2. | PENUH PENGHARAPAN |

Romance Series 1474

SAAT itu malam hari Jun 1948. Bulan memperlihatkan sinarannya yang samar-samar. Di satu pesta pertanian di padang Bukit Mertajam Recreation Club diadakan pertunjukkan hiburan selain dari barang-barang hasil bumi yang dipertunjukkan di situ sebagai daya tarikan sesiapa juga yang datang berkunjung ke situ.
Pancaragam Mustika diundang menyumbangkan permainan mereka di atas sebuah panggung terbuka beratapkan zink dan berdinding papan. Panggung itu berjejal dengan orang ramai sehingga nampak seperti sarang semut.
Terdengar suara dari pembesar suara:
"Para penonton dan hadirin yang dihormati, selesailah sudah lagu Bunga Rampai dari Bali nyanyian Cik Sabariah," laung Sukardi Suradi yang menjadi penyanyi merangkap juruacara di dalam pertunjukkan itu.
Sabariah seorang gadis Indonesia yang baru datang dari Medan dan menetap di Pulau Pinang. Dia seorang penari joget yang mengikuti Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia yang bermain di Taman Hiburan New World Park. Selain daripada menari, dia juga menyanyi.
"Sungguh merdu nyanyian dan lemah gemalai tariannya. Berikan tepukan kepada Cik Sabariah!"
Setelah berlalu persembahannya, ramai sekali suara tepukan kedengaran dengan jelas. Reda saja suara tepukan mereka, Sukardi meneruskan:
"Saudara-saudari sekalian. Tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Bintang Penyanyi Utara Malaya 1947, saudara Ramlee akan sumbangkan satu lagu untuk kita. Lagunya, Azizah. Saya silakan penyanyi kita, saudara Ramlee naik ke pentas!"
Penonton bertepuk sorak dengan hebat melihat seorang anak muda yang kurus langsing potongan tubuhnya, berambut kerinting dan mukanya dihiasi kumis, menampilkan dirinya di depan mikrofon. Pemuda yang berusia dua puluh tahun itu menarik nafas dalam.
Demi mendengar muzik beralun, Ramlee membuka bibirnya. Suaranya berkumandang begitu bersungguh-sungguh dan merdu.
Di belakang panggung itu berdiri Sabariah. Sekali gus perhatian Sabariah terpusatkan pada cara-cara Ramlee menggerakkan tubuhnya dan tangannya ketika dia menyanyi. Semuanya baik dan bagus.
Lirik lagu Azizah yang dinyanyikan oleh pemuda itu seolah- olah menjadi satu magnet yang menarik perhatiannya. Gerak bibir pemuda itu diperhatikannya. Dia takjub.
"Hidung mu yang mancung. Rambut yang kerinting. Membikin pemuda sehari-hari menaruh cinta pada mu. Oh, Azizah." Suara Ramlee begitu lunak. Suara Ramlee mengandung wibawa. Seperti selalu, redup matanya selalu mempesonakan.
"Betapa benarnya lagu itu," bisik Sabariah dengan rendah hati dan terharu. Ini dia tahu betul. Dia dan Azizah tinggal di asrama New World Park. Memang dialah gadis yang dimaksudkan.
Azizah sangat cantik, berusia sekitar lima belas tahun. Wajahnya menuruni bapanya, Pak Usman Rewang. Selain itu bentuk tubuhnya ramping, menarik, gerak-gerinya lemah lembut. Sabariah mengerti Ramlee terpikat kepada Azizah.

DARI jauh seorang India berdiri dengan kedua belah tangannya bersilang mendakap dada. Sedang matanya mencelah masuk di tengah-tengah orang yang berkerumun, menjalar ke atas panggung, memerhati tingkah laku Ramlee dengan mata seorang professional yang licik.
Orang India itu B.S. Rajhans namanya. Datang dari Singapura untuk mencari bakat-bakat baru bagi dunia film Melayu yang baru dipelopori oleh Shaw Brothers. Pada waktu itu dia menjadi pencari bakat untuk sebuah film baru yang bakal diarahkan olehnya.
Kini perhatiannya dipusatkan betul-betul. Suara Ramlee terlalu sedap dalam perasaan dan pendengarannya. Dia merasakan hatinya bagaikan dielus-elus. Kekaguman yang ampuh kukuh terpacak dalam jiwanya.
Tangannya mencuit bahu Abdul Wahab, drebarnya yang beruniform. Berkata dia dengan susah payah dalam bahasa Melayu, "Saya suka lagu itu. Cukup bagus dan menarik hati. Beginilah lagu yang kita cari, Wahab."
"Sudah tentu, Mr. Rajhans," Wahab mengiyakan. Dia mengangguk-angguk dengan pasti. "Inilah lagu yang paling bagus saya dengar dan sangat merdu pula suaranya."
"Budak muda itu ada harapan maju di masa hadapan. Dia boleh jadi pelakon terkenal," Rajhans memuji. Dia mendehem-dehem dan membetulkan suaranya biar bunyi suara Melayu. "Apa pendapat kau tentang dia?"
"Sudah kena pada tempatnya, Mr. Rajhans. Itu Ramlee memang pandai. Mungkin dialah yang Mr. Rajhans perlukan," jawab Wahab.
"Gadis tadi pula ada gaya dan ada bakat yang perlu. Gadis seperti itu pasti menjadi kegilaan ramai." Rajhans merasakan suaranya betul-betul masih pelat-pelat India lagi.
"Itu sudah pasti. Dia memang ada bakat. Saya rasa itu Sukardi juga pantas diberi kesempatan. Dia boleh menyanyi dan main muzik."
Rajhans angguk-angguk. "Kita mesti jemput tiga-tiga sekali."

DI tengah-tengah ruangan bilik hias diri itu ada meja bulat yang beralas kain putih. Ia boleh memuatkan enam kerusi mengelilinginya. Ramlee duduk di sebuah kerusi di hadapan Rajhans dan Wahab. Sukardi pula di sebelah Ramlee. Manakala Sabariah sedang duduk di sebuah kerusi kecil yang membelakangi mereka, membersihkan mekapnya di depan cermin besar.
"Saya datang ke mari ada hajat besar dan sangat tinggi tujuannya. Wayang gambar Shaw Brothers mahu cari orang wayang. Saya harap kau bertiga akan mengambil peluang ini dengan datang ke Singapura bila saja ada kelapangan. Pergilah Jalan Ampas." Sepatah-patah Rajhans menyebut meskipun sedikit pelat.
"Eh, eh. Jauh, ya?" kata Sabariah dengan wajah seperti anak kecil yang matanya terbuka lebar kerana kehilangan sesuatu. "Saya tak pernah pergi ke Singapura."
"Saya hendak bertanya kepada Mr. Rajhans. Adakah ini tawaran kerja jadi pelakon wayang?" tanya Ramlee.
"Begitulah maksudnya, Che' Ramlee tapi perlu menjalani screen test," jawab Rajhans.
Wahab ganti berbicara. "Soal duit buat tambang, jangan kuatir. Segala perkaranya syarikat Shaw Brothers akan tanggung sepenuhnya. Kau bertiga hanya perlu terima tawaran ini."
"Jangan olok-olok. Benarkah?" tiba-tiba terpancut pertanyaan itu di bibir Sabariah.
"Saya tidak mengada-adakan sesuatu dan saya katakan perkara yang sebenarnya," ujar Rajhans membela diri. "Kau tiga orang tak percaya sama saya?"
"Bukan tak percaya. Tapi bagaimana kami nak tahu Mr. Rajhans bercakap benar?" kata Ramlee sambil mencuba tersenyum. "Dalam dunia ini orang boleh menyamar macam-macam. Jadi doktor, jadi lawyer, jadi businessman."
"Ya, kita tiga orang mahu lihat bukti," ujar Sukardi tiba-tiba setelah sekian lama berdiam diri.
"Sebagai bukti," Rajhans menyeluk saku kemejanya dan memperlihatkan sekeping kad berisi nama dan alamat. "Nah, ambil kad ini."
Rajhans menghulurkan kadnya sebagai pekerja di bawah naungan Shaw Brothers.
Ramlee mengamati dengan teliti kad kecil yang disodorkan di hadapannya. Dibacanya nama yang tertulis pada kad. Sementara Sukardi ikut melihat lewat bahunya. Ingin dia memastikan peranan Rajhans yang sebenarnya.
Sukardi tersenyum diulit kelegaan di hatinya. "Yalah Ramlee. Itukan ada tertulis nama Shaw Brothers."
Ramlee mengenal nama di kad itu sebagai salah satu perusahaan film tersohor di Singapura. Selesai membaca, dia mengangkat kepala.
"Sekarang sudah terang dan nyata," Wahab cuba meyakinkan hati Ramlee, Sukardi dan Sabariah. Menyambung. "Tapi biarlah saya terangkan lagi berkenaan Mr. Rajhans."
Ramlee mengangguk-angguk. Juga Sukardi dan Sabariah.
"Pernahkah kau bertiga menonton wayang gambar Singapura di Waktu Malam?" tanya Wahab tiba-tiba.
"Sudah tentu pernah," jawab Sukardi dengan bersahaja. "Ceritanya bagus dan Sipot Serawak sangat pandai berlakon."
"Disebabkan oleh kecantikan Sipot Sarawak yang tak boleh hilang dari mata kau, bukankah begitu?" kata Ramlee kepada Sukardi, seperti menyindirnya.
"Perasaan aku biasa saja," jawab Sukardi, mempertahankan diri. Dia merenung Ramlee.
"Si Sipot itu namanya sentiasa di bibir lelaki," Sabariah menyampuk.
"Bukan aku tak tahu siapa si Sipot itu," ujar Ramlee menambahkan. "Bapaknya Dollah Serawak yang main bangsawan."
"Singapura di Waktu Malam itu adalah arahan Mr. Rajhans yang bergelar tuan director," Wahab menerangkan.
Rajhans bertanya, "Belum cukup bukti lagi?"
Ramlee merenung ke arah Rajhans dengan penuh perhatian.
"Mr. Rajhans, barulah kami percaya. Kami sangat berbesar hati mendapat perhatian dari pihak Mr. Rajhans," katanya dengan tersenyum.
"Che' Ramlee bawa kad itu dan kasi pada manager," Rajhans memberi saran.
"Manager?" tanya Ramlee tidak sabar-sabar. "Manager yang mana?"
"Manager yang buka New World di Pulau Pinang," balas Rajhans.
"Oh, manager yang itu saya kenallah," Ramlee dapat mengingatinya.
"Che' Ramlee kenal dia?" Rajhans bertanya, tidak yakin.
"Ya, sudah tentu. Sabariah pun bekerja di sana."
"Che' Ramlee pergi berjumpa dengan manager itu. Tambang kereta api dia boleh uruskan." Rajhans memandang Ramlee sejenak, lalu melihat ke arah Sukardi dan Sabariah. "Jadi, apa keputusan kau bertiga?"
"Ini tawaran yang amat baik. Terlalu baik. Tetapi oleh kerana perkara ini secara mengejut saja, kami tak dapat memberikan keputusan sekarang," ujar Ramlee membuat rumusan. "Dari itu, berilah kami tempoh untuk berfikir."
"Baiklah. Cuba fikirkan. Tetapi jangan lama-lama, ya?" kata Rajhans dan matanya mengerling jam di pergelangan tangannya. Hampir tengah malam. "Hari pun dah jauh malam dan saya nak berjalan jauh besok. Biar kami minta diri dulu."
Mereka saling beranggukkan tanda mencapai kata sepakat.
Rajhans bangkit dari kerusinya.
Wahab juga ikut bangkit. Dia terpanggil untuk bersuara lagi, "Sebetulnya, Mr. Rajhans pagi esok terpaksa balik ke Singapura untuk melakukan kewajipannya sebagai seorang pengarah."
"Oooh, begitu ya?" ujar Ramlee.
"Ya, sebenarnya pekerjaan saya belum lagi selesai," Rajhans menjelaskan. "Selamat tinggal, ya? Harap berjumpa lagi."
"Selamat jalan," kata Ramlee, tersenyum lembut.
Rajhans dan Wahab berjalan ke pintu, lalu meninggalkan kamar rias kecil di belakang panggung itu.

"BAGAIMANA Sabariah? Apakah jawapan dan keputusan kau? Mahukah kau menurut pergi?" Ramlee menaburkan pertanyaan untuk melepaskan beban yang merantai pemikirannya sejak suasana sunyi sepi sejurus lamanya.
Sabariah menatap wajah Ramlee yang sedang memandangnya dengan sikap penuh pengharapan.
"Aku tak boleh pergi, Ramlee," katanya kemudian. "Sebab aku ni banyak kawan di sini. Lagi pun aku mesti minta izin mata air aku."
Dengan tidak semena-mena, Sabariah terbayang akan wajah Deen, pemimpin pancaragam Mustika. Ah, dia telah memilih Deen.
"Mengapa begitu cepat menolak tuah?" ujar Ramlee tidak puas. "Apa salahnya mencuba? Sudah tentu ada hasilnya. Peluang yang semacam ini tak harus kita lepaskan."
"Ramlee, perkataan aku ini muktamad," sahut Sabariah. Dia berpaling menghadap ke cermin dan mula menyikat rambutnya.
Itulah kata putus Sabariah pada Ramlee. Jawapan Sabariah itu sememangnya berterus-terang. Wajahnya yang seperti kanak-kanak yang tak berdosa membuat jawapannya yang terus-terang itu tampak wajar saja.
"Kalau sudah begitu, apa boleh buat? Kau masih muda lagi dan kau sudah bagus bekerja di New World. Banyak lagi harapan kau di masa depan dan dunia ini masih muda buat kau." Ramlee menarik nafas panjang.
Saat itu Deen muncul di anjung pintu kamar rias kecil itu. Dia tercegat di situ.
"Sabariah, Deen dah datang," Sukardi menunjuk ke arah pintu masuk. Telunjuknya ditujukan kepada Deen.
Sabariah memusingkan kepalanya.
"Dah siap Sabariah?" seru Deen dengan lantang.
"Dah! Dah siap pun!" balas Sabariah pantas.
Gadis itu bangkit dari tempat duduknya. Dia mengulum senyum sambil berpaling kepada Ramlee dan Sukardi. "Mata air aku dah datang. Aku pergi dulu, ya?"
Sabariah bingkas mendekati Deen. Dia mempercepatkan langkahnya.

BEBERAPA minit berlalu. Ramlee beralih pada Sukardi. Tapi kawan karib lebih kenali Sukardi dengan nama Yong.
"Engkau macam mana, Yong?" katanya, memandang Sukardi. "Mahukah engkau pergi?"
Sukardi tidak terus menjawab pertanyaan Ramlee. Dia sebaliknya bingkas dari tempat duduknya dan berjalan mundar-mandir. Dia dihambat dilema.
"Eh, Yong. Apa yang kau bikin mondar-mandir di sini macam gajah sarkas?" seloroh Ramlee yang lebih tua satu tahun dari Sukardi. "Awat hang ni?"
Sukardi berhenti dan berpaling kepada Ramlee.
"Kau sahabat ku dan tetap menjadi sahabat ku. Aku sanggup mengikut kau walau ke mana pun. Tetapi - " Sukardi ragu-ragu. Hatinya berbelah bagi. Dia menghela nafas. "Jangan lekas sangat kau dengar cakap orang. Banyak perkara yang perlu diteliti."
"Apa kau belum percaya lagi pada Mr. Rajhans?" kata Ramlee separuh kecewa. "Kau ini tak sudah-sudah dengan curiga. Aku merasa kecewa mendengar perkataan kau Yong tetapi aku harap fikiran kau itu supaya dapat berubah kelak."
"Bukan begitu. Biarlah kita ambil faham betul- betul dulu," Sukardi berkata waspada. "Aku tak mahu masa aku terbuang percuma."
"Tapi aku cukup faham. Aku percaya kepada Mr. Rajhans. Dia berniat baik," Ramlee cuba memadam keruh syak wasangka di hati Sukardi. "Oleh kerana kau sahabat ku yang karib, kalau kau tak ikut sama Yong, tak seronoklah."
"Aku bukannya kata tidak pada kau," Sukardi membidas dengan serta-merta. "Berilah aku masa untuk memikirkan kata pemutusnya."
Ramlee mengangguk. "Baiklah. Aku bagi kau masa untuk fikir kerana fikiran itu pelita hati. Tetapi beri jawapan, ya? Jangan tidak-tidak. Aku mahu tahu apa keputusannya yang akhir."
Maka Sukardi berkata, "Sudahlah. Perut aku ni dah lapar. Mari kita menyekek."
Ramlee menoleh pada Sukardi. "Ha, yalah."
Kemudian kaki keduanya menapak terus ke warung-warung tempat menjamu selera yang didirikan di sepanjang jalan raya di pinggir padang Bukit Mertajam Recreation Club itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience