15

Romance Completed 7404

Selesai solat Zohor tengahari itu, Renee bangun mencapai surah Yasin yang terletak di atas meja belajar. Dia ingin membaca surah itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan yang diambilnya pagi tadi. Renee amat bersyukur ke atas dorongan yang telah dikurniakan Ilahi. Dia ingin memanjatkan doa agar dirinya sentiasa diberkati dan semoga jodohnya dengan Shakir akal kekal hingga ke akhir hayat. Renee tidak mahu lagi diganggu dengan perasaan sangsi. Dia ingin meneruskan hidupnya dengan tenang disamping suami yang dicintainya. Dia telah dianugerahkan ibu bapa yang sangat menyayanginya, abang yang bertanggungjawab dan sekarang bakal suami yang diidam-idamkan. Dia tidak mungkin boleh meminta lebih daripada itu. Pada saat ini, perasaannya begitu tenang.
Sedang Renee asyik melagukan bacaannya, kedengaran suara ibunya terjerit-jerit memanggil namanya.
“Renee, Renee!” Renee bingkas bangun dan membuka pintu. Kelihatan ibunya tercungap-cungap keletihan berlari menaiki tangga. Ibunya belum pernah lagi bertindak sebegitu sebelum ini.
“Kenapa ni mama? Ada apa sampai berlari-lari ni?” soal Renee yang sedang berdiri di muka pintu biliknya.
“Renee… Shakir…” ibunya tidak dapat bercakap dengan lancar kerana tercungap-cungap.
“Kenapa dengan Shakir, mama?” hatinya berdegup kencang. Otaknya bagaikan beku sebentar.
“Shakir… accident… now… at GH…” terjelepuk Renee ke lantai mendengar kata-kata ibunya itu. Hatinya bagai disiat-siat. Dadanya bagai dipenuhi udara yang tersekat. Dia bagaikan hanya menarik nafas tetapi tidak dapat dihembus keluar. Air mata meluncur laju umpama empangan yang pecah. Datang pula suara Shakir berulang-ulang diminda Renee.
“Bayangkan kalau tiba-tiba on the way back nanti Shakir accident, dan meninggal. Macam mana? Kempunanlah Shakir nak dengar Renee cakap Renee sayangkan Shakir.”
‘Tak! Tak! Aku mimpi sahaja sekarang ni.’ Renee berlawan dengan perasaannya. Dia tidak mahu menerima berita yang disampaikan ibunya sebentar tadi.
“Cepat Renee, siap. Kita ke GH sekarang.” Puan Maimon yang terkejut melihat reaksi Renee cuba untuk mengejutkannya. Renee yang bagaikan baru tersedar daripada mimpi pantas bangun menyimpan telekungnya dan segera menyarungkan sepasang Jeans dan sehelai T-Shirt. Dia menggapai sehelai tudung awning dan disarungkannya terus ke kepala.
Tangannya menggigil semasa memandu ke hospital. Tidak susah untuk dia mencari lot parkir di waktu itu. Waktu melawat baru sahaja tamat. Renee dan ibunya bergegas menuju ke wad kecemasan. Di sana kelihatan Puan Sakinah, Shaza, Shana dan Shika yang sedang menunggu. Semuanya sedang menangis teresak-esak.
“Sakinah, apa yang berlaku sebenarnya?” Puan Maimon segera pergi mendapatkan ibu Shakir. Shika segera lari memeluk Renee sejurus dia melihat kelibat gadis itu. Dia menangis lagi di pelukan Renee. Renee tidak dapat berkata apa-apa. Saat itu, suaranya pula bagai terkurung di dalam peti suara. Dia menghulurkan tangan kepada Puan Sakinah tetapi dia ditarik ke dakapan wanita itu. Lama juga Puan Sakinah memeluknya dengan erat sekali.
“Dia dirempuh lori tanah, kak Mon.” setelah seketika barulah Puan Sakinah dapat menjawab soalan Puan Maimon. Mendengar kata-kata ibu Shakir, Renee semakin sebak. Matanya berpinar-pinar. ‘No! Not now. I need to be strong!’ bisik hati Renee menahan dirinya daripada jatuh pitam.
“Ya Allah. Macam mana boleh jadi macam ni? Mesti dia tergesa-gesa tadi. Tidak sabar benar agaknya.” Balas Puan Maimon kepada Puan Sakinah. Puan Sakinah menjadi keliru.
“Kenapa pula? Kenapa dia perlu tergesa-gesa?” ujarnya sambil memegang lengan Puan Maimon memohon penjelasan segera.
“Sakinah. Akak serba salah nak cakap saat-saat macam ni.” Puan Maimon serba salah untuk menyampaikan berita gembira itu di saat semua orang sedang susah hati dengan keadaan Shakir di dalam dewan bedah.
“Kenapa kak Mon? Tolonglah beritahu saya.” Puan Sakinah tidak mahu berteka-teki lagi. Bukan sekarang.
“Tadi di rumah, dia ada beritahu saya yang dia akan berkahwin dengan Renee selepas raya dan sama-sama perangkat ke Perth September nanti.” Puan Sakinah pusing mengadap Renee.
“Benarkah Renee? Kamu sudah setuju dengan lamaran Shakir?” Renee hanya mengangguk perlahan. Puan Maimon memeluknya sekali lagi. Rasa gembira dan sedih bercampur baur di dada Puan Maimon.
“Saya dah agak. Dia sudah ceritakan kepada saya pasal Renee sambung belajar di Perth.” Puan Sakinah sudah dapat meneka apabila Shakir menelefonnya pagi tadi meminta izin ke rumah Renee. Begitulah anak sulungnya itu, sentiasa meminta izin dan restu orang tua sebelum bertindak. “Selalu saya pesan pada dia, bawa motor tu, hati-hati. Nak dihalang bawa motor, tak sampai hati pula.” Sambungnya lagi. Puan Sakinah semakin kuat esaknya. Puan Maimon hanya mampu mencuba untuk menenangkannya.
Setengah jam kemudian, satu pengumuman dibuat.
“Waris kepada Mohd Shakir bin Hashim, sila masuk ke bilik 5.” Ibunya pantas bangun dan masuk ke bilik 5.
“Doktor, macam mana dengan anak saya, Shakir?” Tanya Puan Sakinah tanpa membuang masa.
“Sabar dulu puan. Duduk dulu.” Kata seorang doktor lelaki dihadapannya. “Alhamdulillah, pembedahan tadi berjalan lancar.” Sambung doktor itu lagi. Lega sedikit hati Puan Sakinah. “Berdasarkan pemeriksaan kami tadi, kaki dan tangan kanannya telah patah. Kami telah masukkan besi untuk memulihkannya.” Doktor berhenti lagi. Puan Sakinah mengangguk kecil. “Tetapi dia kehilangan banyak darah. Ada sebatang besi yang tertusuk ke bahu kanan Shakir.” Terang doktor muda itu selembut mungkin. Dia sedar bahawa tidak mungkin ada apa-apa perkataan pun yang dapat menenangkan hati ibu dihadapannya saat itu. Namun memadailah seandainya dia tidak memberikan kejutan yang mendadak. “Selain itu, dia hanya mengalami luka-luka ringan.”
“Di mana anak saya sekarang doktor?” ujar Puan Sakinah sambil menompang kepalanya dengan tapak tangannya. Lemah segala sendi mendengar setiap butir bicara doktor sebentar tadi.
“Kami tempatkan dia di ICU buat sementara waktu. Kami masih perlu membuat pemantauan. Dia belum lagi sedarkan diri kesan daripada ubat bius.” Jelas doktor lagi.
“Bolehkah kami masuk melihatnya?” rayu Puan Maimon.
“Boleh, tapi janganlah ramai-ramai. Dia perlu banyak berehat.”
“Terima kasih doktor. Terima kasih banyak.”
“Sila ikut nurse ke dalam ya. Nurse!” Puan Sakinah hanya mengangguk-angguk dan bangun mengekori jururawat tersebut.
Melihat keadaan Shakir yang berbalut lebih 50% daripada badannya meluluhkan hati ibu itu. Air mata Puan Sakinah kembali turun laju ke pipi.
“Ya Allah, abang, abang. Janganlah buat mak risau macam ni. Kenapa abang tak hati-hati? Dah banyak kali mak pesan, bawa motor tu perlahan-lahan. Motor ni merbahaya. Lepas ini, mak nak abang jual motor tu, abang beli kereta.” Puan Sakinah mengomel sendirian. Suaranya separuh marah separuh merayu. Diusap perlahan kepala Shakir. Kemudian, dia melurut tangan Shakir yang keras bersimen. Puan Sakinah beralih ke sebelah kiri katil. Dia menggenggam tangan anak terunanya itu seketika. Sedih benar hati Puan Sakinah. Dia tidak sanggup menatap wajah bengkak dan sembab anak teruna tunggalnya itu lama-lama. Dia keluar mendapatkan anak-anaknya yang lain.
“Kinah, macam mana Shakir?”
“Mak, abang macam mana mak?” soalan diterima bertalu-talu daripada anak-anaknya dan juga puan Maimon. Hanya Renee yang masih diam membisu sejak awal tadi lagi. Tetapi matanya terus memandang Puan Sakinah. Hakikatnya dia juga ingin menanya soalan yang sama tetapi suaranya tersekat di kerongkong.
“Kata doktor, Shakir akan okay. Cumanya sekarang dia masih belum sedar lagi. Pergilah masuk Renee. Shaza, temankan Kak Renee masuk ke dalam.” Kata Puan Sakinah. Dia faham perasaan anak gadis itu. Pastinya Renee juga merasakan apa yang dirasainya saat itu.
“Shika nak masuk juga!” pinta Shika.
“Tak boleh masuk ramai-ramai. Doktor tak izin. Biar kak Shaza masuk dengan kak Renee dulu ya.” Setelah mendapat tunjuk arah daripada ibunya, Shaza memimpin Renee masuk ke dalam wad.
Setibanya mereka ke katil Shakir, Shaza segera menerpa abangnya. Renee bagaikan terpana melihat keadaan Shakir waktu itu. Kaki, tangan, badan, kepala semuanya berbalut. Muka Shakir begitu bengkak dek trauma perlanggaran. Renee berdiri terpaku di hujung katil. Shaza yang baru tersedar dengan keadaan Renee segera pergi mendapatkannya dan dipimpin ke arah kerusi yang tersedia di sisi kiri katil.
“Kak, Shaza keluar sebentar ya.” Kata Shaza. Dia sengaja ingin memberi peluang kepada Renee. Bicara Shakir pagi tadi masih lagi berulang-ulang diminda Renee.
“Bayangkan kalau tiba-tiba on the way back nanti Shakir accident, dan meninggal. Macam mana? Kempunanlah Shakir nak dengar Renee cakap Renee sayangkan Shakir.”
Dan sekarang, dia di sini memerhatikan Shakir yang terlentang di katilnya. Mulut Renee masih lagi terkunci rapat. Dia tidak tahu apa yang perlu diucapkan.
‘Shakir, macam mana boleh jadi macam ni? Shakir nak tinggalkan Renee, ya? Shakir dah berputus asa dengan Renee, ya?’ kata-kata itu bermain-main dibenaknya. Renee mencapai tangan kiri Shakir dan menggenggamnya erat. Dia meletakkan kepalanya di situ dan dia menangis sepuas-puasnya. Kali ini dia melepaskan segala sendu yang menyesak di dadanya. ‘I love you, Shakir. I always love you.’ Namun kata-kata itu juga hanya bersarang dibenaknya sahaja. Tidak lama kemudian, Puan Sakinah masuk semula dengan Puan Maimon.
“Renee, banyakkan bersabar ya. Tuhan nak menduga kita. Kita perlu redha.” Pujuk Puan Sakinah. Dia menggosok perlahan-lahan belakang Renee.
“Sudahlah Renee. Marilah kita pulang dahulu. Esok kita datang lagi, ya. Renee, jom sayang.” Pujuk Puan Maimon pula. Sayu hati Puan Maimon melihat keadaan Shakir, bertambah sayu dia melihat Renee yang sungguh lemah tak bertenaga di situ. Dia memegang bahu anaknya itu dan memimpin anaknya pulang.
Malam itu, Renee langsung tidak keluar dari biliknya. Ibunya memujuknya agar keluar makan malam tetapi dia enggan. Baru jam 9:30 malam, Renee sudahpun tertidur bertemankan air mata. Dia tertidur di dalam telekungnya di atas tikar sejadah. Terdapat senaskah Yasin dan sekeping gambar Shakir didakapannya.
“Renee, bangun nak. Bangun tidur di atas katil elok-elok.” Renee hanya menurutkan sahaja saranan ibunya itu. Puan Maimon menolongnya menanggalkan telekung dan memimpin Renee ke katil. Setelah, Renee berbaring di katilnya, Puan Maimon menyelimutkan tubuh anaknya, memadamkan lampu dan menutup pintu bilik.
“Macam mana?” Tanya Encik Rizuan.
“Macam tu jugalah.” Jawab Puan Maimon. Ada nada gusar dalam suaranya itu.
Sudah tiga hari Shakir tidak sedarkan diri. Doktor pun tidak dapat memberikan alasan lain yang dapat meyakinkan semua ahli keluarga di situ.
“Mungkin trauma yang dialami anak puan terlalu kuat. Jadi, dia perlukan masa yang lebih lama untuk sedar.” Itulah jawapan mereka berulang-ulang setiap kali mereka bertanyakan keadaan Shakir.
Puan Sakinah meminta agar anaknya itu ditempatkan di wad persendirian. Lebih mudah bagi mereka melawat lebih lama di situ. Renee menjadi penunggu setia di situ. Awal-awal pagi lagi dia sudah tiba ke wad membawa sarapan untuk Puan Sakinah yang menunggu sepanjang malam di situ. Puan Sakinah akan pulang sebentar sementara Renee berada di situ. Puan Sakinah perlu menguruskan persekolahan anak-anaknya yang lain. Tambahan pula Shaza akan menduduki SPM tahun ini. Selepas bersolat Zohor, Puan Sakinah akan menjenguk ke pejabatnya sebentar sebelum kembali ke hospital.
Tidak banyak yang boleh Renee lakukan di situ. Ada juga petua-petua yang ditinggalkan oleh orang-orang tua yang datang melawat. Semuanya Renee ikut. Ada yang menyuruhnya mengurut perlahan-lahan tangan dan kaki Shakir yang patah itu. Ada juga yang menyuruhnya berbual-bual dengan Shakir. ‘Cakap seorang diri macam itu boleh dianggap berbualkah?’ Namun Renee tetap juga cuba ‘berbual’ dengan Shakir tetapi kebanyakkan patah bicaranya hanya bergema di minda sahaja. Entah mengapa mulutnya terasa berat untuk bersuara.
Namun tengahari itu, Renee didatangi pelawat yang tak disangkanya. Farid, teman baik Shakir di universiti dahulu telah datang melawat Shakir di hospital. Namun dia tidak datang sendirian. Dia datang bersama Salwa Saidin. Renee jadi tidak senang hati.
“Apa khabar, Renee?” sapa Farid terlebih dahulu. Renee hanya tersenyum hambar sambil mengangguk kecil memberi jawapan. Farid memandang Salwa sambil menyigung gadis itu. “Macam mana dengan keadaan Shakir, Renee? Apa kata doktor?” Tanya Farid lagi.
“Kata doktor, keadaannya stabil. Kita tunggulah sehingga dia sedar nanti.” Farid mengangguk-angguk kecil. Sekali lagi, dia menyigung Wawa. “Cepatlah!” bisik Farid ke telinga Salwa. Walaupun pelik, Renee membiarkan sahaja.
“Aa… Renee… aku… aku… nak minta maaf pasal… kejadian dulu. Aku mengaku… aku bersalah pada korang berdua.” Ujar Salwa tersekat-sekat. Renee mengangkat matanya memandang Salwa. Wajah Renee yang begitu serius sedikit sebanyak menggentarkan hati Salwa. “Aku telah tersalah langkah. Aku menyesal dengan tindakan aku dulu. Aku harap engkau dan Shakir dapat memaafkan aku, ya Renee?” ucap Salwa penuh pengharapan. Dia benar-benar menyesal dengan tindakannya dahulu.
“Dah lama aku lupakan hal itu. Dah lama aku maafkan kau.” Renee diam seketika. Wajahnya masih lagi serius. Dia memandang wajah Shakir. Dia teringat kata-kata Shakir sewaktu mereka di kafeteria ‘menyelesaikan’ masalah mereka bertiga di universiti dahulu. “Aku rasa, Shakir mungkin ingin berterima kasih dengan engkau. Dia pernah kata pada aku, kalau tidak kerana engkau, tak mungkin kami akan bersama.” Kata Renee tetapi dia masih tidak sedikitpun memandang ke arah Salwa.
Salwa dapat merasakan kehadirannya tidak disenangi Renee. “Renee, aku sebenarnya tidak pernah lupa apa yang telah aku lakukan pada korang berdua. Memang selama ini pun aku sentiasa rasa bersalah pada korang berdua.” Salwa berhenti seketika sambil menoleh kepada Farid. Dia seolah meminta sedikit sokongan moral daripada lelaki itu.
“Renee, kami sebenarnya pergi ke rumah Shakir tadi. Tetapi adiknya beritahu dia di sini. Kami sebenarnya nak menjemput korang semua ke majlis kami bulan hadapan. Tak sangka pula Shakir kemalangan sampai begini sekali.” Farid pula mencelah. Dia cuba untuk mengurangkan suasana tegang di dalam bilik itu. Salwa menghulurkan kad jemputan kepada Renee. Renee menyambut kad tersebut dan membukanya. Hatinya hiba seketika. Kerana terlalu gembira untuk bernikahlah, Shakir terlibat dengan kemalangan ini.
“Tahniah. Tak tahulah samada Shakir dapat datang atau tidak nanti. Bulan depan tu bukannya lama sangat. Kalau keadaan mengizinkan nanti, sampailah kami ke sana.” Kata Renee. Dia cuba untuk tersenyum menyembunyikan perasaan sebenar. Dia juga ingin menyampaikan mesej kepada dua tetamunya itu yang dia sudah tersalah sangka dengan kehadiran Salwa dan memohon maaf kerana itu. Salwa dan Farid tidak tunggu lama di situ. Menurut Farid, banyak lagi rumah yang mereka perlu pergi. Selepas setengah jam, mereka pun beredar.
“Shakir, ex-girlfriend Shakir dah nak kahwin.” Kata Renee kepada Shakir setelah hanya tinggal mereka berdua sahaja di dalam bilik itu. Dia tersenyum sendirian dengan gelaran yang diberikan kepada Salwa itu. “Shakir bila pula? Kalau dah berbalut macam ini, bolehkah nak bernikah lepas raya?” Renee cuba berseloroh sendirian. “Tiga bulan tak sempat nak sembuhkan tulang-tulang awak yang patah ni?” sambungnya lagi. Renee mengusap perlahan-lahan simen yang membalut tangan kanan Shakir. Dia melurut tangan Shakir hingga ke hujung jemari Shakir yang sedikit terkeluar daripada balutan simen. Kemudian, dia bermain-main dengan jari-jemari Shakir itu.
“Shakir, Renee sayang Shakir, tahu? Tersangat sayangkan Shakir.” Tanpa disedarinya, akhirnya kata-kata itu keluar juga daripada mulut Renee. Renee terus meletakkan kepalanya di atas katil bersebelahan Shakir. Dan tanpa Renee sedari, ada titisan air mata yang mengalir dari mata Shakir yang masih lagi kebiruan akibat hentakan. Tidak lama kemudian, Renee terlelap di situ.
Renee hanya tersedar apabila ada satu tangan yang menyentuh kepalanya sambil mengusap lembut. Renee membuka matanya perlahan-lahan. Dia mengangkatkan kepalanya dan berpusing mencari tuan empunya tangan yang telah mengejutnya daripada tidur.
“Mama, dah lama sampai?”
“Baru sekejap. Kamu letih, ya? Jom kita balik berehat di rumah.” Pujuk Puan Maimon.
“Tak adalah, mama. Renee terlelap sekejap.” Dia mengukirkan senyuman untuk meyakinkan mama dan papanya di situ. “Mama, Renee nak solat sekejap. Mama dan papa tunggu sekejap, boleh?”
“Ya, pergilah.” Ibunya menggosok-gosok perlahan belakang Renee. Dia sedih melihat anaknya begitu. Namun dia sedar, sekiranya dia di tempat Renee, dia juga akan melakukan perkara yang sama.
Selesai solat, Renee duduk menyandar ke dinding seketika. Semua gambar-gambar kenangannya bersama Shakir silih berganti di kotak fikirannya. Tanpa disedari, dia tersenyum sendirian di situ. Wajah-wajah ceria Shakir menerpa ke ruang mindanya. Usikan dan keletah Shakir yang selalu mengenakannya. Dan akhirnya ciuman-ciuman Shakir di kepalanya. Perlahan-lahan, dia mengangkat tangannya menyentuh bahagian kegemaran Shakir menjatuhkan ciuman-ciuman itu.
“Ya Allah, panjangkanlah umurnya ya Allah! Sembuhkanlah dia segera, ya Allah! Amin.” Dia meraut kedua-dua tangan ke wajahnya. Setelah rapi bertudung, dia keluar dari surau dan berjalan perlahan-lahan menuju ke bilik Shakir.
Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik itu, dia dapat mendengar satu suara yang amat dirinduinya. Walaupun suara itu agak perlahan dan serak, namun dia kenal benar dengan suara itu. Dia pantas berjalan menuju ke katil Shakir. Akhirnya, langkah Renee terhenti di hujung katil Shakir dan terus tercegat di situ. Dia tidak mempercayai apa yang dilihatnya waktu itu. Shakir sudahpun tersedar. Shakir yang dalam keadaan duduk menyandar memandang tepat ke arahnya.Terdapat seorang doktor dan dua orang jururawat yang sedang memeriksa keadaan Shakir di situ.
“Renee, tengok ni. Shakir dah sedar, nak.” Panggilan Encik Rizuan mengejutkan Renee. Setelah selesai pemeriksaan, doktor dan jururawatnya beredar dari situ. Renee berjalan perlahan-lahan merapati sebelah kiri katil. Shakir menghulurkan tangan kirinya minta disambut. Renee terus menyambut tangan Shakir dan duduk di kerusi berhampiran. Dia akhirnya meletakkan kepalanya di atas tangan Shakir dan terus teresak-esak di situ.
“Alhamdulillah…” akhirnya Renee bersuara. “Syukur, Alhamdulillah…” Puan Maimon mengusap perlahan-lahan belakang badan Renee. Dia juga turut menitiskan air matanya.
“Mon, telefon Sakinah. Cepat beritahu dia.” Kata Encik Rizuan kepada isterinya.
“Ya lah. Terlupa pula, saya.” Terkocoh-kocoh Puan Maimon mencari telefon bimbitnya.
“Shakir, pakcik balik dulu ya. Kamu berehatlah. Sekejap lagi pasti keluarga kamu akan datang.” Ujar Encik Rizuan sambil menarik lengan isterinya.
“Betul tu. Mama balik dahulu ya. Renee, kamu tunggukan Shakir sekejap ya. Sekejap lagi pasti maknya Shakir sampai dengan adik-adik dia.” Renee hanya mengangguk tanpa bersuara. Masih ada esakkan di dada Renee.
“Terima kasih pakcik, mama.” Ucap Shakir kepada orang tua Renee. Kemudian, dia kembali memberi tumpuannya kepada Renee. “Sayang, janganlah menangis. Tak suka tengok Shakir bangunkah?” Renee pantas menggeleng-gelengkan kepalanya. Mulutnya masih terkunci rapat. “Kenapa ni? Dah tak boleh nak cakap dah? Tiba-tiba dah jadi bisu pula?” Tanya Shakir.
‘Dah macam ni pun masih ada hati nak mengusik orang?’ fikir Renee. Dia sedikit tersenyum.
“Renee tahu, Shakir mimpi ada orang cakap dia sayaaaaaang kat Shakir. Tersangat sayangkan Shakir.” Renee sedikit terkejut. Tidak sangka Shakir dapat mendengar apa yang diucapkannya sebentar tadi. Renee hanya tertunduk. “Renee…” Shakir menyentuh wajah Renee yang basah dek air mata. Renee terus bangun dari kerusi itu, dilabuhkan punggungnya ke katil Shakir dan terus dipeluknya Shakir. Dia tidak dapat lagi mengawal perasaannya.
“Renee sayangkan Shakir…” bisiknya terus ke telinga Shakir. “Tersangat sayangkan Shakir…” Shakir terus memeluk Renee dengan tangan kirinya. Renee menangis di bahu Shakir. Begitu juga Shakir. “Shakir pun sayangkan Renee. Tersangat sayangkan Renee… terima kasih, sayang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience