12. | WAKTU UNTUK KITA |

Romance Series 1474

RUANG kantin keretapi itu tidak begitu luas. Di dalamnya ada tiga buah meja, masing-masing dengan dua kerusi. Walaupun demikian ruang makan ini berisi enam orang penumpang, empat di antaranya dengan gelas di tangan. Ramlee dan Zaleha duduk di meja belakang. Ramlee memegang gelas berisi kopi ais, sedangkan Zaleha memegang gelas berisi teh ais.
Sekumpulan empat ahli muzik duduk di meja depan dan meja yang di tengah. Mereka telah diundang bermain di Singapura. Tanpa kata dan hati masing-masing dengan ceritanya sendiri. Salah seorang daripada mereka sekali-sekala mencuri pandang ke arah Ramlee.
Ketika Ramlee berbual-bual dengan Zaleha, bola matanya tertangkap pada salah seorang daripada anak muda itu yang berdiri dan keluar dari belakang mejanya. Dia menuju ke arahnya. Tangan kanannya memegang sebuah gitar.
"Kalau tak salah, saudara yang bernama Ramlee?" Dia menegur dengan suara lunak bernada curiga.
Pemuda itu memerhatikannya dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
"Betul, tak salah lagi saudara," balas Ramlee.
"Agak lama juga yang saya tahu tentang diri saudara. Nama saya Kassim Selamat. Saya ni pemimpin pancaragam Sanggabuana." Dia perkenalkan dirinya.
Kassim berpaling ke belakang.
"Er, kawan-kawan!" seru Kassim dengan tiba-tiba kepada kawan-kawannya. Pemuda-pemuda sebaya dengannya.
"Inilah Ramlee, Bintang Penyanyi Utara Malaya 1947. Handal orangnya," kata Kassim sambil ibu jari tangan kanannya menunjuk ke muka Ramlee.
Kehairanan menakluki jiwa mereka, sungguh tertarik dengan dakwaan Kassim.
"Apa benar begitu?" Zaleha bertanya seraya memalingkan mukanya ke arah Kassim untuk mendapat kepastian lanjut. Dadanya disarati tanda tanya.
Kassim menganggukkan kepala.
"Ya, saya ada baca di surat khabar dan pernah mendengar Ramlee menyanyi lagu 'Mee Jawa' di Radio Pulau Pinang," kata Kassim pasti.
Sekarang segala-galanya ternyata sudah.
Kassim memandang tajam ke muka Ramlee. "Saya merasa senang hati mendapat kenal seorang yang sehaluan dan seperjuangan."
Kassim kembali ke tempat asal di meja depan. Dia merapati kawannya yang bertubuh kecil dan berisi. Kemudian dia bersuara, "Saya memperkenalkan. Yang ini Abu Hassan."
Abu Hassan mengangguk. Dia memegang erat kotak saxophonenya.
"Ini Haron," jelas Kassim sambil menepuk bahu seorang pemuda yang duduk di meja tengah.
Haron tersenyum lembut. Sementara tangan kanannya memegang erat sebuah ukulele.
"Orang muda ini namanya Jamil," jelas Kassim sambil tangan kirinya menunjuk ke muka Jamil yang duduk semeja dengan Haron.
Jamil mengangguk-angguk kecil dan sedikit senyum.
"Kami berempat ini telah mengaku sebagai bersaudara," tegas Kassim dengan bersungguh-sungguh.
Kassim tenung muka Zaleha. Kemudian menoleh ke arah Ramlee lagi. "Ramlee, siapa yang cantik manis, ni?"
Zaleha menyeringai kena puji macam itu.
"Saya adalah Zaleha," katanya dengan diiringi senyuman yang terkapuk di bibirnya. Dia memandang Kassim.
"Apa itu kesukaan saudara?" Zaleha mengusulkan sebuah pertanyaan seraya jarinya menuding ke arah gitar yang dipegang Kassim.
"Oh, ya. Gitar ini salah satu dari teman saya yang menyenangkan hati saya," Kassim tersenyum kecil sambil memetik tali gitar.
Zaleha menampakkan kekagumannya. Kemudian menjeling ke arah Abu Hassan. Pandangan Zaleha seolah-olah memohon penjelasan.
"Saudara main apa?" tanya Zaleha mesra.
"Saya main saxophone," balas Abu Hassan.
"Saxophone? Kalau tidak keberatan, cuba tunjukkan kepandaian saudara," sela Ramlee.
Abu Hassan merasa keupayaan dirinya dicabar lalu mengeluarkan alat muzik itu dari kotaknya. Saxophone dipegangnya erat-erat. Kemudian menghembus dan memetik punat-punat di saxophonenya.
Sambil berbuat begitu Abu Hassan lantas berdiri.
Ramlee begitu seronok dengan bunyi saxophone yang dimainkan Abu Hassan itu.
"Bagus. Bagus..." Ramlee memuji. Kemudian dia merenung Haron. "Saudara?"
"Saya main ukulele," ujar Haron.
"Ukulele? Cuba?" soal Ramlee lagi.
Tanpa banyak soal, Haron menurut kata. Ukulele digenggamnya erat-erat. Kemudian tangan dan jari-jemarinya lincah menggerakkan talinya.
"Bagus." Ramlee menoleh dan menatap Jamil. "Saudara main bongo?"
"Saya main bongo," tegas Jamil sambil mendongakkan mukanya sedikit, bangga.
"Cuba," kata Ramlee kepada Jamil.
Kemudian Jamil menghayunkan kedua tapak tangannya ke alat muzik di celah pahanya. Paluan bongo itu rancak.
Ramlee menggumam. "Bagus."
Sesuatu seperti terlintas dalam benak Kassim Selamat. "Eh, apa kata kalau Ramlee hiburkan kita dengan nyanyian?"
"Saya?" Ramlee bertanya. Nada suaranya mengandung keheranan.
"Iya, mengapa tidak?" pinta Kassim bersungguh-sungguh. "Kita mahu Ramlee nyanyi satu lagu."
Ramlee mengangguk tanda setuju.
"Baiklah, kalau semuanya sudah mendesak, saya akan lakukan," katanya kemudiannya.
Hati Kassim berputar gembira.
Ketika itulah Ramlee dapat ilham baru. Matanya terkedip-kedip merenungi air muka semua orang yang hadir di situ.
"Ah, saya ada cadangan. Sekarang dengar baik-baik. Kalau saya menyanyi, saudara Kassim dan saudari Zaleha turut menyanyi. Tapi ingat, dengan aneka ragam tau?" kata Ramlee sambil merenung bola mata Kassim.
"Ya, cadangan engkau memang bagus. Saya sangat setuju."
Mereka berdua memperolehi kata sepakat.
"Semua sudah bersetuju?" Ramlee meletakkan soalan.
"Setuju!" Kesemua ahli pancaragam Sanggabuana menjawab serentak.
"Lagu apa nak nyanyi ni?" sela Zaleha, seperti menduga.
"Aneka ragam, dengan rentak lagu berbeza," jelas Ramlee.
Zaleha menganggukkan kepalanya.
"Kassim Selamat, tunjukkanlah kebolehan mu," kata Ramlee sambil menudingkan jari telunjuk ke muka Kassim.

KASSIM Selamat memainkan gitar untuk mendapatkan melodi lagu 'Aneka ragam'.
Ramlee memerhati ke muka Kassim. "Apa lagi? Mulakanlah!"
Sejurus, Kassim menyanyi. "Dengar kawan dongeng ini. Untuk menyenangkan hati. Banyak negeri, aku pergi. Untung tidak malahan rugi."
Kassim memerhati ke arah Zaleha. Dia seolah-olah menunggu tindak-tanduk daripada Zaleha.
Bunyi paluan bongo semakin bertambah rancak.
"Pulau Pandan jauh ke tengah. Gunung Daik bercabang tiga," nyanyi Zaleha penuh semangat.
Tanpa disangka oleh Zaleha, terhambur kata-kata ulangan dari bibir Kassim, Abu Hassan, Haron dan Jamil.
"Hancur badan dikandung tanah. Budi yang baik dikenang juga."
Tanpa disuruh, nyanyian Zaleha itu diulangkan Kassim, Abu Hassan, Haron dan Jamil.
Zaleha berpaling ke arah Ramlee. Dia meruncing mata, merenung Ramlee.
"Bulan terang disinari purnama. Aku terkenang cerita yang lama. Hiba sedih terasa." Suara Ramlee bergema dengan nyaring. Suaranya merdu dan lunak.
"Aaaaa... aaaaaa." Kesemua ahli pancaragam Sanggabuana mengalun serentak.
"Penuh dengan kecewa."
"Aaaaa... aaaaaa." Sekali lagi kesemua ahli pancaragam Sanggabuana mengalun serentak. "Aaaaa... aaaaaa. Wey, wey mambo wey. Wey, wey mambo wey. Wey, wey mambo wey. Mambo oh Mambo!"
Tanpa membuang masa Kassim terus mengalun, "Aku jumpa seorang nona."
"Baju kebaya!" Tiba-tiba meletus kata-kata dari mulut Zaleha.
"Kecil molek macam biola."
"Baju kebaya!" sampuk Zaleha.
"Pinggang ramping bagai kerengga."
"Baju kebaya!" sampuk Zaleha lagi.
"Selalu pakai sanggul dua."
"Baju kebaya!"
"Bila ku pandang dia ketawa. Dia merasa cukup lawa. Geli hati ku tak terkira. Kerna giginya dua!"
"Mambo!" Keenam-enam mereka berkata serta-merta bagai diatur. Berkata dengan lantang.
Kemudian kesemua ahli pancaragam Sanggabuana dan Zaleha merenung Ramlee.
Ramlee menyedarinya, memahami kehendak mereka. "Duhai puspa hati, jangan suka lupa diri. Ingat akan kata, sumpah dan janji... Dikau tak setia hingga aku meranaaaaa...ooooo....oooooo."
"Ya, ya, ya, ya, ya, ya, ya.... Ya, ya, ya, ya, ya, ya, nyawa. Sama-sama kita bergembira." Sekali lagi keenam-enam mereka berkata serta-merta bagai diatur. "Ya, ya, ya, ya, ya, ya, ya.... Ya, ya, ya, ya, ya, ya, nyawa. Sama-sama kita bergembira. Sama-sama... kita bergembiraaaaaaa!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience