ABDUL Wahab terjaga dari imbasan lalu dan kemudiannya untuk mengakhiri dia mengatakan, "Itulah di akhir cerita tadi dan begitulah cara kami berkenalan."
"Oh, jadi begitu ceritanya," sahut Tunku. Dia telah mendengar dengan penuh minat.
"Ada cerita yang besar di sebalik segala itu, tuan. Tapi cukuplah setakat ini yang saya dapat katakan kepada tuan kerana masa tidak menyebelahi kita dan tempat yang kita tuju sudah sampai," Wahab memberi tahu.
Melalui kaca jendela kereta, Tunku mengamati bangunan hotel.
Wahab membelokkan kereta ke arah halaman lalu menghentikan teksinya di muka depan Raffles Hotel.
Di depan pintu itu tampak berdiri dua orang petugas. Masing-masing di kiri dan di sebelah kanan pintu. Seorang petugas segera ke sisi pintu penumpang teksi itu untuk membuka pintu bagi Tunku. Tangan petugas itu memegang daun pintu yang telah dibukakan.
Dari cermin kecil di depan muka, Wahab melirik ke arah Tunku.
Tunku diam tidak bergerak sama sekali dan tetap di tempatnya.
Wahab tahu Tunku sedang berfikir. Tentu ada sesuatu unsur yang mengganggu fikirannya.
Dari kaca samping, Wahab melihat ASP Latiff dan mata-mata Bakar memarkir skuter mereka di jalan di halaman hotel. Di bawah rimbunan pokok-pokok yang teduh dan redup.
Tunku akhirnya berkata, "Che' Wahab. Saya ada satu perkara nak cakap pada Che' Wahab. Sukakah Che' Wahab menjadi drebar kepada saya buat satu hari?"
"Saya tak faham bagaimana tuan punya maksud?" soal Wahab, kebingungan.
"Sebagaimana yang telah saya terangkan tadi, saya harus menyelesaikan tiga urusan penting di Singapura ini. Tetapi Che' Wahab pun tahu, motokar saya di workshop."
"Jadi, apa yang tuan mahu saya buat?"
"Hantarkan ke mana saja yang saya ingin hendak pergi. Apabila kerja Che' Wahab sudah selesai, Che' Wahab akan saya beri bayaran cukup besar sebagai pembalasan budi baik Che' Wahab. Sukakah Che' Wahab menerima dan memikul tugas kewajipan ini cuma untuk hari ini saja?"
Tiada jawapan.
Wahab diam membisu. Belum ada keputusan yang pasti dalam hatinya.
Tunku menunggu Wahab bersuara sebelum ingin dia memulakan.
Keragu-raguan meliputi suasana hening di antara keduanya.
"Bagaimana Che' Wahab?" tanya Tunku lagi penuh harapan. "Sanggupkah Che' Wahab menunaikan hajat saya?"
"Kalau betul tuan mahukan saya menjadi sebagai drebar, buat saya tidak ada apa-apa halangan," balas Wahab tenang. "Saya terima tawaran ini."
"Saya sangat gembira di atas penerimaan Che' Wahab."
"Tuan banyak membuat jasa pada agama dan bangsa. Tak terbalas budi tuan itu. Dari itu, saya menghormati tuan sebagai orang yang mulia dan saya anggap tuan sebagai orang yang terhormat. Saya akan membuat apa saja yang tuan suruh."
"Kira-kiranya pula bagaimana, Che' Wahab?"
"Ah, tak apa."
"Jangan, ini perniagaan. Che' Wahab mesti ambil harganya."
"Baiklah, tuan. Tuan bayarlah upahnya seberapa saja yang tuan punya suka," Wahab menjawab dengan berhati-hati sekali.
"Kalau begitu keputusan dicapai, kita sudah sepakat," ujar Tunku. Dia menyumbat senyum lebar. "Untung-untung kalau ada masa lapang, dapat juga kita bercakap tentang Ramlee lagi."
Perutnya tiba-tiba terasa lapar, minta diisi.
"Saya ni belum sarapan lagi," katanya apakala teringat akan hal itu. "Bagaimana kalau saya ajak Che' Wahab makan sarapan? Perkara wang jangan kuatir, saya boleh belanja."
"Saya baru saja lepas sarapan," sahut Wahab mengelak.
"Tidak. Che' Wahab mesti minum apa-apa walaupun sedikit. Sepatah kata orang, rezeki jangan ditolak," pujuk Tunku penuh harap. "Dan ada perpatah mengata orang banyak makan, murah rezeki."
"Baiklah, saya menerima ajakan tuan," kata Wahab mengalah.
"Bagus. Sekarang, biarlah saya bertukar pakaian dulu, ya? Sementara waktu, Che' Wahab tunggu di restoran hotel," Tunku mengatur.
"Baik, tuan. Saya akan turuti apa saja suruh tuan," Wahab berjanji.
"Kalau begitu, kita bertemu lagi di tempat perjumpaan."
"Baik, tuan."
Tunku memakai kembali songkoknya dan diangkatnya beg jinjitnya lalu keluar dari teksi itu.
Petugas pula segera menutup daun pintu.
Setelah memberi isyarat lambaian pada ASP Latif dan mata-mata Bakar agar mengikutinya, Tunku dengan langkah tetap masuk tanpa ragu-ragu, seolah-olah sudah biasa memasukinya sambil memandang sekeliling lobby.
DEKAT pintu masuk restoran sederhana besarnya di hotel itu berdirilah Abdul Wahab, tak bersuara dan sekadar melayan fikiran. Tidak ada yang mengganggunya.
Wahab berusia dua puluh lapan tahun. Badannya kurus. Dia telah menikah dan mempunyai dua anak, berusia satu dan tiga tahun.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan sebuah tangan menyentuh bahunya. Dia menoleh untuk melihat.
Terlihat sesosok tubuh berdiri di hadapannya. Segak dengan kot dan dasi. Tercegat dengan senyum.
"Tuan rupanya. Terperanjat saya tadi.'
"Apa sudah lama tunggu di sini?" Tunku menyapa Wahab.
"Baru saja sebentar," balas Wahab.
"Mengapa berdiri di luar?" tanya Tunku.
"Saya di sini cuma mengambil hawa pagi saja," sahut Wahab.
"Mari kita ke dalam untuk bersarapan. Mari," Tunku menarik lengannya.
Mereka sama-sama berjalan beriringan ke pintu masuk restoran hotel tersebut dan duduk di suatu sudut.
Seorang pelayan pria dengan penuh perhatian berjalan mendekati meja mereka. Dia berkulit hitam manis dan tubuhnya jangkung.
"Oh, Tunku. Lama tak datang? Tunku bila sampai?" sapa pelayan.
Tunku menoleh padanya. Dia langsung mengenalinya.
"Ah, kau Mat. Baru tadi. Apa kabar Mat?" ujarnya dengan nada ramah dan menyenangkan.
"Saya di dalam sehat dan di dalam selamat, Tunku. Saya merasa senang melihat Tunku kembali."
"Er, saya dengar ayah kau sakit ya, Mat?" Tunku bertanya, inginkan kepastian.
"Siapa cakap pada Tunku begitu?"
"Petugas lobby yang beritahu pada saya."
"Benar, Tunku. Kejadian ini berlaku tiba-tiba," jelas Mat dengan wajah kesal. "Apa yang orang kata sekarang? Penyakit peluh ke flu?"
"Jadi bagaimana pula tujuan kau tentang ayah kau, Mat?"
"Tentang hal itu, saya belum ada pikir apa-apa lagi."
"Dia sudah tua. Perlu mendapat layanan yang baik dan harus dirawat di rumah sakit. Di sana ada orang yang boleh menjaga ayah kau. Apa yang dikehendakinya semua ada."
"Baiklah, Tunku. Saya menurut saja. Kalau elok pada bicara Tunku, eloklah pada saya."
"Ya, itu yang lebih baik," Tunku mengangguk. Tangannya memegang menu yang diambil dari atas meja.
Mat berkata pada Tunku, "Mahu minum apa, Tunku?"
Tunku menoleh pada Wahab. "Che' Wahab nak minum apa?"
"Saya apa saja," ujar Wahab, seolah meminta pendapatnya.
"Makan apa Che' Wahab?"
Wahab menjawab, "Sebarang saja yang sesuai."
"Bawakan seteko kopi, dua beefsteak dan sedikit kue-kue, ya?" Tunku memesan pada si pelayan.
"Baik, sekejap saya datang." Mat membongkok kemudian berjalan pergi.
Wahab duduk bersandar dan melihat ke sekeliling dalam ruangan restoran itu. Matanya menangkap kelibat ASP Latiff dan mata-mata Bakar di hujung restoran. Masing-masing melihat-lihat ke sekeliling dan waspada.
Sebaik Tunku mengeluarkan sekotak rokok Lucky Strike dari kocek baju yang terselit di sebalik kot, dia menawarkannya kepada Wahab.
"Che' Wahab nak hisap rokok ke?"
"Boleh juga," sahutnya.
Tunku menyodorkan kotak rokok pada Wahab.
Wahab mengambil sebatang dengan malu-malu.
Tunku menghulurkan tangannya untuk mengambil mancis dan menyalakan api untuk Wahab. Kemudian mengambil sebatang untuk dirinya sendiri.
Lama mereka diam, mengasap paru-paru masing-masing. Selama beberapa detik tak ada suara apapun.
Tunku sedut rokok. Bibirnya terjatuh rapat sementara dia mengeluarkan asap rokoknya dari lubang hidung. Dalam kepulan asap rokok yang berlegar-legar di udara itu, Tunku teringat bahawa sebetulnya dia belum lagi berkenal-kenalan dengan drebar teksi itu.
"Saya ingin mengetahui tentang diri Che' Wahab ini lebih lanjut," kata Tunku dengan asap rokok masih terselit di bibirnya. "Ceritalah pasal diri Che' Wahab."
"Baiklah, saya ceritakan," jawab Wahab, merenung asap rokoknya yang mengepul-ngepul. Dia berfikir sejenak, lalu berkata, "Saya tidak ada lagi mempunyai orang tua. Adik saya yang bernama Abdul Wahid adalah satu-satunya saudara saya. Bapa kami ialah seorang guru di Jakarta. Tetapi diakibatkan peperangan, bapa kami terbunuh. Saya dua beradik terlepas dari bencana itu dan hidup dengan ibu kami. Malangnya nasib tidak terkira. Pada suatu hari, ribut yang dahsyat telah terjadi. Hujan turun dengan lebatnya. Angin meniup dengan dahsyatnya menyerang kampung. Dengan tidak disangka-sangka, sebatang pohon kelapa telah tumbang dan menimpa ibu kami dan akhirnya dia telah menghembuskan nafasnya yang penghabisan. Kerana ibu kami telah meninggal dunia dengan mengejut dan disebabkan oleh keadaan memaksa, kami datang ke Singapura ini kerana kami dengar ada ibu saudara kami di sini. Kebetulan, kami sudah tamat belajar."
Waktu rokoknya sudah habis, Wahab meramas-ramasnya di tempat abu. Dia melihat ke sekeliling, ruangan itu sudah hampir penuh, tapi masih ada beberapa meja yang kosong. Dia terpegun menemukan ASP Latiff dan mata-mata Bakar telah duduk di salah satu meja. Seorang pelayan datang untuk bertanya apa yang ingin mereka pesan.
Wahab melihat mereka dan melemparkan senyuman.
Sesudah diam beberapa jurus, Wahab menoleh kepada Tunku dan menyambung, "Sampai di sini, kami berdua dapat menumpang di pondoknya sebelum kami dapat kerja. Setelah satu hari pusing keliling tak tentu arah, saya mendapat kerja menjadi drebar dengan Malay Film Productions di Jalan Ampas."
"Che' Wahab kenal Run Run Shaw?"
"Betul kata tuan."
"Sejauh mana Che' Wahab kenal dia?"
"Encik Shaw itu memang satu majikan yang sangat-sangat baik budinya. Saya lihat dia cukup cerdik dan pandai."
"Baiklah, Che' Wahab. Ceritakan lagi pasal diri Che' Wahab sendiri."
"Adik saya, Abdul Wahid pula bekerja menjadi drebar kepada seorang hartawan yang punya kebun getah di Selangor, Tengku Zakaria. Dia adalah seorang hartawan yang terkenal di kota ini. Saya percaya tuan mesti kenal dia."
Tunku berkata, "Tak begitu kenal, Che' Wahab. Tetapi saya biasa mendengar tentang dia. Saudagar getah di Selangor Rubber Estate."
Pelayan tiba dengan menatang dulang berisikan hidangan makan pagi, membawakan pesanan mereka. Dia letakkan di atas meja.
"Tunku, santapan sudah dihidangkan. Tunku nak apa lagi?" Dia bertanya.
"Tidak ada apa-apa lagi, Mat," Tunku berkata penuh yakin. "Bila saya mahu nanti, saya panggil. Terima kasih."
"Sama-sama."
Pelayan itu pun melangkah pergi.
"Kita minum kopi dulu," pelawa Tunku dengan ramah.
Dia menuangkan kopi untuk Wahab dan satu untuk dirinya sendiri.
"Minumannya sudah sedia. Marilah minum, Che' Wahab," Tunku menjemput. "Jangan malu-malu."
"Terima kasih, tuan," ujar Wahab dengan senang hati.
Tunku yang baru menghirup seteguk kopi bersuara lagi, "Ala, bertuan pula. Tak usahlah bertuan pada saya Che' Wahab. Kita hanya berdua di sini. Panggillah saya Tunku saja."
Wahab terangguk-angguk. Kemudian dia menghirup kopi yang dihidangkan kepadanya.
Tunku menaburkan garam di atas daging di piringnya dan berkata, "Er, sekarang Che' Wahab, mari kita bicarakan tentang soal Ramlee. Kalau menurut dugaan saya, cerita Che' Wahab tadi belum habis lagi."
"Tepat dugaan Tunku dan tidak syak lagi," Wahab menyetujui. "Sekarang kita alih cerita itu kepada seorang gadis."
Tunku memungut pisau dan garpu dari sisi piring dan mulai memotong daging yang sudah diberi garam. Kemudian mengangkatnya ke arah mulutnya dan memakannya dengan diam-diam.
"Orang kaya Tengku Zakaria, anaknya bernama Zaleha. Anaknya, hanya seorang inilah saja. Budaknya sangat baik budi bahasanya," Wahab berkisah. Dia terdiam seketika kerana membuka lapik kue koci. "Sesudah 17 tahun berselang, anak itu telah menjadi gadis yang jelita. Tak ubahnya seperti bidadari yang datang menjelma dari awan-awan."
"Jadi, apa kena mengena pada Ramlee?" celah Tunku sedikit bingung. Dia cuba hendak bertanya tentang peranan Zaleha di sini dan hatinya meronta-ronta ingin mengetahui dengan lebih jelas. "Bolehkah Che' Wahab memberi penerangan?"
Wahab tersenyum dan berkata, "Begini, Zaleha ialah kecintaannya."
"Macam mana pula begitu?"
"Zaleha ada perhubungan dengan Ramlee."
"Oh, begitu rupanya. Sekarang baru saya mengerti," ujar Tunku. Dia mengajukan soalan lagi. "Dari mana Che' Wahab dapat tahu hal ini?"
"Dari mana saya dapat tahu hal ini? Begini, Wahid, adik saya, drebar Tengku Zakaria yang sedikit sebanyak mengetahui tentang kejadian ini telah sampaikan perkara ini kepada saya," jelas Wahab sambil mengunyah.
"Bagaimana lagi ceritanya ini? Cuba terus cerita," tekan Tunku.
"Baiklah. Begini... "
Tunku hanya mendengar dengan setia akan apa sahaja yang dikatakan oleh Wahab.
Share this novel