"RAMLEE!" teriak Kassim Selamat.
Ramlee membuka pintu dan menjengah keluar kerana mendengar namanya diseru. Kedua-dua wajah itu amat dikenali olehnya.
"Oh, saudara Kassim dan saudara Abu Hassan."
"Apa khabar?" tanya Kassim Selamat kepada Ramlee. Sambil berkata demikian Ramlee dihampirinya.
"Khabar baik, terima kasih." Ramlee menjawab. Pada saat itu dia mendengar bunyi di belakangnya.
Ramlee berpaling dan melihat Sukardi berdiri di ambang pintu.
Dia lalu memandang kepada Kassim. "Ini saya perkenalkan, sahabat saya yang akrab sekali, Sukardi."
Kassim dan Abu Hassan menoleh pada Sukardi. Mereka tanpa berkata-kata mengangguk ke arah Sukardi.
"Nama saya Sukardi. Tapi panggil saja Yong," Sukardi berkata. "Mengapa berdiri di luar? Marilah masuk."
"Tak mengapa Yong," ujar Abu Hassan.
"Nampaknya kedatangan saudara ini mempunyai hajat. Apakah hajat saudara datang, seolah-olah seperti orang yang di dalam kecemasan lakunya?" Ramlee menanyakan dengan curiga dan menunggu penjelasan Kassim mengenai maksud kedatangan mereka.
Kassim terdiam beberapa saat. Dia kelihatan memikir sesuatu.
"Mahu minum kopi?" Kassim mengusulkan dengan tiba-tiba.
Ramlee mengambil keputusan dengan cepat. "Er, mahu juga kalau saudara mahu belanja."
"Oh, perkara itu jangan saudara susahkan. Saya belanja."
"Kopi campur air batu, boleh?" Sukardi menyela.
"Ha, yalah," kata Kassim menyetujui. "Mari ikut bersama kami, kita boleh bicarakan perkara ini di warung kopi dengan panjang lebar."
MEREKA memasuki warung kopi yang tidak beberapa jauh letaknya. Warung itu kecil, tapi tempatnya cukup menyenangkan. Ruangan yang tidak seberapa luas itu sudah hampir penuh, tapi masih ada beberapa meja yang kosong.
Ketika semua sudah duduk, Kassim Selamat memesan kopi. "Empat kopi campur air batu!"
"Apa maksudnya hingga membawa saudara berdua ke mari?" Ramlee bertanya.
Dia memperhatikan dengan teliti wajah kedua orang yang duduk di hadapannya.
"Kami datang mahu jumpa saudara."
"Seringkali juga saya melihat pertunjukkan-pertunjukkan pancaragam Mustika di bawah pengelolaan Che' Deen," Kassim berkata. "Dan saya dapati pekerjaan saudara Ramlee selaku pemain piano sangat memuaskan."
"Oh, begitu. Apa yang saudara mahu saya buat untuk saudara?" Ramlee menanyakan.
Kassim menautkan jari-jari tangannya erat-erat sebelum dia mulai berbicara. "Begini, saya dan rakan-rakan saya sekalian di dalam keadaan serba sulit sekarang. Satu kejadian sedih telah berlaku. Tukang piano kami, Si Jamil mendapat kemalangan."
"Itu yang merungsingkan kami," Abu Hassan mengambil alih pembicaraan.
"Saudara, saya sangat berdukacita atas perkara ini, yang telah berlaku ke atas diri Jamil."
"Sekarang kami perlu seorang tukang piano untuk temasya malam ini di rumah orang kaya Tengku Mukri."
Demikian hasrat Kassim sekarang. Nada suaranya seperti memohon.
"Kiranya tidak menjadi halangan, kami rasa paling beruntung kalau sekiranya boleh saudara Ramlee mainkan piano di temasya itu. Kami mempunyai keyakinan terhadap saudara," kata Abu Hassan penuh harap.
"Ya, kami mahu saudara Ramlee memikul tugas kewajipan ini. Kami percaya yang saudara yang layak membasmikan kesukaran ini," Kassim berkata.
"Itu sajalah hajat kami. Hanya terserahlah pada saudara. Jikalau saudara bersetuju, kami boleh tentukan segala urusannya."
"Bagaimana? Sukakah saudara Ramlee menolong kami?"
Ramlee memerlukan waktu sesaat sebelum dia dapat mengatakan, "Kalau betul saudara mahukan saya menjadi sebagai tukang pianonya, baiklah saya setuju."
Begitu keputusan Ramlee.
"Bagus. Kami rasa sangat berbahagia," Suara Kassim terdengar lega. Dia tersangat gembira.
"Syukur. Alhamdulilah."
"Saya memberi pertolongan hanya sudah lazimnya manusia di alam ini. Hidup bertolong-tolongan apabila satu dengan lain kesusahan. Bila-bila saudara berkehendakkan pertolongan, saya bersedia."
Abu Hassan menepuk bahu Ramlee dan berkata, "Baik sungguh hati saudara. Saudara telah menyelamatkan kami dari kesusahan."
"Saya menyanjung budi saudara."
"Tetapi... "
"Tetapi apa saudara?"
"Saya minta Yong juga turut bersama." Ramlee berkata setelah sesaat. Sambil berkata demikian bahu Sukardi dipegangnya dengan erat.
"Kenapa tidak? Kami ikut kemahuan saudara," Kassim menyetujui.
Ramlee mengangguk puas.
"Sekarang biarlah kami bermohon diri dulu, mengemaskan barang-barang."
"Baiklah."
"Jadi, kita berpisahlah dahulu sekarang."
SELESAI minum kopi, Ramlee dan Sukardi pulang ke bilik, lalu merebahkan diri masing-masing untuk beristirehat sejenak. Kerana ngantuk sekali, mereka tidur dengan nyenyak sampai pintu bilik berbunyi pada pukul lima petang.
"Ramlee, buka pintu Ramlee!"
"Siapa itu?"
"Saya, Said! Ini saya bawa gitar dan ukulele untuk saudara berdua."
MEREKA semua duduk bersila di lantai.
"Baiklah, mari kita nyanyi. Boleh senang hati."
"Lagu apa yang disukai oleh mu, Said?" Ramlee bertanya.
"Serba-serbi," Said menjawab.
"Mengapakah pilu saja. Jiwa ku di ini waktu. Rindu sayu hati ku. Terkenangkan kampung laman.
"Tempat mandi beramai. Taman bunga kekasih. Tiap lereng, tiap gunung. Terbayang. Rindu sayu hati ku. Terkenangkan kampung laman."
Share this novel