Tahun 5027, Pusat Bandar MetroJaya
Sinar mentari di pagi hari menyinari Kota Besar MetroJaya. Namun begitu, hanya segelintir sahaja yang bangun bagi memulai rutin harian mereka. Masih ramai yang masih lena diulit mimpi nan indah biarpun jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi.... Kedengaran sayup-sayup kedengaran bunyi laungan azan subuh yang dilaungkan dari Masjid Ar-Rahman, masjid utama di kota ini.
"Ya Allah, Aqil! Kamu tak bangun-bangun lagi ke?" Tok Wan sedikit menjerit dari dapur untuk memastikan suaranya sampai ke gegendang telingaku.
"Sudah masuk waktu solat subuh Aqil, lekas bangun! Nanti kamu lewat ke sekolah," sambung Tok Wan lagi.
Kali ini, Tok Wan sekadar membiarkan sahaja aku tidur. Tiada lagi kedengaran suara serak milik Tok Wan. Mungkin kerana sudah serik mengejut aku. Bukan salah Tok Wan juga, aku memang pemalas sejak kecil lagi. Masa Umi dengan Walid masih dulu, aku tidaklah seteruk ni. Aku masih juga bangun pagi cuma tidaklah terlalu awal.
Kini, ditambah dengan kebanyakan kerja seperti mengemas katil dan bilik tidur, menggosok baju, membuat jadual dan membuat bekal serta sarapan sudah diambil alih robot pembantu rumah, lagilah bertambah malas aku.
Maklumlah, semuanya mesin buat, tapi... bukanlah aku yang kawal. Kenapa? Sebab aku ada satu keanehan. Aku sangat bernasib malang dengan apa-apa yang berkaitan tentang teknologi. Bayangkan... Hidup dalam era di mana semuanya dilakukan dengan bantuan teknologi namun, teknologi tak dapat aku gunakan. Terseksa. Ya, itulah yang aku selalu rasa.
Ada suatu masa, masa aku baru masuk tidur, jam penggera tak berhenti-henti berbunyi walhal, ia ditetapkan untuk berbunyi pada esok pagi. Aku matikan penggera kemudian sambung tidur. Percaya tak? Jam penggera itu berbunyi lagi! Sehingga tiga belas kali aku ulang matikan penggera namun, buat kali keempat belasnya dia berbunyi lagi.
Aku sudah mula hilang sabar masa itu, terus aku mencapai penukul eletronik yang ku seru setelah bersusah payah lantas memukul jam penggera itu dengan perasaan geram yang membuak-buak di hati. Sungguh aku tak sangka, setelah diketuk sehingga hampir berkecai pun, jam penggera itu masih terus berbunyi menyebabkan aku bertambah sakit hati.
Api amarah aku menjadi marak membara-bara seolah baru dituang minyak tanah. Aku menghentak dengan sepenuh tenaga meskipun penukul elektronik di dalam genggaman tanganku sebenarnya tidaklah terlalu membantu sangat... asyik mahu ghaib sahaja. Akhirnya jam penggera itu mula senyap.
Namun mata yang baru ingin ku tutup lantas terbuka dengan luas apabila jam penggera itu berbunyi buat ke sekian kalinya. Aku menggenggam penumbuk dengan lebih kuat sehingga urat-urat kehijauan mulai terbit di lenganku. Dengan satu pukulan, aku menggunakan rak berdekatan dan membalingnya ke arah jam penggera itu. Ku pijak-pijak sambil berteriak seolah tidak waras "Diamlah bodoh!" jeritku.
Ketika itu, Tok Wan yang bangun kerana terdengar bunyi bising terus mengintai kamarku. Sejak hari itu dia memutuskan bahawa dia sendiri yang perlu mengejut aku, bukan jam penggera lagi. Walaupun aku mungkin disalah anggap sebagai orang gila, aku tak kisah, kerana dendam terhadap jam penggera itu masih bersarang di hatiku.
Ada sekali itu pula, sekitar 3 bulan lepas, aku ditugaskan oleh Puan Zura, guru kajian sains untuk mengkaji dan membuat folio serta menyediakan pembentangan bertajuk hidupan yang sukar dilihat. Aku sangat bertuah kerana menjumpai salah satu dari haiwan yang diancam kepupusan paling susah untuk dijumpai, lalat.
Elok sahaja haiwan yang dilindungi itu terbang di ruang tamu rumah Tok Wan ini, aku terus mengambil beberapa gambar namun, cuba teka? Ketika aku menangkap gambar terakhir bagi mendapatkan markah penuh untuk kerja sekolah itu, boleh pula kamera digital pintar yang berbentuk seperti serangga bersayap itu M-E-L-E-T-U-P!
Mahal aku beli! 300 lin aku lesap begitu sahaja. Sedih memang sedih, tapi aku ada benda yang lebih penting untuk risaukan, lalat tadi turut mati dek letupan kamera aku! Dah satu masalah Tok Wan perlu bayar sehingga 400 fasd pada pihak kerajaan atas kesalahan membunuh haiwan dalam perlindungan!
Tahu tak 1000 lin itu baru bersamaan 1 fasd? Ini bermakna Tok Wan dah beri 400 000 lin! Kalau aku belanja 10 lin sehari, hasil bundaran perpuluhan menunjukkan aku boleh berbelanja sehingga untuk stok makan sahaja selama 111 tahun!
Kesian juga aku rasa pada Tok Wan, tapi bila aku kata nak bayar balik sedikit-sedikit, Tok Wan terus melenting. "Dah jadi tanggungjawab Tok! Tak perlu ungkit atau ganti! Lagi sekali Aqil cakap pasal benda ini, Tok tidak teragak-agak nak halau kamu keluar!" memetir jerkahan yang keluar dari kerongkong Tok Wan yang cukup untuk membingitkan telinga.
Aku memang dah cuak dah masa tu. Tok Wan memang terkenal dengan sifat yang baik dan susah nak melenting tanpa sebab, tapi... aku nasihatkan jangan lansung buat Tok Wan betul-betul marah. Kecuali kau memang sudah sedia untuk mati lebih awal. Nak bekas ketua panglima perang yang musuh gelarkan sebagai Sang Penggempur Dunia ini kelar leher kau?
Sedangkan Abang Badang yang jadi Pendekar dekat istana Sultan Al-Mazlan Shah IV dan orang sifatkan paling kuat itu pun kalau boleh nak mengelak jumpa dengan Tok Wan. Inikan kau? Tapi, walau apapun, aku bangga dengan Tok Wan aku! Dia sentiasa ada untuk aku. Dialah tempat aku lepaskan rindu terhadap Umi dengan Walid, dua insan teristimewa dalam hidup aku....
"Aqil? Aqil? Lekas lah! Kamu hampir lambat tahu?" kata-kata yang keluar dari mulut Tok Wan betul-betul menyedarkan aku dari lamunan panjang. Sedar-sedar aku rasa tubir mataku seakan basah. Mungkin aku tanpa aku sedar menangis bila teringat tentang ibubapa aku? Ya... Mungkin.
"Baik Tok Wan."
Balasan pendek dari aku kembali mensunyikan suasana apabila Tok Wan kembali sibuk membuatkan bekal untuk ku. Ah, Aqil sayang Tok Wan!
Bunyi derapan tapak kaki ku menuruni tangga kedengaran. Sebenarnya boleh je pasang eskalator cuma Tok Wan selalu kata, "Kita tidak boleh sentiasa bergantung kepada teknologi. Teknologi dicipta untuk memudahkan kerja manusia, bukannya langsung tak buat. Kalau berjalan turun tangga pun masih mahu guna teknologi, kita semua akan semakin malas!"
Ya, mungkin Tok Wan betul. Kita tak boleh terlalu bergantung pada teknologi semata untuk lakukan kerja kita, kita perlu melakukannya, cuma dengan bantuan teknologi. Sebab teknologi diciptakan bukan untuk menjadikan kita malas, sebaliknya kerana kita hamba Allah sentiasa mempunyai kekurangan.
Justeru, ada beberapa kerja contohnya, menyampaikan mesej, menghubungi seseorang, atau berkomunikasi secara meluas yang memerlukan satu sistem penyebaran dengan pengatur caraan yang rumit. Ha, di situlah teknologi mengambil peranan untuk memudahkan penyambungan komunikasi! Kalau semua memandang teknologi dari sudut ini, teknologi tidak akan lagi disalah gunakan oleh manusia.
"Apa lagi yang kamu menungkan tu Aqil? Makan sarapan ni. Nanti kereta terbang kamu akan autodrive." Tok Wan mengingatkan.
"Baik tok," aku membalas dengan sopan. Mata ku lebih terarah kepada sepinggan mi goreng menjadi santapan ku pagi ini. Aku makan dengan sedikit tergesa-gesa mengenangkan jam yang sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Aduh, kalau jalan sesak nanti, habis aku!
Ya, kami dididik supaya mahir memandu kereta terbang. Tapi dalam kes aku, kereta itu direka khas untuk memandu secara auto ke lokasi yang ditetapkan. Menarik bukan cara Tok Wan mengajar aku menepati masa? Sekarang aku perlu cepat, lain lah kalau aku nak jalan kaki sejauh 3 km kalau kereta terbang merah itu sudah sampai dahulu lebih awal ke sekolah.
Kereta tu merupakan salah satu dari kurniaan yang diberikan Sultan Al-Mazlan Shah IV terhadap Tok Wan. Tapi, dari dulu aku lihat, Tok Wan seolah tak pernah guna satu pun daripada kurniaan Sultan. Ah, bukan itu yang penting sekarang.
"Kenapa tergesa-gesa ni? Makan perlahan-lahan, nanti kamu tercekik,Aqil." Tok Wan menasihatiku. Sejurus selepas itu aku tersedak. Cis, nampaknya mulut Tok Wan betul-betul masin. Aku meneguk air dengan laju. Hilang sedikit perit di tekak.
"Tok Wan, Aqil dah habis makan ni. Aqil pergi dulu ya? Assalamualaikum, tok." aku berkata selepas selesai makan. Sebaik Tok Wan mengangkat tangannya ke atas sebagai, terus sebuah robot pembantu mengutip pinggan mangkuk untuk dibawa ke sinki. Di sana terdapat 3 buah lagi robot pembantu lengkap berpakaian rasmi sedang tekun mencuci dan menggilap pinggan mangkuk milik Tok Wan.
"Yalah, Waalaikumussalam. Elok-elok di jalan tu. Fi Amanillah." Tok Wan membalas. Aku bergerak pantas ke arah garaj kereta dan memasuki perut kereta terbang milikku itu.
"Pengecaman suara, sila sebutkan kata laluan dengan suara dan nada yang betul." suara robotik keluar dari pembesar suara kecil di sebelah stereng pemandu.
"Dek qamana tik walu, men koi zi cin nuana, lu taq sittah di alu misav suluqmulasqkahz." lancar sahaja aku menyebut bahasa Koanal, bahasa purba yang diajar Tok Wan. Serentak dengan itu keluar lagi suara robotik dari pembesar suara itu.
"Mistuwaliq deq kulavz" balas suara robotik itu juga dalam bahasa Koanal.
"Disahkan, Tuan Aqil, ke mana tuan ingin pergi?" tanya X sistem keselamatan yang dipasang Tok Wan untuk menjaga aku. Bukan hanya di kereta terbang ini, malahan di semua teknologi berhampiran aku.
"Bawa saya ke sekolah X, gunakan jalan terpantas" aku menjawab pantas.
"Permintaan diterima. Menunggu arahan." balasnya lagi.
"Sejak bila benda ni banyak permintaan pula?" gumam aku.
"X! Mecha 13000 Y! Destination: School, in 10 minutes, take me there. Right now!" aku memberi arahan. Sistem ini hanya pengecaman dalam bahasa Koanal, permintaan bahasa purba Negara Lagenda Malaysia, dan arahan mandatori dalam bahasa purba Negara Lagenda England. Jadi memang susah sikit nak berinteraksi dengan benda alah X ni.
"Accepted! Place your seatbelt sir."
Kereta terbang itu membuka sayap kiri dan kanannya. Enjin dihidupkan dan turbo diaktifkan. Kereta itu meluncur laju membelah langit.
"Are you alright there, sir?" tanya X
"Ya, I mean, yes. Fast please X!" aku membalas.
"As you wish," X menghidupkan 4 lagi enjin turbo.
"Ah, akhirnya dia berhenti bercakap!" aku sedikit merengus, rimas dengan perlakuan X. Namun selang 3 minit selepas itu....
"Do you need anything, sir? Coffe or Tea maybe?" soal X buat ke sekian kalinya.
"Ya Allah! Astaghfirullah hal azim! La haula wala kuwwata illa billahil a'liyyil azim...." aku menghela nafas.
"Fine! Green Tea, no milk please?" aku membuat pesanan. Kadang-kadang sukar juga bila ada sistem tak habis nak membebel ni kan?
"OK, anything else, sir?" dia bertanya.
"No, and please? No more questions X!" bentakku. Sedikit geram.
. "....," akhirnya! Dia berhenti bercakap! Alhamdulillah Ya Allah!
Tanpa aku sedar, kereta terbang meluncur semakin laju di udara. Sebaik aku membuka mata, satu permandangan yang biasa bagi aku tapi, mungkin bukan untuk orang dari abad ke 21.
Apa yang aku sedang lihat adalah, berpuluh ribu kereta terbang pelbagai warna di sisi ku, MRT(MetroJaya Rapid Transit) yang meluncur laju bak kilat, dan berpuluh juta buah robot pembantu yang sedang berada di bawah sana. Dari atas langit ini, mereka kelihatan seolah semut kecil sahaja, namun, jika dilihat dengan teleskop mudah alih yang dipasang di kereta ini, kita dapat melihat dengan jelas apa yang mereka lakukan.
Beribu orang manusia sedang memberi arahan kepada robot pembantu. Ada juga robot pekerja yang sedang menjalankan tugas. Terdapat robot pengawal, ahli bomba, penghantar surat sehinggalah pelukis jalanan. Semua ini menghidupkan suasana meriah walaupun sedikit riuh-rendah, menjadikan kota metropolitan dengan ribuan menara-menara pencakar langit yang gah berdiri serta bersinar-sinar seperti permata. Bangunan itu terdiri dari pelbagai bentuk dan warna.
Dari kejauhan, masih dapat mata kasar ku menangkap imej Menara Alfa yang terkenal dalam penyiasatan kes-kes luar biasa. Skruktur binaannya yang seolah bangunan yang terbalik di mana seluruh urusan di dalamnya dilakukan secara terbalik dengan penambahan sudut sebanyak 180°!
Reka bentuk anti-graviti ini menjadikan Menara Alfa, memasuki carta 10 menara paling aneh di dunia yang makin hangat dibualkan oleh para robot hamba di kedai kopi. Aku maksudkan kedai kopi yang sudah sempurna bak kayangan, penuh dengan barang yang berasaskan... yalah, kopi lah kan? Takkan teh hijau pulak?
Bangunan berusia 10 abad itu masih dijaga hingga ke hari ini, namun begitu, ia kini tidak dibuka untuk orang ramai kecuali pada musim lawatan sahaja. Ada khabar angin mengatakan bahawa pengasas Menara Alfa, Allahyarham Profesor Emeritus Dr. Muhaya, seorang ahli paranormal telah hilang secara misteri. Ketiadaan 'tuannya' membuatkan 'semangat' menara ini naik marah dan menyebabkan sesiapa, yang memasuki menara itu sebelum ritual dijalankan, akan diganggu oleh 'semangat' itu.
Tapi bagi aku itu cuma ura-ura sahaja, bukan realiti. Come on! Sekarang ni abad ke-50! Semua paranormal ni hanya kepercayaan karut sahaja pada masyarakat berintelek zaman ini.
Bukan seperti abad-abad yang lain, kami semua membuat andaian atau lebih orang fahami sebagai khabar angin berdasarkan pemerhatian, hipotesis, ramalan, uji kaji, dan kesimpulan. Tanpa 5 langkah saintifik membuktikan dahulu, kami tidak akan terus menyebarkan sesuatu khabar angin. Tentang kes orang yang sebarkan rumours tentang Menara Alfa ni, aku pun tak tahu dia belajar kat mana. Dia orang abad ke-21 mungkin? Orang zaman tu semua bodoh belaka.
Tak aku tipu, kalau orang yang sedang baca ni adalah orang dari abad ke-21, korang memang bertuah, masa tu, iklim persekitaran masih terjaga, cuma korang yang bodoh sikit sebab nak tarah tanah di situ, tahu tak kami masyarakat masa depan terpaksa berperang untuk selamatkan sistem suria?
Kalau lah korang dengar seruan aku ni, berubahlah sebelum terlambat. Satu lagi kesilapan kecil dari abad sana mungkin akan menjadikan kami di abad sini, er... apa bahasa mudah ya? Mati, terkulai, dibunuh, tenggelam oleh kerakusan dan ketamakan korang serta akan, musnah mungkin? Paradoks masa sentiasa berubah.
Sedar atau tidak, aku kini sudah sampai ke Sekolah Menengah Teknologi MetroJaya. Dengan tablet mudah alih di tanganku, aku mengaktifkan fungsi pakaian holografik. Dua bebola bersimbol X keluar dari cermin sisi kereta dan memancarkan beribu partikel nano hologram yang akhirnya, menukar pakaian aku tadi kepada pakaian sukan.
Cis, terlupa pula aku hari ini ada aktiviti sukan! Inilah akibat bila kita terlalu bergantung kepada teknologi. Sampai jadual pun robot buatkan Aqil, macam mana kau nak ingat ada aktiviti apa? Mungkin aku perlu kurangkan kebergantungan aku terhadap teknologi semata untuk melakukan semua kerja aku.
"Wah, lihat siapa yang datang! Budak lembab yang tidak pandai menghidupkan suis robot lah!" seorang remaja lelaki dengan seragam sukan yang dikeluarkan dari seluar menampakkan betapa dia menganggap remeh berkaitan peraturan sekolah.
Dia, Afiq. Kenalan sekelas atau dalam kes aku pembuli sejak kecil aku. Melihat mukanya yang menjengkelkan itu ketawa berdekah-dekah bersama beberapa rakannya mengingatkan aku kepada suatu kejadian.
Sekitar 10 tahun dahulu, semasa kami masih di sekolah rendah. Ujian kelayakan untuk memasuki darjah satu bagi Sekolah Rendah Teknologi adalah mencipta sebuah robot yang sekurang-kurangnya mampu menggerakkan kedua belah tangan dan kaki serta mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 3 ayat. Ya, itu adalah ujian kelayakan kemasukan ke Tahun 1! Boleh bayangkan macam mana ujian akhir tingkatan 5?
Dan cuba teka? Buat ke sekian kalinya, teknologi mengkhianati aku.... Aku satu-satunya yang tidak lepas ujian itu. Aku sudah siap memasang robot aku, namun, tatkala aku menyentuh suis hidup, ia meledak secara tiba-tiba! Dan aku digelakkan sahaja kerana sepatutnya budak tadika dah berlatih nak buat benda alah ni. Nasib baik ada Tok Wan, kalau tak, mesti aku dah dihalau keluar sekolah!
"Macam mana kau sampai awal budak?" soal Afiq. Mukanya kelihatan seolah sedikit geram bila aku tidak mempedulikan kewujudan dia. Bagus pun, dah tinggi macam tiang lampu, apa salahnya aku gunakan kelebihan dia untuk anggap dia sebagai tiang lampu?
"Aku cakap dengan kau lah!" dia menarik tangan ku kemudian dia menumbuk perut aku bertubi-tubi. Abdomenku terasa perit, dahlah lebam yang aku dapat dengan seikhlas hati sesuci murni dari budak syaitan ni tak pulih lagi. Aduh, kena lah beli Pil Penyembuh. Tunggu, bukan pil tu untuk tumbuh-tumbuhan ke? Aduhai, nasib....
"Jawablah bodoh!" jerkah nya.
"Merangkak mungkin? Naik kereta lah bodoh! Ke selama ni kau pun merangkak juga?" balasku. Aku merentap tanganku dan menumbuk kembali mukanya, namun, dia menepis dengan mudah. Tanpa peduli dia memusing lenganku hingga aku mengeluarkan air mata. Adeh, mengamuk Tok Wan nanti bila tahu tangan aku patah lagi.
"Celaka kau! Dah pandai melawan ya? Jangan sampai aku buat lebih teruk dari ni!" dia menengking! Bahu aku sedikit tersentak, terkejut dengan tindakannya.
"Sudah berhenti!" tiba-tiba satu tendangan hinggap betul-betul di badan Afiq. Dengan bunyi tulang yang patah, aku mengagak bahawa rusuk kiri Afiq sudah patah. Pemuda yang menendang tadi hanya tersenyum sinis melihat Afiq mengerang kesakitan.
"Celaka kau! Siapa yang.... Ma... Maafkan saya Cik... Cikgu Tu... Tuah." tergagap Afiq menahan kegugupan yang dialaminya. Mengapa? Sebab dia sedang berhadapan dengan Cikgu Tuah, bekas hulubalang istana. Dia antara orang penting dalam tentera MetroJaya suatu ketika dahulu sebagai salah seorang Jeneral berpangkat hulubalang istana. Tapi dia berhenti. Ada orang kata dia mengkhianati Raja, tapi entahlah, malas den mau pikir
"Pergi ke kelas kamu, atau terima yang lebih teruk! Faham?" tempik Tuah.
"Apa yang kamu tunggu lagi? Cepatlah!" Cikgu Tuah menjerkah geng-geng Afiq. Terkocoh-kocoh mereka berlari ketakutan. Aku masih di hadapan pintu pagar titanium sekolah. Menangis. Mengingat kelemahan diri aku, tidak melawan walaupun dibuli. Buat malu sahaja!
"Sudah, jangan menangis lagi.... Kamu sudah selamat. Sudah, masuk ke kelas dan laporkan pada saya jika mereka membuli kamu lagi. Faham?" Cikgu Tuah memberi pesan. Lembut, namun cukup tegas.
Sebelum kaki aku melangkah ke dalam kelas, aku sudah menetapkan suatu keputusan. Ini melibatkan Tok Wan jadi kena tunggu balik. Keluhan nafas berat keluar dari mulutku. Nampaknya mungkin sudah tiba waktunya, aku melepaskan segala rasa yang terbuku di hati aku.
Baru aku ingin melabuhkan punggung ku ke atas kerusi, sepasang tangan memegang kedua belah bahuku dari arah belakang. Sebaik kepala aku berpusing menghadap arah itu, terus riak muka ku berubah. Berkerut seribu mukaku. Ah, tak mungkin DIA?
Share this novel