3~ Hasrat Tak Kesampaian

Fantasy Series 2142

Sekolah Rendah Teknologi CyberJaya(SRT CyberJaya)...

"Aqil sila jawab soalan 35?" tenang suara Puan Ainun, guru sains Aqil. Dia bertubuh kecil dan memakai kot makmal. Cermin mata turut menghiasi wajah guru berumur 20-an itu. Aqil merupakan murid dari kelas 6 Amanah... kelas yang pertama. Meskipun Aqil agak lemah dalam bidang teknologi, dia sangat bijak dalam bidang-bidang yang lain. Semua bidang utama dapat Aqil kuasai kecuali.... Ya, bidang teknologi. Ini kerana setiap kali ujian bidang teknologi, Aqil akan gagal.

"Aqil?" ulangnya sekali lagi. "Ya Allah Aqil! Kamu termenung apa tu!" suaranya sedikit kuat melihat budak lelaki yang sering dikatakan kacak itu sedang termenung. Mata guru itu terbuka luas dan telapak tangannya digenggam dengan perasaan marah melihat dirinya seolah halimunan di mata Aqil.

"Aqil!" suaranya memetir. Ini mengejutkan Aqil dari lamunannya.

"Ma... Maaf Cik... Cikgu Ainun." Suara Aqil tergagap-gagap dan badannya menggeletar ketakutan.

"Akhirnya! Kamu masih bernafas, saya ingat sudah meninggal tadi! Sekarang jawab soalan 35." suara Ainun mulai mengendur. Dia bukanlah kempunan benar nak memarahi anak-anak muridnya, tapi sikap Aqil yang mematungkan dirinya memaksa dirinya untuk mengeluarkan sisi garang dalam dirinya yang sedaya upaya dia sorokkan.

Mata Aqil mengerling kepada soalan yang di paparkan di skrin digital di hadapan kelas yang berfungsi seperti papan putih, cuma ia lebih mudah untuk digunakan di samping dapat di bawa ke mana-mana setelah dilipat. Soalan yang dipaparkan sedikit membuatkan Aqil terkejut. Soalan itu menanyakan apakah itu daya graviti? Dia masih belum mengulang kaji topik ini, tapi dia akan cuba yang terbaik untuk menjawabnya.

"Er... Daya graviti adalah daya tarikan ke bawah permukaan bumi yang bertindak ke atas objek di sekelilingnya."

"Baik, tepat. Boleh kamu jelaskan peristiwa penemuan daya graviti?"

"Sir Isaac Newton merupakan penemu kepada prinsip daya graviti. Beliau menjadi takjub melihat sebiji epal jatuh tepat ke tanah tanpa terpesong sedikit pun. Dari situlah beliau mula mengkaji dan mengandaikan bahawa setiap planet mempunyai tarikan graviti. Tarikan ke atas objek untuk pergi ke arah pusat graviti planet. Prinsip ini kemudiannya digunakan secara meluas dan menjadi salah satu prinsip saintifik yang popular setaraf dengan Prinsip Mass-Energy Equalisation yang diperkenalkan oleh Einstein." panjang lebar penerangan Aqil.

"Baiklah, kamu boleh duduk." arah Cikgu Ainun. "Sekarang, siapa boleh kaitkan teori dengan kedudukan planet-planet dalam sesebuah sistem di dalam galaksi?" soal guru itu. Ini sedikit membuatkan sesetengah murid mendiamkan diri. Guru yang digelar 'Profesor Kepada Semua Bidang' itu bukannya boleh dijangka. Ada sahaja soalan luar akal bakal diajukan olehnya.

"Saya boleh," jawab Aqil dengan pantas. Dia sangat yakin kali ini.

"Baiklah, teruskan," balas guru itu, senyuman kecil terbit di bibirnya setelah melihat kesungguhan Aqil.

"Dengan daya graviti, jarak antara setiap planet ditentukan oleh pusat sistemnya di samping turut dipengaruhi oleh tarikan graviti sesebuah planet itu sendiri. Sebagai contoh, graviti Matahari di Sistem Solar yang kita diami, menarik planet-planet di sekitarnya, tarikan graviti yang mulai melemah setelah jarak yang jauh dicapai, menyebabkan planet-planet tersusun pada kedudukan yang berbeza. Ini sekali gus, menunjukkan betapa pentingnya graviti terhadap alam semesta." terang Aqil tanpa menghela nafas.

Penerangan Aqil sedikit berjaya membuatkan seisi kelas itu terlopong mengenangkan kebijaksanaan yang dimiliki Aqil, sayangnya... dia tidak mahir dalam teknologi. Namun itu tak menggembirakan Aqil sedikit pun. Suasana yang sunyi mengingatkan kembali Aqil kepada peristiwa yang menyebabkan dia termenung sebelum ini. Memori itu diputarkan kembali di minda Aqil.

Pada waktu itu dia sedang memasuki kelas, sebelum punggungnya sempat menyentuh kerusi, bahunya terasa seperti dipegang dari pada belakang. Tindakan refleks yang dihantar ke impuls saraf otaknya menyebabkan bahunya sedikit terangkat dan cepat-cepat mukanya dipalingkan ke belakang.

Tambah memeranjatkan, orang itu adalah orang yang tidak Aqil kenali. Dengan topeng kayu berukiran aneh yang dipakai lelaki misteri itu membuatkan Aqil terus ingin menjerit, namun... nampaknya lelaki itu lebih pantas, tangannya ditekup ke mulut Aqil menyebabkan suara Aqil tertahan-tahan.

"Syhh, jangan bising. Ni aku lah!" kata lelaki itu sejurus selepas dia menanggalkan topeng tadi. Kini mata topaz miliknya menikam tepat iris emerald Aqil.

"Ab... Abang Ahmad? Apa abang buat dekat sini! Macam mana abang boleh masuk? Dan yang paling penting, teknologi apa abang guna sampai tablet saya tak boleh kesan kehadiran abang? Sedangkan saya sendiri yang letakkan alat pengesan pada abang?" bertubi-tubi soalan keluar dari kerongkong Aqil.

"Hei-hei, sabarlah! Satu-satu." Abang Ahmad memasang muka datar kepada Aqil. Tepat pada waktu itu, seorang pelajar berjalan berdekatan mereka berjalan menembusi Ahmad seolah-olah dia hanyalah wujud di dalam imaginasi Aqil.

"LUPAKAN PASAL SOALAN AQIL! MACAM MANA ORANG BOLEH TEMBUS BADAN ABANG? YANG PALING PENTING KALAU PUN ABANG NI HOLOGRAM, MACAM MANA AQIL BOLEH RASA TANGAN ABANG TADI?" Aqil sedikit menjerit.

"Nasib baik aku dah letakkan Sihir Pemanipulasi bunyi awal-awal. Kalau tak..." gumam Ahmad.

"Apa abang cakap?" Aqil tidak dapat mendengar kata-kata Ahmad.

"Eh, takde apa-apa. Er... tentang tu, abang guna teknologi terbaharu ciptaan abang. Hebatkan?" walhal, dia menggunakan Sihir Penjelmaan Diri Separa untuk ada di situ.

"Oh, macam tu rupanya!" Aqil terus mempercayai kata-kata Ahmad. Kenapa? Kerana Ahmad, abang angkatnya itu merupakan bekas pakar teknologi CyberJaya yang menjadi tunjang perkembangan teknologi di negara itu. Naif sungguh!

"Jadi, apa abang nak? Sampai buka hologram depan Aqil? Mesti ada benda penting, kalau tidak.... baik abang guna Kunci Gerbang sahaja nak ke sini bukan? " Aqil menyoal Ahmad persis seorang detektif handalan. Sempat juga dia menyebut Kunci Gerbang, salah satu ciptaan terkemuka Ahmad.

Ia berupa sebuah kunci yang diperbuat daripada gangsa. Kunci itu disertakan bersama dengan sebuah kotak yang digelar Kotak Destinasi. Cukup memasukkan Kunci Gerbang ke dalam lubang kunci, fikirkan destinasi dan putarkan kunci untuk membuka Kotak Destinasi, hasilnya... pengguna akan tiba di destinasi yang dihajati dalam satu kerdipan mata sahaja. Mudah bukan?

"Faham pun akhirnya kau. Tak perlu aku nak terangkan dengan lebih lanjut." balas Ahmad.

"Jadi... apa yang abang nak ni?" soal Aqil dengan nada yang kedengaran sedikit teruja.

"Begini, aku mahu kau ikut aku mengembara ke luar CyberJaya! Abang perlu menimba pengalaman sebelum ujian kelayakan Profesor Emeritus tidak lama lagi! Pasti bosan jika abang pergi bersendirian." jelas Ahmad panjang lebar.

"Er... Maaf abang, saya tak boleh nak cakap ya atau tidak sebab saya perlu tanya Tok Wan dulu." Aqil menjawab perlahan. Meskipun di dalam hatinya dia sudah bersorak dengan penuh kegirangan. Mengapa? Sudah tentulah kerana kini, dia sudah punya alasan kukuh untuk dia meluahkan hasratnya kepada nendanya.

Jika sebelum ini, kepalanya bagai ingin pecah memikirkan alasan yang perlu diberikan kepada Tok Wan. Sekarang, dengan adanya Ahmad, masalahnya sudah selesai!

"Aduh! Aku terlupa lagi!" jerit Ahmad yang berjaya membangunkan Aqil dari lamunannya. Jam digital di pergelangan tangannya dikerling dengan wajah terkejut.

Dia benar-benar terlupa bahawa para Profesor di seluruh TommorowLand, termasuk dirinya yang mewakili CyberJaya akan mengadakan mesyuarat tergempar. Ah, bagus! Kini dia perlu menadah telinganya apabila sampai di Dewan Ilmu, Kota Isyin. Pasti Madam Morales akan membebel sehingga menjelang waktu makan malam nanti.

"Eh, mengapa ni bang?" tanya Aqil melihat Ahmad membebel. Hairan benar dia dengan Profesor yang satu ini, bijak... tapi malangnya... perlu diakui, dia memang seorang yang ganjil.

"Er... tiada apa. Ka... Kamu perlu beritahu Tok Wan apabila kamu tiba di rumah ya? Kirim kan sekali salam dari aku! Adios!" jerit Ahmad, sedikit tergesa-gesa. 'Hologramnya' dimatikan dan imejnya terus lesap dari pandangan Aqil.

"A... bang? Kenapa dia tergesa-gesa?" gumam Aqil sendirian.

Disebabkan peristiwa itulah, Aqil termenung dari waktu kelas bidang pertama lagi. Sehinggalah suara Cikgu Ainun menyedarkan Aqil daripada terus-menerus termenung.

Kring!

Bunyi loceng itu tanda berakhirnya waktu persekolahan. Waktu yang ditunggu-tunggu oleh Aqil. Kalau boleh, dia mahu memecut kereta terbangnya terus ke rumah untuk berjumpa dengan Tok Wan dengan segera. Tapi, etika tetap perlu diutamakan.

"Bangun.... Terima kasih Cik Ainun!" lantang suara Alif, ketua kelas 6 Amanah.

"Terima kasih Cik Ainun!" bersemangat sekali murid-murid mengucapkan terima kasih. Itu sudah pasti, siapa sahaja yang tidak bersemangat pada waktu balik?

"Sama-sama. Kamu boleh pergi sekarang." ucap Ainun. Apa lagi? Berdesup murid-murid keluar dari kelas. Sesetengahnya menggunakan papan selaju yang mempunyai penggalak roket di bahagian belakangnya.

Hanya segelintir murid sahaja yang pergi ke arah Cik Ainun untuk bersalaman. Masa depan mungkin dipenuhi dengan teknologi yang menyeronokkan. Tapi, seiring dengan waktu yang berubah... adab yang diajarkan oleh generasi terdahulu seolah sudah hampir hilang ditelan zaman. Sebagaimana hilangnya bilangan manusia yang masih belum dikaburi matanya dengan nafsu yang membara.

Seusai bersalaman, Aqil bergegas ke arah kereta terbangnya.

"Pengecaman suara, sila sebutkan kata laluan dengan suara dan nada yang betul." X mengeluarkan arahan.

"Dek qamana tik walu, men koi zi cin nuana, lu taq sittah di alu misav suluqmulasqkahz." Aqil menyebut dengan pantas. Ah! Dia tiada masa untuk protokol keselamatan ni!

"Mistuwaliq deq kulavz" balas X. Sistem itu sedang memproses kata-kata Aqil.

"Disahkan, Tuan Aqil, ke mana tuan ingin pergi?" sistem keselamatan itu membalas selepas ujian selesai dibuat.

"Bawa saya ke rumah, X!"

"Permintaan diterima. Menunggu arahan." balas X kembali.

"Aku perlu pertimbangkan pembatalan sebahagian protokol keselamatan ni." Aqil menghela nafasnya. "X! Mecha 130000 Y! Destination: Home! Using the highest speed, take me there! No more questions! " sambung Aqil kembali.

"Accepted. Place your seatbelt, sir."

Sayap kereta dibuka. Enjin turbo diaktifkan, dan kereta itu kemudiannya meluncur laju ke destinasi.

"Lebih laju, lebih bagus! Aku ada hasrat untuk diluahkan." gumam Aqil sendirian.

Secara tiba-tiba kereta itu bergegar hebat! Aqil dapat merasakan hentaman kuat di bahagian bumper keretanya. Peluh jantan mula mengalir di dahi Aqil mengenangkan keadaan yang dihadapinya sekarang.

"Enjin turbo kiri kita telah diletupkan. Sila bertenang, tuan Aqil."

"Bertenang kau kata? Bertenang? Aku salah dengar ke?" Aqil membuat muka datar apabila perkataan 'bertenang' menyapa gegendang telinganya. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia memukul panel kawalan X.

"Wahai penduduk TomorrowLand sekalian! Aku Chaos! Penakluk Empayar Galaksi! Serahkan kesemua bandar di bawah naungan pemimpin di sini, dan kamu semua tidak akan dicederakan! Kamu ada masa 5 minit!" jerit satu suara dari skrin digital mega di pusat bandar CyberJaya dan bandar-bandar yang lain.

Muka Aqil bertukar pucat seakan-akan mayat melihat berpuluh-puluh ribu robot tempur gred A berwarna hitam menyerang dan meranapkan bangunan di sekeliling robot-robot itu.

Ada yang memancarkan laser dari mata mereka, dan ada yang membedil menggunakan meriam pemusnah. Segelintir penduduk cuba melawan dengan menggunakan meriam tangan atau pedang laser. Namun sayang, mereka tak setanding dengan makhluk keluli tak berjiwa yang sangat kuat itu.

Tanpa sedar Aqil menitiskan air matanya. Inilah, keadaan bagaimana ibu-bapanya meninggal dunia 5 tahun lepas. Mereka pergi ketika berjuang di dalam perang sebagai 2 panglima kelas atasan.

Kereta terbang yang sudah rosak teruk dan mulai jatuh perlahan-lahan tanda penstabil sudah rosak lansung tidak dipedulikan oleh Aqil. Ya, ada benda yang lebih penting sekarang. TOK WAN! Aqil tak mahu kehilangan orang kesayangannya buat kedua kalinya.

Mata Aqil terbeliak melihat berpuluh-puluh lagi robot melepaskan tembakan laser secara rawak. Jeritan dan tangisan kedengaran di sekelilingnya. Darah mengalir di merata tempat! Dia berharap dengan sepenuh hatinya... itu bukan darah nendanya.

"Hahahahaha! Aku mampu buat lebih teruk daripada itu! Jadi, segeralah buat keputusan jika tak mahu bandar kesayangan kamu semua ini... M-U-S-N-A-H, hahahahaha!" berdekah-dekah lelaki bertopeng yang membahasakan dirinya sebagai Chaos mentertawakan kesengsaraan yang sedang semua orang hadapi.

Aqil menutup matanya. Dia sudah tidak sanggup mendengar bait-bait bicara yang keluar dari mulut celupar lelaki itu. Satu dari tembakan laser itu mengenai kepala Aqil. Kepalanya terasa sakit... berdenyut-denyut... Aqil rasa kepalanya bagai ingin meletup pada bila-bila masa. Luka yang penuh di badan hasil bedilan meriam pemusnah robot-robot itu menambahkan lagi kesakitan yang dia rasai. Dalam hati, dia berdoa agar Tok Wan tidak merasai kesakitan yang sama sekarang.

"CELAKA KAU!" bergema suara yang serak basah di seluruh bandar itu.

Sebelum rebah dek kesakitan yang tidak tertanggung di kepalanya, Aqil tersenyum lemah... "Bodoh! Kenapa kau datang lambat sangat!" senyumannya itu kekal walaupun matanya telah tertutup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience