Perlahan-lahan, imej memori yang diulang kembali di benak fikiran Ahmad terhenti.
"Jadi, apa kata kamu Ahmad? Sudah ubah fikiran terhadap Aqil?" Tok Penghulu Ibrahim berkata sambil tersenyum.
"Rasanya, mungkin dia perlu diberi peluang. Siapa tahu dia boleh sesuaikan diri kan? " kata Ahmad. Persoalan yang meniti di bibirnya lebih kepada bertanya kepada dirinya sendiri.
"Wah, nampaknya lepas ceramah tentang ddakji, terus Ahmad bertolak ansur," Zain yang menggunakan sihir Muncul Tiba-tiba betul-betul di dalam Mecha itu. Dia datang bersama dua lagi rakannya, Gogon dan Zaun. Seorang itu lebih kepada kembar dari rakan.
"Eh, awalnya balik? Setahu aku, kedai makanan jauh juga dari sini," Luna meluahkan rasa curiganya.
"Kau ni ahli sihir atau apa? Aku dan Zaun guna sihir Seru untuk panggil makanan dari dimensi kita," Zain membalas perlahan.
"Apa maksud kau dengan 'guna sihir Seru'? Makanan tersenarai sebagai salah satu barangan larangan untuk sebarang Transfigurasi! Kau tak boleh seru kalau kau tak tahu koordinatnya," Luna mula semakin curiga dan tanpa sedar telah meninggikan suaranya.
"Kami tahu koordinat makanan itu, lepastu Seru," Zaun menegaskan perkara yang sama sementara Gogon sekadar menganggukkan kepalanya tanda setuju.
"Apa? Kau bertiga tahu baca koordinat? Selama ini aku ingat tahu buat sihir aje; astaga, sejak bila korang belajar ilmu Pengkhianat Pakatan?" Luna bertanya dengan rasa ingin tahu yang tidak lagi dapat dibendung.
"Aku sudah ingatkan, jangan panggil manusia sebagai Pengkhianat Pakatan!" Ahmad melenting. Dia pantang benar bila ada yang memanggil kaum manusia sebegitu.
"Kalau panggil Lores pun tak boleh?" Luna menyebut nama panggilan untuk manusia di dimensi ahli sihir.
"Luna!" Ahmad mulai berang.
"Yalah, yalah," Luna mengalah, tak pasal-pasal bergaduh kalau tak hentikan sekarang. Ahmad memang prihatin benar terhadap kebajikan para Lores. Apa nak hairan? Ahmad memang berdarah kacukan. Campuran ahli sihir dan Lores.
Secara tiba-tiba, berlaku satu letupan di pintu Mecha itu. Pertengkaran tadi diakhiri begitu sahaja. Ahmad yang marah sebelum ini, terus lupa sebab amarahnya timbul. Dia lebih fokus terhadap letupan itu. Bunyi yang luar biasa bising itu seakan menarik semua orang untuk berpaling ke arah itu.
Seorang wanita berwajah dempak dan berkulit cerah muncul setelah kabus hasil letupan mulai menipis. Anak mata dan rambut hijaunya menampilkan imej yang lain dari lain.
Dia turut memakai jubah biru laut berhud dengan topeng kain yang menutup hidung dan mulutnya itu. Hanya anak matanya yang kelihatan. Dia turut mengenakan topi kon berwarna senada. Senyuman mesra yang diukir menampakkan keramahannya. Di tangannya, dia memegang sebatang tongkat sakti kayu yew yang berukuran sebelas dan tiga suku inci berteras hati sanubari phoenix.
Kilauan matanya mengingatkan mereka kepada batu zamrud. Mereka ternganga melihat apa yang berlaku. Macam mana boleh ada ahli sihir di sini?
"Dah puas cuci mata?" soal Tok Penghulu Ibrahim yang muncul di sisi perempuan itu. Dia masih memegang tongkat sakti kayu holi, tepat 11 inci, mudah lentur dengan teras bulu Qilin.
"Eh? Tok! Ni isteri Tok ke?" Gogon menyoal tidak sabar dengan satu senyuman diukir. Namun senyumannya mati setelah penumbuk sulung perempuan itu mengenai mukanya.
"Isteri? Kau ni memang cari ajal ke apa? Aku adik dia lah!" di sebalik senyumannya, nampaknya perempuan 'hijau' itu sangat garang.
"Kamu ni pun, terus terjah. Aku nak kenalkan, ni Morales. Madam Morales. Dia adik angkat aku," ujar Tok Ibrahim seraya tersenyum. Perempuan misteri tadi membuka kerudungnya.
"Ma... Madam Morales? Ahli Magis Pemanipulasi Masa itu ke?" mata Luna terbeliak. Hatinya melonjak riang dengan kejutan itu.
"Wah, nampaknya populariti aku tak terkalahkan oleh kau, Ibrahim."
"Sudah, kita tiada masa nak berkenal-kenalan, esok-esok pun boleh kenal. Ahmad, mana Aqil? Kami perlu jumpa dia?" Tok Ibrahim menamatkan perbualan dalam sesi berkenalan itu, walhal, dia yang beria-ia nak kenalkan Morales sebelum ni..
"Zain, Zaun. Simpan makanan itu, nanti lah kita makan," Ahmad memberi arahan kepada kembar itu.
Gogon yang baru sedar dari pengsan akibat penangan Madam Morales terus membuntuti langkah rakan-rakannya ke bilik Aqil. Langkah demi langkah, sehinggalah mereka tiba di bilik tidur Aqil.
"Maaf, boleh tinggalkan saya, Ibrahim dan Ahmad sahaja yang masuk?" Madam Morales berkata, lebih kepada memerintah dan menghalau mereka sebenarnya. Dia tiada masa hendak melayan budak-budak tak berakal yang menyusahkan itu.
"Tak, jika Puan nak bercakap dengan Aqil, dia berada di bawah tanggungjawab The Legendary, ini bermakna kami juga perlu masuk," satu suara kedengaran. Ianya datang dari kembar langsuyar.
"Kalau itu yang kamu mahukan, baiklah, kamu semua boleh ikut. Tetapi, siapa yang mengganggu saya selepas ini, akan dilenyapkan," Morales menekankan perkataan 'dilenyapkan' bagi memberikan amaran.
Gogon, Luna, Zain dan Zaun hanya meneguk liur bila mendengar ugutan itu.
"Cepat! Kita tak ada banyak masa," Morales menolak daun pintu keluli itu, kelihatan Aqil yang masih lemah memamah sedikit makanan yang ada di bilik itu.
"Aqil? Kamu, Aqil bukan? Aqil bin Zaidi?" Morales menyoal tidak sabar.
Tersentak Aqil mendengar namanya dipanggil. Dia perlahan-lahan menganggukkan kepalanya dua tiga kali. Berjuta soalan bermain di mindanya, siapa perempuan ini? Kenapa warnakan rambut warna hijau? Dia tahu Karate? Mungkin Tae Kwon Do, Judo, Aikido ataupun Kung Fu? Semua persoalan itu kebanyakannya adalah lansung tidak kena mengena.
Morales melabuhkan punggungnya bersebelahan katil Aqil. Sementara yang lain hanya berdiri tegak laksana tiang. Bagai kaki mereka telah dipaku untuk terus berada di situ. Keadaan menjadi sunyi dan sepi tanpa sebarang suara dan bunyi sehinggalah Morales memecahkan kesunyian itu.
"Jadi Aqil, saya adalah Morales. Saya tahu semuanya berlaku secara tiba-tiba dan tidak tersusun. Mungkin kamu mengalami Amnesia Dissosiative. Ya, saya faham, ini tak masuk akal dan kamu sangat tidak selesa dengan keadaan ini, tapi percayalah. Kita tiada masa untuk berkenalan seperti biasa," Morales berkata dengan lembut.
"Maaf, boleh saya tahu? Apa yang terjadi? Kenapa awak, maksud saya, Puan Morales nak jumpa saya? Dan siapa pula mereka semua ni? Sa... Saya tak faham," kepala Aqil berdenyut-denyut, dia berasa sangat perit seolah kepalanya di belah! Kesakitan itu mencucuk-cucuk sehingga Aqil rebah.
Dia seolah dipaksa mengingati sesuatu, namun hanya gambaran kabur dan suara yang tenggelam timbul yang diingati.
"Aqil!" Ahmad bergegas mendapatkan Aqil namun ditahan oleh Morales.
"Aku dah cakap, jangan ganggu aku. Jangan ganggu aku!" Morales melenting. Suaranya naik satu oktaf.
"Aqil, Aqil!" Ahmad masih cuba mengasak, namun dengan satu kuisan kecil tongkat sakti Morales, dia terdorong ke belakang, seolah-olah ada tali halimunan yang menariknya.
"Ini amaran terakhir! Jangan ganggu aku," Morales memandang rakan Ahmad yang lain. "Faham?" dia menjerkah.
Bahu Gogon, Zain dan Zaun terangkat sementara si gadis fenix melatah dan bulu romanya meriding. Mulut Gogon terkumat-kamit menyumpah seranah dalam nada perlahan sehingga tidak dapat di dengari.
Morales berjalan ke arah Aqil. "Flyout!" pekik Morales sebelum jasad Aqil terapung di udara perlahan-lahan. Aqil kemudian berputar sedikit sebelum jasadnya meluncur laju ke arah Morales.
"Memoryesto," gumam Morales. Satu bebola cahaya kehijauan muncul dari hujung tongkat saktinya, cahaya itu terapung-apung lemah sebelum berdesup bergerak ke arah kepala Aqil. Bebola cahaya itu memasuki kepala Aqil, dan dalam hitungan sedetik, mata Aqil terbuka luas dengan sinaran hijau terpancar sambil mulut Aqil mulai terjerit-jerit, dan dia telah melihat, semuanya. Semua sekali. Pertempuran di CyberJaya, dan peperangan yang dilancarkan di KaryaJati.
"Argh!" mulut Aqil terbuka luas dan badannya terangkat dan akhirnya, Aqil rebah semula dalam keadaan sedar sepenuhnya.
"Aduh! Sakitnya..."
"Aqil! Syukurlah!" Ahmad terus memeluk adik angkatnya itu. Meskipun berasa janggal, Aqil membalas pelukan itu.
"Aqil, ke mari," Tok Ibrahim memanggilnya. Tiga perkataan dengan lima suku kata itu cukup untuk mengisyaratkan Aqil dan Ahmad untuk meleraikan pelukannya. Kini dia sudah ingat, dia pergi ke arah Tok Ibrahim seolah dia sudah lama kenal dengan lelaki tua bercermin mata herot dengan hidung yang pendek itu.
"Ya tok?" Aqil bertanya perlahan
"Kamu er... Kamu sudah ingat, betul tak?" Tok Ibrahim sedikit tergagap.
"Ya, saya sudah ingat, tapi, apa benda yang jadi? Saya bertukar menjadi sesuatu dan ia er... ia tak masuk akal dan..." Aqil kehilangan kata-kata. Emosi dia amat tidak stabil dan dengan badannya yang seperti baru lepas dibelasah bukan sesuatu yang membantu.
"Ia masuk akal."
Aqil memalingkan mukanya, mengadap Morales. Perempuan itu sepatutnya sebaya dengan Tok Ibrahim, tetapi dia langsung tidak kelihatan tua. Kulitnya tidak berkedut dan dia masih gagah lagi.
"A... Apa maksud Puan? Saya... maaf, " Aqil memegang kepalanya. Dia makin keliru dengan situasi yang dialaminya. Semuanya seakan kisah dongeng. Otaknya bercelaru. Satu per satu maklumat diingati menyebabkan dia tidak fokus.
"Saya akan terangkan, tapi kamu perlulah bersedia," Morales tersenyum sinis. Tongkat saktinya disimpan kembali di dalam jubah biru laut miliknya.
"Bersedia? U... Untuk apa?" suara yang dilontarkan Aqil tersekat-sekat. Dia tidak dapat menyembunyikan keperitan yang dirasai di kepalanya. Teriakan demi teriakan kecil di dengari.
"Bersedia, untuk tahu, terima dan faham takdir kamu, Aqil. Bersedia untuk tahu kebenaran yang sebenarnya!" Morales tersenyum bimbang. Dia bimbang dan sangat resah dan takut.
"Kebenaran? Takdir? Apa maksud Puan?" soalan Aqil tenggelam begitu sahaja.
Share this novel