemuda itu. Seorang demi seorang ditatap mukanya. "Nampaknya saudara berlima ini basah kuyup. Tak tergamak hati saya membiarkan saudara semua di dalam keadaan kesejukan dan saya bukanlah orang yang tidak mengenal budi."
Zaleha membuka tadinya, mengeluarkan lembaran wang kertas sehelai. Dia menghulur kepada Ramlee sambil berkata, "Nah, ambillah wang ini sebagai sagu hati untuk saudara semua. Ambil ini untuk keperluan. Buat minum-minum kopi dengan santapan ringan."
"Saudari, tak usahlah saudari. Kami berbudi bukan minta dibalas. Itu kewajipan," Ramlee separuh ketar mengucapkan kata-kata itu. Tubuhnya menggigil, merasakan dinginnya udara saat itu. "Ini saya tak boleh ambil, saudari. Simpanlah ini."
Di belakangnya, Sukardi, Mat Zain, Ismail dan Zalono berdiri sebagai penonton dan pendengar. Walaupun dalam tergigil-gigil kuyup, mereka memasang telinga, cuba menangkap perbualan Ramlee dengan Zaleha.
"Ah, tak usahlah begitu. Ambillah ini," ujar Zaleha penuh harapan agar orang yang tidak dikenalinya itu menerima pemberiannya. Suaranya lembut didengar. "Jangan malu-malu, ambillah."
"Tak apalah saudari," Ramlee tetap pada pendiriannya tidak mahu menerima wang.
Dia toleh ke belakang, pada Sukardi.
Muka Sukardi mencebik perlakuannya, menjuih mulut.
"Si Ramlee tu, kalau dah jumpa perempuan... menyampah," bisik Mat Zain. Dia bersuara dalam nada yang rendah.
"Kalau jumpa perempuan, matanya ligat saja," Zalono menyampuk.
"Hang ni, ah. Bikin malu saja," keluh Ismail perlahan ketika melihat sikap Ramlee. "Ambil saja duit tu, Ramlee."
Ramlee berpaling. Pandangannya singgah ke wajah Zaleha.
Lagi tukar pandang terjadi di antara Ramlee dan Zaleha.
Di tangan Zaleha masih terdapat wang kertas itu.
"Tak ada lain jalan lagi saudara. Tak dapat tidak, saudara mesti ambil dan janganlah pula menolak permintaan saya ini," kata Zaleha. Parasnya yang manis itu nampak bersungguh-sungguh. Pendiriannya sukar digugah. "Sebagai peringatan orang-orang tua, musuh jangan dicari. Rezeki jangan ditolak."
"Kalau sudah begitu, baiklah. Saya terima dengan senang hati," ujar Ramlee, menyerah. Dia meraih ke depan, tangannya menyambut wang di tangan Zaleha dan menjejakkan wang itu ke dalam saku seluar.
Zaleha tersenyum puas. Hutang budinya kini sudah langsai. Dia berkata, "Jangan lupa ajak kawan- kawan pergi minum kopi."
"Tentulah. Takkan dilupa. Terima kasih banyak Cik... "
"Nama saya Zaleha," gadis itu menerangkan.
"Cik Zaleha yang rupawan," Ramlee dengan tetap memuji.
Zaleha tersenyum apabila dipuji. Seulas senyuman remaja.
"Jangan begitu tinggi memuji saya. Nanti saya terbang ke awang-awangan," katanya senang. Kemudian gadis itu meminta izin untuk beredar.
"Saya ada urusan penting. Biarlah saya teruskan perjalanan," katanya dengan lembut dan sopan lalu memutar tubuh dan dinaikkan kaca jendela kereta.
Ramlee angguk dua tiga kali.
"Jangan buang masa lagi. Eloklah kita berangkat. Hari pun sudah nak gelap," Zaleha memberi arahan kepada Wahid untuk meneruskan perjalanan.
"Baiklah, Cik Zaleha," kata Wahid bersetuju.

HUJAN masih merintik. Usia hari sudah senja. Dalam masa pulang, wajah Zaleha menjelma dalam ingatan Ramlee. Tidak pernah dia melihat gadis secantik Zaleha. Sungguh sempurna, tiada cacat celanya.
"Oh, sungguh cantik. Kiranya aku mendapat pasangan seorang gadis seperti itu, sungguh berbahagianya aku," fikir Ramlee seorang diri. "Siapakah gerangan engkau dara? Dari mana kau datang?" Tanya Ramlee dalam hati. Bisikan itu berkocak dalam dirinya.
Ramlee mendongak ke langit. Di langit, wajahnya semacam akan terus menangis entah untuk berapa lama lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience