MENTARI semakin tinggi memanjat dada langit.
"Saya sungguh tertarik dengan cerita Che' Wahab itu. Kemudian apa yang terjadi, Che' Wahab?"
Wahab berkata, "Itulah saja yang dapat saya ceritakan kepada Tunku. Cukuplah di sini kerana sekarang kita sudah sampai."
Tunku mengangguk kepalanya. Dibuang pandangan ke luar jendela, melihat dengan penuh perhatian kepada bangunan Rumah Sakit Besar itu.
Wahab menginjak brek dan memperlambat jalannya sewaktu sampai pada satu selekoh. Jalan kereta itu mulai diperlambat. Kereta itu kemudian meluncur membelah halaman Rumah Sakit Besar itu.
Beberapa saat kemudian, kereta diparkir di suatu tempat parkir kecil, yang menurut perkiraan Wahab, bisa memuat enam sampai lapan kereta.
"Eh, tokeh! Tunggu dulu!" jerit Tunku sekeras suara seperti ditujukan kepada seseorang sambil membuka pintu kereta. Kakinya segera melangkah turun.
Ada penjaja basikal roda tiga sedang bergerak di jalan di hadapannya. Kemudian berhenti di tepi jalan.
Tunku menapak menuju ke situ. Di sisinya dia berdiri.
"Saya nak tengok buah-buahan ni," pinta Tunku.
"Tengoklah."
Wahab melangkah keluar dari kereta dan menutup pintunya dengan perlahan.
"Tokeh. Berapa harganya, tokeh?" tanya Tunku sambil menunjukkan bungkusan buah-buahan yang dipegangnya.
"Tiga puluh sen, encik," sahut penjaja itu dengan tidak teragak-agak.
Tangannya menyeluk saku seluar. Dikeluarkannya dompet tempat wang tersimpan lalu membayar.
"Ini duitnya." Tunku mendorongkan sedikit tubuhnya ke depan.
"Terima kasih." Penjaja itu tersenyum senang.
Wahab mendapatkan Tunku.
Tunku merenung muka Wahab.
"Mari kita masuk ke dalam," gesa Tunku.
Wahab hanya mengangguk beberapa kali.
Tunku memutarkan tubuh untuk melangkah. Di dalam bungkusan yang dijinjitnya terdapat enam biji epal.
Perbuatannya itu diikuti oleh Wahab.
SEBUAH wad di mana Yacob terbaring menelentang dengan melunjurkan kaki lurus-lurus. Dia hasrat sekali akan duduk, tetapi dayanya tiada. Kepalanya berbalut tebal, demikian juga kaki kanannya. Di sisi katil terdapat sebuah meja kecil berdampingan dengan dua manusia lagi.
"Tuan doktor, bagaimana keadaan suami saya?" sang isteri bertanya dan matanya kepada Doktor Raymond.
Mata doktor itu tajam ke muka Sharifah Rogayah yang bujur sirih. Jalur-jalur kerisauan jelas terbayang di raut muka si isteri.
"Jangan susah hati puan Sharifah. Cederanya tidak begitu merbahaya," sahut Doktor Raymond menjelaskan. Dia semacam memujuk Sharifah. "Mudah-mudahan saja lekas baik."
Sharifah berasa agak lega.
"Saya minta diri, ya? Sebab banyak kerja," kata doktor itu sambil membetulkan bingkai cermin matanya. Sejurus kemudian dia pun berlalu dari situ.
SESUDAH Doktor Raymond pergi, Tunku dan Wahab melangkah memasuki ruangan itu.
"Assalamualaikum, Che' Yacob," sapa Tunku.
Yacob tersentak dan berpaling ke arah datangnya suara itu.
"Waailaikumsalam. Oh, Tunku," kata Yacob penuh perhatian. "Apa khabar sekarang Tunku?"
"Khabar baik. Terima kasih," sahut Tunku. Dia bergerak maju ke sisi katil. "Bagaimana Che' Yacob?"
"Saya juga begitu, Tunku," kata Yacob.
Sebaik sahaja menghampiri Yacob, Tunku menghulurkan tangan.
Mereka berjabat tangan dengan hangat, seperti dua orang saudara sekandung yang lama sekali baru bertemu kembali.
Sesudah jabatan tangan dilepaskan, masing-masing melekapkannya pula ke dada.
"Jemput duduk."
Yang dipersilakan itu duduk. Dia menghenyakkan tubuhnya duduk di kerusi sebelah kiri katil.
"Ini saya ada bawa buah-buahan untuk Che' Yacob," kata Tunku.
"Eh, apa buat susah payah ini, Tunku?"
"Ala kadar apa saja yang ada."
"Terima kasih banyak," kata Yacob sambil merenung epal di dalam bungkusan.
Sesudah hening sejenak, Tunku berkata, "Ini saya kenalkan, Che' Wahab,"
Yacob melihat kepada Wahab dan bertanya, "Apa khabar Che' Wahab?"
"Saya ini di dalam sihat," sahut Wahab dan berdiri di sisi Tunku.
"Che' Wahab, berkenalanlah dengan encik Yacob, seorang saudagar yang terkenal di kota ini."
"Saya ini saudagar barang-barang perhiasan rumah. Kerusi, meja, gambar-gambar lukisan serta permaidani," kata Yacob kepada Wahab.
"Saya sangat sukacita dapat bertemu dengan Che' Yacob."
Sharifah bangun dari kerusinya dan duduk di atas katil, di sisi kaki suaminya.
"Silakan duduk Che'Wahab," katanya kemudian, baru mendapat kesempatan untuk berbual. Telunjuknya lurus ke arah kerusi yang telah dikosongkannya.
Wahab mengangguk. Muka si isteri direnungnya sekilas. Dia duduk di kerusi dengan kedua belah tangannya bersilang.
Yacob memandang Wahab. "Ini isteri saya Sharifah Rogayah."
Tunku berpaling ke arah Wahab. "Encik Yacob dapat kemalangan. Keretanya berlanggar dengan pokok."
"Kejadian yang tak disangka-sangka yang telah menimpa suami saya itu berlaku di Sungai Road," sela Sharifah.
"Oh, begitu."
"Apa nak dikatakan lagi. Sudah bahagian saya."
"Bagaimana keadaan Che' Yacob sekarang?" tanya Wahab dengan ramah.
"Jangan bimbang Che' Wahab. Ada baik sikit," jawab Yacob memberi harapan kepada Wahab.
"Doktor kata mesti makan buah-buah, mesti rebus air panas," berkata Sharifah dengan manja. Muka suaminya diperhatikannya dengan tenang.
Ketika itu terbentuk suatu tanya dalam hati Yacob. Dia toleh ke muka isterinya. "Kalau penyakit abang hingga berminggu atau berbulan, bagaimana kau, Pah?"
Matanya membelek kesan balas di muka isterinya.
Sharifah mencengkam tangan Yacob dan berkatalah dia dengan penuh semangat, "Walau bagaimana keadaan abang, Pah tetap bersama. Pah akan tetap di samping abang buat selama-lamanya. Segala kemurahan hati dan kebaikan abang, telah banyak saya terima."
Nadanya pasti, yakin dan bangga.
Dengan lemah lembut Yacob menepuk-nepuk tangan yang mencengkamnya.
"Betulkah kata-kata engkau tu, Pah?"
"Ya, bang. Pah tak pernah cakap bohong dengan abang." ujar Sharifah dengan segala kemanjaan.
"Lapang hati aku," kata Yacob dengan jelingan sayang. Dia sangat bangga beristerikan Sharifah. Isterinyalah manusia yang paling jujur dan menurut kata .
"Tunku, Tunku tahu? Kebahagiaan hidup dan kesenangan serta kemakmuran saya ni tak akan saya dapati jikalau tidak ada kedamaian hidup bersama isteri saya, ya tidak Pah?" Dia semacam menyedapkan hati isterinya.
Sharifah ngangguk berulang. Sejurus dia bersuara, "Tiap-tiap isteri yang cintakan suaminya, pikirannya pun bersamaan dengan suaminya."
"Saya setuju dengan pendapat puan itu."
Tidak lama kemudian mulalah Tunku menyampaikan maksud kedatangannya.
"Sudah hampir setahun kita tidak bersua. Saya pernah bercadang hendak menziarahi Che' Yacob. Tapi urusan kerja saya terlalu banyak. Terlanjur saya ada di Singapura. Inilah satu peluang untuk saya berjumpa Che' Yacob."
"Tinggal di mana?"
"Raffles Hotel."
Kening Yacob terkerut.
"Hotel?" ujarnya kebingungan.
"Ya."
"Eh, ini tak boleh jadi. Sahabat saya tinggal di hotel sedangkan saya ada mempunyai rumah besar," Yacob melucutkan gugus keluhan.
Dia menoleh pada Wahab. "Che' Wahab tahu tak? Rumah itu dan perniagaan saya adalah pertolongan dari Tunku."
Kemudian pandangannya berpindah pula ke arah Tunku. Lalu dia pun menyambung, "Tunku, kenapa tak tinggal saja di rumah saya?"
"Kalau begitu, baiklah dan saya ucapkan terima kasih."
Sejenak dia termenung memikirkan sesuatu. Matanya tertumpu pula pada isterinya.
Lalu mata keduanya bertentangan.
"Pah, kau suruh driver pergi ke Raffles Hotel, ambil balik barang-barang Tunku, ya? Pah ikut sama." Dia bagaikan menanam seribu harapan kepada si isteri.
"Baiklah bang," sahut Sharifah.
"Pergi dulu, Tunku. Tinggal ya, Che' Wahab."
Sharifah bangun perlahan-lahan dari katil dan kemudian dia pun pergi.
Masing-masing diam. Mereka ketandusan bahan cerita.
"Cerita Ramlee tadi belum habis lagi. Bagaimana lagi ceritanya ini. Cuba terus cerita."
"Perkataan Tunku sungguh menarik hati. Saya pun ingin mendengar ceritanya, Che' Wahab. Bagaimana pula riwayat ceritanya itu?"
Wahab memandang muka Tunku dan Yacob. Disebabkan mereka kelihatan begitu berminat mendengar ceritanya, Wahab berkata, "Baiklah, saya ceritakan."
Wahab, sambil membetulkan tempat duduknya, memulakan ceritanya. Peristiwa tujuh tahun yang lalu itu kembali berputar dalam benaknya. Ia menjelma dengan jelas dan terang.
Share this novel