0~ Prolog (volume 1)

Fantasy Series 2142

Tahun 4027, Menara Alfa

"Aku kena cepat!" tergesa-gesa seorang lelaki tua bertongkat yang membawa beberapa buku yang kelihatan sangat aneh. Dia menggunakan tangan mekanikal berkuku tajam di tangan kanannya yang kelihatan sudah berkarat. Dia juga memakai cermin mata dan dan jubah makmal putih yang kusam dan seluar panjang berwarna biru gelap.

Wajah lelaki berumur 80 tahun itu memandang sekilas ke kiri dan ke kanan, memastikan tiada seorang pun yang mengekori dirinya. Dengan pantas dia memecahkan pintu masuk dengan tangan mekanikalnya itu!

Lalu, dengan kudrat yang tersisa, dia mendaki satu-persatu anak tangga ke bilik utama di tingkat paling atas bangunan canggih itu. Meskipun loceng amaran kecemasan dibunyikan tanda bangunan itu dicerobohi, dia lansung tidak kisah kerana kesemua 100 pengawal menara itu telah ditidurkan terlebih dahulu.

"Arghhhh! Cepatlah benda tak berguna!" maki lelaki tua itu pada mesin pengecaman identiti di sudut pintu yang kelihatan sistemnya telah dikunci.

"Tak guna!" menjerit sekali lagi lelaki itu. Dengan keadaan yang dianggapnya getir, boleh pula mesin itu mengunci sistemnya. Dia terpaksa mencari jalan. Nasib baik, terdapat sebuah komputer berdekatan. Lelaki itu terus menyambungkan komputer itu dengan mesin pengecaman identiti dengan tergesa-gesa untuk menggodam sistem keselamatan dari luar.

"Akhirnya!" jeritan lega dikeluarkan dari kerongkong lelaki itu selepas berjaya mematikan sistem kawalan.

Dia lantas memasuki bilik itu, mengabaikan lolongan kesakitan makhluk hasil daripada eksperimen-eksperimen tergendala yang dikurung di dalam sangkar bervoltan tinggi. Semua peralatan aneh, beberapa bahagian anggota manusia seperti telinga dan kepala yang diletakkan di dalam balang dan beberapa serangga mutan yang kelihatan sedang berang kerana dikurung di dalam kotak kaca hanya dipandang sekilas sahaja oleh lelaki tua itu. Dia ada tujuan yang lebih penting untuk dicapai.

Matanya yang sentiasa melihat ke merata-rata arah terus difokuskan kepada satu rak di sudut bilik yang bagi lelaki itu seakan sudah lama ditinggalkan. Dengan sawang yang memenuhi bilik dan perabot yang berhabuk menguatkan lagi andaiannya.

Dia menarik satu daripada beberapa buku di rak itu dan lantas membukanya dengan tangan kirinya yang sejak dari mula lagi asyik terketar-ketar. Rupanya, itu bukanlah calang-calang buku! Buku itu hanyalah penyamaran kepada satu mesin pengimbas mata yang tersorok di dalamnya.

Tanpa berfikir panjang, dia meletakkan alat itu selaras dengan kedudukan matanya yang sudah bebas dari cermin mata milik lelaki tua itu. Setelah imbasan selesai, rak buku itu secara tiba-tiba bergerak dengan sendirinya! Satu laluan rahsia yang terselindung di sebaliknya kini berada betul-betul di hadapan lelaki tua itu.

Tangan kanan mekanikalnya menekan butang-butang di satu sudut pintu untuk memasukkan satu rangkaian kod, pintu itu akhirnya terbuka. Senyuman kegembiraan terukir di bibir lelaki itu. Dia sudah berjaya!

Sebaik sahaja lelaki itu memasuki bilik rahsia itu, pintu tadi tertutup dengan sendirinya dan rak itu kembali ke kedudukan asal. Satu lengan mekanikal yang lebih halus dari milik lelaki itu keluar dari satu lubang pada dinding, mengangkat buku tadi dan meletakkan ia semula ke tempat asal. Derap langkah lelaki itu kedengaran bergema di dalam bilik itu. Dengan tongkatnya yang mampu mengeluarkan cahaya sebagai penerang jalan, dia terus melangkah hingga ke satu kawasan...dia membelok ke kiri menuju ke dalam satu ruang yang agak besar.

Dalam keadaan yang samar-samar, lelaki itu meraba-raba dinding untuk mencari suis lampu ruangan itu. Dalam beberapa saat sahaja seluruh ruangan itu diterangi lampu LED berwarna putih. Yang hairannya, terdapat satu mesin besar yang mencurigakan di hujung ruangan itu. Ia kelihatan seperti satu segi tiga besar yang dilekatkan dengan satu gegelang besar dengan 4 corak pelik diukir di gegelang itu. Kedua-dua segi tiga dan gegelang itu dilekatkan terus ke dinding. Satu kotak besi turut berada di samping alat aneh itu dilengkapi beberapa tuil, suis dan butang.

Lelaki itu terus berjalan ke arah meja dan kerusi yang terletak betul-betul dihadapan mesin pelik tadi. Dia meletakkan kesemua buku-bukunya di atas meja. Beberapa buku dicampak ke tepi meninggalkan empat buku yang kulitnya sudah ada yang hampir tertanggal.

Lantas tangan tuanya itu menyelak setiap helaian keempat-empat buku itu sehingga ke muka surat tertentu yang kelihatannya kosong. Lelaki itu menekan satu butang di cermin matanya di mana sekarang lelaki itu mampu melihat lukisan tersembunyi menerusi cermin matanya.

Keempat-empat buku itu dibentuk menjadi segi empat sama yang akhirnya menyatukan lukisan-lukisan dari setiap buku membentuk satu lukisan. Seolah setiap buku itu merupakan kepingan jigsaw puzzle!

Dia menyeret meja itu ke arah peti besi itu secara paksa. Dia lantas menolak tuil-tuil, menekan suis-suis dan butang-butang di peti itu selaras dengan lukisan yang ia hasilkan. Dan.. Tiba-tiba gegelang besar tadi terpusing dan corak-corak pelik tadi seolah bercahaya! Dan akhirnya, segit tiga itu memancarkan hologram 3 makhluk dari setiap bucunya.

"Lambatnya kau sampai Muhaya? Ada masalah ke?" tanya seorang perempuan yang memakai topi berbentuk kon dengan jubah yang labuh.

"Ti- Tiada apa-apa ma- masalah" tergagap-gagap lelaki tua tadi berkata.

"Sekarang macam mana! Semua salah kau! Kalau kau tak cuai, keadaan takkan seteruk ni Muhaya!" jerkah lelaki berpakaian serba hitam dengan tongkat yang bercabang kepada tiga garisan.

"Sudahlah tu, tak perlu bertengkar. Kita hanya akan membazir masa." dengan lembutnya seorang wanita dengan sepasang sayap yang berpakaian serba putih menegur lelaki tadi.

"Jadi macam mana sekarang ni? Takkan selamanya kita nak biarkan dia duduk di dimensi kita?" soal perempuan berjubah tadi.

"A- Aku tak kisah duduk di mana" balas Profesor Emeritus Dr. Muhaya tergagap sekali lagi.

"Yang penting rahsia ini tak boleh ter- terbongkar" sambungnya lagi.

"Cis! Ini hanya akan membahayakan dimensi kita jika dia terus menyamar di sana!" bantah lelaki serba hitam itu.

"Kita tiada pilihan, aku cadangkan dia perlu berpindah secara bergilir-gilir dari setiap dimensi untuk elak dari dikesan" perempuan bersayap itu menenangkan keadaan.

"Lepastu? Takkan kita nak duduk diam, asyik sorokkan dia je?" sekali lagi lelaki itu membantah.

"Nampaknya... Itulah jalan terbaik buat masa sekarang. Muhaya, kau akan bergerak ke dimensi aku terlebih dahulu," kata perempuan berjubah itu menyokong usul perempuan bersayap tadi.

"Terpaksalah kita tunggu sampai mereka muncul," sambungnya lagi.

"Tunggu? Tunggu sampai bila? Takkan korang betul-betul percaya mereka tu wujud dan akan muncul?" lelaki serba hitam itu nampaknya sedikit terganggu dengan sokongan perempuan tadi.

"Kita masih belum terlambat! Jika kamu semua sempat campur tangan, mungkin berharap pada mereka adalah tindakan terakhir kita?." Muhaya memberi cadangan.

"Hmm, nampaknya keadaan sudah semakin rumit. Betul kata kau. Kita semua terpaksa campur tangan sebelum benda tu berlaku! Cukuplah sekali sebelum ini," perempuan bersayap itu menyokong.

"Jadi?" soalan Muhaya diajukan kepada lelaki serba hitam itu.

"Macam mana? Kau setuju? Boleh kita mula sekarang?" bertubi-tubi soalan diajukan Muhaya.

"Argh! Yelah! Tapi, kita kena pastikan, tiada lagi kesilapan atau... Seluruh dimensi akan musnah!" balas lelaki itu.

"Ah! Itu kami tahu!" Muhaya cuba meyakinkan lelaki yang nampaknya masih ragu-ragu lagi dengan dahinya yang masih berkerut. Secara tiba-tiba cermin mata Profesor Emeritus Dr. Muhaya bergetar.

"Alamak! Mereka sudah sampai!" terkejut Muhaya sebentar.

"Apa!" teriak ketiga-tiga makhluk di skrin hologram itu.

"Cepat! Kau kena masuk sekarang Muhaya! Bawa semua jurnal kau sekali!" perempuan berjubah itu sedikit menjerit kerisauan. Terkocoh-kocoh Muhaya menyimpan keempat-empat buku usang tadi yang rupanya adalah jurnal ke dalam sebuah beg bimbit.

"Sekarang! Cepat buka portal!" jerit Muhaya. Cermin matanya memberitahu bahawa musuh mereka sudah berada di perkarangan bangunan itu!

Terkumat-kamit bibir perempuan berjubah itu membaca beberapa mantera yang akhirnya, portal berwarna hijau terbuka di dalam bilik itu.

Tanpa mereka sedari, tombol pintu rahsia tadi telah dibuka dari luar! Pada ketika ini satu musuh boleh menangkap Muhaya pada bila-bila masa! Mujurlah, musuh mereka terlewat sesaat dan Muhaya berjaya melepasi portal itu.

"Celaka kau Muhaya! Kau takkan terlepas lagi! Itu janji aku!" seorang lelaki berpakaian seperti ejen perisik menghentak meja di sebelahnya dengan perasaan yang geram membuak-buak dalam dirinya setelah gagal menangkap Profesor Emeritus Dr. Muhaya buat ke-29 kalinya

"Tuan!" panggil seorang bawahannya.

"Kami menjumpai sesuatu yang mencurigakan! Kami syak ia adalah sehelai kertas yang terkoyak dari jurnal suspek!" terang orang bawahannya itu.

"Ah!" terkejut lelaki itu apabila menyedari bahawa itu memang adalah salah satu dari helaian jurnal Muhaya yang mungkin terkeluar apabila dia tergesa-gesa tadi.

"Hmm! Bagus!" senyuman mengerikan dipamerkan oleh lelaki itu.

"Hantar ke makmal untuk disiasat! Yang lain, berundur ke pangkalan. Bukti telah kita peroleh!" arah lelaki itu.

"Baik!" sahut semua orang bawahan lelaki itu.

"Muhaya, Muhaya. Seperti biasa... Kau sentiasa cuai! Yang menjadikan segalanya lebih mudah!" kata lelaki itu seorang diri.

"Dan, tak lama lagi...kita akan bersemuka semula! Pada masa tu... Dendam ini akan dilunaskan!" lelaki itu tergelak memikirkan bahawa Muhaya akan tewas di tangannya. Dia lantas mengatur langkah keluar dari bilik itu dengan senyuman sinis yang sejak dari tadi tidak lekang dari bibir pucatnya itu.......

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience