13

Romance Completed 7404

“Shakir, kamu ada buat permohonan untuk tutor universiti?” tanya Professor Mahzan yang menjadi Penyelia Projek Tahun Akhir Shakir selepas pembentangannya selesai.
“Tak ada, Prof. Saya ingat saya akan membantu emak di syarikat keluarga saya sahaja.”
“Oh, syarikat apa tu?”
“Printing. Arwah ayah saya yang mulakan dulu secara kecil-kecilan.”
“Yakah. Apa namanya?”
“Hasa Publishing Sdn Bhd.” Mereka terus berbual-bual mengenai syarikat ibunya itu. Ini juga sebahagian daripada pemasaran kepada syarikat ibunya itu. Ramai pensyarah yang gemar menghasilkan buku-buku rujukan ilmiah. Mungkin ini akan membuka peluang syarikat ibunya untuk menerbitkan cetakan-cetakan ilmiah untuk universiti pula. Sebelum mereka berpisah, Profesor Mahzan turut membekalkan maklumat tentang beberapa universiti terkemuka dunia dibidang Senireka Grafik seandainya Shakir ingin melanjutkan pelajarannya nanti.
Setelah selesai pembentangan tadi, lengkaplah ijazah Shakir sekarang. Kini, dia hanya perlu menunggu keputusan akhir dan juga majlis konvokesyennya. Waktu ini, dia perlu ke kolej untuk mengemas semua barangnya. Selepas ini, dia tidak akan menjejakkan lagi kakinya ke kolej itu.
Sebelum Shakir beransur pulang, Shakir ingin memandu menyusuri setiap laluan di universitinya buat kali terakhir. Kawasan universiti begitu lengang sekali memandangkan semua siswa-siswi sudahpun memulakan cuti semester yang panjang. Shakir tersenyum sendirian setiap kali dia melewati kawasan-kawasan yang telah mencipta kenangan antara dia dan Renee. Setibanya di hadapan setor sukan yang menempatkan bilik Tuan Syed Jaafar, dia memberhentikan keretanya. Dia membayangkan semula kejadian yang telah menyatukan dirinya dengan Renee. Walaupun pada saat itu, kejadian itu sangat menguji kesabarannya namun Allah lebih mengetahui rancangan-Nya.
Shakir sampai ke rumahnya lebih kurang jam 12:30 tengahari. Shakir memunggah semua barangnya masuk ke bilik. Adik-adiknya masih belum pulang dari sekolah. Ibunya juga masih belum pulang. Selesai menyusun semua barangnya di bilik, dia duduk berehat seketika di ruang keluarga. Tidak lama selepas itu, telefon bimbitnya berbunyi. ‘Renee!’
“Hi, honey! Assalamualaikum.” Sapa Shakir. Renee tersenyum mendengar panggilan honey yang diucapkan Shakir. Dia suka mendengarnya tetapi dia tidak mahu menggalakkan Shakir memanggilnya begitu. Bimbang sekiranya Shakir terlepas cakap di hadapan orang lain.
“Waalaikummussalam. Tak payahlah nak berhoney-honey pula. Nama Renee tak sedapkah?”
“Bukan macam itulah. Hmm… ya lah.” Balasnya seolah merajuk.
“Shakir ada di mana sekarang?”
“Di rumah. Baru sampai. Kenapa?”
“Sebenarnya mama nak ajak Shakir makan tengahari di sini. Tapi dah lewat dah sekarang. Nanti takut tak sempat solat Jumaat pula. So, mama tanya kalau lepas Jumaat, Shakir datang rumah, bolehkah?”
“Beritahu mama, umpama orang mengantuk disorong bantal. Kalau mama tak ajak pun memang Shakir nak ke sana petang ni.” Jawab Shakir. Renee tidak membalas apa-apa tetapi tersenyum sendirian. “Banyak lagikah persiapan yang belum selesai? Bila orang khemah nak datang?”
“Petang inilah.”
“Okay, selesai solat Shakir terus ke sana.”
“Okay, bye.”
“Bye, honey. I miss you.”
“Hmm… mee too.” Renee masih lagi mengelak dan terus mematikan talian. Shakir menghela nafasnya kuat.
“Renee, how long should I wait to hear you say that?” keluhnya sendirian. Dia bingkas ke bilik air untuk mandi dan bersiap sedia untuk ke masjid.
“Mama, orang dari kedai pelamin dah sampai.” Renee berkata agak kuat agar ibunya di dapur dapat mendengar suaranya. Suasana di rumahnya hari ini agak riuh-rendah dek semua saudara-mara yang datang untuk turut sama membantu meraikan Reza dan isterinya.
“Panggilkan Along tolong tengokkan.” Along dan isterinya Alia sudah pulang ke rumah itu sejak semalam. Semua orang memuji kak Alia tetapi Along yang lebih bangga dengan isterinya itu. Siapa tak kembang hati apabila isterinya dipuji. Kak Alia seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sanak-saudara yang lain. Dia tidak perlukan masa yang lama untuk bergaul dengan mereka. Kak Alia juga betah melakukan semua kerja di dalam rumah itu. Ada saja yang dibuatnya. Tidak pernah sekali pun Renee nampak kakak ipar barunya itu duduk bersenang-senang melainkan waktu semua orang pun turut sama beristirehat. Mama juga turut tempias rasa bangga apabila semua yang ada di situ tidak habis-habis memuji menantu sulungnya itu.
“Cantiknya menantu kamu ni, Mon.”
“Rajin sungguh si Alia tu, Mon. Dari tadi aku tengok ada sahaja yang dibuatnya.”
“Pandai Si Alia tu bawa diri, Mon. Ramah sungguh. Tak sombong. Pandai si Reza pilih isteri.”
“Beruntung engkau, Mon dapat menantu macam Alia.” Dan pujian-pujian itu terus datang tak henti-henti.
“Renee, Shakir dah sampai ni.” Teriak Along dari luar. Namun bukan Renee yang pertama sampai ke pintu tetapi mamanya.
“Masuk, Shakir. Masuk. Ramailah sikit orang kat rumah ini hari ini. Kamu buatlah macam biasa, ya. Handsome Shakir pakai baju Melayu hari ni. Macam mualaf pun ada juga. Kamu sudah makan?” pantas sahaja Puan Maimon berkata-kata tanpa henti. Disambutnya tangan anak muda itu yang dihulur untuk menyalaminya.
“Terima kasih, makcik. Saya dah makan tadi di rumah.” Balas Shakir tersipu-sipu. Selain pujian daripada Puan Maimon, dia juga berasa segan dengan mata-mata yang memandang ke arahnya. Maklumlah, bukan semua yang ada di situ mengenalinya. Hanya sebahagian yang mengikuti rombongan ke Melaka sahaja yang pernah berjumpa dengannya.
“Budak ini, kan dah banyak kali mama cakap. Jangan panggil makcik. Panggil mama.” Shakir menggaru kepalanya. Rasa segan untuk dia memanggil wanita itu sebegitu. Tambahan pula sanak-saudara Renee penuh di situ. “Mak kamu tak kerjakah hari ni?”
“Kerja.”
“Habis, siapa yang masakkan untuk kamu?”
“Ah…” Shakir tersepit di situ. Dia hanya makan sepiring mee goreng lebihan sarapan sebelum ke Solat Jumaat tadi namun dia segan untuk berterus-terang. “Ada sedikit makanan yang mak tinggalkan tadi.”
“Makan sarapan waktu tengahari?” Puan Maimon bukanlah anak kecil yang boleh tertipu dengan alasan sebegitu. “Mana boleh macam tu. Pergi ke dapur makan nasi. Nanti masuk angin perut kamu. Renee, tolong hidangkan nasi untuk Shakir. Temankan dia makan.” Kata Puan Maimon kepada Renee yang baru sampai ke situ. “Renee pun belum makan. Tunggu kamu agaknya.” Bisik Puan Maimon perlahan ke telinga Shakir. Renee mengerut kening melihat gelagat mereka berdua.
“Terima kasih, makcik…”
“Eh! Mama.” Tegur Puan Maimon. Renee agak tidak puas hati dengan sikap mamanya yang berlebih-lebih.
“Oh, ya! Terima kasih… mama.”
“Ha, macam itulah. Susah sangat nak sebut mama. Sudah, pergi ikut Renee ke dapur.”
“Mama ni, macam-macamlah. Dah tua-tua ni pun mengada juga.” Kata Renee kepada ibunya. Shakir hanya tersenyum. Renee terus beredar ke dapur diikuti oleh Shakir di belakangnya.
“Amboi, mana pula kamu dapat pelakon Hong Kong ni Renee?” tiba-tiba Mak Long Rizah, kakak bapanya menegur dan menghalang mereka. Renee tersipu di situ.
“Emm… Mak Long, ini kawan Renee, Shakir. Orang Melayu, bukan pelakon Hong Kong!” balas Renee. Shakir menghulurkan tangan menyalami Mak Long Rizah.
“Hai, Mon. menantu-menantu dia ada rupa semuanya.” Kata Mak Long sambil berlalu.
“Mestilah, kak.” Balas Puan Maimon pula.
“Ramainya saudara-mara Renee hari ni. Segan Shakir.” Shakir sudahpun duduk di meja makan sedangkan Renee sibuk menghidang lauk-pauk untuk mereka.
“Segan? Tak pernah-pernah Shakir segan, hari ini tau pula rasa segan?” balas Renee sebaik sahaja dia duduk di hujung meja bersebelahan dengan Shakir. Shakir mencubit perlahan lengan Renee. “Sakitlah!”
Tidak banyak yang dibualkan semasa makan. Selain rasa lapar, Renee dan Shakir kerap juga diusik oleh sanak-saudara Renee yang keluar masuk dapur itu.
“Patutlah Cik Mah ajak makan tadi, dia tak mahu. Rupanya tengah tunggu buah hati.” Usik adik Puan Maimon kepada Renee. Merah padam muka Renee menahan malu. Dia segera menghabiskan makanan di pinggannya. Dia tidak mahu berada lebih lama di situ. Selesai mereka berdua makan, Renee mangambil pinggan Shakir dan pinggannya untuk dicuci. Shakir mengekori Renee ke sinki untuk membasuh tangan. Dia berdiri betul-betul dibelakang Renee. Disebabkan ketinggiannya, mudah benar dia mencuri kesempatan untuk mencium kepala Renee.
“Shakir, ramai orang kat sini. Tadi bukan main segan. Sekarang dah tak segankah?” bentak Renee membantah.
“Shakir dah cover line. I can’t help it. You are my drug.”
“You have so much in your sleeves.” Renee menyigung Shakir perlahan ke perutnya. Selesai mencuci, Renee dan Shakir beredar ke ruang tamu utama melihat pelamin yang sedang di pasang. Indah dan mewah pilihan Along dan kak Alia. Sepasang kerusi berpenyandar tinggi bewarna putih gading diapit oleh 3 pasang rimbunan bunga mawar berkaki tinggi bewarna merah. Kain latar belakang juga bewarna putih gading ditaburi kelopak mawar merah. Persalinan pengantin esok yang bewarna perang keemasan pasti membangkitkan lagi nilai kemewahan pelamin mereka.
“Pelamin kita nanti agak-agaknya warna apa, ya?” bisik Shakir kepada Renee. Sekali lagi perutnya disigung Renee. Telatah mereka berdua disedari Reza.
“Mama, apa kata kita tunangkan sahaja mereka berdua ini esok pagi? Mama setuju tak?” Renee terpempan mendengar usul daripada abangnya.
“Isy, Along ni. Pandai-pandai sahaja. Shakir belum kata apa-apa, dia pula yang lebih-lebih.” Balas Renee. Shakir memandang Renee membangkang. Mahu saja dicubit mulut Renee yang sengaja mengada-adakan cerita. Walhal, sudah lama dia membangkitkan hal pernikahan mereka.
“Bagus betul cadangan kamu tu, Reza.” Balas Puan Maimon menyokong.
“Mama!” Renee terjerit kecil.
“Iyalah. Buat apa nak ditunggukan lagi. Tapi, kamu pun Reza sekarang baru nak bagi cadangan. Dah lewat sangat. Kesian pula mak Shakir nak buat persiapan tergesa-gesa.”
“Betul, betul, betul. Tak sempat nak buat persiapan apa pun. Kesian makcik Kinah.” Pantas sahaja Renee menyokong.
“Aik? Makcik? Yang mama dah lama dah buang makcik-makcik tu. Renee masih panggil mak Shakir, makcik?” usik Reza lagi. Masih tidak puas agaknya dia mengusik adiknya itu.
“Apa-apalah.” Renee terus beredar dari situ. Dia malas untuk melayan Reza dan ibunya di situ. Asyik dia sahaja yang menjadi sasaran usikan mereka.
“Mak Ngah, ais dah habislah.” Liza anak kepada Long Rizah datang menerpa.
“Ya kah? Kena pergi belilah. Nanti Mak Ngah carikan sesiapa untuk belikan ais.”
“Biar saya sahaja yang pergi, mak… aaa… mama.” Shakir masih belum biasa dengan terma itu. Dia melihat wajah Liza yang tersenyum seolah memerlinya. Dia menjadi serba salah.
“Bolehkah?” Shakir hanya menangguk. “Terima kasih. Nanti mama ambilkan duit.” Puan Maimon mahu segera beredar ke biliknya namun dihalang Shakir.
“Eh, tak payahlah. Ada ni. Nak beli banyak mana?”
“Beli dua beg sudahlah. Banyak sangat pun nanti tak ada tempat nak simpan.”

Majlis Reza berlangsung dengan meriah sekali. Puan Maimon dan Encik Rizuan tidak menang tangan melayani tetamu yang hadir. 4 buah khemah besar yang dipasang bagaikan masih tidak muat untuk menampung bilangan tetamu yang hadir. Semua tempat duduk yang disediakan dipenuhi tetamu.
Awal pagi lagi pasangan pengantin sudah keluar ke Butik Pengantin. Mereka tiba di perkarangan rumah pada jam 12:00 tengahari. Sesampainya pengantin ke situ, mereka disambut dengan sekumpulan pemain kompang dan lima pasang pemegang bunga manggar. Perarakkan pengantin didahului dengan 5 orang flower girls kecil molek memakai dress labuh bewarna merah hati. Mereka menabur kelopak mawar merah di atas laluan pengantin. Kilauan lampu limpah daripada kamera bersilih ganti tanpa henti. Bagaikan artis yang sedang berjalan di karpet merah Anugerah Skrin lagaknya.
Pengantin terus berarak ke pelamin untuk majlis menepung tawar dimulakan. Ibu bapa Alia mendahului senarai tetamu yang memberikan restu kepada mempelai. Diikuti oleh kedua ibu bapa Reza. Kemudian, barulah tetamu-tetamu yang lain. Selesai menepung tawar, acara santapan bermula. Semua yang hadir dihidangi 5 jenis lauk-pauk beserta pencuci mulut. Selesai majlis santapan, pasangan pengantin memotong kek perkahwinan mereka setinggi 5 tingkat. Along yang mahukan begitu bersempena 5 tahun usia perkanalannya dengan kak Alia.
? “5 tahun kenal baru kahwin? Lamanya Along ambil masa.” Ujar Shakir kepada Renee. Mereka tidak turut bersama di khemah tetamu. Mereka hanya memandang dari dalam rumah.
“Along tu penyabar orangnya. Tak macam sesetengah orang tu.” Kata Renee menyindir. Shakir agak geram mendengar sindiran Renee. Dia memandang ke sekeliling rumah. Semua mata tertumpu ke arah pengantin. Shakir mengambil kesempatan merangkul pinggang Renee yang berdiri di sebelahnya dan menariknya rapat ke badannya.
“I’m not like him. You don’t like that?” Tanya Shakir kepada Renee dengan tenang tetapi serius.
“I never said I want you to be like him. I like you just the way you are.” Balas Renee selamba.
“You ‘like’ me?” Shakir masih tidak berputus asa memancing Renee agar dia dapat mendengar tiga perkataan keramat itu keluar daripada mulut Renee.
“I do.” Renee menjawab bersahaja seolah-olah dia tidak memahami kehendak Shakir. Dia melonggarkan tangan Shakir dari pinggangnya dan beredar dari situ. Dia terus berlalu keluar mendapatkan mama dan papanya. Wajah orang tuanya kelihatan sangat gembira walaupun keletihan.
Shakir membiarkan sahaja Renee pergi. Dia tahu Renee mungkin tidak selesa dengan topik perbualan mereka tadi.
“Apalah abang ni. Nak mesra-mesra pun tengoklah sekeliling. Kan ramai orang kat sini!” tiba-tiba Shakir disergah oleh adiknya, Shaza. Shakir berasa agak malu apabila mengetahui perbuatannya tadi sebenarnya diperhatikan. Namun dia hanya mendiamkan diri tanpa jawapan. “Mak ajak balik. Dah lama kita di sini katanya.” Shakir hanya menganggukkan kepala dan berlalu ke luar.
Di luar kelihatan ibunya, Shika dan Shana sedang bersalam-salaman dengan ibu bapa Renee. Apabila tiba kepada Renee, ibunya seperti biasa memeluk gadis itu dan mencium kedua-dua belah pipi gadis itu. Apa yang membuatkan hatinya lebih berbunga ialah Renee juga turut mencium kedua-dua belah pipi ibunya itu. Dia terpaku sambil tersenyum melihat telatah mereka berdua.
“Jom cepat!” badannya dirempuh perlahan oleh adiknya Shaza. Dia pun melangkah perlahan-lahan menyertai mereka semua. Renee berpaling memandang kepadanya. Dia memberikan senyuman paling manis kepada gadis itu. Renee hanya memandang sebentar dan dengan seguris senyuman hambar dia berpaling kepada adik-adik Shakir yang seolah-olah berbaris untuk menyalaminya.
‘Kenapa pula Renee hari ini? Macam ada yang tak kena sahaja.’ Fikir Shakir sendirian. Namun dia tidak mahu melayan perasaannya lama-lama. ‘Perasaan aku saja mungkin.’
“Shakir, terima kasih banyak-banyak ya datang tolong kami di sini. Tak henti-henti daripada semalam.” Ujar Encik Rizuan. Sebelah tangan menyalami Shakir sebelah lagi menepuk-nepuk perlahan belakang Shakir.
“Tak ada apa-apalah.” Balas Shakir berbahasa. Dia kemudian beralih pula kepada Puan Maimon yang berdiri di antara Encik Rizuan dan Renee.
“Apa pula tak ada apa-apa. Keluarga kami ni kurang anak lelaki. Anak-anak buah kami tu ramainya perempuan. Mama besar hati Shakir dapat datang menolong.” Dengan tak semena-mena, ditariknya anak muda itu kedakapannya. “Cepat-cepatlah kamu berdua kahwin. Meriah sikit rumah mama ni.” Tambahnya lagi.
“Hai, Mon. Letih majlis ini pun belum habis lagi, dah fikir majlis lain dah?” sampuk Encik Rizuan.
“Apa nak diletihkan sangatnya, bang. Lagi cepat anak-anak berkahwin, lagi senang hati Mon.” Shakir dan Renee hanya tersenyum. Tidak tahu apa yang perlu dibalas.
“Saya pun begitu, kak Mon. Risau juga jika dibiarkan mereka ke hulu ke hilir begitu saja. Bila dah nikah tu, ikut suka merekalah. Sudah lepas tanggungjawab kita. Biar si Shakir ni pula rasa tanggungjawab atas isterinya tu.” Puan Sakinah pula menyokong.
“Betul tu. Saya setuju sangat.” Tambah Puan Maimon lagi.



“Kenapa Renee? Shakir tengok dari hari kenduri Along lagi Renee macam tak gembira saja.” Soal Shakir kepada Renee sewaktu mereka sedang makan malam di sebuah restoran beberapa hari selepas majlis Reza. Raut wajah Renee hari ini juga masih lebih kurang sama.
Shakir menjadi serba-salah. Sememangnya ada sesuatu yang merunsingkan hatinya. Dia memang ingin memberitahu Shakir akan hal itu. Tetapi dia bimbang sekiranya hal itu akan menjadi alasan utama Shakir mengajaknya berkahwin. Baginya, dia masih belum ingin berkahwin seawal ini.
“Renee… kenapa ini? Share it with me. You can count on me, you know that.”
“Apa plan Shakir lepas ni? Bila nak masuk kerja?”
“Maybe awal bulan depan. Awal bulan senang berurusan. Kenapa?”
“Hmm… Shakir tak nak sambung buat Master?”
“Maybe not. Lagipun Shakir bukannya perlu fight for my post. I just want to help my mom. Shakir nak dia kurangkan waktunya di pejabat. Biar dia berehat di rumah saja. Renee pula macam mana? Bila nak masuk kerja?”
Renee makin resah mendengar jawapan Shakir. Dia bimbang seandainya keinginannya dihalang.
“Renee ingat… nak sambung belajar lagilah.” Jawab Renee perlahan-lahan.
“Yakah? Renee dah buat permohonankah?” Renee hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Sememangnya dia belum pernah memohon daripada mana-mana universiti. Tawaran yang diterimanya itu merupakan tawaran biasiswa sebuah syarikat swasta. Memang pada awalnya dia hanya ingin bekerja di syarikat papanya sahaja. Tetapi setelah dia menerima tawaran itu, dia berfikir semula. Mungkin ini peluang terbaik untuk dia menimba pengalaman di syarikat lain terlebih dahulu.
“Dah ada targetkah universiti mana yang Renee nak mohon?” Renee menggeleng lagi. Namun wajahnya yang muram itu yang lebih merunsingkan Shakir. “Kenapa ni? Tolonglah, jujur dengan Shakir.”
“Renee ada benda nak beritahu Shakir. Tetapi Shakir mesti berjanji dengan Renee, Shakir akan sentiasa menyokong apa sahaja keputusan Renee. Boleh?” soal Renee kepada Shakir. Wajahnya menunjukkan pengharapan yang tinggi menggunung.
“Hmm…” Shakir meletak sudu di tangannya. Lain benar sikap Renee malam ini. “Baiklah,” dia memandang tepat ke wajah gadis itu sebelum menyambung bicara, “kalau kena dengan caranya, Shakir akan sentiasa menyokong keputusan Renee.”
“Minggu lepas, Renee ada mendapat tawaran biasiswa daripada satu syarikat swasta untuk sambung belajar.” Terang Renee perlahan-lahan.
“Baguslah begitu. Syarikat mana?”
“Syarikat di KL. Tetapi selepas habis belajar, Renee mesti mengikat kontrak selama 5 tahun.” Jawab Renee. Matanya memandang ke pinggan nasi di hadapannya. Dia tidak berupaya membalas renungan Shakir.
“Hmm…” Shakir menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba berfikir dengan tenang. “Sambung belajar di mana?” soal Shakir kembali. Dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya yang sebenar di saat itu.
“Mmm… di…” Shakir mengerut keningnya. Dia bagaikan dapat mengagak bahawa tempat itu pastinya jauh. “Di… Australia.” Renee memandang Shakir.
“Oh…” Shakir sekali lagi menarik nafas dalam-dalam. Dia mencapai gelas dan menghirup sedikit air laicinya. “Jadi, apa keputusan Renee?”
“Renee belum lagi membuat keputusan. Shakir fikir bagaimana?” Renee ingin mendengar pendapat lelaki itu.
“Itu peluang terbaik untuk Renee kalau memang itu yang Renee inginkan. Shakir tiada halangan.” Hakikatnya, hati Shakir bagai menjerit-jerit meminta agar Renee tidak menerima tawaran tersebut. Dia tidak sanggup menunggu selama 7 tahun lagi sehingga Renee tamat kontraknya dengan syarikat di KL itu. Sebaliknya, jawapan Shakir tadi sedikit sebanyak telah melapangkan sedikit hati Renee.
“Betul Shakir tak kisah kalau Renee terima tawaran tu?” Wajah Renee sudah sedikit ceria berbanding tadi. Menggerutu hati Shakir melihat senyuman di wajah gadis kesayangannya itu.
“Bohonglah kalau Shakir cakap Shakir langsung tak kisah.” Jawab Shakir jujur. “7 tahun tu bukanlah tempoh yang pendek, Renee. Tapi kalau itu yang Renee inginkan, Shakir tak boleh halang, kan?” soal Shakir seolah-olah menguji Renee pula.
‘Tak boleh ker? Kenapa pula dia tak boleh nak halang aku? Bukankah aku ni girlfriend dia? Kenapa tiba-tiba dia tidak ungkit pasal kahwin pun?’ Renee berfikir-fikir sendirian. Tanpa dia sedari, dia pula yang berasa sedikit kecewa.
“Renee, ikutkan hati Shakir memang Shakir tak nak Renee terima tawaran itu. Tapi Shakir tak nak Renee fikir Shakir cuba nak control your life. I can’t do that. Cumanya nanti janganlah Renee lupakan Shakir pula di Malaysia ni.” Sempat juga dia berseloroh namun ada keseriusannya di situ.
“Mana mungkin. Jangan-jangan nanti Shakir yang jumpa pengganti Renee kat sini.” Balas Renee pula. ‘Alamak, kalau betul jadi macam tu macam mana?’ Renee berfikir-fikir sendirian.
“Itu Shakir tak bolehlah nak janji. Kalau dah buah hati kita itu yang menyisih kita, nak buat macam mana. At the same time ada pula yang datang menagih kasih dari saya. Sebagai seorang lelaki sejati, saya mesti buktikan kelelakian saya. Tak rela orang panggil saya bujang terlajak. Muka dah handsome macam Aaron Kwok, sekali tak laku. Malulah!”
“Amboi! Belum apa-apa lagi dah ada hati nak cari pengganti?”
“Kita mestilah merancang. If you fail to plan, you plan to fail. Bukan saya yang reka tu!” Shakir mengangkat keningnya sambil menayang sebaris gigi yang rapi tersusun. Renee tersenyum kelat. Dia tahu Shakir hanya ingin mengusiknya namun dia sedikit terguris.
‘Sakit hatikan? Hmm… aku lagi sakit hati.’ Bisik hati Shakir.
“Suka hatilah. Shakir, jom kita balik.” Shakir hanya menurutkan sahaja permintaan Renee. Dia ke kaunter untuk membuat pembayaran. Kemudian dia kembali mendapatkan Renee dan jalan beriringan menuju ke keretanya.
Sepanjang perjalanan pulang, suasana di dalam kereta itu agak sunyi. Hanya lagu-lagu dari corong radio sahaja yang memenuhi ruang. Lebih kurang jam 9:30 malam, mereka sampai di perkarangan rumah Renee.
“Masuklah dulu.” Pelawa Renee.
“Tak perlulah. Kirim salam semua, ya.” Renee hanya mengangguk. Dia kemudian membuka pintu kereta dan pusing perlahan-lahan untuk keluar. Dia sebenarnya menginginkan ciuman Shakir di kepalanya. Tetapi malam itu, Shakir bagaikan terlupa. Setelah dia menutup pintu keretanya, dia menjengah sedikit untuk menatap wajah Shakir.
“Bye!” ucap Shakir sambil tersenyum.
‘Bye?’ Renee geram sendirian. Dia mengangguk lagi dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.
“Awal balik malam ni?” Tanya Puan Maimon. Hairan pula dia melihat Renee pulang awal malam ini. Selalunya kalau dia keluar dengan Shakir, hampir pukul 11 baru balik. Tengok wayang kemudian makan malam. Itulah agenda mereka selalunya.
“A’ah. Shakir kirim salam kat mama dengan papa.” Renee terus berlalu ke biliknya.
“Waalaikummussalam.” Puan Maimon mengekori pergerakkan Renee dengan ekor matanya. Dia tahu ada yang tidak kena dengan anak gadisnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience