Bab 7

Romance Series 98146

“BUAT apa dekat sini?” soal Hanin. Sungguh dia tak sangka dia akan bertemu lelaki itu di hospital. Entah mengapa sekarang ini kerap sangat dia bertemu dengan Ariz.

“Nampak macam saya tengah bercuti ke?” usik Ariz.

Hanin ketap bibir. Dia mengutuk dirinya sendiri. Dah terang-terang mereka ada di hospital. Tentulah Ariz tengah sakit. Takkan dia sengaja nak berkampung di hospital tanpa alasan.

“Saya baru lepas operate apendik,” ujar Ariz. Kali ini barulah dia serius.

Hanin menyemak laporan kesihatan lelaki itu. Apendik rupanya. Lelaki itu baru saja menjalani pembedahan pagi tadi.

“Hadi tak datang melawat ke?” soal Hanin. Selalunya mereka berdua asyik berkepit je. Pelik juga kalau Hadi tak datang melawat kawan baik kesayangannya ini.

“Saya tak beritahu sesiapa,” balas Ariz.

Dahi Hanin berkerut halus. “Kenapa?”

“Saja,” balas Ariz ringkas sambil angkat bahu. Bukannya dia sengaja tidak mahu memberitahu sesiapa tapi dia tidak mahu membuat orang di sekelilingnya risau. Keluarganya sendiri tidak tahu yang dia berada di hospital sekarang ini.

“Luka pembedahan awak dah okey? Ada sakit dekat mana-mana lagi?” soal Hanin.

Ariz hanya menggeleng perlahan.

“Hanin balik kerja pukul berapa?” soal Ariz tiba-tiba.

“Kenapa?” soal Hanin kembali.

“Jangan lupa makan.”

Hanin terdiam seketika mendengar pesanan lelaki itu. Kenapa Ariz sibuk-sibuk nak ambil berat tentang dia pula? Dia makan atau tak, bukan urusan Ariz. Tapi... Hanin akui yang dia senang mendengar pesanan itu. Sebelum ni tak ada siapa peduli padanya. Dia makan atau tak, tak ada siapa yang bertanya.

“Doktor Hanin, ada masalah ke?” soal doktor Imran. Daripada tadi dia hanya menjadi pemerhati Hanin dan lelaki itu berbual.

Hanin menggeleng perlahan seraya beredar ke katil pesakit lain. Ariz hanya menghantar langkah Hanin dengan sorotan mata. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

KEPALA ditoleh ke kiri dan kanan. Sekali pandang dah macam gaya seorang pencuri. Selepas memastikan tiada siapa di kaunter hadapan, Ariz terus melarikan diri keluar daripada wad.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Sepatutnya dia sudah tidak boleh meninggalkan wad lagi. Tapi gara-gara tidak boleh tidur, Ariz tekad curi-curi keluar.

Kakinya bergerak melangkah ke taman. Suasana sekeliling agak gelap dan hanya diterangi dengan cahaya bulan. Ariz melabuhkan duduknya di salah satu kerusi batu yang ada di taman itu.

“Lari daripada wad?”

Ariz tersentak. Hampir melompat dia gara-gara terkejut.
“Hanin?”

Gadis itu datang menghampirinya. “Awak buat apa dekat sini?” soal Hanin. Sebenarnya dia nak pulang dah. Tapi waktu melintasi jalan ini, dia ternampak kelibat seseorang di taman. Ariz rupanya.

“Ambil angin,” balas Ariz selamba. Nasib baiklah Hanin yang nampak dia. Kalau doktor atau staf nurse yang lain, tak kena niaya.

“Ambil angin apanya tengah malam macam ni? Awak tu dah lah tengah sakit. Mana boleh kena angin malam.”

Ariz tersenyum nipis. “Awak ambil berat juga dekat saya ya.”

Hanin berdecit perlahan. Perasan! “Saya cakap macam tu sebab awak pesakit saya. Jadi tanggungjawab saya sebagai...” Bicara Hanin terhenti bila dia perasan ada beberapa orang pengawal datang ke arah mereka.

“Ada orang!” Hanin terus tarik tangan Ariz beredar daripada situ.

“Eh!” Ariz terpinga-pinga tapi kakinya tetap bergerak mengikut langkah Hanin.

Hanin menarik Ariz bersembunyi di sebalik rimbunan pokok bunga di hujung taman itu.

“Duduk.” Hanin tarik bahu Ariz menyuruh lelaki itu duduk bertinggung di situ.

“Ish, lama pula dia kat situ,” keluh Hanin bila pengawal keselamatan itu masih lagi tidak beredar daripada situ.

Ariz hanya tersenyum kecil. Nasib baiklah Hanin bantu dia bersembunyi.

“Hah, dia dah pergi.” Hanin terus keluar. Lemas dah rasanya bila terpaksa bersembunyi di rimbunan pokok bunga itu.

Tapi entah di mana silapnya, kaki Hanin tersadung membuatkan dia hilang imbangan lalu terjatuh.

Buk!

Tubuh Hanin jatuh betul-betul di atas tubuh Ariz.
“Argh!” Lelaki itu mengerang kesakitan bila tubuhnya terhempas di atas tanah. Ditambah pula dengan tubuh Hanin yang berada di atasnya. Keadaan Ariz ibarat pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.

“Ha! Sorry, sorry!” Hanin cepat-cepat bangun. Wajahnya terasa membahang. Alahai Hanin, salah landing lah!

Mata Ariz terpejam. Tangannya naik menyentuh bekas jahitan luka pembedahannya. Sakit!

“Ariz, awak okey tak? Saya minta maaf. Saya tak sengaja.” Hanin rasa macam nak menangis dah sekarang ni. Gara-gara dia lelaki itu menanggung kesakitan.

“Saya okey. Tak perlu minta maaf.”
Jawapan Ariz buatkan Hanin sedikit lega. Dia membantu lelaki itu bangun kembali.

“Luka awak? Okey tak?” soal Hanin risau.

Ariz tahan ketawa melihat muka risau Hanin. Comel!

“Saya okey. Kalau saya tak okey pun, awak kan ada. Awak boleh rawat saya.”

“Ish, awak ni janganlah main-main. Ni awak punya fasal lah ni. Pergi balik wad cepat!”

Ariz terpinga-pinga. Aik, tadi bukan main risau sekarang ni dia kena marah pula dengan Hanin. Hmm... Mudah betul mood perempuan berubah.

“Terima kasih tolong saya,” ucap Ariz.

“Hmm.” Hanin mengangguk.

“Dah nak balik ke?” soal Ariz.

Hanin mengangguk lagi.

“Esok masuk kerja pukul berapa?” soal Ariz lagi.

“Off day.”

Jawapan Hanin buatkan Ariz sedikit kecewa. Nampaknya esok dia tidak dapat berjumpa dengan gadis itu.

MALAM itu Hanin duduk sendirian di rumah memandangkan Maryam bekerja malam ini. Alat kawalan televisyen dicapai. Satu per satu siaran televisyen ditukar tapi tiada satu pun yang menarik perhatiannya.

Hanin mengeluh perlahan. Bosan betul. Beginilah kehidupannya. Memang membosankan. Nak keluar? Hanin tiada kerajinan. Lagipun dia bukannya ada kawan. Kalau keluar pun, masih sendiri juga.

Dia bangun daripada sofa. Berkira-kira mahu tidur awal sahaja malam ini. Lagipun esok dia kerja syif pagi. Tapi telinganya tiba-tiba menangkap bunyi objek jatuh di dapur.

Tubuh Hanin kejung di situ. Bulu romanya meremang. Jantungnya berdegup kencang. Bunyi apa itu?
Hanin memberanikan diri melangkah ke belakang. Perlahan saja langkahnya. Dia tergamam saat melihat ada dua orang lelaki bertopeng dan memakai pakaian serba hitam masuk ke dalam bilik Maryam.

Bilik Maryam terletak di bahagian belakang. Manakala biliknya berada di hadapan.

Hanin pantas kembali ke ruang tamu. Dia perlu keluar daripada rumah ini sebelum mereka perasan akan kewujudannya.

Telefon bimbitnya dicapai. Hanin pantas mendail nombor Hadi. Menggigil tangannya memegang telefon bimbit.

“Tolonglah jawab...” ujar Hanin perlahan. Air matanya mengalir laju ke pipi. Sungguh dia benar-benar takut sekarang ini. Macam mana kalau mereka apa-apakan dia?

Berkali-kali dia cuba mendail nombor Hadi tapi panggilannya tetap tidak dijawab. Akhirnya Hanin tiada pilihan lain. Dia mendail nombor Ariz pula.

“Telefon siapa tu?”

Terus terjatuh telefon bimbit di tangan Hanin saat suara garau itu menerjah gegendang telinganya. Tubuhnya menggeletar melihat lelaki itu.

“Jangan apa-apakan aku!”

Lelaki itu ketawa. “Dah terlambat sayang.”

Hanin berundur ke belakang. Dia cuba melarikan diri tapi belum sempat dia buka pintu grill, rambutnya sudah direntap kasar daripada belakang.

“Argh!” Hanin menjerit kuat. Tangisannya semakin kuat. Hanin tahu sekuat manapun dia jerit tiada siapa yang akan mendengarnya. Jiran di kiri dan kanan rumahnya tiada. Kebanyakan rumah di sini juga tidak berpenghuni. Jadi mustahil untuk orang mendengar suara jeritannya.

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Hanin. Tubuh Hanin terjelepok jatuh di atas lantai.

“Kau bising sangat,” ujar lelaki itu geram. Bimbang jika kerja kotornya itu diketahui orang.

“Oi, kau buat apa kat dia?” soal seorang lagi rakan lelaki itu.

“Aku bagi penampar sikit je. Dia bising sangat,” balasnya selamba.

Rakan lelaki itu ketawa. “Bodoh!”

Hanin memejamkan matanya menahan perit di pipi. Tak putus-putus dia berdoa moga mereka tidak apa-apakan dia. Dia rela andai mereka mahu mengambil duit atau apa saja benda berharga yang dia ada.

“Cun juga dia ni. Rezeki kitalah.”

Ujaran lelaki itu mengundang debar di dada Hanin.

“Kau dulu ke aku dulu?”

“Aku bagi chance kau rasmi dululah.”

“Cantik!”

Dua lelaki itu ketawa bagai dunia milik mereka. Sementara Hanin cuba melarikan diri tapi malang nasibnya apabila sekali lagi rambutnya direntap lelaki itu.

“Nak pergi mana cantik? Jom kita enjoy dulu.” Dengan mudah dia mencempung tubuh Hanin walaupun gadis itu meronta-ronta tetap tak dapat melawan tenaga lelaki itu.

Ya ALLAH bantulah hamba-Mu ini... Basah wajah Hanin dengan air mata. Membayangkan perkara yang akan berlaku sebentar lagi membuatkan jiwanya hancur ranap.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience