Naufal menghantar aku pulang ke rumah. Perasaan takut mula mencengkam hati, takut jika ummi dan abi marah. Takut juga adik kesayangannya marah. Aku buka pintu dan masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum ummi dan abi.”
Kosong. Rumah ini kosong. Ke mana semua orang pergi, marah kan aku atau sebuk dengan jadual harian. Aku bergerak ke dapur, aku lihat meja yang penuh dengan pelbagai jenis makanan. Ada kenduri ke hari ini atau ada tetamu mahu datang.
Nota yang di tinggalkan di atas meja aku baca.
“Yasmin, berbahagialah sayang.”
Terasa pelukan hangat dari belakang yang memeluk erat tubuhku. Aku tahu siapa gerangan ini, aku tahu pelukan ini. Pelukan hangat seorang ibu kepada seorang anak.
“Yasmin, ummi masak semua itu untuk Yasmin. Semua yang kamu suka.”
Aku memeluk semula tubuh Ummi. Aku bakal rindu setiap pelukan ini, tidak percaya aku bakal berkahwin semula. Bakal meniti setiap detik bersama orang baharu.
“Kamu sudah nak berumah tangga semula, jadi nikmati masakan ummi ni. Nanti kamu pula yang nak jaga perut suami.”
“Terima kasih Ummi. Terima kasih untuk semua.”
Aku tidak akan lupa kenangan ini.
****
1 minggu kemudian.
Veil putih itu menutupi seluruh muka ku. Tangan yang dihiasi inai putih itu aku tatap. Tidak percaya hari ini tiba jua. Tidak percaya tuhan panjangkan umurnya untuk meniti alam perkahwinan yang baharu.
Wajah tua itu aku tatap, senyuman manis itu masih tidak lekang sedari tadi.
Aku melangkah masuk ke dalam masjid. Aku teroka setiap inci masjid itu, sesak. Mata aku jatuh pada figura kacak itu, terselah ketampanannya dalam persalinan putih itu. Dia meloretkan senyuman di wajahnya.
Siapa sangka pertemuan dua jiwa ini di hospital membawa mereka ke satu takdir yang tidak pernah mereka duga. Jiwa yang mati akibat kekasih lama disembuhkan semula dengan pertemuannya bersama wanita besi ini. Jiwa yang hancur akibat bekas suami, dirawat semula oleh seorang doktor muda.
Aku duduk bersimpuh. Debaran di dada aku tahan, sesak. Terlalu sesak dengan pelbagai perasaan. Sedih, gembira, risau. Semua cukup lengkap.
Abi menghulurkan tangannya dan Naufal menyambut huluran itu.
“Idris Naufal bin Mohd Yusuf. Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Yasmin Aneesa binti Khalid berwakil walikan aku dengan mas kahwin RM300, tunai.”
Naufal menarik nafas.
“Aku terima nikahnya Yasmin Aneesa binti khaild dengan mas kahwin RM300 tunai.”
“Sah..”
“Sah..”
Air mata kegembiraan jatuh membasahi pipi. Aku sudah sah bergelar isteri Naufal, tamat sudah status janda yang aku sandang ini.
Naufal terus meraup mukanya. Tubuh abi, Naufal peluk erat.
“Naufal boleh sarungkan cincin pada jari Yasmin dan boleh teruskan dengan sesi pembatalan air wudhu’.”
Naufal bergerak ke arah Yasmin.
“Assalamualaikum Yasmin. Saya ni suami awak.”
“Waalaikumussalam Naufal.”
“Saya mulakan ya.”
Jari Naufal menyentuh jariku. Sejuk. Cincin itu dia sarungkan, aku masih dapat rasa getaran dan debaran pada diri kami. Walaupun ini perkahwinan kedua aku tetapi kali ini rasanya berbeza dari sebelum ini.
Naufal merapatkan dirinya. Perlahan-lahan bibirnya melekap di dahi ku.
Lampu kamera tidak berhenti-henti memancar ke arah kami.
Setelah selesai aktiviti pembatalan air wudhu’. Abi dan ummi datang ke arah kami. Bahu Naufal abi tepuk lembut.
“Abi tidak mahu berpesan banyak, lagipun ini kali kedua buat Yasmin jadi abi harap anak abi matang dalam melayari bahtera ini. Buat Naufal jangan segan silu menegur salah dan silap anak Abi, walaupun ini kali kedua buatnya. Abi tahu masih ada kurangnya Yasmin dalam hal-hal sebegini. Abi dan Ummi doakan kamu berdua bahagia.” Pesan Abi.
“Ummi cuma mahu cakap, jika Naufal sudah tiada hati pada Yasmin pulangkan dengan cara elok ya. Jangan siakan dia seperti apa yang Imran buat.”
Aku salam dan cium kedua-dua orang tua ini. Ummi dan Abi, Yasmin janji tidak akan susahkan ummi dan abi lagi.
Aku lihat Am berjalan ke arah kami, semenjak ini dia terlalu sebuk di hospital sehingga kami tiada masa untuk diluangkan bersama.
“Hai kakak dan abang. Bro aku geli nak panggil kau abang, so ini pertama kali dan terakhir. Aku just nak cakap jaga kakak aku elok-elok. Aku tahu kau boleh dan kau akan buat sehabis daya untuk bahagiakan kakak aku. Aku tak tahu apa dugaan yang korang bakal hadapi tetapi aku harap kau dan kakak terus kuat. Aku doakan.” Ujar Am.
Tubuh Amsyar aku peluk, bakal aku rindukan pelukan Amsyar selepas ini.
Naufal menggenggam tanganku dan bawa aku berjumpa ibu dan bapanya.
“Sayang ibu, terima kasih sebab sudi jadi isteri Naufal. Ibu harap kamu dan Naufal berbahagia. Cukuplah sengsara sebelum ini, ibu tahu perkahwinan ini bukan mudah. 5 tahun pertama itu umpama ujian buat kita. Tetapi ibu yakin selepas itu kamu akan benar-benar faham pasangan kamu. Perkahwinan ini mengajar kita bahawa tidak semuanya indah tetapi dengan doa dan sabar, ibu yakin manisnya itu ada.”
Aku peluk tubuh ibu erat. Air mata aku tahan, aku tidak pernah merasa manisnya mempunyai ibu mertua. Sebelum ini aku dicaci dan diherdik tetapi kali ini aku dianggap seperti keluarga.
Tamat sudah sesi bergambar, malam kami cuma adakan majlis doa selamat secara kecil-kecilan. Itupun kami hanya menjemput orang surau dan rakan-rakan rapat.
Aku pulang ke rumah, pintu bilik aku buka. Aku masuk dan duduk di atas sofa kecil. Aku hanya mampu membatu disitu. Naufal masuk ke dalam bilik, beg bajunya dia letak di tepi. Pintu bilik ditutup.
“Kenapa awak tutup pintu?” Soalku.
Naufal yang sedari tadi diam terus menghamburkan tawanya. Terselah bahawa Yasmin masih lagi nervous.
“Wahai isteri, saya mahu mandi sebab badan saya dah melekit. Sebab itu saya tutup pintu, awak nak ke abi dengan ummi nampak menantu mereka tak berbaju.” Ujar Naufal sambil menahan tawa.
“Ouh betul juga.” Aku mengetuk kepala dengan lembut.
Apalah kau ni Yasmin, tak akan nak biarkan orang tengok suami kau yang kacak ni. Pintu je pun
“Yasmin boleh awak tolong tanggalkan butang baju melayu ni, saya rasa rimas sangat. Panas.” Keluh Naufal.
Aku terus menuju ke arahnya dan menanggalkan butang baju melayu nya. Tidak aku pandang matanya, fokus aku hanya pada butang baju itu. Aku segan, tidak pernah kami sedekat ini, dapat aku dengar hembusan nafasnya.
“Awak takut dengan saya ke?” Soal Naufal.
“Mana ada saya takut.” Balasku.
Naufal memegang bahuku, wajahku dia dongakkan memandang wajahnya. “Kalau tak takut kenapa awak tak nak pandang muka saya ataupun saya ni dah tak handsome.”
Aku menghamburkan tawa. Comel, siapa sangka doctor kita ni boleh jadi secomel ini. Naufal..Naufal.. macam mana saya tak sayang awak sepenuh hati saya.
“Awak sentiasa handsome di mata saya. Sentiasa, cuma saya tak biasa bila kita dalam keadaan macam ni. Saya jadi kekok, saya jadi gelisah bila tengok awak. Rasa nak pengsan pun ada.” Ujarku.
Naufal mencubit lembut pipi ku. “Saya sah disisi agama untuk awak, halal. Jadi tak perlu risau, tak adanya pejabat agama nak datang tangkap kita berdua. So awak nak buat apa pun saya rela. Rela semuanya.”
Aku terkedu. Boleh pula dia buat lawak waktu macam ni. Aku mencubit perutnya. Aku buka almari dan aku ambil tuala bersih untuk Naufal.
“Ini tuala untuk awak, pergi mandi. Kata badan dah melekit, sempat lagi dia buat lawak. Pergi mandi.” Bebel aku.
Belum sempat Naufal tanggalkan baju melayu putihnya itu, Yasmin cepat-cepat menutup kedua-kedua mata.
“Buka baju dalam toilet.” Pintaku.
Naufal terus masuk ke dalam toilet dengan tawanya yang masih tersisa.
Dia merasakan yang Yasmin ini terlalu comel dan innocent.
“Kita dah halal. Awak jangan lupa.” Jerit Naufal dalam bilik air.
Aku mengeluh. Tak aku sangka Naufal suka mengusik dan perangai nakalnya seakan kanak-kanak kecil. Aku duduk di hadapan meja solek, makeup yang tidak terlalu tebal itu aku tanggalkan. Tudung shawl putih yang berbelit itu aku buka, lega. Akhirnya dapat juga rambut aku bernafas selepas seharian melekap di kepala. Sanggul yang terikat kemas itu aku lepaskan. Wajah di cermin aku tatap, cantik. Puji ku sendiri.
Aku bangun dan mencapai tuala, zip baju kurung ini cuba aku capai. Sakit tangan aku akibat mahu membuka zip baju ini. Tiba-tiba pintu bilik air dibuka, Naufal yang sudah siap memakai baju lengan panjang dan seluar slack itu aku tatap.
“Nak saya tolong ke?”
Aku menggelengkan kepala, tidak mahu aku batalkan air wudhu’ yang telah dia ambil.
“Tak apa, lagipun awak dah ada air wudhu’ kan? Saya tak nak susahkan awak. Nanti awak kena ambil semula.”
Naufal tersenyum. “Saya tak ambil lagi. Saya tunggu awak habis mandi baru saya ambil. Mari saya tolong.”
Tubuhnya merapat ke tubuhku. Tangannya yang terasa sejuk itu menyentuh hangat kulitku. Tersentak. Aku cuba mengawal riak tenang.
“Sudah.”
Tuala yang di atas katil itu dia ambil dan membaluti tubuhku yang terdedah di belakang. “Kalau tak selesa, awak tanggal dalam bilik air.”
Aku menarik nafas. Aku hiraukan degupan jantung yang semakin melaju ini. Apa salahnya jika aku tanggalkan pakaian ini di hadapannya. Dia suami yang sah disisi agama. Aku buka dan tuala aku balutkan di badan.
Muka Naufal yang kemerahan itu aku abaikan, aku masuk ke dalam bilik air untuk melegakan diri.
Setelah selesai mandi, mata aku melilau mencari pakaian untuk aku pakai. Aku terlupa untuk membawa pakaian yang aku letakkan di atas katil sebentar tadi.
“Naufal awak dekat luar lagi ke?” Jeritku perlahan.
Senyap. Bilik ini senyap seolah-olah Naufal sudah hilang dari radar.
Aku buka pintu sedikit dan kepala aku keluarkan sedikit mencari Naufal.
Kosong. Aku keluar dari bilik air dengan pantas, tiba-tiba tangan aku ditarik lembut. Mata itu memandang aku tajam seolah-olah sudah berjumpa dengan mangsanya.
“Awak terlupa ini ke?” Pakaian aku dia angkat dan tunjukkan di hadapan muka aku.
Cepat-cepat aku ambil baju itu dan cuba untuk masuk semula ke dalam bilik air.
“Sekejap rambut awak tu basah, keringkan dahulu.”
Dia memegang bahuku yang terdedah itu dan menolak aku duduk di meja solek itu. Tuala kecil yang berada di tangannya dia letakkan di bahu aku. Pengering rambut di atas meja solek itu dia ambil dan suis dihidupkan. Perlahan-lahan dia mengeringkan rambut aku. Senyuman di wajah cuba aku tahan, dia terlalu teliti.
“Siap.”
Kering. Rambut aku yang basah sudah menjadi kering.
“Terima kasih.”
Dia menutup suis dan badan aku dia pusingkan.
“Awak jangan risau, saya keluar. Awak boleh bersiap dan ambil wudhu’ nanti saya masuk semula.”
Dahi aku dia kucup lembut.
Naufal keluar dan jantung aku mula berdegup tenang semula.
****
Naufal keluar dari bilik dan mengetuk pintu bilik adik iparnya.
“Eh bro kau apahal?”
“Kakak kau tengah bersiap. Aku nak lepak sini sekejap and nak ambil wudhu’.”
Naufal menghempaskan badannya di atas katil Am.
“Maaflah kakak aku tu pemalu, nak selesa kan diri dalam keadaan macam ni memang ambil masa buat dia. Lagipun kakak aku tu nampak je macam tu, perangai dia boleh tahan gila juga.”
Naufal tekun mendengar cerita yang diberitahu oleh Amsyar tentang kakak kesayangan nya itu.
“Bro aku gerak dulu, nanti lambat pula nak solat kalau dengar kau bercerita.”
Naufal keluar dan masuk semula ke dalam biliknya. Isterinya yang sudah selesai bersiap dan memakai telekung dia pandang. Sejuk hatinya melihat Yasmin.
Mereka berdua menunaikan solat maghrib. Seusai solat, Naufal menadahkan tangan untuk memanjatkan doa kehadrat illahi.
“Ya Allah ya tuhanku. Aku bersyukur ke atas segala pemberian yang telah kau beri sepanjang kami hidup. Terima kasih di atas jodoh yang kau beri buat ku dan isteriku. Kau peliharalah hubungan ini supaya kekal sehingga ke syurgamu. Kepadamu aku berserah. Amin ya rabbal alamin”
Naufal pusing menghadap aku, tangan dia hulurkan. Aku sambut tangannya dan aku kucup lama. Dia tersenyum memandang aku.
“Terima kasih sudi jadi suri hati saya.”
“Terima kasih juga sebab sudi jadi hero saya.”
Dahiku dikucup lembut dan air mata kegembiraan yang mengalir ini dia usap. Kami berjalan keluar dari bilik untuk menyambut tetamu bagi majlis doa selamat yang bakal bermula sebentar lagi.
Tangan aku dia genggam erat. “Jom turun.”
Kami berpegangan tangan dan cincin yang tersarung kemas di jari aku tatap. Indah.
Share this novel