Lelaki yang berpakaian baju melayu putih itu memberhentikan keretanya di hadapan tanah perkuburan islam. Kereta dimatikan, dia membuka pintu kereta dan keluar menuju ke kubur seseorang.
Langkahnya yang berat diteruskan.
Dia bentang tikar kecil di hadapan kubur itu, air mineral dijirus ke atas kubur.
Surah Yassin dibaca.
Seusai dia habis membaca surah Yassin, dia mulakan bicara yang sekian lama terpendam.
“Assalamualaikum Hawa. Naufal datang jumpa Hawa. Naufal nak bercerita dengan Hawa tentang Ijah. Hawa kenalkan Ijah, anak kecil yang kita berdua sayang. Anak kecil yang Hawa kenalkan pada Naufal 2 tahun lalu sebelum Hawa pergi buat selamanya. Anak kecil itu juga pergi meninggalkan Naufal buat selamanya. Tapi kan Allah temukan Naufal dengan seorang wanita besi yang kuat berjuang demi hidupnya.”
Air mata mula bertakung di kedua-dua tubir matanya.
“Jujur Naufal katakan yang Naufal sudah mula jatuh cinta dengan wanita itu. Kisahnya sedikit sebanyak menyedarkan Naufal tentang realiti. Hawa, maafkan Naufal. Naufal tidak berpegang dengan janji yang Naufal kotakan pada Hawa 2 tahun lepas. Hawa, masih adakah bahagia buat Naufal? Masih wujud kah cinta yang selayaknya buat Naufal?”
Wajah Hawa terpapar di hadapan mukanya, tersenyum manis wanita itu di dalam persalinan putihnya. Bersinar itu yang dia lihat sekarang.
“Naufal, berbahagia lah. Jangan berduka dengan pemergian saya dan Ijah. Terbang bebas di dunia ini Naufal. Kejar wanita yang awak igaukan, dia milik awak. Lupakan saya. Cuba berbahagia buat diri awak.”
Hilang. Wajah Hawa hilang dari pandangannya. Air mata diusap, jam di tangan dilihat. Pukul 10 pagi. Naufal lupa bahawa Yasmin ada sesi rawatan chemotherapy. Baru semalam Doktor Amirah beri tahu bahawa dia mahu Naufal hadir ke sesi rawatan kali ini.
****
“Am kakak tumpang kamu ke hospital boleh? Akak tak larat nak drive kereta hari ini. Akak rasa tubuh akak sangat lemah sekarang.” Ujarku.
Am buka pintu kereta penumpang. Aku menyalam tangan ummi dan abi. Hari ini ummi dan abi mahu pulang ke kampung arwah opah. Katanya mahu bersihkan rumah yang telah berbulan-bulan ditinggalkan.
Aku masuk ke dalam kereta. Senyap.
Aku tahu Am kecewa dengan jawapan aku semalam.
“Am kakak nak minta maaf kalau jawapan akak semalam buat Am kecewa. Akak tiada niat untuk persoalkan perbuatan Naufal. Akak cuma terasa sedikit walaupun akak ni bukan siapa-siapa yang penting dalam hidup dia.” Luahku.
Keadaan masih lagi senyap. Tiada sepatah pun keluar dari mulut Am.
Air mataku mula menitik perlahan. Tersedu-sedu aku menahan tangisan.
Am mengeluh.
“Bukan niat Am nak mempersoalkan jawapan akak tetapi akak sendiri tidak tahu niat sebenar dia menziarahi kubur Hawa. Akak tahu kan Doktor Amirah ada minta Naufal temankan akak harini. Jadi Am pinta akak jangan buat perangai. Jangan terasa, dengar sahaja apa yang Naufal nak beri tahu. Tolong buat ini demi diri akak.”
Am meneruskan perjalanan ke hospital. Selepas 30 minit, kami selamat sampai. Am menolak aku menggunakan kerusi roda, aku tidak mahu tetapi tetap dipaksa. Walaupun Am ini adik, aku tetap takut dengannya lagi-lagi bila Am sudah mula marah. Jangan dibantah sekali pun apa yang dia cakap.
Setibanya kami di bilik rawatan aku hari ini. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lelaki yang segak berbaju melayu putih yang tersenyum lebar di hadapanku. Aku fikir dia tidak sudi untuk temankan aku.
“Jaga kakak aku elok-elok. Hari ini dia tidur di hospital, Ummi dan Abi aku tiada di rumah. Risau pula aku nak tinggalkan dia seorang di rumah. Lagipun hari ini aku busy, kau pula cuti. So tengokkan kakak untuk aku.”
Am meletakkan beg pakaian ku di dalam almari. Dia beredar meninggalkan bilik ini dan pergi menjalankan tugas. Aku toleh wajah Amirah yang tersenyum sedari tadi. Suka lah kau tengok aku terkulat-kulat kejap lagi.
“Hari ini aku tak perlukan nurse, dah ada new assistant dekat sebelah ni. Kurang beban aku hari ini. Bagus Naufal, akak tak sangka kau datang ya.”
Tertunduk malu Naufal apabila diusik Amirah. Nampaknya hari ini sesi rawatan aku kena pakai tudung lah, selalunya aku cabut sahaja tudung yang melitupi kepala. Berpanas lah kau hari ini Yasmin.
Aku menuju ke tandas untuk menukar pakaian yang aku pakai ke pakaian hospital. Tudung yang berbelit itu aku tukar dengan tudung sarung berwarna hitam. Simple dan selesa.
Aku keluar dari tandas dan duduk di atas katil. Air yang dihulur oleh Amirah aku teguk sebelum memulakan rawatan. Aku baring di atas katil, hati aku tidak berhenti berzikir dan berselawat. Ya Allah permudahkan semua, kurangkan sakit yang bakal menyerang diri ku. Sesungguhnya tubuhku sudah mula melemah semenjak semalam.
“Yasmin jangan lupa berdoa. Saya akan sentiasa ada di sisi awak. Kuatkan diri, cekal kan hati.” Pesan Naufal.
“Get ready Yasmin, ini rawatan ketujuh kau. You can do it.
Bismillah.”
Sedikit demi sedikit rasa sakit menjalar di dalam tubuhku. Aku tidak mampu menahan rasa sakit ini, air mata yang bertakung sudah mula berlinang dengan laju. Aku genggam selimut yang menutupi badan ku.
“Sakit, ya allah sakit.” Suaraku bertukar serak.
“Yasmin kuat ya. Allah ada, kuat sayang.” Ujar Naufal.
Mataku semakin memberat, aku pejamkan mata dengan harapan sakit rawatan ini bakal hilang. 1..2..3
Mataku terkatup ratap. Lena, aku dibuai rasa sakit yang semakin hilang.
Penat. Lemah. Mati.
Itu yang aku rasakan.
“Jangan risau, Yasmin memang begini. Dia akan tertidur bila terima rawatan. Dia mahu hilangkan sakit yang mencengkam tubuhnya.”
“Boleh Naufal tahu berapa lama Yasmin dan bekas suaminya bercinta dan menjalin kasih?” Soal Naufal.
Amirah senyap. Bukan dia tak mahu bercerita cuma dia tak mahu buka kisah hitam itu semula. Kisah hitam yang menghantui malam-malam Yasmin.
“11 tahun. Tempoh yang lama.”
Naufal mati kata. 11 tahun, setia-nya seorang Yasmin Aneesa di sisi seorang lelaki yang dicintai setulus hatinya selama 11 tahun. Kagum, tabik dia pada wanita ini.
“Mereka bercinta lama. Dari zaman belajar dulu. Yasmin ambil bidang perniagaan, memang cita-citanya mahu buka satu pastry shop dari zaman dia sekolah menengah lagi. Dari kecil Yasmin memang pandai buat kek. Jadi seingat akak diaorang berjumpa waktu degree. Umur 22 tahun waktu itu.”
Amirah teguk air suam di dalam botol minumannya. Wajah Yasmin yang lena itu dia pandang. Ada 30 minit lagi untuk dia bercerita tentang kehidupan Yasmin pada Naufal.
“Ummi dan Abi larang Yasmin bercinta waktu itu. Muda, masih mentah tentang dunia. Tetapi disebabkan sayang, mereka relakan jua. Yasmin pernah ada kedai kek kecil-kecilan. Baru nak membangun selepas dia graduate dulu. Kedai kek dia berjaya menempa nama, agak terkenal tetapi disebabkan sayang dengan Imran dia jual semua. Tak silap akak waktu itu umur Yasmin 28 atau 29. Dia jual kedai kek itu sebab nak kahwin dengan Imran.”
Amirah usap matanya. Sedih mengenangkan nasib kawan baiknya sejak di bangku sekolah lagi. Sayangnya pada Imran membuatkan dia gadai semua demi cinta.
“Kahwin pada umur 30 tahun. Lewat sebab Imran kata nak stabilkan hidup tetapi Yasmin yang gadai semua. Akak ingat mereka hidup dengan bahagia tetapi mak Imran tak pernah merelakan anaknya berkahwin dengan Yasmin tetapi sebab anak kan. Setuju juga, sama seperti Ummi dan Abi. Menentang akhirnya tewas juga. Merana hidup Yasmin sepanjang 3 tahun itu. Didera, dihina, dicaci oleh mak mertua. Kuat wanita ini. 2 tahun dia bahagia dengan Imran tetapi semenjak Imran makin berharta dia lupakan wanita yang dia simpan macam anak patung di rumah. Wanita yang menyimpan sayapnya demi lelaki yang dia cintai.”
Naufal tekun mendengar kisah hidup Yasmin. Dia melihat wajah waniat besi ini. Wallahi saya sayang awak kerana allah.
“Selepas Imran tahu Yasmin tak boleh mengandung sebab ada penyakit kanser rahim. Dia duakan Yasmin dengan wanita muda lain. Tunang dia sekarang ni, bergetah. Kaya pula tu. Yasmin diceraikan tanpa rela. 11 tahun yang sia-sia tapi kerana cinta dan sayang dia beri semua.”
Bahu Naufal ditepuk lembut. Naufal lihat jam di tangan, lagi 10 minit dan wanita ini akan bebas buat kali ini.
“Jadi Naufal, jangan siakan wanita ini. Cinta dan kasihnya pada lelaki sangat besar sehingga dia rela bodohkan dirinya kerana cinta. Akak harap kamu serious dalam hubungan ini. Akak tahu kamu mesti ada benda nak beritahu pada Yasmin jadi akak harap kamu sanggup tanggung risiko nya. Hadiahkan bahagia buat Yasmin sebelum Allah tarik semula kebahagian itu. Akak keluar dulu, kalau ada masalah tekan je button merah tu.”
Amirah bangun lalu keluar dari bilik. Naufal masih lagi menghadam kata-kata yang keluar dari mulut Amirah. Mampu ke dia? Sanggup ke dia?
“Naufal, sa-saya na-nak air.” Halus suara wanita itu.
Pantas Naufal bangunkan Yasmin dari pembaringan dan menghulurkan segelas air suam buatnya.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidup saya Yasmin. Terima kasih sudi untuk berkenalan dengan saya. Hadiah ini kiriman paling bermakna dari tuhan buat saya.”
Yasmin keliru mendengar apa yang Naufal bicarakan. Tekaknya masih terasa sakit. Dia baring semula, kata-kata Naufal dihiraukan. Tak mampu untuk dia fikirkan.
“Naufal saya nak sambung tidur lagi 30 minit. Saya nak hilangkan sikit lagi rasa sakit ini. Maaf saya tak dapat nak fikirkan apa yang awak bicarakan. Nanti kita sambung semula.”
Yasmin pejamkan matanya semula.
Naufal mula mengalunkan ayat-ayat suci al-quran buat Yasmin.
Tenang. Sungguh tenang dan merdu suara lelaki ini.
Terima kasih tuhan untuk ubat yang kau beri ini.
Share this novel