9. | SEKATA, SEHATI, SEJIWA |

Romance Series 1474

TEGUHNYA kediaman Encik Kamaruddin membayangkan prestijnya kedudukan beliau sebagai pemimpin brass band di Penang Free School. Selain daripada di sekolah, dia juga menurunkan ilmunya kepada murid-muridnya itu di rumah. Perawakannya besar dan tegap, mukanya serius sehingga kebanyakan muridnya melihatnya seperti bengis.
Encik Kamaruddin atau Master Kamaruddin oleh murid-murid yang belajar muzik dibawahnya, mengetuk pintu kamar anak gadisnya. Kemudian menolak daun pintu.
Seorang gadis cilik yang wajahnya tenang dan istimewa kecantikannya sedang tunduk menghadap sesuatu, menelaah sebuah buku cerita di tangannya.
"Eh, sejauh malam ini kau masih berjaga, Normah? Kenapa kau tak tidur lagi?" tanya Encik Kamaruddin sambil masuk ke dalam tanpa dijemput.
Dia memandang anaknya itu.
Gadis manis yang ditanya mendongak.
"Belum lagi, ayah. Normah tak dapat nak tidur, panas," sahut anaknya.
Ruang kamar itu dirasakannya panas.
"Apa yang kau baca tu?"
"Sejarah lama, sejarah Hang Tuah," balas Normah. Dia berpaling ke arah bapanya. Kemudian dia bertanya, "Ayah ni, tak panas?"
"Ya, ada sikit panas malam ini. Sudahlah Normah, letak saja buku itu. Kau bawalah baring. Kemudian lelapkan mata. Hari pun dah jauh malam," kata Encik Kamaruddin dengan lantunan suara yang lembut tetapi tegas.
Normah terus menjawab. "Baik, ayah."
Encik Kamaruddin kemudian keluar dari bilik anak perawannya dan menutup pintu di belakangnya.

NORMAH menutup buku yang dibacanya dan meletakkannya ke atas meja. Rambutnya yang panjang halus menutup sebahagian dari mukanya akibat ditiup angin yang menyelinap masuk melalui jendela yang dipagari jerjak besi sebesar jari telunjuk. Angin yang bertiup menggendong haba panas yang hangat.
Gadis itu menuju ke jendela seraya menyelak langsir separuh luas. Dia melontarkan pandangan jauh ke luar jendela, memandang ke depan bagaikan ingin menembusi pohon-pohon yang jauh. Dengan tidak semena-mena, dia terbayang akan wajah Ramlee.
Ramlee, sahabatnya sejak di bangku sekolah. Mereka kenal sejak kecil lagi. Dia mengingati bagaimana waktu kecil-kecil dulu ketika pergi ke sekolah, mereka sama-sama menaik beca. Pada masa itu rumah mereka berhampiran letaknya.
Normah terperanjat ketika dia mengetahui pemuda yang sering datang berkunjung ke rumah untuk belajar bermain piano dengan ayahnya itu tak lain dan tak bukan ialah temannya sebeca pada masa dia kecil dulu. Mereka segera tenggelam dalam kisah cinta yang membara.
"Remy, mengapakah engkau mengganggu fikiran ku?" Normah menyoal dirinya. Jiwa gadis itu penuh dengan persoalan dan teka-teki.
"Ya, aku juga mempunyai pertanyaan yang serupa," ujar seorang di luar sana. Suara bergema dalam senyap malam.
Dengan tidak disedarinya, Normah sudah lama diintai seseorang yang merasakan dia milik mutlaknya.
Mata gadis itu terkelip-kelip mencari kelibat yang bersuara. Setiap ruang perkarangan rumah dijengah. Daun-daun bergemersik bagaikan ada orang sedang berjalan di celah-celah pohon-pohon renek.
Tanpa tangguh-tangguh, Ramlee berdiri di depannya. Sepelaung dari jendela. Ia agak mengejutkan Normah.
Normah termangu-mangu sejenak, kemudian dengan suara kekanak-kanakkan berkata, "Hei, Remy! Aku sangka kau tak datang malam ini!"
"Jangan kau kuat-kuat cakap," bisik Ramlee, kian rapat bergerak ke jendela. "Nanti ayah kau akan dengar, sudah tentu aku kena halau."
Normah mengakui kebenaran kata-kata Ramlee itu. Sesaat kemudian ditutupnya pintu rapat-rapat dan dikuncinya.
"Aku harap tidak ada sesiapa melihat engkau datang ke mari," kata Normah takut-takut. Dia berpeluk tubuh di sisi jendela.
Ramlee terus memandang lurus ke arah Normah dengan penuh tekun, memandang tepat anak matanya.
Normah tidak menghindarkan matanya atau berpaling, tetapi dengan tenang bertanya, "Kenapa kau tenung aku semacam itu, Remy?"
"Kau sungguh jelita, Normah," puji Ramlee, menjerat ranting hati Normah.
"Ala, abang Remy ni. Asyik nak memuji saja," ujar Normah dengan segala kemanjaan.
"Normah, ada barang yang hendak aku berikan pada kau." Ramlee memasukkan tangannya ke dalam saku kotnya, dan mengeluarkan sebuah bungkusan. Kemudian menghulurkannya kepada Normah. "Terimalah pemberian ku untuk kenang-kenangan."
Normah menatap bungkusan itu dengan penuh perhatian. "Ini untuk siapa?"
"Siapa lagi kalau tidak kau? Terimalah, Normah hadiah ku yang sederhana ini. Mudah-mudahan kau suka," cepat Ramlee menjawabnya.
"Aku tak dapat menolak hadiah orang." Normah menerima bungkusan itu. "Terima kasih banyak."
"Eh, eh. Cantiknya. Cantik selendang ini. Warnanya sangat menawan. Terima kasih banyak atas hadiah ini," kata Normah setelah membuka bungkusannya. Diamat-amatinya bentuk selendang itu.
"Suka tak?"
"Suka. Kau beli kat mana?"
"Kat kedailah, woi."
"Normah, kalaulah ayah kau tahu perhubungan kita, bagaimana agaknya?" Ramlee menduga.
Soalan itu menumbuk benak Normah. Dia mengeluh sebelum memberi jawapan. "Pincanglah asmara dan rosaklah penghidupan."
Melalui jerjak besi jendela, tangannya menggagau jemari Ramlee, digenggam kemas.
Suasana hening seketika.
Ramlee tiba-tiba berasa hatinya amat luka. Suram wajahnya, bagai menebarkan sayap resah yang panjang. Ada semacam kesayuan menyelinap ke dalam dirinya.
Normah merasakan perubahan itu. Wajahnya redup. Tanda-tanda muram memenuhi muka Ramlee.
"Kenapa muka kau muram Remy?" soal Normah, meminta penjelasan lanjut daripada Ramlee.
"Normah, kedatangan aku ke mari cuma nak beritahu kau pabila besok fajar menyingsing, aku akan pergi jauh. Aku telah mendapat tawaran kerja di Singapura. Besok pagi aku akan berangkat dengan keretapi bersama dengan Sukardi."
Berita itu berdesing menampar di telinga dan amat mengejutkan Normah.
"Tapi bagaimana pula aku? Tidakkah engkau cinta pada ku?" Normah mengadu, penuh kekagetan dan kehairanan.
"Aku tetap cintakan engkau dengan sepenuh hati, Normah. Tapi apa boleh buat? Aku terpaksa meninggalkan kau. Aku pergi untuk mencari wang, nama dan pangkat," Ramlee bertekad ingin menjelmakan impiannya menjadi film star. Dia ingin membuktikan bahawa orang yang tidak bersekolah tinggi dengan kemampuan kewangan yang sangat minimum, masih mampu mencapai cita-cita yang digantungkannya tinggi di langit . "Walaupun kita berpisah di mata, namun tetap dekat di hati. Ingatan ku dalam hidup ini hanya pada kau seorang."
"Kalau lupa barangkali tidak. Tapi janganlah berubah hati pula," Normah bersungut tajam. "Boleh jadi kau akan bertemu dengan gadis modern di Singapura."
"Jangan cakap begitu, Normah. Kalau aku berubah hati, biarlah petir menyambar aku. Kau tahu Normah? Di dalam dunia ini bagi ku hanya kau seorang saja yang paling berharga. Kalau segala-galanya di dalam dunia ini musnah dan hanya kau seorang saja yang tinggal, hidup dalam dunia ini penuh bagi ku. Kalau tak ada kau, rasanya dunia ini kosong," Ramlee menyatakan kasih dan cintanya yang ikhlas.
Kata Normah, "Aku tahu kau sayangkan aku tapi aku lebih-lebih lagi. Kalau sekali kau sayang, seribu kali aku. Oh, Remy. Aku sangat merasa bangga mempunyai seorang kekasih seperti kau."
"Normah, biar apa akan terjadi, aku akan kahwin dengan kau. Kita akan segera kahwin bila aku pulang nanti dan kita akan mempunyai cahaya mata. Dua atau tiga."
Normah berkata dengan tidak enak, "Janganlah kata sembarangan, Remy. Janganlah berkata sebelum terjadi. Kadang-kadang sebelum sampai masanya, tak perempuan, laki-laki berubah hati."
Sejenak dia terharu. Tertunduk.
"Sekarang biarlah aku balik dulu, mengemaskan barang-barang."
"Baiklah. Aku berdoa kepada Tuhan. Mudah-mudahan kau berjaya dan selamat kembali," jawab Normah dengan kepahitan. Semoga saja Ramlee mencapai apa yang dicarinya. "Aku tetap menantikan kau."
"Selamat tinggal adinda ku Normah. Aku pergi tidak lama. Aku hanya pergi buat sementara. Aku tetap akan kembali apabila kerja aku habis di sana."
Gadis itu tidak menjawab. Tapi sebagai gantinya dia mengangguk.
Ramlee berpaling dan dengan perasaan yang bergolak, dia melangkah dan terus melangkah. Langkahnya diatur rapi.
"Remy, bilakah engkau akan kembali kepada ku?" bisik Normah untuk menyedapkan hatinya yang kacau-bilau itu. "Kalau kau mungkir janji, sia-sialah hidup "
Dengan kesedaran ini, tangannya segera menutup daun jendela. Jendela itu ditutupnya perlahan-lahan.
Di luar, malam masih gelap.

WAKTU hampir mencapai pintu pagar belakang, Ramlee mendengar seperti namanya dipanggil di belakangnya. Dia berhenti melangkah. Hatinya diterap cemas. Seakan putus sudah nafasnya. Namun semangatnya dikuatkan.
Anak muda itu berpaling ke arah suara yang memanggil namanya. Rupanya orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Encik Kamaruddin.
"Pakcik?" suara Ramlee meletus sepatah.
Kemudian menundukkan mukanya. Dia tidak berani menentang mata Encik Kamaruddin.
"Pakcik ni nak bercakap sedikit mengenai Normah," kata Encik Kamaruddin. Kerut-kerut pada wajahnya seperti menyimpan resah dan kepedihan.
Anak muda itu tampak kebinggungan.
"Bagaimanakah keadaan pergaulan Ramlee dengan Normah?" Encik Kamaruddin sekadar mahukan kepastian.
Dia mara dua tapak ke hadapan. Seakan-akan memaksanya supaya berterus-terang.
"Saya suka sama dia, pakcik," Ramlee mengangkat muka. Agak hemat dia bersuara. Fikiran yang berjalan lancar memaksanya bertenang. Keadaan begini seharusnya dihadapi dengan tenang.
Wajah Encik Kamaruddin mengeruh dan dia berkata dengan penuh fikiran, "Memang dari mula lagi pakcik menyangka perkara ini mesti berlaku. Pakcik tak marah kau berkawan dengan anak pakcik. Tapi... " Dia berhenti sebentar sambil menghela nafas panjang. "Begini Ramlee, pakcik tahu yang engkau dengan Normah bercinta-cintaan. Tetapi pakcik ada cita-cita hendak mencari jodoh Normah yang setaraf dan Normah juga harus menikah kepada seorang yang dapat memberikan kesenangan. Dari itu Ramlee, pakcik minta kau putuskan hubungan engkau dengan Normah. Sebab dia bukan pasangan mu."
Encik Kamaruddin serius menjelaskan.
Ramlee tak mampu membuka mulut. Maksud sebenarnya dari interogasi itu menjadi jelas kepadanya. Ungkapan Encik Kamaruddin itu terasa menghiris pendengarannya. Berdesing kata-kata itu menikam di kotak fikirnya.
"Ramlee, berjanjilah engkau kepada ku," Encik Kamaruddin mendesaknya dengan tajam. "Hanya aku, seorang tua yang berniat baik."
Dalam keserbasalahan itu, Ramlee berkata dengan lagak menyesal, "Baiklah, saya terima segala nasihat pakcik. Saya akan melupakan anak pakcik walaupun saya sangat cinta kepadanya."
Ramlee bagai memberi kata putus. Dia menghela nafas. Ditahannya perasaan yang kecewa di dalam dirinya.
"Pakcik sungguh gembira mendengar perkataan engkau," sahut Encik Kamaruddin dengan senyum menggerenyot lebar. Wajahnya tiada lagi kelihatan tegang dan gelisah.
"Saya berkorban segala-galanya kerana pakcik telah bersusah payah mengajar saya bermain piano. Demi pakcik, saya rela mengecewakan Normah. Percayalah cakap saya."
"Pakcik percaya penuh kepada kau dan pakcik tak lupakan pengorbanan engkau ini. Mulai sekarang, jauhi Normah."
"Saya pergi dulu."
"Ramlee."
Langkah Ramlee terhenti. Perlahan-lahan anak muda itu menoleh. "Ya, pakcik?'
"Pakcik harap kau ubahlah cara hidup kau. Cara hidup yang kau amalkan selama ini merugikan, Ramlee. Janganlah kau kecewakan kehidupan kau. Ubahlah supaya menguntungkan."
"Baiklah, pakcik. Saya berjanji." Begitulah janjinya terhadap Encik Kamaruddin. Dia menyimpul erat hadrat itu dalam hatinya.
"Ya, pakcik percaya Ramlee menerima nasihat pakcik. Sungguh pakcik sangat bangga atas pendirianmu, Ramlee," Encik Kamaruddin yakin benar.
Kemudian Ramlee membalikkan tubuh dan mengatur langkah.
Jauh di sudut hatinya dia berharap biarlah pengalaman pahit yang menjeruk hatinya ini dipendamnya seorang diri. Menjadi kenangan yang tersimpan rapi di lipatan hati
Malam memburu usia, menuju ke dinihari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience