Bab 1

Romance Series 98146

TELEKUNG yang tersarung di kepalanya dibuka lalu dilipat kemas sebelum dimasukkan ke dalam beg telekungnya. Jam di tangannya dikerling. Dia masa lebih kurang sejam lagi sebelum menyambung kembali tugasannya.

Sementara itu dia hanya duduk di surau. Di sini saja tempat dia mencari ketenangan. Skrin telefon bimbitnya direnung lama. Helaan berat terlepas daripada bibir.

Rindu... Tapi Hanin tak mampu nak buat apa-apa. Orang yang dirinduinya memang ada di depan mata tapi terasa jauh untuk dia menggapainya.

Telefon bimbit yang tiba-tiba berbunyi menyentakkan lamunannya. Lihat nama yang tertera di skrin telefon membuatkan bibir Hanin tersenyum nipis. Dah lama lelaki itu tidak menghubunginya.

“Hanin...” Suara garau itu menampar gegendang telinganya.

Hanin ketawa kecil. “Assalammualaikum.”

“Ha, lupa pula nak bagi salam. Waalaikumsalam.”

“Ada apa telefon Hanin ni? Rindu ke?” soal Hanin saja mengusik abangnya itu.

“Rindulah! Kalau abang tak telefon Hanin, jangan haraplah Hanin nak telefon abang.”

Hanin ketawa mendengar jawapan Hadi. “Hanin sibuk sikitlah.”

“Sibuk sampai dah tiga bulan tak balik rumah?”

Hanin terdiam. Bibir diketap. Sebenarnya itu hanya alasan. Bekerja sebagai seorang doktor memang sibuk. Jadualnya padat. Tapi tak adalah sampai dia tiada waktu cuti langsung.

Hanin sengaja menjadikan kerjanya sebagai alasan. Ada sebab mengapa dia tidak mahu pulang ke rumah itu.

“Hanin... Baliklah. Dah lama Hanin tak balik.” Suara abangnya itu kedengaran seakan memujuk.

“Nanti Hanin balik.”

“Nanti tu bila? Hanin saja tak nak balik ya? Hanin kecil hati dengan mama?”

Tubir mata Hanin terasa hangat saat nama wanita itu disebut. “Abang sihat?” Dia langsung menukar topik perbualan mereka. Hanin tidak mahu terus larut dalam kesedihan.

“Abang sihat. Hanin sihat ke? Kerja, kerja juga. Makan jangan lupa. Sibuk rawat pesakit jangan sampai sampai kesihatan sendiri tak terjaga.”

Hanin tersenyum nipis. Di saat dunia menentangnya, sekurang-kurangnya dia masih mempunyai Hadi. Seorang abang yang tak pernah meninggalkannya walaupun orang disekeliling membencinya.

Hanin tahu kalau dia pulang ke rumah pun, cuma Hadi yang akan menyambut kepulangannya. Yang lain langsung tidak kisah. Hanin ada atau tiada, bagi mereka sama je.

“Abang harap Hanin baik-baik je. Ingat, Hanin masih ada abang yang sayangkan Hanin.”

Pelupuk matanya basah mendengarkan ujaran lelaki itu. Dada dilanda sebak.

“Hanin? Hanin dengar tak abang cakap ni?” soal Hadi di hujung talian apabila Hanin hanya diam.

Hanin menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak mahu Hadi tahu dia menangis. “Hanin dengar. Terima kasih abang.”

“Hanin menangis ke?”

Hanin menggeleng perlahan. Macamlah Hadi nampak. “Abang, nanti Hanin telefon semula. Hanin ada kerja.”

“Jaga diri,” pesan Hadi sebelum talian diputuskan.

Hanin tertunduk menahan sebak di hati. Telefon bimbitnya digenggam kuat. Pipinya basah dengan air mata. Mujurlah ketika ini tiada orang lain di dalam surau.

“Mama, Hanin rindu...” gumamnya perlahan. Sebaris ayat itu tak mampu dia luahkan sendiri di hadapan tuan badan.

SELEPAS bercakap dengan Hanin di telefon, Hadi datang kembali menyertai kawan-kawannya yang sedang sibuk berlatih menyanyi.

Malam ini mereka akan membuat persembahan di sebuah acara besar buat pertama kalinya. Band yang ditubuhkan secara suka-suka ini kini mendapat tempat di hati peminat-peminat.

Awalnya Hadi saja mengajak kawan-kawannya menyanyi di kafe. Tapi semakin lama, semakin ramai yang sudah mengenali mereka. Mereka pula dipanggil untuk membuat persembahan di acara-acara besar.

Walaupun nama band mereka kini semakin meningkat naik, mereka masih jadikan kerja ini sebagai kerja sambilan saja. Lagipun mereka semua sudah mempunyai kerja hakiki.

Ahli band mereka kesemuanya empat orang. Hadi adalah vokalis. Ariz pula adalah pemain gitar tapi kalau Hadi tiada, dialah yang akan menggantikan Hadi sebagai vokalis. Wais juga pemain gitar. Manakala Talha pemain drum.

“Telefon awek ke?” tegur Wais.

“Adik akulah,” balas Hadi sambil melabuhkan duduknya di kerusi.

“Hanis?” soal Talha sambil tersenyum-senyum. Dia memang dah lama menyimpan perasaan terhadap adik kawannya itu.

“Hanin,” balas Hadi ringkas.

Dengar nama Hanin, Ariz terus pandang Hadi. Dia yang awalnya tadi seakan tidak berminat nak tahu, tiba-tiba nampak fokus mendengar perbualan mereka.

“Aku ni selalu terlupa yang kau ada adik lain selain Hanis. Dah lama aku tak nampak Hanin tu,” ujar Wais.

Talha mengangguk setuju. Yang selalu datang melihat mereka membuat persembahan ialah Hanis. Tak pernah lagi dia nampak Hanin datang.

“Hanin tu kan doktor. Biasalah. Dia sibuk sikit,” jawab Hadi acuh tak acuh. Dia sebenarnya lebih tertutup soal keluarganya. Walaupun dia sudah berkawan dengan mereka lebih daripada sepuluh tahun, Hadi masih belum terbuka untuk berbicara tentang masalah keluarganya kepada mereka.

“Kau okey tak, Riz?” soal Hadi. Sedari tadi lelaki itu diam saja.

Ariz panggung kepala. Dia menggeleng perlahan. “Aku okey je.”

“Dah, jomlah sambung. Kita ada beberapa jam je lagi ni,” ajak Hadi.

“LAMA ke kau cuti kali ni?” soal Maryam.

Hanin yang sibuk mengemas beg pakaiannya itu angkat wajah memandang ke muka pintu.

“Empat hari je. Mana boleh cuti lama-lama. Ni pun sebab aku dah lama tak ambil cuti. Dapatlah aku cuti lama sikit kali ni,” balas Hanin.

Maryam masuk ke dalam bilik Hanin. “Tu lah kau, sibuk sangat dengan kerja. Kerja kita ni takkan pernah habis Hanin. Setiap hari pesakit keluar masuk hospital.” Sebagai seorang doktor juga, Maryam faham.

Hanin tersenyum nipis. “Inilah jalan jihad kita.”

Maryam mengangguk perlahan. “Keluarga kau mesti rindukan kau.”

Hanin terdiam. Rindu? Rindukah mereka padanya? Mereka langsung tak tanya khabarnya walaupun sudah berbulan-bulan Hanin tak balik ke sana. Cuma baru-baru ni Hadi yang menelefonnya bertanyakan khabar.

“Kau tak balik kampung?” soal Hanin mengubah topik.

Dia dan Maryam menyewa di sebuah rumah berdekatan dengan kawasan hospital agar mudah untuk mereka ke sana bila diperlukan. Hubungan dia dan Maryam tidaklah rapat mana. Sekadar rakan kerja dan teman serumah je.

Tak banyak yang Maryam tahu tentang Hanin. Gadis itu seorang yang agak pendiam. Nasib baiklah Maryam ni jenis yang banyak cakap. Kalau sama-sama pendiam, sunyi sepilah rumah ni.

“Aku nak balik Kelantan hujung bulan ni.”

Hanin mengangguk. Seronok betul ada kampung jauh-jauh ni. Dia belum ada rezeki lagi untuk bekerja di luar negeri. Setakat ini dia masih bertugas di hospital di dalam negerinya.

JAM sebelas malam baru Hanin sampai di rumahnya. Sebenarnya pukul lapan tadi dia dah gerak pulang tapi tiba-tiba hospital menelefonnya. Katanya ada hal kecemasan. Jadi terpaksalah dia ke hospital dahulu.

Hanin tersenyum nipis melihat rumah agam dua tingkat itu. Rasa rindu menggebu-gebu di dalam hati. Walaupun mungkin kepulangannya ini akan membuat ada pihak tidak senang, Hanin tidak kisah. Lagipun dia sudah terbiasa dengan keadaan ini. Lama-lama hatinya juga seakan sudah kebal.

Hanin masuk ke dalam rumah selepas memberi salam. Rumah itu sunyi. Mungkin juga semua orang dalam rumah dah tidur. Kecuali, Hadi! Abangnya itu spesies burung hantu. Tengah malam pun masih berjaga.

Hanin melangkah ke dapur apabila melihat lampu di dapur terang-benderang. Dia tersenyum kecil melihat belakang tubuh lelaki yang sedang berdiri di hadapan peti sejuk itu.

Sebenarnya Hadi tak tahu yang dia akan pulang hari ini. Sengaja dia tak beritahu Hadi. Nak buat kejutan pada lelaki itu.

Senyap-senyap Hanin bergerak menghampiri Hadi. Gayanya sudah seperti pencuri. Lelaki itu masih berdiri tegak di hadapan peti sejuk. Entah apa yang dicari.

Tanpa sepatah kata, Hanin terus menampar punggung Hadi.

Pap!

Terkekeh-kekeh dia ketawa selepas itu. Tapi tawa Hanin langsung terhenti bila lelaki itu berpaling memandangnya.

Lelaki tu... Bukan Hadi!

Share this novel

Hawani Hashim
2024-01-07 16:47:07 

Hanin tepuk punggong sape lakkkk


NovelPlus Premium

The best ads free experience