10

Romance Completed 7404

Sejak kejadian itu, hari-hari Renee hanya bertemankan mama, papa dan along. Dia juga jarang keluar rumah sendirian melainkan bersama-sama mama. Hari-harinya dirasakan tenang walaupun hakikatnya dia merindui Shakir.
Dia cuba menyibukkan dirinya di dapur sepanjang masa. Banyak juga resepi-resepi baru yang dicubanya. Ada juga percubaannya terpaksa masuk ke tong sampah akibat gagal tetapi kebanyakkannya berjaya.
Renee juga mendapati yang keluarganya sangat menyokong keputusannya. Tidak pernah walau sekali pun mereka menyebut nama Shakir di hadapannya. Dia sangat bersyukur.
“Mama, papa, along ada benda nak cakap.” Reza memulakan bicaranya semasa mereka semua sedang menikmati makan malam. “Along nak minta tolong mama dan papa pinangkan seorang gadis untuk Along.” Selesai dia meluahkan katanya, dia terus tertunduk. Langsung tidak berani mengangkat mata.
“Along nak kahwin! Wah seronoknya!” jerit Renee sedikit kuat.
“Siapa? Orang mana?” Soal papa.
“Dia ni kawan Along di U dulu. Tapi sekarang dia berapa di London. Sambung MBA. Dia orang Melaka.”
“Siapa namanya? Tunjukkanlah kami gambarnya. Mesti kamu ada gambarnya kan?” mama pula bertanya.
“Namanya Alia. Nantilah Along tunjukkan gambarnya. Minggu depan dia akan balik bercuti. Along ingat mama dengan papa bolehlah pergi bertandang ke sana. Tak perlu bertunang. Kami ingat, bulan 5 nanti selepas dia grad, terus kahwin saja.”
“Amboi, dah bincang semuanya. Berapa hantaran?”
“Dia tak minta pun, tapi Along ingat nak beri dia RM13531 termasuk mas kahwin RM3000.”
“Kenapa 13531?” Renee pula mencelah.
“Adalah. Sibuk saja kamu ni.” Reza cuba mendiamkan adiknya yang asyik menyampuk perbualannya itu. Segan pula dia jadinya.
“Keluarga Alia dah tahu kita nak datang?”
“Belum confirm lagi. Saya cakap saya akan confirm kemudian. Kalau papa dan mama dan setuju saya akan call mereka beritahu kata jadi.”
“Amboi, anak mama ni. Dalam-dalam diam, berisi ya!” usik Puan Maimon kepada anak bujangnya itu.
“Buat apa nak kecoh. Along bukan macam sesetengah orang tu…” buntang mata mama dan papanya merenung. Reza tahu dia sudah terlepas cakap.
“Eleh! Tak heran! Renee nak ikut pergi Melaka?”
“Mestilah. Takkan nak tinggalkan kamu seorang kat rumah!” jawab Encik Rizuan.
Malam itu, riuh rendah rumah mereka sekeluarga membelek-belek gambar Alia. Manis sungguh bakal isteri Reza. Kulit putih kemerahan. Bertudung litup. Berdasarkan gambar, dia hampir sama tingginya dengan Renee. Paras telinga Reza. Memang matching! Kembang hati Reza apabila buah hatinya dipuji melangit.
Perjalanan Renee sekeluarga ke rumah tunangan Reza berjalan lancar sekali. Mereka bertolak pada hari Jumaat. Encik Rizuan mengambil cuti sehari. Pertemuan mereka dengan keluarga Alia juga penuh dengan kemesraan. Sebagai tanda janji, Reza menghadiahkan sebentuk cincin emas kepada Alia.
“Saya difahamkan, budak-budak ini tidak mahu bertunang. Mereka mahu terus bernikah sahaja.” Kata Encik Rizuan kepada Encik Musa, bapa kepada Alia.
“Itu cadangan kami sebenarnya. Saya harap Encik Rizuan sekeluarga tidak kisah. Saya mengenangkan umur mereka yang sudah 25 tahun sekarang. Tahun depan sudah 26. Anak kami perempuan. 26 tu sudah agak lewat, tak begitu?” ujar Encik Musa penuh sopan.
“Iyalah. Kami tidak kisah. Asalkan mereka gembira, itu sudah memadai. Kita bertunang untuk berkenalan. Orang sekarang ni sebelum bertunang dah berkawan bertahun-tahun.” Balas Encik Rizuan pula.
“Ya, ya betul tu. Jemput ke meja makan Encik Rizuan, Puan Maimon. Semua dah terhidang pun.” Bapa Alia mempelawa tetamu-tetamunya untuk makan tengahari.
“Jemputlah makan ya Encik Rizuan, Puan Maimon, Renee. Ini sahaja yang sempat kami sediakan.” Tambah ibu Alia pula.
“Eh, ini pun dah banyak. Tak terhabis nanti. Buat susah-susah sahaja.” Puan Maimon berbahasa.
“Apa susahnya. Masakan kampong sahaja. Alia yang sediakan semua ni. Silakan rasa.”
“Kita ini bakal berbesan, tak perlulah kot berencik berpuan. Panggil saja Abang Wan dan Kak Mon.” kata Puan Maimon lembut dan mesra.
“Benar, benar.” Mereka ketawa bersama-sama. Ternampak jelas wajah kelegaan di muka masing-masing. Bukan senang nak jaga anak bujang. Apabila mereka sudah berumahtangga, kurang sedikit rasa beban yang ditanggung.
Keluarga Encik Rizuan bermalam di A’Farmosa Resort. Renee mengambil peluang hujung minggu untuk berjalan-jalan mengambil angin malam. Apabila berjalan berseorangan begitu, tiba-tiba terasa benar rindunya kepada Shakir. ‘Apa khabar Shakir sekarang?’ bisik hatinya. Dia mengeluarkan telefonnya sambil merenung telefon itu. ‘Nak tak nak? Nak tak nak?’ Dia bertimbang-tara sendirian. Tiba-tiba satu SMS masuk ke inbox.
‘Salam… Renee sihat?’ dia tersenyum sendirian. Nyata bukan dia sahaja yang sedang angau.
‘Alhamdulillah… Shakir sihat?’ balas Renee.
‘Baik2 saja. Kat rumah? Tgh buat apa?’
‘Di Melaka. Datang meminang utk Along.’
‘Oh ya? Bestnya boleh jalan2. Jgn lupa beli souvenir utk Shakir.’
‘Tgklah dulu… hehe…’
‘Oklah, xnak kacau org nak bercuti. Bye.’ ‘Eh! Dah nak berhenti? Hmm… tak apalah.’ Renee seakan tidak berpuas hati namun dia akur.
‘Ok. Kirim salam kat mak n adik2.’ ‘Hmm… apa yang aku nak belikan untuk mereka semua? Esok ajak mama jalan-jalan pusing Bandar Melaka.’ Fikir Renee lagi. Kemudian dia terus berjalan pulang ke chalet. Hari Ahad baru mereka semua bertolak pulang.

Renee merenung semua bungkusan ole-ole yang dibelinya dari Melaka. Hasrat hatinya ingin diberikan kepada keluarga Shakir tetapi dia tidak tahu bagaimana. Nak ke rumah lelaki itu, dia takut.
“Renee, telefon!” Reza memanggil adiknya dari bawah. Renee segera bangun dan turun menjawab telefon.
“Hello!”
“Hello kak Renee. Shaza ni. Kami ingat nak pergi mandi laut. Nak ikut tak?” suara adik Shakir menerobos melalui gagang telefon.
“Nak mandi laut? Siapa lagi yang pergi?” Renee sedikit gembira dengan pelawaan itu. Bolehlah dia bawakan barangan dari Melaka itu.
“Girls day out with mom. Mak suruh ajak akak sekali. Jomlah. Dah lama tak jumpa akak.” Shaza benar-benar menginginkan Renee untuk turut serta.
“Bila?”
“Hari Sabtu. Boleh la kak Renee.” Kemudian dia terdengar suara Shika sayup-sayup dari belakang. “Jomlah kak Renee. Akak ada baru best! Jom la! Jom la!” dia tergelak kecil mendengar suara kanak-kanak begitu. Jarang sekali dia bermain dengan kanak-kanak di usia Shika. Maklumlah, di rumah itu dialah yang bongsu.
“Ok, ok. Akak minta izin mak akak dulu ya. Esok akak confirmkan. Boleh?”
“Alright! Akak mesti datang tau! Bye.”
“Bye.” Renee meletakkan gagang telefon. Kemudian dia segera mendapatkan Puan Maimon di dapur. “Mama, makcik Kinah ajak pergi picnic hari Sabtu ni. Boleh Renee ikut?”
“Shakir pun?” Tanya Puan Maimon kehairanan. ‘Hari tu kata nak ‘berehat’!’

“Taklah. Girls day out.”
“Dah habis berehat dah?” Reza yang kebetulan terdengar perbualan dua beranak itu menyampuk.
“Shakir tak ada lah! Sibuk saja Along ni!” bingkas Renee membantah.
“Suka hati kamulah, Renee. Jaga diri baik-baik. Jangan asyik nak berseronok saja.”
“Ok, mama.” ‘Boleh aku bagi hadiah-hadiah tu kepada mereka nanti.’ Fikir Renee.
Pada hari Sabtu yang dijanjikan, Renee pun ke rumah Shakir bersama-sama hadiah yang telah dibelinya di Melaka tempoh hari. Untuk Puan Sakinah, dia belikan sebuah mangkuk tingkat kayu bewarna hitam bercorak ala baba nyonya. Hadiah itu adalah cadangan mama. Dia amat berharap Puan Sakinah akan menyukai pilihan mereka itu.
Untuk Shaza, Shana dan Shika pula dibelinya seorang sebiji bantal gebu berbentuk segiempat sama bercetak peta Melaka. Materialnya seperti kain baldu yang sangat lembut disentuh. Bolehlah mereka gunakan buat tidur mahupun sebagai alas penyandar kerusi di meja belajar.
Untuk Shakir dibelikan sebatang fountain pen berwarna perak berhiaskan garisan-garisan bewarna keemasan. Renee meminta agar diukir ‘Forever Yours’ di atasnya. Dia amat berharap Shakir akan menjumpai ukiran itu. Tetapi dia berhasrat untuk menyimpan hadiah itu terlebih dahulu. Dia ingin tunggu sehingga mereka benar-benar bersama nanti. Biarlah Shakir ternantikan hadiahnya.
Hatinya berdegup laju yang amat apabila tiba dihadapan rumah Shakir. Inilah kali pertama mereka bertemu setelah kejadian di rumahnya lebih sebulan dahulu. Dia turun perlahan-lahan dari keretanya dan berjalan ke pintu utama. Diketuknya pintu cermin berangka kayu yang cantik terukir.
“Assalamualaikum…” Renee memberi salam sebaik sahaja pintu rumah dibuka oleh Shana.

“Waalaikummussalam. Mak, kak Renee dah sampai. Masuklah akak. Mak kat dapur.”
Dia terus masuk ke dapur. Dia terus mendapatkan Puan Sakinah dan menyalami wanita itu. Seperti biasa, wanita itu akan memeluknya dan mencium kedua-dua pipinya.
“Makcik, ini ada sedikit ole-ole dari Melaka. Mama dan papa kirim salam.” Renee menghulurkan bungkusan berisi mangkuk tingkat yang dibelinya itu.
“Buat susah-susah sahaja. Wah, cantiknya mangkuk tingkat ini. Terima kasih, Renee. Banyak betul kamu bershopping untuk kami.” Puan Sakinah membelek-belek hadiah yang baru diterimanya dengan penuh minat.
“Tak adalah. Mangkuk tu mama yang pilihkan. Renee harap makcik suka. Ini untuk adik-adik.” Renee menunjukkan bungkusan-bungkusan yang lain.
“Mereka pun ada? Pergilah kamu berikan kepada mereka. Mereka ada kat depan rasanya. Bekalan ini pun dah siap. Makcik nak pergi bersiap sekejap, ya.”
“Ok.” Renee kemudian berjalan perlahan menuju ke ruang tamu. Di sana dia terserempak dengan Shakir yang sedang menuruni tangga. Shakir senyum kepadanya. Renee tersenyum balas. Dia merenung wajah lelaki itu buat seketika. Rindunya dia kepada lelaki itu tetapi dia sendiri yang meletakkan ketetapan. Mereka hanya akan kembali seperti biasa setelah hal Salwa Saidin selesai.
“Apa bungkusan banyak-banyak ni, akak?” Shika terlebih dahulu menerkam Renee.
“Ini ole-ole dari Melaka untuk adik-adik akak. Ambillah.” Shakir tersenyum bangga mendengar perkataan ‘adik-adik akak’ keluar daripada mulut Renee. Pada mulanya Shakir berfikir akan hilanglah segala perasaan rindunya pada gadis itu setelah melihatnya, namun sangkaannya meleset sama sekali. Sebaik sahaja dia melihat wajah gadis itu, semakin membuak-buak perasaan rindunya kepada Renee.

Senyuman Shakir itu disedari Renee. Renee rasakan seluruh badannya menggigil apabila melihat Shakir berjalan perlahan menghampirinya. Masih terasa kehangatan ciuman Shakir di kepalanya tempoh hari.
“Boleh saya buka?” Soal Shika kepada Renee. Renee hanya mengangguk sahaja. Shika dengan pantas mengoyak plastik pembungkus.
“Wah, lembutnya! Bestlah akak. Thank you. Sayang kak Renee!” Renee hanya tersenyum melihat keletah adik bongsu Shakir memeluk-meluk bantal gebu itu. Sementara itu, Shakir sudah pun berdiri betul-betul dibelakangnya. Kemudian, dia meletakkan tangannya lembut di pinggang Renee membuatkan Renee terlompat sedikit kerana terkejut. Renee bergerak sedikit menjauhkan dirinya dari Shakir.
“Shakir, janganlah suka buat macam ni. Renee tak biasa.” Ujar Renee membantah. Sememangnya dia tidak biasa begitu. Tambahan pula dihadapan adik-adik Shakir.
“Habis yang Renee pegang-pegang Shakir masa atas motor tu boleh pula?” Renee tidak mampu berhujah lagi. “Hadiah saya mana?” Shakir menghulurkan sebelah tangannya kehadapan Renee.
“Emm… tak ada. Sorry.” Jawab Renee bersahaja.
“Tak ada? Hmm.. kita yang minta, kita yang tak dapat. Dah nasib badan. Have you figure out yet?” Tanya Shakir kepada Renee. Renee kurang faham dengan soalan Shakir pusing ke belakang menghadap Shakir. Shakir mengesan wajah keliru Renee. “About your feeling towards me.”
“Oh, that!” Renee masih belum bersedia untuk memberikan jawapannya. Dia ingin menunggu sehingga hal ‘Salwa Saidin’ benar-benar diselesaikan.
“Ok, jom. Semua dah siap, kan? Barang dah masuk dalam kereta?” Renee mengurut dada. Puan Sakinah betul-betul menyelamatkan keadaan.
“Belum.” Jawab Shaza lantas bangun ke dapur untuk mengangkat barang yang dimaksudkan emaknya.

“Emak, Shakir nak ikut?” permintaan itu mengejutkan Renee. Pantas dia memandang Puan Sakinah. Dia sedikit gementar menanti respon wanita itu. ‘Oh, tidak!’
“Tak payah. Girls day out, kan!” Balas Shika menuntut janji ibunya untuk projek girls day out mereka.
“Ya lah!” Jawab Shakir perlahan. Shakir ternampak Renee menarik nafas lega sambil mengurut dadanya. Geram benar hatinya. Sebelum dia beredar, ditariknya hidung Renee.
“Padan muka!” sakat Shana kepada abangnya. Shakir hanya berjalan laju masuk ke dapur. Renee tersenyum melihat gelagat dua beradik itu.
Mereka bertolak dari rumah lebih kurang jam 8:30 pagi. Tempat perkelahan yang tujui hanya terletak kira-kira setengah jam perjalanan sahaja.
Hari masih awal. Jadi pantai masih lagi lengang. Senang sahaja mereka mendapatkan parkir dan tempat untuk duduk. Puan Sakinah mengeluarkan sebekas bihun goreng sebagai sarapan mereka di sana. Selain itu, Shaza pula mengeluarkan bahan-bahan untuk menyediakan sandwich sardin. Renee menolong Shaza menyiapkan sandwich. Shana dan Shika sudah pun basah di laut.
“Renee tak nak mandikah? Pergilah main bersama-sama mereka. Biar makcik buat sandwich tu.” Ujar Puan Sakinah kepada Renee.
“Jomlah kak Renee, kita mandi.” Pujuk Shaza pula.
“Renee ikut Shaza, ya makcik.” Renee berbahasa ramah. Seronok juga dapat mandi-manda begitu. Keluarganya bukanlah keluarga yang besar. Renee dapat merasakkan perbezaan memiliki keluarga yang besar. Jika dahulu semasa dia kecil, papa dan mama akan mengajak sepupu-sepupunya turut sama berkelah agar lebih meriah.
“Ok. Biar makcik habiskan kerja ni.” Puan Sakinah terus mengambil sudu sardin di tangan Renee.
Pagi itu, keempat-empat gadis itu menikmati hari yang sangat menggembirakan. Agak lama juga keluarga Puan Sakinah tidak membuat short distance vacation. Walaupun Shakir tidak turut serta bersama-sama mereka, ia benar-benar berbaloi. Terpancar keceriaan di wajah mereka semua. Terutama sekali Shika. Seronok betul dia bermain dengan air laut.
Lebih kurang jam 2 petang, mereka bertolak balik ke rumah. Walaupun perjalanan tidak lama, tetapi Shika sudah tertidur keletihan di tempat duduk belakang. Sampai sahaja di rumah, kesemua anak gadis Puan Sakinah masuk ke bilik masing-masing. Mungkin untuk berehat atau tidur kerana keletihan. Ketika itu, Shakir sedang menonton televisyen di tingkat dua. Mendengar kereta ibunya di garaj, dia segera berlari turun.
“Hai, seronok mandi laut?” Tanya Shakir kepada Renee.
“Bolehlah. Seronok juga. Sudah lama Renee tak berkelah. Seronok dapat bermain dengan adik-adik.”
“Adik-adik?” Ada sahaja benda yang nak disakatnya.
“Ya lah. Adik-adik Shakir. Itupun salah.”
“Shakir tak cakap pun salah. Bangga.” Renee hanya tersenyum mendengar komen Shakir.
“Makcik, Renee balik dahulu ya.” Renee mendapatkan Puan Sakinah. Seperti biasa, wanita itu pasti memeluknya. “Terima kasih sebab sudi ajak Renee join family makcik hari ini.”
“Terima kasih pada Renee sebab sudi datang. Seronok betul Shika tadi.” jawab Puan Sakinah ikhlas.
Renee terus berjalan ke luar rumah. Shakir mengiringinya dari belakang.
“Saya balik dulu. Bye.” Ujar Renee sambil membuka pintu kereta.
“Drive safely.” Renee hanya mengangguk. Sebelum Shakir menutup pintu kereta, sempat juga Shakir curi-curi menciumnya di kepala. Tempat yang sama yang pernah diciumnya dahulu.
“You must stop kissing me like that. Tak sopan.” Bantah Renee. Shakir hanya tersenyum.
“Can’t help it! I love you!” Renee hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience