10. | WAJAH PENUH DUKA |

Romance Series 1474

HARI kian tinggi. Terik siang sedang tumpah seperti lava di atas tanah ketika keretapi yang bergerak ke Singapura itu tiba di stesen Ipoh.
Ingatan Ramlee yang duduk dalam gerabak penumpang kelas tiga merawang, terbang menuju kampungnya. Dia ingatkan ibu. Dia ingatkan ayahnya. Dia ingatkan raut wajah Normah. Mengingatkan itu, Ramlee semakin rimas walaupun itu persetujuannya.
Penglihatan Ramlee dilemparkan keluar jendela. Ramai orang berada di platform. Ada yang naik, ada yang turun dari keretapi yang akan bertolak sebentar lagi. Penjaja makanan, saling mengacungkan jajaannya di jendela gerabak.
Ramlee kembali melihat penumpang-penumpang yang lain, tapi sebahagian besar mencampakkan pandangnya ke luar. Dia memandang ke arah Sukardi yang duduk sebelah kanannya, leka menyelak-nyelak suratkhabar.
"Yong, ada perkara yang aku hendak cakapkan. Hanya pada kau aku dapat menceritakan kesedihan aku. Hubungan aku dengan Normah sudah habis," kata Ramlee, hingga derita dalam kata-kata itu terpancar pada dua bola matanya.
"Mengapa begitu?" Sukardi bertanya. Dia menghulurkan kepalanya dari balik suratkhabar yang dibacanya. Pertanyaan tersebut tidak diperolehinya jawapan.
Ramlee membiarkan pertanyaan itu hanyut ke sudut fikirannya yang sedang kusut. Dia tenggelam dalam keharuan yang maha haru.
"Pada hal aku juga manusia. Mempunyai fikiran, tenaga, dua kaki, dua tangan, tulang empat kerat, Yong. Aku sanggup menjaganya dan menghiburkan hatinya dan bertanggungjawab di atas serba-serbi ya." Ramlee bersungut Suaranya terdengar mengandung kekesalan.
Sukardi melipat suratkhabar dan menujukan perhatiannya kepada Ramlee. "Mengapa muka kau masam saja macam tapai? Ramlee, tak guna engkau berkecil hati atas apa yang telah terjadi. Apa boleh buat, jodoh di tangan Tuhan."
Ramlee menyandarkan kepala ke kerusi. Dahi dipicit. Dia membentak geram di dalam hati.
"Pening kepala aku," Dia menjuih bibir geram.
"Sudahlah Ramlee. Perkara yang lepas jangan diulang kaji. Lagi banyak kita kaji perkara ini, nanti kita bertambah pening. Aku masih ingat lagi pepatah datuk nenek kita. Enggang, enggang juga. Pipit, tinggal pipit juga, Ramlee. Asal kita batu. Tidak akan menjadi intan. Sampai bila pun kau berdua pasti ada halangan. Aku tahu Ramlee, ini benar-benar berat bagi kau tetapi aku yakin ada hikmah di sebalik semua ini," Sukardi mengeluarkan pendapat.
Ramlee termenung sejenak memikirkan kata-kata itu. Makanya dia pasrah saja dengan nasib jelik yang menimpanya.
Ketika peluit akhir berbunyi, matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Hampir tengah hari. Perutnya tiba-tiba terasa lapar.
"Mari kita menyekek," katanya kemudian.
Ketika keretapi bergerak kembali, mereka makan secara senyap. Masing-masing dengan fikirannya sendiri.
Minuman dan kudapan yang dimakan Ramlee telah membuatnya kekenyangan dan sekarang matanya diberati oleh rasa kantuk.
Ramlee mencuba tidur sebentar. Namun goncangan keretapi membuatkannya tak bisa memejamkan mata. Perjalanan keretapi yang dirasakan seperti lebih bergesel di atas batu, sungguh memeningkan. Di samping itu seorang bayi yang terus menerus menangis di kerusi belakang membuatnya merasa terganggu.
Dia lalu menutup mukanya dengan sehelai sapu tangan yang lebar, memejamkan seluruh matanya. Beberapa detik kemudian, dia sudah tertidur. Dia telah dapat melupakan dunia yang hiruk-pikuk ini buat seketika.

SEBAIK tiba di Station Hotel Kuala Lumpur, Tengku Zaleha melihat lobi hotel kosong. Dia mendatangi seorang petugas di meja registrasi dan menanyakan surat-surat yang dialamatkan kepada bapanya.
Petugas itu mengangkat mukanya. "Cik Zaleha. Ada telegram."
Petugas itu menghulurkan sepucuk telegram untuk Zaleha. Zaleha menyambutnya dengan tersenyum.
Dari dalam sampul telegram itu, Zaleha mengeluarkan kandungannya.
Mata Zaleha terjongol besar. Dia merasa sebagai sebuah bangunan yang kukuh mendadak ambruk digoncang gempa bumi dan menimpa para penghuninya.
"Ya, Allah. Panjangkanlah jodoh hambamu." Dia mengeluh sambil mengangkat tangannya bak berdoa. Tidak lama kemudian dia mulai tenang dan fikirannya berputar.
Ditatapnya jam dinding yang ada di ruang itu. Pukul lima kurang sepuluh. "Saya terpaksa balik malam ini juga. Tempahkan saya tiket keretapi ke Singapura," minta Zaleha kepada si petugas.
"Baik, akan saya pesankan tiket ke Singapura." Si petugas cepat memberi reaksinya.
Zaleha macam mencari sesuatu. Toleh kiri kanan. Matanya tumpah ke arah telefon.
"Boleh saya pakai telefon?"
"Boleh, pakailah."
"Terima kasih."
Kemudian kakinya melangkah ke tempat letak telefon. Sambil menghela nafas, gagang diangkat, didekatkan ke telinganya.

BEBERAPA minit kemudian, Zaleha sedang bertelefon dengan Tengku Sofiyah.
Suara dari hujung sana berkata, "Hello. Iya, Sofiyah di sini. Siapa yang bercakap?"
"Di sini Tengku Zaleha cakap."
"Oh, Tengku Zaleha. Saya sangat gembira mendapat berita dari kau menerusi telefon ini."
"Sofiyah, saya telah terima sepucuk telegram dari kau mengatakan yang Engku Ghazali bertunang."
"Ya, benar kata kau itu. Engku Ghazali bertunang ini hari dan dia telah aturkan satu waktu untuk bertemasya."
"Bila hari temasya itu?"
"Harinya belum ditetapkan. Tinggal lagi, mungkin dua tiga hari ini. Zaleha, saya ada satu cadangan kalau kau setuju."
"Apa? Cuba terangkan."
"Saya rasa baik kau pergi ke temasya itu. Ini mesti pergi. Tak boleh tidak. Inikan kesempatan yang baik supaya kau dapat mendekati Engku Ghazali. Nanti di sana, luahkan isi hati kau. Sampaikan cita-cita kau dengan sepenuh hati."
"Baiklah, Sofiyah. Kalau begitu cadangan kau, saya akan uruskan. Kau kan tahu, saya cintakan Ghazali. Kalau saya tak hidup berdua dengan Ghazali, saya rasa tak berbahagia. Siang dan malam, hanya dialah yang menjadi harapan saya. Alangkah bahagianya kalau saya dapat hidup berdua dengan Ghazali."
"Tabahkan hati kau. Kau mesti ada harapan dan aku tetap akan menolong. Saya menghormati kau sebagai sepupu saya. Kita boleh pergi bersama."
"Terima kasih, Sofiyah. Kau telah menolong banyak. Kita berjumpa nanti di Singapura."
Gagang telefon itu diletakkan semula.
Saat itu si petugas nampak berjalan menghampiri Zaleha. Di wajahnya terpancar rasa sesal dan prihatin .
"Cik Zaleha!"
"Ada apa hal?" sahut Zaleha serta merta.
"Tidak ada tempat dalam gerabak keretapi kelas satu dan dua," getusnya kepada Zaleha. "Nampaknya keadaan tak mengizinkan. Ini hari public holiday Cik Zaleha."

MALAM semakin jauh ditolak masa. Kuala Lumpur ditinggalkan. Keretapi yang mulai meluncur di atas rel yang rata jalannya makin laju. Goyangannya ke kiri dan ke kanan makin kuat.
Kepala Sukardi sudah tertunduk ke dada dan matanya terpejam. Rupanya dia mengantuk benar. Setelah itu matanya cepat sekali terlelap.
Ramlee pula tidak dapat melelapkan matanya. Kedua-dua belah tangannya berpeluk tubuh, seperti orang kesejukan.
"Ada orang di kerusi ini?" tanya seseorang. Dia menenggelamkan seluruh matanya ke dalam muka Ramlee.
Ramlee berpaling, mengangkat kepalanya tegak-tegak, dan matanya merenung muka Tengku Zaleha.
Mata mereka bersabung sebentar. Sama-sama tersenyum.
"Saya boleh menumpang bertanya? Boleh saya duduk di sini? Tempat lain dah penuh."
"Silakan duduk kalau saudari sudi dan kalau saudari terpaksa," jawabnya pada yang bertanya. Ketika itu Ramlee tidak ambil pusing.
Zaleha duduk di bangku kosong di hadapan Ramlee sambil matanya mencerlung arah ke luar jendela. Di luar, malam diselubungi kegelapan yang pekat.
Keretapi kian jauh meninggalkan Kuala Lumpur. Kota itu sudah tertinggal jauh di belakang.
Ramlee mengingat-ingat. Tiba-tiba dia dapat menangkap suatu wajah. Wajah yang dikenalinya. "Saya kenal saudari. Rasanya kita pernah berjumpa dulu."
"Berjumpa?" tanya Zaleha. Menenggelamkan matanya ke dalam wajah Ramlee. "Saya tak tahu. Mungkin saudara salah orang."
Supaya kata-katanya dipercayai, Ramlee cepat-cepat berkata, "Kalau tak salah, dalam ingatan saya, saudari ini Tengku Zaleha?"
Gadis itu terkejut, dan belum dapat menilai. "Ya, saya Zaleha tetapi macam mana saudara tahu nama saya?"
Ramlee mendesak terus. "Tidakkah kenal lagi pada saya? "
Zaleha cuba mengingat-ingat. Tapi tidak teringat apa-apa. "Boleh jadi saya kenal saudara tapi dah lama tak jumpa."
"Baiklah, saya jelaskan begini. Tempoh hari saya tengok saudari menyanyi di City Light Hall. Ingat tak pemuda yang main piano malam itu? Saudari, cuba ingat-ingatkan semula," Ramlee menegaskan dengan keyakinan yang penuh.
Zaleha mendengarkan penegasan Ramlee itu dengan penuh senyum. Menajamkan matanya ke dalam muka Ramlee.
"Ah, ya. Baru saya ingat. Kita berjumpa lagi ya? Itu tandanya dunia ini kecil saja, saudara... " Zaleha memandang ke beg yang diletak di lantai. Di atasnya terdapat nama dengan huruf besar: RAMLEE. "saudara Ramlee."
"Janganlah panggil saya Ramlee. Panggil Remy saja."
"Remy? Cantik nama itu. Saya suka nama itu."
"Merdu sungguh suara saudari. Saya sendiri telah menyaksikan malam itu."
"Terima kasih atas pujian Remy."
Kesunyian yang tidak begitu menyenangkan mencengkam ruangan. Masing-masing tidak tahu apa yang harus diperkatakan.
"Agaknya di negeri China sekarang ni musim sejuk, ya?" Ramlee bertanya. Mata Zaleha ditentangnya dalam-dalam.
"Barangkali lah," sahut Zaleha sebagai acuh tak acuh sahaja.
Masing-masing diam. Mereka terdiam lagi. Lagi terasa fana, suasana sunyi dan masa seakan-akan terhenti.
Setelah beberapa minit, Ramlee bertanya, "Saya hairan. Apa orang kaya pun naik keretapi ke?"
"Iya, saya takut naik kapal terbang," jawab Zaleha.
Bising roda keretapi meniti atas jambatan memekakkan telinga. Ramlee diam. Zaleha diam. Sejurus lama mereka tidak berkata-kata suatu apa.
"Remy nak ke mana?" Tiba-tiba tanya Zaleha.
"Saya mahu pergi ke Singapura."
Zaleha mengangkat sebelah alisnya. "Kebetulan saya nak balik ke Singapura."
Kemudian mereka sama-sama terhening.
Sukardi membuka matanya. Dia menggosok-gosok mata dengan tangannya. Kemudian dia melihat kepada Zaleha. Air mukanya yang membayangkan kebingungan dengan cepat berubah menjadi air muka yang menunjukkan bahawa dia mengenali orang yang ada di hadapannya.
Ingatan terhadap peristiwa-peristiwa lampau mengimbau. Sambil mengejap-ngejapkan mata keheranan dia berkata, "Ah, Tengku Zaleha. Jumpa lagi."
Zaleha tidak menjawab. Dia melihat kepadanya dengan rasa tertarik.
"Saya Sukardi," Sukardi menjelaskan walaupun Zaleha tidak menanyakannya.
"Apa khabar?"
"Biasa. Khabar baik, terima kasih."
"Kamu berdua ni apa hajat nak ke Singapura?" tanya Zaleha penuh curiga.
"Kami berdua ni nak cari kerja," jawab Ramlee dengan cepat.
"Ya, kami dipanggil screen test ke Singapura."
"Cari kerja? Kerja apa yang kau berdua nak cari?"
"Kerja main wayang gambar."
"Yang sebenarnya saudari, kami nak jadi film star," ucap Ramlee dengan suara penuh azam. Azam itu terpacak kemas dalam dadanya.
"Oh, begitu."
"Tapi kami masih belum dapat kerja itu lagi," Sukardi menerangkan dengan terus terang.
"Iya, ketikanya masih belum lagi sampai. Kami akan memperolehi ia di saat yang tertentu setelah kami dicuba screen test. Kalau lulus screen test dapatlah kami kerja."
Rencana itu sebenarnya merupakan untung-untungan. Mereka belum bisa memastikan apakah usaha mereka itu akan berhasil. Biar apa pun, mereka akan terus meneguh tekad.
"Saya rasa kau berdua bagus jadi bintang film. Saya doakan kau berdua berjaya."
Mereka bungkam beberapa ketika. Zaleha hanya diam. Ramlee diam. Sukardi juga sambil melepaskan kuap kecil-kecil.
Zaleha tiba-tiba berasa tekaknya kering. Dia menajamkan pandangannya ke dalam muka Ramlee. "Tekak saya sudah berasa haus. Boleh kita minum di kantin?"
"Kalau saudari membenarkan, apa kata kalau saya belanja saudari?"
"Hanya kalau Remy biar saya bayar."
Sukardi merenung muka Ramlee. "Pergilah Ramlee. Biar aku tunggu di sini. Aku takut kalau-kalau ada orang nak curi beg kita. Terlanjur kau pergi, tolong belikan aku kopi."
"Boleh, apa salahnya."
Ramlee dan Zaleha terus pergi. Mereka berlalu meninggalkan Sukardi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience