"BEGITULAH keputusan ceritanya," jelas Abdul Wahab.
Dengan tenang dia menghabiskan sisa makanannya. Usai makan sarapan, dia memandang ke luar melalui jendela.
Di luar, awan berwajah mendung berbondong-bondong.
Terdengar Tunku berkata, "Terima kasih sebab berkongsi cerita, tapi itu bukan kesudahannya."
Wahab melirik kepada Tunku yang mengangkat alisnya dan mengangguk setuju. "Ya, saya belum selesai lagi."
Tiba-tiba, Tunku mendengar satu suara memberi salam.
Tunku menjawab, "Waalaikumsalam."
Dia mendongakkan kepala dan membuang pandangan ke kanan, mencari kelibat yang memberi salam. Seorang anak muda yang mengenakan celana hitam dan jas putih.
Pemuda itu bersuara lagi, "Selamat berjumpa Tunku yang mulia."
Tunku melihat kepadanya dengan pandangan tajam. "Hambali! Satu kejutan. Gembira dapat jumpa kau semula. Semenjak engkau ke England, banyak perubahan. Kau sudah menjadi lebih dewasa dalam tiga tahun ini."
Sekali lagi dia memandangi Hambali dengan cermat.
Hambali berwajah bersih dengan janggut runcing yang dijaga rapi di dagunya. Rambutnya pendek dan bertubuh sasa. Gayanya macam seniman Errol Flynn.
Dia diapit oleh perempuan muda yang berdiri di sampingnya sambil berdiam diri. Wajahnya menggambarkan ketulusan yang begitu suci.
"Ya, semenjak saya ke England, baru ini kita berjumpa, ya Tunku?" ujar Hambali.
Tunku memberinya senyum yang paling manis. Dipandangnya si gadis dengan mata bertanya.
"Hambali, siapa yang cantik manis, ni?"
Si gadis tidak menjawab. Dia sekadar menghadiahkan senyuman.
"Ini Murni namanya, dari panggung Arena Seni," terang Hambali.
"Murni? Sungguh cantik namanya," Tunku mengusik, mengawasi paras Murni untuk beberapa detik. "Padan dengan orangnya."
Murni tersipu-sipu bila diusik Tunku begitu.
"Benar kata Tunku," cantas Hambali semacam tak sabar. "Cantik nama, cantik rupa, cantik pula budi bahasa." Diam seketika. "Tapi tiap-tiap yang cantik itu dah ada yang punya. Tunku, Murni adalah tunang saya," kata Hambali bangga.
Dia tersenyum. Matanya bersinar bahagia.
"Sungguh bertuah kau, Hambali. Memang pada tempatnya," ujar Tunku. Kemudian dia berkata lagi, "Maksud saya, bagus jika kita punyai seseorang."
Hambali mengangguk. "Ada seseorang untuk semua orang."
"Semua orang patut ada seseorang," Murni bersuara.
"Sebetulnya saya nak beritahu Tunku yang kami tak lama lagi akan menikah, Tunku," cetus Hambali. Dia tersangat gembira.
"Eh, eh?" Tunku tersentak, seakan baru menyedari. "Saya sampai terlalai biarkan hangpa berdua tegak seperti galah di situ. Persilakan duduk, minum kopi bersama kami."
"Tak payahlah, lain kali saja," tolak Hambali. "Kami nak pergi tengok baju yang Murni tempah tempoh hari."
"Ah, itu tak mengapa, bang," tingkah Murni yang di sebelahnya. "Itu perkara kecil. Bukan perkara penting. Murni boleh tunggu."
"Baiklah, apa boleh buat?" kata Hambali mengalah. Dia menaikkan tangan sebagai tanda menyerah.
Tunku bangun. Wahab juga bangun untuk menyambut kedatangan mereka.
"Ini saya kenalkan, Che' Wahab," jelas Tunku. "Seorang drebar teksi dan seorang sahabat yang berbudi baik di dunia ini."
Kedua-dua tamu yang baru sampai itu sama-sama menganggukkan kepala.
"Che' Wahab, ini Che' Hambali," jelas Tunku lagi. "Pengetua dari Union Bank."
"Apa betulkah?" tanya Wahab, hampir tidak mempercayainya. "Bank itu adalah termasuk dari bank-bank yang terbesar."
Hambali mengangguk, kemudian menarik kerusi untuk Murni.
Setelah Murni duduk, barulah Hambali, Tunku dan Wahab duduk.
"Nanti saya mintak cawan dan kopi," kata Tunku sungguh-sungguh.
Dia mengangkat kepala mencari-cari Mat, menerobos kan pandangannya ke segenap ruang.
Pelayan itu sedang menerima pesanan di sisi ruang sebelah sana. Waktu pelayan itu berpaling, Tunku melambaikan tangannya ke atas.
Mat anggukan kepala tanda memahami.
"Wah, nampaknya bertuah bapak dan mak saudara. Tak lama lagi mereka menerima menantu," Wahab memberi komen bersahaja. "Saya ucapkan tahniah kepada Che' Hambali."
Hambali tersenyum kepada Wahab yang duduk di seberang meja.
Wahab tiba-tiba menguji, sengaja menyucuk jarum emosi. "Tapi kalau ada yang menghalang, bagaimana?"
Kata-kata itu ibarat jarum peniti menusuk ke dada Hambali.
"Jika benar begitu, habislah saya. Rasanya tentu saya mati. Saya tidak mahu kahwin selain daripada Murni." Hambali menepuk dahinya. Derita dalam kata-kata itu terpancar pada dua bola matanya. Lucu pula nadanya.
Dek jawapan itu, maka berderai ketawa mereka yang ada bila mendengar kata-kata Hambali itu.
Wahab tenung muka Hambali. "Janganlah disebut tentang mati. Bukan masanya dan di sini bukan tempat bicara pasal mati."
"Ya, Che' Wahab," ujar Hambali, cepat. "Saya tahu saya tak harus berfikir begitu."
"Jadi, bolehlah kita bicara perkara cinta?" celah Murni. "Dalam dunia ini, abang Hambali sajalah yang saya cintai dengan sepenuhnya. Sejak dari kecil dulu saya sudah jatuh cinta pada abang Hambali. Kami pernah menuntut di sekolah yang sama. Hanya abang Hambali seorang syorga dan penawar hati saya. Lagi pun abang Hambali dah janji nak kahwin dengan saya."
"Saya percaya dia akan menjadi pasangan yang baik," Wahab menekankan.
Hambali mengerling ke dalam muka Murni.
"Ya, abang akan pimpin dan buktikan kepada Murni. Murni akan bahagia jika bersama abang," ujarnya dengan tetap. "Kita akan menempuh waktu yang mengembirakan bersama."
Murni diterkami kegembiraan yang tidak terhingga.
"Cik Murni, apa yang menarik pertunjukkan sandiwara di Arena Seni?" Tunku bertanya Murni. Dia bagaikan tidak sabar untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang Arena Seni. "Adakah ramai penonton tiap-tiap malam di tempat itu?"
"Ya, boleh dikatakan tiap-tiap malam juga kerana Arena Seni mendapatkan pelakon-pelakon yang disukai ramai," Murni menjawab. Memandangkan matanya ke dalam muka Tunku.
"Saya dengar satu pertunjukkan yang luar biasa dan istimewa dilihat di sana. Semua orang bercakap tentang pertunjukkan itu," Wahab mencelah. "Kalaulah betul kata orang begitu, saya ingin mengetahuinya."
Murni mengangguk. Pada Wahab dikatakannya, "Lakon pentas itu adalah karangan dari abang Hambali. Dia mahu dipertunjukkan kepada umum."
"Ya, sayalah penulis cerita itu," Hambali meyakinkan Wahab. "Kisah seorang pemburu yang mencintai pontianak."
"Pontianak hanya khayalan," Wahab dengan cepat menyampuk.
"Apa Che' Wahab tidak percaya adanya pontianak?" Murni bertanya.
"Saya tidak percaya pontianak," kata Wahab sambil memandang penuh lirik kepada Murni.
"Mengikut kata orang, pontianak itu ialah sejenis hantu yang hidupnya sentiasa menghisap darah manusia. Ia juga adalah sejenis hantu yang boleh bertukar berbagai rupa. Mengikut kepercayaan daripada orang dulu-dulu kala, hantu itu dapat dikalahkan jika dipacakkan dengan paku di tengkuknya," Hambali menjelaskan.
"Kemudian apa yang akan terjadi?" tanya Wahab. Dia mencerlung ke muka Hambali dengan perasaan ingin tahu.
"Ia akan bertukar menjadi manusia. Iaitu seorang perempuan yang cukup cantik," Hambali berkata dengan yakin.
"Itu semua bohonglah Che' Hambali. Itu hanya rekaan orang untuk menakutkan orang lain," ujar Wahab bersahaja.
"Baiklah, Che' Wahab. Kalau sekiranya pontianak itu datang, bagaimana?" soal Murni, serius. Suaranya seperti mencabar.
"Kalau pontianak itu datang, saya 'silakan masuk wahai pontianak.' Belakang saya kasi kiri, saya kasi kanan, sampai dia lembik. Saya paku tengkuknya dengan paku. Kahwin!" seloroh Wahab yang disambut ketawa mereka berempat.
"Saya baru saja selesai menulis satu lagi lakonan pentas tentang satu cerita," Hambali menerangkan. "Saya minta kepada Murni supaya cerita saya ini dapat dimainkan di atas pentas Arena Seni."
"Apa tajuknya?" tanya Wahab.
"Saya memanggilnya Serangan Orang Minyak," kata Hambali bersemangat.
Wahab mengangguk. "Saya tidak percaya dengan yang karut-marut tetapi saya banyak juga mengetahui tentang Orang Minyak. Orang Minyak tidak menghisap darah. Kalau diserkup dengan kain batik, dia akan menjadi lemah."
Hambali mencerlung kepadanya dengan tepat dan tajam. "Ya, itu betul. Kerana itu, Orang Minyak bila mati dia akan dikapankan dengan kain batik. Kalau tidak, tidak akan diterima tanah."
"Saya rasa ia sangat bagus terutama sekali bagi pertunjukkan saya," Murni tersenyum sedikit. "Abang Hambali usahakannya dengan cukup kreatif. Dia perlu diberi peluang untuk mengetahui potensinya."
Hambali tersenyum maklum. "Sebab Murni sekarang sangat sayang kepada saya, sudah tentu perkara penting bagi dia untuk mengambil hati seorang yang disayanginya."
Murni melihat kepada Hambali. "Kalau abang dah kata begitu, tentu sekali "
"Biar saya fahamkan ini. Seorang pengetua bank menjadi pengarang?" Tunku mencelah setelah berdiam diri sejak tadi.
"Sebetulnya saya lebih suka dipanggil seorang seniman yang ingin memperjuangkan seni budaya bangsanya dengan menulis cerita dan lakonan pentas," Hambali menjawab dengan yakin.
"Saya hargai segala cita-cita Che' Hambali yang ingin menjadi seniman. Jadi, tambah juga jumlahnya bangsa kita yang jadi ahli seni," tegas Wahab.
"Saya berjanji akan memasyhurkan nama abang Hambali," Murni berkata dengan jelas.
"Ya," Hambali mengiakan, "Kita berdua akan kahwin dan kita berdua akan masyhur."
"Che' Hambali dan Cik Murni memang serasi," kata Wahab dengan tersenyum.
"Ya, saya tak nafikan, Murni dan saya bertemu dan terus serasi," Hambali menyimpulkan.
Tibalah pesanan Tunku.
Mat menghantarkan dua cawan dan seteko kopi ke meja itu. Kemudian dia mengatur langkah pergi.
Tunku menuangkan air kopi ke dalam cawan.
"Mari minum kopi," ajaknya.
Mereka hidup kopi. Lama tak ada yang bicara. Mereka terdiam, melayan perasaan masing-masing.
"Saya ada satu permintaan," tiba-tiba Hambali menukik kesunyian sebentar tadi antara mereka. Matanya berputar ke arah Tunku.
"Apakah permintaan itu, Hambali?" tanya Tunku penuh kehairanan.
Hambali meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya.
"Kalau Tunku ada kelapangan, tak buat apa-apa, datanglah ke hari perkahwinan saya. Itu sajalah hajat saya. Hanya terserah pada Tunku."
Tunku tidak menjawab, sebaliknya sekadar berfikir-fikir.
Suasana hening seketika.
"Bila hari langsungnya ini, Hambali?" begitu Tunku menimbulkan persoalan setelah agak lama diam. Sengaja Tunku menyoal sebelum memberi jawapan. Dia sekadar mahukan kepastian.
Hambali meneguk kopinya. "Tiga minggu dari sekarang.'
Tunku menggetap bibir.
"Perkara itu jangan digusarkan. Nanti saya ikhtiarkan."
"Saya bersyukur dengan kata-kata Tunku itu dan saya ucapkan ribuan terima kasih. Sekarang senang hati saya kerana Tunku sudi menerima jemputan saya." Hambali menenggelamkan matanya ke dalam muka Wahab. "Che' Wahab juga saya jemput datang ke hari perkahwinan saya dengan Murni."
"Nasib baik betul kita dapat berjumpa pagi ini, ya?" Murni menonyohkan kata entah kepada siapa.
Tunku mengangguk sedikit. "Hangpa berdua datang tepat pada waktunya."
Dia melihat Hambali. Melihat Murni.
"Perkahwinan bukanlah untuk sehari dua tetapi untuk selama-lamanya," ujarnya dengan mata bersinar-sinar. "Saya suka memberi sedikit nasihat kepada hangpa berdua."
Muka Murni direnungnya.
"Murni, sebagai isteri, mesti patuh dan tunduk pada suami dalam segala hal," Tunku memberikan pendapatnya dengan beriya-iya untuk dipratikkan dalam kehidupan sehari-hari.
"Baik, Tunku. Saya akan cuba dengan sedaya upaya. Saya akan cuba taat setia dengan suami saya. Tunku doakan saja."
"Bagus. Bagus, Murni, bagus. Kata-kata itulah yang diharapkan oleh seorang suami daripada isterinya," Tunku menegaskan.
Hambali menyokong dengan anggukan.
"Hambali, isteri juga mempunyai hak dan memikul tanggungjawab," Tunku mengingatkan Hambali.
"Saya akan ingat, terima kasih atas nasihat itu," kata Hambali dengan tetap.
"Memang sudah kewajipan saya," pantas saja Tunku menjawab.
Hambali menyedut cawan kopi terakhir sebelum bingkas dari kerusi.
"Anak Cina naik pedati. Mari pergi ke Johor Bahru. Sekarang maksud kami sudah sampai. Biar kami beredar dulu," katanya kemudian.
"Kenapa begitu lekas?" Tunku separuh tercengang.
"Saya berdukacita kerana tak dapat lama-lama di sini kerana masih banyak lagi kerja yang nak saya buat. Biarlah kami beredar dulu," balas Hambali, berkeras.
"Kalau ada kelapangan, tak buat apa-apa, jangan lupa datang menonton pertunjukkan cerita baru di Arena Seni," Murni menonyohkan kata-kata itu kepada Tunku. Juga Wahab. Tangannya cepat mencapai kopi. Menuangkan ke dalam mulut. Meneguknya.
Tunku dan Wahab hanya mengangguk.
"Tapi bagaimana saya nak tahu Che' Hambali tinggal di mana?" tiba-tiba Wahab bertanya kepada Hambali. Dia melihat ke mukanya dengan pandangan harap.
"Ah, saya ni pelupa!" Hambali memasukkan tangannya ke saku dalam kadnya sebelah kanan. Dia seakan mencari sesuatu. Sekarang di tangannya ada secarik kertas.
"Op, surat nyanyi Ramlee," Hambali berkata entah kepada siapa.
Dari dalam saku jas sebelah kiri, dia mengeluarkan sekeping kad jemputan dan memberikannya kepada Wahab.
"Nampaknya Che' Hambali sangat suka dengan Ramlee?" Wahab bertanya.
"Ya, saya suka lagu-lagu Ramlee dan saya menonton semua filmnya," Hambali menegaskan.
"Kami baru saja berbicara tentang Ramlee," sela Tunku.
Hambali dan Murni saling pandang-memandang.
"Berbicara tentang Ramlee?" Hambali tidak mengerti. "Mengapa?"
"Duduklah dulu. Nanti Che' Wahab terangkan," Tunku meyakinkan Hambali.
Hambali meletakkan punggung ke kerusi.
"Eh, eh. Macam mana dengan kerja yang perlu Che' Hambali buat itu?" tanya Wahab.
"Oh, tak mengapa. Jiwa saya seperti ditarik besi berani bila mendengar nama orang istimewa seperti Ramlee disebut oleh Tunku," jelas Hambali. Kemudian dia merenung Murni, mencari kepastian.
"Er, mana suka abanglah," ujar Murni.
Wahab meneguk kopi.
Dia membiarkan beberapa detik berlalu sebelum berkata, "Sekarang saya akan ceritakan sebuah kisah lama."
Wahab memandang ke sekeliling, bagaikan melarikan ingatannya ke suatu masa lampau.
Share this novel