16

Romance Completed 7404

Tanggal 2 December 2010, suasana di rumah Encik Rizuan dan Puan Maimon sekali lagi riuh rendah dengan sanak-saudara dan sahabat handai. Majlis kali ini bertemakan putih. Daripada pentas pengantin, bunga telur, beg cenderahati semuanya membawa tona putih. Tetapi persiapan kali ini perlu berbeza. Selalunya disiapkan dua alas tilam buat pengantin lelaki dan wali. Namun kali ini, meja dan kerusi menggantikan tilam.
Lebih kurang jam 10:00 pagi, Imam Masjid Al-Huda pun tiba. Pada jam 10:15 pagi, rombongan pihak lelaki pula tiba. Pada hari yang bersejarah itu, Shakir yang berbaju Melayu berlatarkan putih dan bersulam hijau masih lagi belum sembuh sepenuhnya. Tangannya tidak lagi bersimen namun dia masih bertongkat. Kecederaan kaki Shakir lebih serius berbanding tangannya. Walaupun begitu, Shakir tidak mahu lagi menangguhkan majlis pernikahan mereka.
Setelah semuanya selesai mengambil tempat, Imam meminta dipanggilkan pengantin perempuan keluar. Renee yang juga mengenakan kurung moden lace berwarna putih ditaburi manik hijau keluar dari bilik menuju ke pentas pengantin. Melihat wajah Renee yang disolek indah menambahkan getar di dada Shakir. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kembali memberi tumpuan ke meja di hadapannya.
Sebelum akad nikah dimulakan, Imam memberikan sedikit penerangan kepada wali dan juga kedua-dua pengantin. Encik Rizuan sendiri yang menikahkan anak gadis tunggalnya itu.
“Aku terima nikahnya Renee binti Rizuan dengan mas kahwin tersebut tunai…”
Dengan sekali lafaz sahaja, maka sahlah Renee kini milik Shakir. Tangan ditadah mengaminkan doa yang dibacakan imam. Saat itu, menitis lagi air mata Renee. Begitu juga Puan Maimon dan juga Puan Sakinah. Namun air mata mereka kali ini adalah air mata kegembiraan dan air mata kesyukuran.
Kemudian, tiba pula upacara menyarungkan cincin ke jari Renee. Suasana agak kecoh seketika apabila Shakir terpaksa dipimpin oleh Farid kerana tidak dapat berjalan dengan betul. Semua yang ada di situ ada yang mengusik pengantin.
“Tak sempat nak buka simen. Tak sabar sungguh.”
“Baik-baik jalan tu. Jatuh atas dulang tu, susah nak susun balik.”
“Suruh pengantin perempuan sahajalah yang datang ke mari. Susah dia nak jalan.”
Tetamu-tetamu lain berderai ketawa. Shakir mengabaikan sahaja semua usikan itu. Dia sudah nekad. Tidak mahu lagi dia menunggu. Setelah bersusah-payah dia berjalan menghampiri pentas yang diduduki Renee, terkial-kial pula Shakir untuk duduk di situ. Sekali lagi kedengaran deraian ketawa para tamu. Selesai cincin disarung, Shakir mencium isterinya. Namun tidak seperti kelaziman pengantin yang lain mencium isteri di dahi, Shakir mencium Renee di kepala seperti yang dia biasa lakukan. Lama juga dia perlu berhenti di situ. Maklumlah, ramai yang ingin merakamkan saat indah itu. Lampu-lampu limpah kamera umpama kilat sabung-menyabung.
“I love you, honey.” Bisik Shakir ke telinga Renee. Renee melemparkan senyuman yang paling manis buat Shakir yang kini sah menjadi suaminya. Kemudian, tiba pula giliran Renee menyalami tangan suaminya. Sekali lagi ruang tamu itu disimbahi lampu-lampu limpah kamera yang tak henti-henti.
Selesai menjamu selera, semua tetamu bersurai. Tuan rumah juga beristirehat seketika sebelum memulakan persiapan untuk majlis esok. Jurufoto yang ditempah khas oleh Shakir beransur pulang hanya selepas jam 2 petang. Selepas itu barulah mereka benar-benar dapat berehat. Sengaja Puan Maimon menyiapkan bilik tetamu yang terletak di aras bawah sebagai bilik pengantin memandangkan keadaan Shakir yang masih belum sembuh sepenuhnya. Shakir menekan tombol pintu untuk memastikan yang mereka tidak akan diganggu seketika. Shakir menghampiri Renee dengan penuh kepayahan. Tongkatnya tertinggal di luar. Melihat Shakir yang agak susah bergerak, Renee tergelak kecil dan terus bangun untuk membantu.
“Don’t you dare lough at me, honey.” Shakir terus menarik Renee ke dalam dakapannya. Dipeluknya badan Renee dengan erat. “I’ve been waiting for this moment for a long long time.”
“Shakir gembira?” uji Renee.
“Sangat gembira.” Jawab Shakir ringkas. Tangannya menggosok-gosok lembut belakang Renee. “I love you, Honey.” Shakir meletakkan tangannya ke belakang tengkok Renee. Dia mencium kepala Renee buat seketika. Kemudian, dia merenung wajah Renee penuh makna. Dia amat-amat berharap Renee masih ingat dengan janjinya suatu ketika dahulu.
“Oh ya… Nasib baik ingat. Come, you sit here first.” Renee memimpin Shakir ke arah katil mereka dan menyuruhnya duduk seketika di birai itu. Renee menuju ke meja solek. Dia membuka laci kiri meja tersebut dan mengeluarkan satu bungkusan yang kemas berikat reben bewarna putih dan hijau lumut sedondon warna baju pengantin mereka. Renee menghampiri Shakir sambil menghulurkan bungkusan tersebut.
“Apa pula ni? I don’t have any gift for you.”
“Tak apa. Kebetulan saja. This gift wasn’t meant for today, tapi keadaan yang menyebabkannya berlaku macam tu.” Shakir agak keliru dengan cerita Renee. Berkerut-kerut dahinya cuba memahami butir bicara Renee. “Bukalah cepat. Tak sudi?” hakikatnya Renee pula yang terlebih teruja berbanding Shakir.
Shakir menarik reben-reben itu perlahan-lahan. Kemudian, dia membuka pembalut bungkusan itu dengan begitu berhati-hati. Kertas berwarna putih pada tanahnya dipenuhi dengan gambar-gambar sepasang burung merpati putih yang masing-masing membawa cincin perkahwinan yang tergantung pada sehelai reben hijau. Gambar itu berselang seli dengan tulisan ‘Congratulation on you wedding’.
Setelah bungkusan itu selesai dibuka, tertera sebuah kotak baldu hitam bersaiz 6 x 1.5 x 0.5 inci. Apabila Shakir membuka kotak tersebut, terlihat sebatang pen fountain bewarna perak yang begitu cantik.
“Cantiknya, thanks honey.” Shakir terus mengamati pen tersebut. Dipusing-pusingkan badan pen itu sehingga dia terjumpa ukiran ‘Forever Yours’ pada permukaan klip pen itu. “Bila Renee beli pen ni? Masa shopping hari itu, tak perasan pula Renee singgah beli pen.” Soal Shakir.
“That’s why I said, hadiah ni bukannya Renee beli purposely untuk hari ni. Kebetulan sahaja.” Jawab Renee.
“Shakir tak fahamlah.”
“Pen ni Renee beli masa kami ke Melaka meminang Kak Alia. Hadiah mak dan adik-adik kan Renee dah bagi. Inilah hadiah untuk Shakir.” Shakir mengangguk-angguk kecil. Dia kembali menatap ukiran perkataan di pen tersebut.
“Maksudnya,” kata Shakir perlahan-lahan sebelum menyambung, “even pada waktu Renee nak ‘berehat’ dulu pun,” dia berhenti lagi. Kali ini matanya tepat memandang mata Renee. “You admitted that you are mine.” Dia merangkul badan Renee merapatkan agi jarak antara mereka.
“Emm… yes…” jawab Renee malu-malu.
“Kenapa tak cakap jer terus-terang? Kan lebih senang?” usik Shakir.
“Saja.” Jawabnya bersahaja. Renee melentokkan kepalanya ke bahu Shakir. “Renee kenalah simpan sikit perasaan ni. Kalaulah Shakir betul-betul ada affair dengan Salwa tu, macam mana?” soalnya pula.
“Renee, Shakir sayangkan Renee. Shakir cintakan Renee. I love you so much and I love you alone. You are my first and you will be my last. I love you, honey!” kata Shakir bersungguh-sungguh.
“I love you too… Hubby.” Balas Renee sambil tersenyum dengan penuh kemesraan dan kemanjaan.
Saat itu, pelukan Shakir semakin erat.

... TAMAT ...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience