4

Romance Completed 7404

Suasana hening pagi Jumaat di rumah Puan Sakinah terganggu dengan deringan telefon. Puan Sakinah yang sedang sibuk mengemas di dapur tidak cukup tangan untuk menjawab panggilan tersebut. Ketiga-tiga anak gadisnya ke sekolah seperti biasa. Tetapi Puan Sakinah terasa malas untuk ke pejabat.
“Abang, jawabkan telefon tu. Mak tengah basuh pinggan ni.” Kemudian, kedengaran tapak kaki anak bujangnya itu berlari-lari anak.
“Hello.”
“Assalamualikum. Boleh saya bercakap dengan Puan Sakinah?”
“Waalaikumussalam. Tunggu sebentar, ya. Mak, telefon!” Shakir kembali mengadap komputer yang ditinggalkan sebentar tadi. Kelihatan Puan Sakinah berlari-lari anak mendapatkan panggilan tesebut.
“Hello.” Ucap Puan Sakinah tercungap-cungap.
“Hello, Puan Sakinah. Saya Prof. Zainal bercakap.”
“Oh ya, Prof. Zainal. Bagaimana dengan kes anak saya tu?” Shakir tersentak mendengar nama Dekannya disebut. Dia segera berpaling ke arah ibunya yang berdiri tidak jauh darinya.
“Siasatan kami telah selesai. Banyak perkara yang perlu dibincangkan, sebenarnya. Bolehkah puan datang ke pejabat saya Isnin nanti?”
“Seriuskah keadaan anak saya, tuan?” Shakir lebih resah sekarang. ‘Ya Allah, tolonglah kami! Selamatkanlah kami, Ya Rabbi!’ Shakir memanjatkan doa untuk dirinya dan juga Renee.
“Banyak sebenarnya perkara yang meragukan sepanjang siasatan kami. Menurut Ustaz Ramli, ini bukanlah laporan pertama yang diterima. Untuk kejadian minggu lepas pun, tiada siapa yang mengaku memberi pesanan seperti yang anak puan dakwakan.”
“Oh, begitu.” Suara Puan Sakinah semakin lemah dan sayu.
“Begini sajalah. Apa kata puan datang ke sini dahulu. Kita bincangkan dengan lebih lanjut.”
“Baiklah. Hari Isnin nanti saya akan datang. Terima kasih banyak-banyak, Prof. Zainal.” Puan Sakinah meletakkan gagang perlahan. Kemudian dia berjalan perlahan menuju ke meja makan. Ditariknya satu kerusi lantas terduduk dia di situ. Shakir bangun mendapatkan ibunya dan turut duduk di salah satu kerusi di meja itu.
“Abang, apa yang abang dah buat sebenarnya? Tolonglah, abang. Abang kena jujur dengan mak!” Sayu benar suara wanita itu. Sebak dada Shakir.
“Mak, hakikatnya, abang tak pernah pun tegur-menegur Renee sebelum ni. Yang abang tahu, dia budak sekuliah dengan abang. Memang selalu abang terserempak dengan Renee, tapi abang tak pernah berborak pun dengan Renee.”
“Habis, macam mana benda ni boleh timbul kalau abang tak pernah bercakap dengan budak perempuan? Kalau betul sikap abang begitu, macam mana orang boleh percaya yang abang boleh berkhalwat?” Shakir tak mampu membidas ayat ibunya. Perkataan ‘berkhalwat’ yang keluar dari mulut ibunya sedikit menyentak hati Shakir. Sedih rasa hatinya apabila ibunya sendiri meragui perbuatannya. Sesak nafas Shakir dibuatnya. Matanya merenung tajam sulaman-sulaman bunga pada alas meja makan itu. Seakan mahu menangis rasanya. “Selepas ke solat Jumaat nanti, kita ke rumah Renee.” Shakir hanya mengangguk dan terus beredar masuk ke biliknya.
Baru sahaja punggungnya mencecah katil, telefon bimbitnya berbunyi. ‘Renee!’
“Hello, Renee.” Walau suaranya berlagu lemah, namun sedikit sebanyak panggilan gadis itu sedikit melapangkan dadanya.
“Shakir tengah buat apa? Sibukkah?”
“Tak ada buat apa pun. Tadi Dekan called.”
“Hmm, dia pun ada called rumah Renee tadi.”
“Renee, kenapa semua ini boleh jadi macam ini?”
“Entahlah. Mungkin Shakir sombong sangat, kot. Ada mana-mana awek yang ‘mengurat’ tapi Shakir buat tak endah. Itu pasallah dia berdendam dengan Shakir.” Renee cuba berseloroh.
“Amboi, sedapnya mulut dia mengata orang. Jangan-jangan dia yang ada broke somebody’s heart. Maklumlah, orang cantik.”
“Hah, Renee cantikkah?”
“Adalah sikit. Dari sepuluh markah tu, Shakir bagi la 4.”
“4 saja? Sampainya hati. Taulah muka Shakir macam Aaron Kwok. Siapalah kita, kan?”
“Mengada betul. Renee seorang saja yang kata macam itu. Hmm, nanti lepas solat Jumaat, Shakir akan ke rumah dengan mak.”
“Oh, ya? Ada apa?”
“Hantar rombonganlah. Apa lagi?”
“Shakir! Jangan buat gurau la benda macam ini. Kenapa sebenarnya?”
“Alah, sikit itu pun nak marah. Entahlah Renee. Mak yang ajak. Apa yang dibincangkan dengan Prof. Zainal tadi pun Shakir tak pasti.”
“Ok. Nanti Renee beritahu mama.”
Selepas perbualannya dengan Shakir berakhir, Renee menjadi semakin gelisah. Apa lagi yang bakal datang kepadanya selepas ini? Apa keputusan siasatan yang pihak universiti terima? Bagaimana dia perlu menghadapi kehidupan selepas ini sekiranya keputusan itu nanti bukanlah seperti yang mereka harapkan?
Lebih kurang jam 4:00 petang, Shakir dan ibunya pun sampai di rumah Renee. Puan Maimon sempat menggoreng bihun untuk dijamu kepada tetamunya. Mereka berbual-bual kosong sahaja sambil menjamu selera di ruang makan. Setelah selesai makan, Encik Rizuan mengajak isterinya dan Puan Sakinah ke ruang tamu. Lebih selesa katanya. Di situ, mereka berbual panjang lebar. Di wajah setiap seorang daripada mereka kelihatan begitu serius. Cuma sesekali tercalit senyuman hambar di bibir masing-masing.
Renee dan Shakir tidak turut serta perbincangan orang tua mereka. Renee mengajak Shakir keluar ke halaman rumah. Terdapat set meja buatan besi tempawan yang dibeli bapa Renee yang diletakkan di bawah pagola kayu bersebelahan kolam ikan. Kayu-kayu pagola itu pula dipenuhi dengan pokok yang tumbuh menjalar. Rangkaian bunga merahnya mengeluarkan bau yang lembut dan harum. Sungguh redup dan tenang di situ.
“Apa kata Prof. Zainal sebenarnya? Mereka sudah buat keputusankah?” Tanya Shakir kepada Renee. Wajahnya juga sekeruh wajah ibunya di dalam rumah.
“Papa kata mereka sudah ada keputusannya tetapi Prof. belum beritahu lagi. Prof. suruh kita semua ke pejabatnya hari Isnin nanti.”
“Oh. Patutlah mak susah hati benar. Bila Shakir tanya, dia tak mahu beritahu pula. Makin risaulah dia.” Shakir mengerutkan keningnya. Matanya asyik merenung air terjun buatan di hadapannya. Mungkin Shakir berharap ketenangan suasana di situ dapat menenteramkan hati dan perasaannya di saat itu.
“Iyalah, dia seorang diri nak handle masalah ini. Macam mama ada papa untuk sama-sama berborak dan berbincang. Kasihan mak Shakir.”


“Assalamualaikum, semua!” Profesor Zainal menegur formal semua yang berada di bilik mesyuarat. Selain Renee dan ibu bapanya serta Shakir dan ibunya, Ustaz Ramli dan Tuan Syed turut berada di dalam bilik itu. Bapa Renee bangun menyalami Prof. Zainal. Diikuti oleh Ustaz Ramli dan Tuan Syed Jaafar dan yang akhir sekali adalah Shakir. “Jemput duduk, semua. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Rizuan dan isteri serta Puan Sakinah kerana dapat meluangkan masa untuk datang ke sini.” Prof. Zainal berhenti seketika. Beliau membelek-belek fail bewarna perang ditangannya. Kemudian, beliau menarik nafas dan menyambung, “Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Ramli dan juga Tuan Syed Jaafar kerana atas usaha merekalah akhirnya kita dapat membuat keputusan ini.” Semua mata terarah kepada Tuan Syed Jaafar dan Ustaz Ramli. En Rizuan menundukkan sedikit kepalanya kepada mereka berdua sebagai tanda terima kasih.
“Sebenarnya Encik Rizuan, Puan Sakinah, agak sukar bagi pihak kami menjalankan siasatan kes anak-anak encik dan puan ini. Seperti yang saya maklumkan tempoh hari, saksi yang dikemukakan oleh Shakir dan Renee menafikan apa yang dituduh oleh mereka. Mereka kata mereka langsung tidak tahu-menahu tentang pesanan daripada Tuan Syed Jaafar pada hari tersebut. Malahan, Subhi memaklumkan kepada saya yang dia pulang ke rumahnya minggu tersebut. Manakala Nurzihan pula memberitahu yang dia ke rumah sepupunya.” Shakir menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia seakan tidak percaya mendengar patah bicara Prof. Zainal. Prof. Zainal mengangkat pandangannya kepada Renee dan Shakir. Beliau merenung mereka berdua buat seketika sebelum menyambung ucapannya.
“Selain daripada itu, saya juga turut mendapat maklumat lain.” Sekali lagi pandangan beliau terarah kepada Shakir dan Renee. Itu membuatkan hati Renee makin berdebar-debar. “Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan sekuliah kamu bahawa kamu berdua memang pasangan kekasih. Betulkah?” Kini giliran ibu bapa mereka pula berpaling dan merenung ke arah mereka.
“Betulkah, Renee?” Encik Rizuan terlebih dahulu bersuara.
“Tak betul, papa. Tak betul semua itu. Kami coursemate sahaja. Bukannya couple.”
Shakir terus memandang Renee apabila mendengar penafian hubungan mereka. Mungkin sebelum ini mereka berdua hanyalah sekadar coursemate. Tetapi semenjak seminggu yang lepas, apakah mereka masih lagi sekadar coursemate?
Renee merangkul tangan ibunya. Air matanya gugur lagi. “Saya tak faham macam mana cerita begini pula yang timbul. Dengki sangatkah mereka pada kami. Apa yang kami dah buat pada mereka?” Renee merintih lagi.
“Shakir?” Prof. Zainal masih ingin menduga. Dia ingin mendengar pengakuan daripada anak lelaki itu juga.
“Prof., saya sudah tidak tahu nak cakap macam mana. Sejak hari kejadian itu lagi semua orang asyik bertanyakan soalan itu. Sekarang ini, terpulanglah kepada pihak Prof. samada mahu percayakan kami ataupun mereka. Bukan setakat Renee, Prof., malah saya tidak pernah couple dengan sesiapa pun di universiti ini sebelum ini.”
Suasana sunyi seketika. Prof. Zainal memandang pula ke arah Ustaz Ramli dan Tuan Syed Jaafar. “Apa pendapat Tuan Syed?” soal beliau seterusnya.
“Saya rasa keputusan yang kita buat ini tepat, Prof. Zainal. Jadi kita teruskan sahajalah.”
“Ustaz?”
“Saya pun setuju.” Kata Ustaz Ramli sambil mengangguk perlahan.
“Baiklah kalau begitu, Ustaz dan Tuan Syed. Saya harap keputusan yang kami ambil hari ini adalah keputusan yang paling tepat. Saya amat berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi terutamanya kepada kamu berdua.” Prof. Zainal berhenti lagi. “Dalam mesyuarat kami terdahulu, kami sebulat suara bersetuju untuk memberi peluang terakhir kepada kamu berdua.” Ibu Renee dan ibu Shakir mengurut dada lega. “Tetapi kamu berdua harus ingat, kamu dilepaskan dengan syarat. Sekiranya perkara ini berulang, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih keras. Kamu berdua faham?” Renee dan Shakir sama-sama mengangguk. “Beringatlah. Selepas ini cuba fikirkan dahulu setiap tindak-tanduk kamu. Kamu sudah besar. Macam-macam boleh terjadi. Renee, lain kali bawalah teman untuk berjumpa dengan pensyarah lelaki. Begitu juga kamu, Shakir. Jika kamu ingin berjumpa pensyarah wanita, bawalah teman. Jadi kamu akan ada saksi kamu sendiri jika berlaku salah faham.”
“Baik Prof.” jawab mereka serentak.
“Ustaz ada apa-apa yang mahu disampaikan kepada mereka berdua?”
“Tak ada, Prof.”
“Tuan Syed?”
“Tak ada, Prof.”
“Baiklah kalau begitu. Encik Rizuan, Puan Maimon dan Puan Sakinah, saya berharap anda semua berpuas hati dengan keputusan kami ini.”
“Saya amat berbesar hati kerana pihak Jabatan tidak menghukum anak saya. Saya tahu selama ini anak saya memang baik sifatnya di hadapan saya. Tetapi anak-anak ini kadang-kadang di hadapan ibu lain perangainya. Di luar lain pula. Saya berterima kasih kepada pihak universiti kerana turut mendidik sahsiah anak saya. Terima kasih banyak-banyak.” Puan Sakinah berkata panjang. Kini hatinya sedikit tenteram berbanding tadi. Dia sudahpun menyangka sesuatu yang lebih buruk.
“Saya pun sama juga, Prof. Zainal. Tambahan lagi anak kami ini perempuan. Keselamatannya di sini kami tidak dapat mengawalnya. Saya meletakkan kepercayaan 100% kepadanya. Tetapi apabila berita ini keluar, payah juga saya mahu percaya. Seperti yang Puan Sakinah katakan tadi, kami memerlukan pihak universiti bersama-sama kami membentuk sahsiah anak-anak muda ini. Saya sangat terhutang budi dengan pihak universiti atas keperihatinan tuan.” Encik Rizuan mengakhiri kata-katanya dengan helaan nafas lega. Tangannya lembut menepuk-nepuk bahu anak gadis tunggal di sebelahnya itu.
“Itu sudah menjadi tanggungjawab kami. Kami cuba lakukan yang terbaik. Tapi sebenarnya, mereka bukan lagi anak-anak kecil yang boleh kami layan seperti mana di sekolah. Komuniti di sini terlalu besar. Kami hanya bertindak mengikut laporan dan aduan. Selebihnya, terpulanglah kepada diri mereka sendiri.” Semua yang berada di dalam bilik itu mengangguk bersetuju.
Mesyuarat pagi itu berakhir lebih kurang jam 10:30 pagi. Shakir dan Renee dibenarkan menghadiri kelas seperti biasa. Mereka juga masih dibenarkan untuk terus tinggal di asrama mereka. Sebelum pulang, ibu bapa Renee dan Shakir tidak henti-henti memberikan amanat buat anak-anak tersayang. Walaupun hal ini dianggap ‘selesai’, namun jauh di sudut hati orang tua mereka masih bersisa gusar dan resah. Perkara ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya, namun tergaris juga sekelumit sangsi di minda. Bak kata orang tua, masakan pokok bergoyang kalau tiada angin bertiup. Namun demikian, mereka perlu memberikan kepercayaan kepada anak-anak mereka. Yang lainnya, mereka hanya mampu berserah kepada Allah Taala.
“Renee, Shakir, jika benar kamu berdua bercinta, tiada siapa yang menghalang sebenarnya. Sekurang-kurangnya bukan daripada pihak makcik. Tapi makcik harap, biarlah kita buat secara beradab. Usia kamu ni memanglah waktu yang sesuai untuk memilih teman hidup. Cuma kamu berdua perlu ingat, kamu ada keluarga. Kita ada adat budaya Melayu kita. Kita juga ada pegangan agama. Jika kamu berdua serius, kita buat cara serius.” Tiba-tiba sahaja ibu Shakir bersuara setelah mereka semua keluar daripada bangunan Pejabat Dekan itu. Kata-kata itu sebenarnya memeranjatkan Shakir dan Renee. Shakir merenung wajah ibunya seolah meminta penjelasan atas tujuan ibunya berkata begitu.
“Benar kata ibu Shakir tu. Kami juga tiada halangan. Walaupun baru seminggu keluarga saya berkenalan dengan Shakir, kami tiada halangan sebenarnya siapa pilihan Renee. Asalkan Renee benar-benar suka.” Sambung Encik Rizuan pula. Renee jadi keliru. Tidak pasti apa yang perlu dijawab. Sudahnya, dia hanya mendiamkan diri sahaja.
“Mak, makcik, pakcik, saya berjanji dengan semua orang di sini yang saya tidak mungkin akan memalukan keluarga pakcik, apatah lagi keluarga saya. Saya akan pastikan perkara begini tidak akan berulang lagi. Sekarang, saya sudah jelas dengan tanggapan rakan-rakan di sini. Tahulah saya membawa diri.”
“Makcik dengan pakcik tidak menyalahkan kamu, Shakir. Kami cuma bimbang dengan keadaan kamu di sini. Setelah berjumpa kamu beberapa kali, makcik pun dah boleh kenal sikap kamu sedikit sebanyak. Tolonglah tengok-tengokkan Renee di sini. Ya, Shakir?” Renee tercengang. Shakir pula mengangguk sahaja.
“Mama, tak perlulah nak pesan-pesan macam tu pula.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience