2

Romance Completed 7404

‘Hantu mana yang sanggup pedajal aku sampai macam ni?’ Shakir menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia cuba mengingati kembali kejadian siang tadi. ‘Subhi! Dia yang suruh aku pergi jumpa Tuan Syed. Mana budak celaka ni!’ Shakir bingkas bangun dari katilnya dan terus menuju ke bilik Subhi. Bengkak hatinya membayangkan wajah hitam manis Subhi yang datang mencarinya tengahari tadi.
“Woi, Shakir! Best tak engkau buat projek dengan budak Jepun tu?” Budak Jepun adalah gelaran yang selalu mereka berikan kepada Renee. Kulitnya yang putih pucat dan matanya yang agak sepet menyebabkan dia kelihatan seperti seorang gadis Jepun.
“Eh, Shakir. Bila engkau nak kahwin?” Soalan bertali arus ditanya oleh semua yang berselisih dengannya. Panas hati Shakir mendengar sindiran mereka diikuti gelak tawa mencerca dirinya. Pantas benar cerita ini tersebar.
“Itulah. Sombong sangat. Masa senang tak ingat orang. Sekarang susah, nak cari siapalah tu agaknya.” Agaknya inilah berita terhebat abad ini di kolej mereka. Dia tidak mahu mempedulikan mereka semua. Sekarang ini sasarannya adalah Subhi. Dia ingin mendapatkan kepastian daripada lelaki itu. Kenapa dia perlu diperangkap sehingga ke peringkat itu. Kalau ya pun mereka mahu bergurau atau mahu ‘menunjuk-ajar’, janganlah sehingga melibatkan orang lain, melibatkan Dekan, melibatkan ibu bapa. Selama dia di situ, tidak pernah dia mengganggu siswa-siswi lain. Dia tidak pernah mahu masuk campur perihal orang lain.
‘Salahkah aku bersikap begitu? Bukankah lebih elok begitu daripada aku menjadi penyibuk cerita orang? Aku tak masuk campur hal mereka, kenapa mereka perlu sakit hati dengan aku pula?’ Shakir terus berhujah sendirian.
“Woi, Subhi. Buka pintu ni. Baik engkau keluar sekarang sebelum aku pecahkan pintu bilik engkau ni.” Shakir sudah tidak dapat menahan amarah di dadanya. Dia mengetuk pintu bilik D2-18 sekuat hatinya. “Subhi! Buka pintu ni cepat. Baik engkau mengadap aku sekarang, Subhi!” Beberapa saat kemudian pintu terbuka. Tapi bukan muka Subhi yang mengadapnya sekarang.
“Mana Subhi?” Tanya Shakir tinggi. Dia sudah tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Agaknya, jika Subhi yang membuka pintu itu tadi, mungkin sudah berdarah hidung Subhi ditumbuknya. Elok juga bukan Subhi yang berada di depannya sekarang.
“Subhi tak ada. Dia balik rumah.” Jawab Hafiz, roommate Subhi dengan tenang.
“Oh, dah buat onar kat orang, lepas tu lari balik cari mak bapak. Elok benar perangai. Pengecut!” Hafiz hanya mendiamkan diri. Malas dilayan orang yang tengah naik angin. Tak pasal-pasal nanti dia pula yang menjadi mangsa belasahan Shakir. “Bila dia balik?”
“Balik sana ker balik sini?”
“Dua-dualah.” Tempik Shakir. Soalan Hafiz itu dirasakan seolah mencabar kesabarannya.
“Dia balik sana semalam. Dia balik sini esok.” Hafiz masih lagi tenang. Langsung tidak terbayang perasaan takut atau gentar dengan serangan Shakir itu.
“Semalam? Engkau jangan membohong. Baru pagi tadi aku jumpa dia. Dia yang suruh aku pergi ke setor jahanam tu!” Hati Shakir bertambah sakit mendengar jawapan Hafiz.
“Betulkah engkau jumpa dia? Jangan-jangan engkau saja nak cari alasan nak lepaskan diri?” Kali ini Hafiz betul-betul menguji kesabarannya.
“Engkau cakap baik-baik sikit, Hafiz. Dia yang datang cari aku tengahari tadi suruh aku pergi jumpa Tuan Syed tu.” Dia melangkah setapak kehadapan menghampiri Hafiz dihadapannya. Hafiz yang sedikit gerun mengundur terus ke meja belajarnya di hujung bilik.
“Hem, entahlah Shakir. Yang aku tahu dia balik rumah mak bapak dia semalam. Dia beritahu esok baru dia balik sini. Sudahlah, Shakir. Aku ada kerja nak buat. Aku ucapkan selamat berjaya menempuh hidup baru.” Jawab Hafiz bersahaja.
“Hey, apa maksud engkau hah?”
“Ya lah. Kan kau kena tangkap basah. Apa lagi? Kahwinlah jawabnya. Sudahlah Shakir. Aku ada kerja.” Terus Hafiz menutup pintu dan dikuncinya pintu tersebut. ‘Kahwin? Kahwin? Tapi aku baru masuk 20 tahun. Mana boleh kahwin.’ Shakir terpana mendengar semburan Hafiz tadi. Dia tersandar di dinding. Matanya dipejam rapat. Ditekup kedua belah tangannya di pangkal rambut. Dia kaku buat seketika di situ.
Shakir menggagahkan kakinya melangkah ke biliknya. Dia menghempaskan badannya ke atas katil yang kemas beralas cadar biru gelap. Diambilnya bantal dan ditekupkan ke muka. Matanya terasa hangat. Ditekan bantal itu sekuat hati ke mukanya. ‘Apa yang perlu aku buat sekarang? Perlukah aku berkahwin? Habis, macam mana pelajaran aku di sini? Aku kena buang kolejkah? Ya Allah, apa aku nak buat sekarang?’ Puas Shakir berdialog sendirian. Akhirnya dia tertidur.
Semasa Shakir tersedar, suasana sunyi menyelubungi biliknya. Dia menjengah ke katil rakannya. Kelihatan rakannya sedang enak tidur di katilnya. Shakir bangun perlahan-lahan menuju ke meja. Ditarik kerusinya perlahan-lahan. Bayu malam bertiup masuk melalui tingkap mendinginkan suasana biliknya malam itu. Shakir bersandar di kerusi sambil mengadap kepekatan malam. Langit yang gelap menyerlahkan kerdipan bintang-bintang yang bertaburan. Shakir termangu lama di situ. Dia sesungguhnya tidak tahu apa yang perlu difikirkan di saat itu.
“Hello mak, apa khabar?” Shakir teringat kembali perbualan telefon di bilik Dekan petang tadi.
“Mak sihat. Abang okay?” Sayu hati Shakir untuk menjawab soalan ibunya itu. Dia tidak mahu ibunya terkejut dengan berita yang bakal disampaikan nanti. Otaknya ligat menyusun ayat supaya tidak terlalu memeranjatkan ibunya.
“Mak, pensyarah abang mahu bercakap dengan mak. Mak cakap ya?” ujar Shakir lagi dengan begitu lembut.
“Ada apa hal pula ni, abang?” Dia sudah tidak mampu bercakap dengan ibunya. Shakir terus menyerahkan gagang telefon kepada Ustaz Ramli.
“Assalamualaikum, Puan Sakinah. Saya Ustaz Ramli, pensyarah di universiti ini.” Ustaz berhenti seketika untuk memberi laluan untuk ibunya menjawab. “Begini puan. Tengahari tadi kami mendapati anak puan, Shakir sedang berdua-duaan dengan seorang pelajar perempuan universiti ini.” Ustaz berhenti lagi. Kemudian dia menyambung, “Sabar puan. Begini sahajalah. Apa kata kalau puan datang ke universiti esok. Kita duduk dan berbincang secara bersemuka. Saya rasa cara begitu lebih afdhal.” Ustaz sekali lagi berhenti. “Ya lah, puan. Kita berbincang esok sahaja. Saya serahkan kembali kepada Shaakir, ya?”
“Helo, mak.” Suara Shakir begitu lemah sekali.
“Abang, apa yang abang dah buat? Budak perempuan mana pulak yang abang seret ni? Tak pernah abang buat perangai macam ni?” suara ibunya semakin serak. Jelas sekali ibunya sedang menangis sekarang. Dia berasa amat berdosa dengan ibunya saat itu.
“Abang tak buat apa-apa pun, mak. Budak tu pun abang tak kenal sangat, mak. Mak kena percaya cakap abang, mak.” Shakir membela dirinya.
“Kalau abang tak buat apa-apa masakan abang ditangkap?” bangkang ibunya keras dan tegas.
“Mak, maafkan abang, ya mak. Ampunkan Abang. Abang pun tak tahu nak cakap macam mana lagi.” Dia sedikit kecewa kerana ibunya juga seumpama tidak mempercayainya lagi. Shakir tidak mahu lagi berkata apa-apa. Tunggu sahajalah sehingga esok. Biar ibunya berbincang dengan ustaz sendiri.
“Esok mak akan ke sana. Abang kena jujur dengan mak, abang!” hakikatnya Puan Sakinah sendiri tidak tahu samada dia boleh mempercayai anak terunanya itu.
“Baik, mak. Mak pun tau, abang tak pernah tipu mak sebelum ni.” Tiada kata-kata lain lagi yang mampu diucapkan untuk membela diri.
“Setiap perkara ada kali pertamanya, abang.” Shakir tahu sukar untuk sesiapa pun percaya cakapnya sekarang.
Shakir tersedar dari lelapnya apabila jam loceng berbunyi tepat jam 6:30 pagi. Dia masih lagi duduk di kerusi semalam. Shakir bingkas bangun dan terus mencapai tuala yang tersidai di balkoni bilik dan terus ke bilik air. Buat seketika, Shakir membiarkan air sejuk di pancuran mencurahi badannya. Dia menundukkan kepalanya di dinding. Dadanya tiba-tiba sebak namun dia tak mampu untuk menangis. Tidak seperti Renee. ‘Dia perempuan. Senanglah dia untuk menangis.’ Kali terakhir Shakir menangis adalah semasa kematian ayahnya. Usianya baru mencecah 10 tahun ketika itu. Saat itu, Shakir tak mampu menampung limpahan air mata. Itupun, esakkannya tetap ditahan. Hanya air mata sahaja laju mengalir.
‘Abah, maafkan abang. Abah pasti tahu apa yang sebenarnya terjadi. Abah, tolonglah selamatkan abang.’ Shakir benar-benar berharap ayahnya dapat mendengar rintihannya itu. Dan kini perasaan rindu pada insan itu menebal di hati Shakir.
Selesai mandi, dia mengadap Allah dengan penuh khusyuk. Kali ini, solat Subuhnya lebih panjang daripada biasa. Doanya juga lebih panjang daripada biasa. Malah sujudnya juga lebih panjang daripada biasa. Selesai berdoa, dicapainya Surah Yaasin. Disedekahkan ganjaran bacaannya buat arwah ayahnya yang tercinta, buat ibunya yang pastinya tidak senang duduk di rumah saat ini, dan seterusnya berharap keredhaan Illahi agar hatinya dapat ditenangkan dengan ayat-ayat suci Allah. Dibacanya surah itu selancarnya yang termampu. Sesekali suaranya bertukar serak dek menahan sebak di dada.
“Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosa-dosa ku, dosa ibu bapaku, dosa guru-guruku dan dosa semua umat Islam samada yang masih hidup mahupun yang sudah mati. Ya Allah, Ya Rabbi. Engkau tunjukkanlah aku jalan yang benar. Berikanlah aku pedoman untuk menghadapi dugaanmu ini. Andainya dugaan-Mu ini akan menghapuskan segala dosa-dosaku, aku redha, Ya Allah. Engkau Maha Mengetahui. Engkau Maha Adil. Engkau lebih arif dan Engkaulah penentu segala Qada’ dan Qadar-Mu, Ya Allah. Aku redha. Kau tingkatkanlah keimananku terhadapmu Ya Allah. Janganlah sesekali Engkau sisihkan aku dari Rahmat-Mu, Ya Allah. Rabbanaa aatinaa fiddunyaa hasanah, wafil aakhirati hasanah, waqinaa ‘azaabannar, waqinaa ‘azaabannar, waqinaa ‘azaabannar. Wasallallahu ‘alaa sayidinaa Muhammad. Wa’alaa aalihii wasahbihii wasallam. Walhamdu lillahi rabil ‘aalamiin.”
Shakir meraub mukanya lambat-lambat. Namun dia tidak bingkas bangun dari tikar sejadah. Dia mahu terus duduk di situ. Dia mahu terus bertafakur di hadapan Tuhannya. Dia memerlukan seribu ketenangan menghadapi hari ini.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
“Shark, kau pergi kuliah ker tak hari ni?” Farid, rakan karibnya datang menjengah. Farid merupakan sahabatnya sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke universiti ini. Mereka berkenalan di waktu mereka sedang berasak-asak di Dewan Berlian untuk mendaftarkan diri. Sejak itu mereka sering dilihat bersama. Lagipun rupa paras mereka juga hampir sama. Malah ada yang pernah bertanya samada mereka itu merupakan pasangan kembar. Bezanya Farid sedikit rendah berbanding Shakir dan bermata hitam sehitam rambut kerintingnya. Manakala Shakir berambut lurus keperangan dan matanya juga berwarna keperangan. Farid terkedu melihat rakannya yang lesu dilantai. Dia terus masuk mendapatkan Shakir.
“Engkau ok ker, Shark?” soal Farid sambil menepuk perlahan bahu teman dihadapannya itu.
“Entahlah, Farid.” Jawab Shakir ringkas. Matanya masih menilik kulit naskah Yasin yang dibacanya tadi.
“Sabarlah. Aku rasa masalah ini boleh diselesaikan. Tahulah pihak pengurusan buat siasatan nanti.” Pujuk Farid. Setakat ini, hanya Farid seorang sahaja yang mempercayainya seratus peratus. Dia bersyukur mempunyai teman sebaik Farid.
“Aku pun berharap begitu juga. Kita tengoklah nanti. Aku sedih sebab mak aku kena panggil.” Shakir cuba meluahkan perasaannya. Lega sedikit hatinya apabila kejujurannya tidak diragui. Sejak semalam dia asyik membela dirinya di hadapan semua orang. Tetapi tidak dengan Farid. Farid mempercayainya.
“Hmm, siapalah yang kejam sangat? Sanggup dia buat kau sampai macam ini. Engkau ada syak sesiapakah, Shark?” soal Farid cuba menganalisis situasi.
“Aku tak pasti, Farid. Semalam si Subhi yang sampaikan pesanan tu. Aku terserempak dengan dia depan library. Tapi bila aku pergi ke biliknya petang semalam, roommatenya kata dia dah balik kampung sejak kelmarin lagi. Aku buntulah. Habis, yang aku jumpa di library tu siapa pula? Dia ada kembarkah?” Jawab Shakir.
“Entahlah. Macam ada benda yang tak kena sahaja. Benda ni nampak sangat dirancang. Tak apalah, Shark. Engkau bertenanglah dahulu. Tengok macam mana siasatan pihak pengurusan. Takkan mereka tak mahu siasat dulu sebelum buat keputusan, kan?” Shakir hanya mengangguk lemah. Farid menepuk bahu temannya cuba memberi semangat. Kemudian, Farid menambah, “Aku perlu pergi ke kuliah dahulu ya. Engkau rehatlah.” Farid menepuk lembut bahu rakannya dan terus berlalu. Shakir akur dan mengangguk sahaja. Farid bingkas bangun dan beredar dari bilik Shakir.
Setelah sekian lama dia bertafakur di atas tikar sejadah, akhirnya Shakir bangun sambil mencapai sejadah tersebut. Dilipat kemas sejadah itu dan disangkutnya ke penyandar kerusi. Shakir kemudian merebahkan badannya ke atas katil. Dia cuba melelapkan matanya. Shakir meregangkan otot-otot badannya. Lenguh juga badannya kerana tertidur dalam keadaan terduduk di kerusi semalaman.
Lebih kurang jam 10:00 pagi, Shakir terjaga dengan deringan telefon bimbitnya. Dia mencapai telefon itu. Dia sudah boleh mengagak siapa yang menelefonnya tika itu.
“Helo, mak. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Mak dah sampai ni. Abang kat mana?” soal Puan Sakinah. Ada nada ketergesaan dalam suaranya.
“Abang ada kat bilik ni. Tunggu sekejap. Abang turun.”
“Mak tunggu di Guard Post saja.”
“Ok.” Terus sahaja talian telefon itu dimatikan Puan Sakinah.
Shakir malas untuk menukar pakaiannya. Cukuplah sekadar memakai jeans hitam dan kemeja-t. ‘Aku bukannya nak masuk kuliah. Lantaklah.’ Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu pagar asrama. Keadaan asrama waktu itu begitu lengang. Mungkin ramai penghuni bloknya ada kuliah pagi. Badannya terasa begitu lesu dan tidak bermaya. ‘Nasib baik tak ada orang. Kalau tidak, entah soalan apa lagi yang mereka akan tanya. Kenapa aku perlu lalui semua ini? Setan betullah siapa yang pedajal aku. Bila aku dapat nanti, siaplah.’ Shakir menggempal buku limanya. Dadanya bagai nak pecah menahan geram dan marah.
Setibanya di pos pengawal, Shakir terus menuju ke Toyota Vios milik ibunya. Hanya ibunya yang ada di dalam kereta itu. ‘Hem, takkan nak usung semua orang datang mendengar berita buruk aku ini?’ Fikir Shakir. Shakir terus mencapai tangan ibunya yang sudah siap sedia menanti.
“Mak, abang minta ampun, ya mak.” Dia mengucup tangan lembut ibunya. Puan Sakinah wanita bekerjaya. Dia sentiasa menjaga penampilannya. Dengan ketinggian 152cm, dia perlu menjaga susuk badannya agar tidak terlalu gemuk dan tidak juga terlalu kurus. Wanita di usia 50-an sepertinya akan nampak lebih tua sekiranya bertubuh terlalu kurus. Mengendalikan perniagaan tinggalan arwah suaminya bukanlah satu tugas mudah bagi Puan Sakinah. Mujurlah semasa umur suaminya, tidak pernah sekalipun dia disuruh berhenti bekerja. Malahan, dia diberi satu jawatan di syarikat suaminya itu.
Hasa Publishing Sdn Bhd merupakan syarikat percetakan yang dimulakan oleh arwah suaminya. Syarikat arwah suaminya itu bukanlah syarikat yang besar. Namun ia cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Puan Sakinah tetap berbangga kerana syarikat kecilnya itulah yang menampung semua keperluan harian dan juga perbelanjaan pendidikan anak-anaknya. Shakir sendiri tidak memerlukan pinjaman PTPTN untuk ke universiti.
“Marilah kita berjumpa dengan Dekan kamu dulu. Kita tengok apa katanya.” Puan Sakinah berkata lembut. Walaupun dia marah, tetapi dia tidak sampai hati memarahi Shakir waktu itu. Raut wajah Shakir yang suram pagi itu membuatkan hatinya sayu. Shakir terus masuk ke dalam kereta. Begitu juga ibunya. Mereka terus beredar ke pejabat Dekan.
Shakir bersyukur kerana pejabat Dekan tidak terletak berhampiran dengan dewan-dewan kuliah. Kalau tidak, masaklah dia menerima jelingan-jelingan tajam siswa-siswi lain. Tambahan sekarang jam 10:00 pagi merupakan waktu tamat kebanyakkan kuliah pagi. Pastinya ramai siswa-siswi yang sedang berpusu-pusu keluar dari dewan kuliah.
Setibanya di pejabat Dekan, kerani yang berada di situ membawa mereka ke bilik mesyuarat. Kelihatan Profesor Zainal sudah pun berada di situ dan sedia duduk di kerusi utama. Manakala di barisan kerusi yang membelakangi pintu masuk diduduki seorang lelaki, seorang wanita dan pelajar yang ditangkap bersamanya semalam.
“Oh, Puan Sakinah. Jemput masuk. Silakan.” Pelawa Dekan dengan mesra. Mungkin beliau sengaja bertindak demikian bagi meredakan perasaan tak keruan semua yang ada di situ. Shakir dan ibunya mengambil tempat yang bertentangan dengan keluarga Renee. Shakir memandang ke arah Renee. Gadis itu hanya tertunduk di kerusinya. Namun jelas kelihatan hidungnya yang merah. Timbul pula perasaan kasihan pada gadis itu. Dia juga mangsa sepertinya.
“Sebelum saya memberikan pendapat saya, kalau boleh saya ingin sekali lagi mendengar penjelasan daripada Shakir dan Renee. Shakir telah menjelaskan kepada saya situasinya. Tetapi, Renee tidak sedarkan diri semalam. Rasanya eloklah Shakir terangkan sekali lagi supaya ibu bapa kamu berdua juga boleh mendengar penjelasan kamu. Kita mulakan dengan Renee. Take your time.” Kata Dekan dengan lembut.
“Semalam… sewaktu saya sedang berjalan untuk ke kafeteria…” bicara Renee tersekat-sekat dek sendu yang masih bersisa didada. “…seorang pelajar perempuan memberitahu saya… yang Tuan Syed Jaafar mahu berjumpa… dengan saya serta merta… Masa tu… semua kawan saya sudah berada di kafeteria... Jadi saya terpaksa pergi sendirian... Apabila saya di sana… saya nampak Shakir masuk ke setor sukan... Saya sangka dia juga… turut dipanggil oleh Tuan Syed... Tetapi bila saya masuk ke dalam… saya terserempak dengan Shakir… tapi Tuan Syed tiada di situ… Semasa Ustaz Ramli datang… kami sudahpun berjalan ke arah… pintu untuk keluar….” Terang Renee dipenuhi sedu sedan. Ibu Renee terus memeluk bahu anak gadisnya. Ibu Renee, Puan Maimon turut menitiskan air mata.
Professor Zainal hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia kemudian menoleh pula ke arah Shakir di seberang sana.
“Okay, sekarang giliran kamu Shakir.” pinta Prof. Zainal. Shakir berdehem-dehem sebelum memulakan kata.
“Keadaan saya juga sama seperti Renee. Pagi semalam, saya diberitahu oleh seorang rakan yang Tuan Syed mahu berjumpa dengan saya. Sebab itulah saya ke sana. Sangka saya ia berkenaan MASUM bulan hadapan.” Ringkas sahaja penjelasan Shakir. Baginya tidak perlu dia ulangi kata-kata Renee tadi. Memadai setakat itu sahaja.
“Hmm,” Prof. Zainal mengangguk-anggukkan lagi kepalanya perlahan-lahan. “Saya sudah berbincang dengan Tuan Syed Jaafar dan Ustaz Ramli pagi tadi.” Terang beliau lagi. “Kami memutuskan agar mereka berdua diberi cuti selama seminggu.” Dekan memandang wajah-wajah yang hadir di situ, satu per satu. Kemudian, beliau berkata, “Sementara itu, siasatan akan dibuat. Ini bukanlah perkara remeh. Ini melibatkan maruah dua keluarga dan juga maruah fakulti seterusnya maruah universiti ini. Menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perkara ini betul-betul sahih sebelum tindakan selanjutnya di ambil.”
Encik Rizuan mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.
“Shakir, Renee, tolong beri laluan untuk kami berbincang sebentar. Bolehkah kamu berdua tunggu di luar?” Tambah Prof. Zainal lagi. Renee dan Shakir mengangguk serentak dan mereka terus berlalu keluar.
Renee mengambil tempat di sofa yang ada tersedia di ruang legar di situ. Dia masih tertunduk di situ.
‘Belum habis lagikah dia ni menangis?’ fikir Shakir. Dia mengambil tempat bertentangan dengan gadis itu.
“Renee kan?” Shakir bertanya walaupun dia sudah tahu. “Saya minta maaf untuk semua ini.” ‘Kenapa aku nak kena minta maaf pula ni? Tak apalah.’
“Bukan salah Shakir. Renee yang bodoh. Sepatutnya Renee bawa teman.” Renee menjawab tetapi kepalanya masih tunduk memandang lantai. Shakir turut mengiakannya dalam diam. ‘Nasib baik engkau kena tangkap dengan aku. Kalau kena dengan Tuan Syed tua tu macam mana?’ Shakir tersenyum kecil. Senyuman Shakir itu dapat ditangkap oleh pandangan Renee.
“Dalam keadaan macam ni pun Shakir masih mampu tersenyum? Renee dah tak tahu nak fikir apa lagi.” Kata Renee tiba-tiba menyentakkan hati Shakir.
“Eh, Shakir bukan senyumkan Renee. Cuma Shakir terfikir, bayangkan kalau Renee kena tangkap dengan Tuan Syed instead of Shakir. Itu saja.” Jelas Shakir jujur.
“Hmm, lagi haru macam tu kan?” Terjongket juga sebelah bibir Renee mempamerkan lesung pipit di pipinya. ‘Sweet smile!’ Shakir sempat memuji dalam diam.
“Renee rasa apa nasib kita lepas ni?” Shakir bersuara. Dan kini matanya juga turut terarah ke lantai.
“Entahlah. Shakir rasa?”
“Kalau mereka tak dapat buktikan yang kita ni innocent, kahwinlah kita!” Renee terkejut dengan pernyataan yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya itu. ‘Hai, mamat ni. Waktu macam ni pun nak bergurau lagikah?’ gerutu hati Renee. ‘Sebelum ni punyalah sombong. Waktu patut ramah tak nak ramah, waktu genting macam ni dia nak buat lawak pula.’ Renee hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu ayat apa yang patut digunakannya sebagai respon kepada statement Shakir tadi. ‘Tapi, kalau betul macam yang dia kata tu macam mana?’ Renee tiba-tiba gelabah. ‘Aku tak nak kahwin dengan mamat sombong ni.’
Sementara itu, perbincangan antara ibu bapa dan Dekan HEP di dalam bilik mesyuarat berjalan dengan begitu serius.
“Saya ni yakin benar anak saya tak bersalah, tuan. Tapi kalau benarlah anak saya buat seperti yang dituduh, saya akan pastikan anak saya bertanggungjawab atas apa sahaja tindakannya.” Ulas Puan Sakinah. Hatinya bagai hancur luluh. Dia malu untuk berhadapan dengan Dekan. Bertambah-tambah malu untuk berhadapan dengan keluarga gadis itu. Dia masih belum dapat menerima kenyataan. Jauh di sudut hatinya, dia yakin anak lelakinya itu tidak akan buat perkara seperti itu. Namun, setakat hatinya sahaja yang yakin belum dapat menyelamatkan anaknya sekiranya pihak universiti mengatakan sebaliknya.
“Kami juga sama macam Puan Sakinah. Saya yakin anak gadis saya tidak akan sanggup menconteng arang ke muka kami ni. Tetapi anak-anak zaman sekarang sukar kita ramal. Kami ni sebelah perempuan, tuan, Puan Sakinah. Kalaulah puan boleh penuhi janji yang puan katakan tadi, saya amat-amat bersyukur dan berterima kasih. Bimbang juga saya tentang masa depannya.” Kata Encik Rizuan menyuarakan isi hati.
“Perkara ini belum tentu lagi hujung pangkalnya. Selepas siasatan ini selesai, saya sendiri akan menguhubungi pihak tuan dan puan. Lagipun rekod mereka berdua ni memang cemerlang. Mereka bukanlah pelajar yang bermasalah. Mungkin kali ini nasib tidak bersama mereka.”
“Tuan, sekiranya mereka perlu berkahwin, bolehkah mereka terus belajar di sini?” Ibu Renee tiba-tiba bersuara mengejutkan semua yang ada di situ. Suaranya serius sekali.
“Oh, Sudah tentu! Cumanya kolej mereka kami terpaksa tarik balik. Lagipun kami tidak menyediakan asrama kelamin di kolej kami.” Puan Maimon hanya mengangguk-angguk.
“Kami boleh bawa mereka terus pulang ya tuan?” Tanya Puan Maimon lagi.
“Ya, silakan. Biarlah mereka berehat sementara waktu. Biar perkara ini reda dahulu. Kalau tidak nanti mengganggu pelajaran mereka pula.”
“Ya lah. Terima kasih banyak, tuan. Susah hati saya mengenangkan anak perempuan saya itu.”
“Sabarlah Encik Rizuan. Saya memberi jaminan pihak kami akan siasat perkara ini sebaiknya. Semoga hasilnya nanti baik-baik sahaja.”
“Kami pun berharap begitu.” Balas Encik Rizuan sambil menyalami lelaki yang amat berbudi bahasa dan bertimbang rasa itu. Ular menyusur akar manakan hilang bisanya. Mereka bingkas bangun untuk beredar dari bilik tersebut.
“Ini nombor telefon Shakir. Kalau ada apa-apa, call.” Shakir menghulurkan secebis kertas kecil yang tertera nombor telefonnya. Renee menyambut kertas tersebut.
“Terima kasih.” Renee mengucap perlahan sambil mendongakkan kepalanya memandang Shakir. Alis matanya basah dek air mata. Ada sinar kesayuan di dalam sepasang mata hitam itu. ‘Kenapalah takdir memilih kita?’ Bisik hati Renee. Shakir sempat menangkap pandangan mata Renee namun hanya untuk beberapa saat.
Tiba-tiba pintu bilik mesyuarat itu terkuak. Puan Sakinah yang terdahulu muncul dari dalam. Masih ada saki-baki perbincangan antara mereka. Namun demikian, Puan Maimon yang terlebih dahulu sampai ke tempat Shakir dan Renee menunggu. Shakir tanpa segan silu terus mendapatkan Puan Maimon dan Encik Rizuan lantas menghulurkan salam.
“Makcik, saya minta maaf banyak-banyak atas salah faham ini. Saya tahu perkara ini mesti menyusahkan hati makcik sekeluarga.”
“Ya lah, Shakir. Makcik harap perkara ni betul-betul terjadi seperti yang kamu berdua dakwa tadi. Kalau tidak, tak tahulah makcik apa nak jadi.” Renee terus bangun mendapatkan ibunya.
“Shakir, pakcik harap sekiranya keputusan yang kita dapat nanti tak seperti yang kita harapkan, Shakir boleh menimbang-tara masa depan Renee juga, ya. Dialah satu-satunya anak perempuan pakcik. Bila dah jadi begini, pakcik pun buntu.” Minta Encik Rizuan pula. Shakir hanya mampu tertunduk. Tidak tahu apa yang perlu dibalasnya.
“Renee, salam dengan ibu Shakir.” arah Puan Maimon. Segan pula dia apabila anaknya bersikap sambil lewa dengan orang tua. Sedangkan anak lelaki dihadapannya tadi terlebih dahulu menyapanya.
“Renee, maafkanlah Shakir kalau dia ada buat silap pada kamu ya.” Pinta Puan Sakinah pula.
“Dia tak ada buat apa-apa pada saya pun makcik. Dah nasib kami tak baik semalam. Apa boleh buat?”
“Kalau mereka tak dapat buktikan yang kamu tidak bersalah, bagaimana?” semua mata memandang ke arah Puan Sakinah. Shakirlah yang paling terkejut dengan soalan ibunya itu. “Anak makcik ni lelaki. Tahu-tahu sajalah perangai lelaki. Makcik sendiri khuatir dengan anak makcik.” Kini semua mata terarah pula pada Shakir. Shakir mengerut kening. ‘Apa yang mak mengarut ni? Dia tak percayakan aku?’ Rungut Shakir sendiri. “Mahukah kamu berkahwin dengan anak makcik yang selekeh ni? Belajar pun belum habis sudah pandai nak merapu.” Sambung ibu Shakir lagi. Shakir tergaru-garu kepala.
Kini giliran Renee pula merenung mamanya meminta bantuan. Tidak tahu bagaimana harus dia memberi jawapan untuk permintaan Puan Sakinah itu.
“Puan Sakinah, saya rasa terlalu awal kita bincangkan hal tersebut.” Encik Rizuan menyelamatkan anaknya. Renee menghela lega. “Tunggulah apa hasil siasatan ini dahulu.” Semua yang ada di situ menggangguk tanda setuju dengan ungkapan Encik Rizuan tadi. “Kami mohon diri dulu ya.” Ayah Renee mula melangkah keluar daripada pejabat itu. Puan Maimon menghulurkan tangan menyalami Puan Sakinah diikuti oleh Renee. Kemudian mereka pun meminta diri dan beredar dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience