1

Romance Completed 7404

Renee mempercepatkan langkah kakinya menuju ke Kafeteria Anggerik untuk makan tengahari. Dia perlu segera makan dan solat Zohor sebelum kembali ke dewan kuliah untuk Manufacturing Strategy yang akan bermula pada jam 2 petang nanti. Dia sudah tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk pulang ke kolej. Pada asalnya Renee ada 2 jam waktu senggang selepas kuliah Engineering Economics yang tamat pada jam 12:00 tengahari tadi, tetapi Dr Rosni memanggilnya ke bilik untuk mengambil bahan-bahan edaran. Dia terpaksa mengokot lembaran-lembaran tersebut sendirian. 85 salinan edaran yang mengandungi lebih 10 helaian setiap satunya. Jenuh juga dia menyiapkannya tadi.
Dr Rosni ada mempelawanya untuk dibawa makan tengahari tetapi ditolak Renee lembut. Renee awal-awal lagi sudah berjanji dengan teman sebiliknya, Hani untuk makan bersama di kafeteria. Walaupun Renee dan Hani bukanlah daripada jurusan yang sama, namun hubungan antara mereka agak rapat. Mereka menjadi teman sebilik sejak semester satu lagi. Renee berasa selesa dan serasi tinggal sebilik dengan gadis itu. Sikap mereka juga boleh dikatakan hampir menyerupai satu sama lain. Banyak persamaan antara dua gadis itu.
Jam ditangan Renee menunjukkan tepat jam 1:30 tengahari. Renee makin melajukan langkahnya. Dia tidak suka Hani menunggunya terlalu lama. Namun langkah kakinya itu terpaksa dihentikan seketika.
“Renee, Tuan Syed suruh engkau jumpa dia di setor sukan, sekarang!” Jihan yang berada kurang 10 meter dihadapannya berkata agak kuat sambil bergegas pergi. Dia benar-benar ingin memastikan mesejnya didengari Renee. Entah dari mana dan hendak ke mana gadis kurus, tinggi lampai itu. Terkocoh-kocoh dia berlari hinggakan Renee tidak sempat bertanya lanjut. Jihan kemudiannya dijemput oleh sebuah Myvi S.E. bewarna hitam yang dipandu oleh seorang gadis. Renee yang masih terpaku di situ hanya memerhati tingkah-laku Jihan dari jauh. Hatinya menjerit memanggil Jihan untuk bertanya lanjut. Tetapi mulutnya tertutup rapat. Hanya matanya sahaja mengekori pergerakkan kereta hitam itu.
‘Tuan Syed? Kenapa pula dia nak jumpa aku? Hmm, pasal MASUM agaknya. Jihan ni pun satu. Main jerit-jerit saja. Berhentilah sekejap, cakap betul-betul.’ Renee menghela keras. Wajah Tuan Syed Jaafar, jurulatih pasukan bola tampar universiti yang sentiasa serius terbayang di depan mata. Orang kata, lelaki botak selalunya memang romantik tetapi jangan sesekali buat mereka marah. Renee kenal benar dengan perangai Tuan Syed Jaafar. Jika dia mahukan sesuatu ‘sekarang’, itu bermakna perkara itu benar-benar penting.
Tuan Syed Jaafar bukanlah seorang yang begitu ramah dengan pelajarnya. Takut pula Tuan Syed akan naik berang jika dia lewat. Tak pasal-pasal petang nanti dia akan menjadi target semua bola servis Tuan Syed. Mahu merah lengannya menahan servis-servis maha kencang jurulatihnya itu. Renee pun segera berpatah balik dari arah asalnya. Perutnya yang sedang berkeroncong sejak sejam yang lalu terpaksa dilupakan buat sementara waktu. ‘Masalah jangan dicari. Lapar perut, kemudian isi.’
Renee segera mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi Hani. Pastinya gadis itu sudah siap sedia menunggu Renee di kafeteria seperti yang dijanjikan.
“Hello, Hani. Engkau di mana sekarang?”
“Aku dah sampai di café ni. Engkau di mana?” bunyi suara latar yang agak riuh kedengaran di pihak Hani. Hani terpaksa menutup sebelah telinganya untuk mendengar dengan lebih jelas. Suara orang ramai di kafeteria itu jauh lebih kuat berbanding suara Renee di corong pembesar suara telefon bimbit Hani.
“Aku masih di Blok Saujana. Tapi sekarang aku perlu ke setor sukan sekejap. Tuan Syed mahu berjumpa. Tak tahulah lama atau tidak.”
“Alah, aku sudah lapar sekarang ni. Nanti pukul 2 aku ada kuliah lagi.” Sungut Hani.
“Samalah, aku pun macam itu juga. Tapi pesanan Tuan Syed tu macam urgent sangat. Engkau makanlah dulu. Kalau sempat aku datang. Kalau tidak, aku makan sendiri saja. Engkau tak payahlah tunggu aku pula. Takut nanti lambat sangat.” Cadang Renee. Dia tidak mahu gadis itu susah kerana dia.
“Hmm… okay juga tu. Kat sini ada coursemate aku. Boleh aku join mereka saja. Bye.”
“Bye.” Renee mematikan telefonnya dan segera berpatah balik menuju ke setor sukan yang terletak jauh di hujung bangunan.
Sesampainya Renee di muka pintu setor sukan, kelihatan kelibat Shakir yang baru melangkah masuk. Shakir memang sombong. Walaupun mereka pernah belajar dalam kuliah yang sama, namun Shakir tidak pernah menegurnya. Pernah sekali mereka diletakkan dalam satu kumpulan oleh Puan Julia, Pensyarah Bussiness Management di semester yang lalu. Shakir hanya akan bersuara jika ditanya. Mungkin dia tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk memilih ahli kumpulan sendiri ditolak mentah-mentah oleh Puan Julia. Puan Julia kecil molek orangnya. Suara beliau begitu lembut sekali setiap kali beliau menyampaikan kuliah. Mujurlah beliau dibantu oleh alat pembesar suara. Namun begitu, beliau adalah seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya. Jika hitam katanya, maka hitamlah.
Daripada 8 perjumpaan kumpulan yang diadakan, hanya 2 kali sahaja Shakir hadir. Yang pertama dan yang terakhir. Oleh sebab itu, mereka sekumpulan bersepakat membuat keputusan untuk membiarkan Shakir yang membuat pembentangan semasa kuliah. Bahan-bahan edaran dan slaid persembahan disediakan oleh Renee dan ahli-ahli yang lain. Mujurlah Shakir bukan jenis pemalu. Pembentangan Shakir berjalan dengan begitu lancar sekali sehinggalah ke sesi soal-jawab. Jenuh juga Renee dan ahli kumpulan yang lain tolong jawabkan soalan-soalan yang menderu. Itulah kali pertama dan terakhir Renee dan Shakir bekerjasama. Itu pun kalaulah boleh dikatakan bekerjasama.
Renee menjengah ke dalam setor sukan. Bilik Tuan Syed Jaafar terletak di bahagian belakang setor tersebut. Suasana agak kelam kerana dinding dan tingkap terhalang dek rak-rak alatan sukan. Renee keluar semula dari setor tersebut dan cuba mencari-cari seandainya ada seseorang yang boleh diajak teman. Malangnya waktu itu jam sudah melebihi 1:30 tengahari. Kebanyakkan siswa-siswi sudah pulang ke kolej atau sedang berkumpul di kafeteria universiti menikmati makan tengahari. Maklumlah, kebanyakkan kuliah akan bermula semula pada jam 2:00 petang.
‘Hah, tak ada apa yang perlu ditakutkan! Renee Rizuan, masuk! Kan budak sombong tu pun ada di dalam. Tuan Syed pun ada kat dalam. Masuk sajalah. Bismillahirrahmanirrahim.’ Renee mencongak-congak sendirian. Dengan langkah perlahan, dia memberanikan dirinya untuk terus masuk ke bilik yang gelap dan suram itu. Dia terus menghalakan kakinya ke bilik Tuan Syed. Renee melajukan sedikit langkahnya apabila dia sedar dia berada di tengah-tengah setor tersebut. Gerun benar dengan suasana di dalam setor itu. ‘Kenapa semua setor sukan yang aku masuk sungguh menakutkan?’ gerutu hati Renee. Langkahnya makin dicepatkan. Namun tanpa Renee sedari, dia sudah dalam keadaan separa berlari.
“Woi! Apa lari-lari kat tempat sempit ni?” Shakir yang tiba-tiba muncul di sebalik pintu bilik Tuan Syed menyergah Renee. Renee yang sememangnya dalam keadaan ketakutan itu terus menjerit. “Apa hal engkau jerit-jerit ni? Patutnya aku yang jerit. Sakit kaki aku engkau pijak.” Shakir menahan bahu Renee perlahan menjarakkan badan mereka. Dia menepuk-nepuk kasutnya yang dipijak Renee.
“Sorry, Shakir. Seramlah bilik ni. Tuan Syed ada kat dalam?” Tanya Renee dengan suara yang sedikit menggigil. Renee menggigil kerana takut dengan suasana gelap setor itu dan juga terkejut dengan sergahan Shakir sebentar tadi.
“Itu pun kau nak takut? Tak ada. Dia yang suruh jumpa, tapi dia tak ada kat sini. Bengong!” Shakir mula melangkah untuk beredar dari situ.
“Weh, itu pensyarahlah! Tak hormat langsung!” bangkang Renee dengan perkataan ‘bengong’ yang diujar Shakir sebentar tadi. Renee segera menuruti Shakir rapat dari belakang. Dia tidak mahu terus berada di dalam setor yang baginya gelap dan menyeramkan. Dek kerana ketakutan, ada beberapa kali Renee mengangkat tangan untuk memegang belakang baju Shakir tetapi ditarik semula. Dia takut Shakir menginggalkannya keseorangan di situ. Shakir berjalan begitu pantas sekali. Maklumlah, Shakir tinggi lampai. Agaknya satu kali Shakir langkah, Renee terpaksa langkah dua kali. “Siapa kat dalam tu?” Tiba-tiba satu suara bergema di dalam setor. Shakir dan Renee tergamam seketika. ‘Siapa pulak tu? Itu bukan suara Tuan Syed.’ Fikir Renee. Dia berasa sedikit lega apabila melihat lebih ramai yang datang ke situ. Risau juga dia pada mulanya. Maklumlah, bilik itu gelap. Dah tu pula, dia hanya berdua dengan mamat sombong ni. Sudahlah sombong, langsung tak tahu nak hormat tok guru.
“Apa engkau berdua buat kat dalam ni, hah?” Sergah suara tadi lagi. Renee segera memintas Shakir dan berjalan ke arah suara tersebut. Sudah ada sedikit keberanian dalam dirinya berbanding tadi. Shakir mengikut langkahnya dari belakang. Apabila mereka merapati suara itu, barulah jelas kelihatan wajah Ustaz Ramli, pensyarah Sejarah Peradaban Islam, Tuan Syed Jaafar sendiri dan beberapa orang lain yang tidak Renee kenali yang turut berada di situ.
“Oh, Ustaz Ramli. Saya datang hendak berjumpa dengan Tuan Syed.” Ucap Shakir dengan tenang. “Tuan Syed hendak berjumpa dengan sayakah?” kata Shakir lagi sambil mengalihkan pandangan ke arah Tuan Syed Jaafar.
“Oh, ini kerja kamu ya! Sudah banyak laporan saya terima tentang siswa-siswi yang menggunakan setor sukan ini untuk berdating. Kamu ni masuk universiti nak belajar atau nak cari bini?” sergah Tuan Syed Jaafar dengan tiba-tiba. Renee dan Shakir terperanjat mendengar kata-kata Tuan Syed Jaafar. “Bilik ini bukan saya buat untuk kamu berdating. Tangkap mereka, ustaz. Biar jadi pengajaran kepada siswa-siswi yang lain.”
Renee sudah mula panik. ‘Hah? Tangkap? Kenapa pulak nak tangkap-tangkap ni? Kan dia yang suruh datang jumpa dia kat sini?’ Renee semakin gelabah. Ungkapan Tuan Syed Jaafar itu benar-benar membuat Renee terkejut. Dia tercengang melihat beberapa orang pengikut Ustaz Ramli memegang lengan Shakir sambil cuba mengarahnya untuk mula bergerak keluar dari setor tersebut.
“Tapi Tuan Syed, saya dapat pesanan kata Tuan Syed mahu berjumpa saya sekarang. Sebab itulah saya datang ke sini.” Terang Renee dengan lembut dan jujur. Dia tidak mahu terus mengalah begitu sahaja. Dia perlu membela diri.
“Oh, kamu datang buat onar di bilik saya! Sekarang dah kena tangkap, kamu guna nama saya pula ya! Kamu tak tahu malukah?” tempik Tuan Syed Jaafar tepat ke muka Renee. Renee terpana. Jari-jemarinya sudah mula menggigil. Tumpuannya kini beralih ke wajah Shakir. Ternyata Shakir juga sama sepertinya. Walaupun dia tidak melawan, tetapi wajah Shakir jelas menunjukkan kacau-bilau dibenaknya.
“Sudah. Kamu berdua ikut kami ke pejabat HEP. Kamu ingat umur kamu dah cecah 20 tahun, sudah dewasa sangatlah, ya?” tambah Tuan Syed lagi. Dia menunjukkan isyarat jari ke arah lelaki-lelaki yang sedang memegang kemas lengan Shakir.
“Tapi Tuan Syed, saya…” akhirnya suara Shakir terkeluar juga, cuba untuk mempertahankan dirinya. Namun usahanya itu sia-sia sahaja. Amarah Tuan Syed Jaafar sudah meninggi.
“Tak ada tapi-tapi. Cepat jalan. Saya akan laporkan perkara ini kepada pihak atasan termasuk ibu bapa kamu.” Mendengar ayat yang keluar dari mulut Tuan Syed Jaafar itu membuatkan Renee lemah segala sendi badannya. Pandangannya berpusing-pusing. Nafasnya juga terasa tersekat dihidung. Oksigen yang dihirup bagaikan tidak sampai ke paru-paru. Renee terus memejamkan matanya sekuat hati. Dia cuba memutarkan kembali ingatannya beberapa minit yang lalu. Kini kepalanya pula terasa bagai dicucuk-cucuk. Renee akhirnya rebah di hadapan pintu masuk setor.
“Hei, Renee! Bangunlah! Engkau dah sedar atau buat-buat tak sedar ni? Renee!” terdengar sayup-sayup suara memanggil namanya. “Hey, bangunlah. Pura-pura pengsankah?” Renee membuka matanya. Wajah Hani mula terpampang di hadapan matanya. Dia memandang sekeliling. Udara dingin menyucuk kulitnya. ‘Bilik siapa pulak ni?’ Fikir Renee.
“Hem, eloklah kamu dah sedar. Renee, kamu tahu kamu berada di mana?” Tanya seorang lelaki yang berpakaian sangat kemas yang baru melangkah masuk ke dalam bilik yang dingin itu. Lengkap berkot hitam, bertali leher dan bersepatu kulit.
“Saya Prof. Zainal, Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Renee? Kamu boleh mendengar saya?” Tanya lelaki itu lagi. Renee mengangguk lemah. Namun kepalanya masih lagi pening-pening. “Begini sajalah, Renee. Saya rasa elok kamu pulang ke asrama dahulu. Saya sudah hubungi ibu bapa kamu. Esok, kamu bawa ibu bapa kamu berjumpa saya bersama-sama ibu bapa Shakir. Kita bincang esok sahaja, okay.” Dengan tiba-tiba semua kejadian sebentar tadi menerpa ke memori Renee. Tanpa dapat ditahan, air mata Renee mula menitik. Tak dapat dia bayangkan penerimaan mama dan papa di rumah. Harapan setinggi gunung diletakkan kepadanya. Tetapi, baru masuk semester keempat, ini pula berita yang sampai ke rumah.
Renee bangun perlahan-lahan. “Terima kasih, Prof.” itu sahaja yang terucap dek bibirnya. ‘Terima kasih? Kenapa ‘terima kasih’? Terima kasih kerana merosakkan hidup aku? Bukan. Bukan professor itu yang merosakkan hidup aku. Habis siapa? Shakir? Lelaki sombong itu tidak pernah membuat apa-apa pun pada aku. Mahu berbual pun dia tidak ingin, apatah lagi mengusik. Habis siapa? Siapa yang merosakkan hidup aku?’ Renee buntu.
Dia cuba menapak perlahan-lahan keluar dari bilik Profesor Zainal. Renee dapat melihat wajah-wajah kakitangan am yang bekerja di pejabat pentadbiran semuanya beralih ke arahnya. Perasaan malu menebal dibenaknya. Wajah Renee yang sedikit kemerahan dek tangisannya bertambah-tambah merah menahan malu. Pastinya seluruh pejabat itu tahu kenapa dia dibawa ke bilik Dekan.
“Apa yang engkau buat dengan si Shakir tu, hah?” tiba-tiba Hani menyoalnya dengan penuh kemarahan. “Nasib baik engkau roommate aku. Kalau tidak, tak mahu aku mengaku kenal engkau, tau!” Bentak Hani lagi. Marah benar Hani kepada Renee. ‘Ini baru Hani. Bagaimanalah respon mama dan papa esok?’ kepala Renee ligat berfikir. Air matanya makin laju menyebabkan pandangannya sedikit kabur. Tetapi mulutnya tertutup rapat. Tidak ada faedahnya Renee menjawab persoalan Hani tadi. Hani sedang marah. Tak guna jika dia beralasan sekarang.
Kemudian dia melihat Shakir keluar dari bilik bersebelahan dengan bilik Profesor Zainal tadi. Ustaz Ramli dan Tuan Syed Jaafar masih ada bersama-samanya. Shakir terpandang Renee. Dia merenung Renee seketika sebelum mengalihkan pandangan ke lantai. Entah apa yang difikirkannya tentang Renee.
“Renee, kamu datang kuliah dengan apa?” Tanya Ustaz Ramli.
“Dengan… basikal… ustaz.” Suaranya serak dan tersekat-sekat.
“Bolehkah kamu kayuh balik ke asrama macam ni?” Ustaz bertanya merujuk kepada keadaannya yang baru sedar dari pitam sebentar tadi. Renee hanya menjungkitkan bahunya. “Sudahlah. Biar saya sahaja yang hantar kamu balik ke asrama. Saya pun mahu bercakap sedikit dengan kamu berdua. Tuan Syed mahu ikut sekali?”
“Tak payahlah. Ustaz sajalah yang hantarkan mereka. Saya ada hal yang perlu saya buat.”
“Baiklah, Tuan Syed. Kamu berdua, mari ikut saya.” Tuan Syed Jaafar terus meluru keluar dari pejabat itu meninggalkan Renee, Shakir dan Hani bersama dengan Ustaz Ramli. Kemudian, mereka semua membuntuti Ustaz Ramli beredar dari situ.
“Ustaz, saya perlu ikut juga ker?” Tanya Hani. Mungkin dia tidak senang dilihat ada bersama Shakir dan Renee. Agaknya dia bimbang sekiranya ada yang menuduh dia juga turut terlibat dalam masalah Renee dan Shakir itu.
“Kamu datang tadi naik apa?” soal Ustaz Ramli kembali.
“Naik basikal, ustaz.”
“Kalau begitu, kamu balik sendiri sahajalah.” Ustaz Ramli memberi cadangan. Hani mengangguk dan terus beredar. Sebenarnya, sengaja Ustaz Ramli menyuruh Hani beredar. Fikirnya, apa yang bakal dibincangkan nanti biarlah antara dia dengan Renee dan Shakir sahaja. Tidak perlulah orang lain turut serta.
Di dalam Waja hitam milik Ustaz Ramli, Shakir duduk di hadapan. Dia masih lagi berdiam diri. Renee pula masih berlinangan air mata di tempat duduk belakang. Sesekali Ustaz Ramli mengerling ke arahnya menerusi cermin pandang belakang.
“Kamu berdua ni masih muda. Kenapalah kamu perlu terburu-buru? Sekurang-kurangnya pun tunggulah sehingga kamu graduate. Pada masa itu, tidak ada siapa pun yang akan menghalang kamu. Malahan jika kena dengan caranya, semua orang akan meraikan kamu.” Shakir mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
“Saya tak buat apa-apa pun, ustaz.” Renee bersuara sayu dan perlahan. Dia terus cuba membela dirinya. “Kami tidak pernah ada hubungan apa-apa pun.” Tambahnya lagi diselangi sendu.
“Renee, Shakir. Ini bukan kali pertama saya mendapat laporan mengenai kamu berdua.” Renee terpempan dengan luahan Ustaz Ramli. Shakir juga memalingkan mukanya ke arah ustaz dengan pantas. “Hari ini saya terpaksa bertindak. Universiti kita ada peraturan. Malah Islam juga ada peraturannya.”
“Boleh saya tahu siapa yang melaporkan perkara ini?” Shakir akhirnya bersuara. Suaranya perlahan tetapi bernada tegas. Dia benar-benar bengang. Jelas sekali ada pihak yang cuba mengaibkannya. Tetapi sesungguhnya dia langsung tidak mempunyai sebarang idea siapa yang sanggup berbuat begitu kepadanya.
“Tak perlulah saya beritahu. Nanti lain pula jadinya. Tambah lagi satu masalah kamu, Shakir. Sekarang ni pun kamu sudah boleh diberhentikan. Soal siapa itu tak penting, Shakir. Masalahnya, laporan itu sudah terbukti tadi. Kami mempunyai saksi yang cukup.” Shakir menggeleng-gelengkan kepalanya. Kemudian, dia kembali memandang ke luar tingkap.
Renee juga turut mengalihkan pandangannya ke luar. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu difikirkannya saat itu. Air mataya sahaja yang masih lebat mencurahi pipi dan tudungnya. ‘Apalah yang akan dia jawab dengan mama dan papa esok?’ Renee memejamkan matanya rapat-rapat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience