Bab 8

Romance Series 98146

ARIZ memecut laju keretanya menuju ke rumah Hanin. Tadi dia mendapat panggilan daripada gadis itu. Tapi belum sempat dia menjawab panggilan Hanin, panggilan telah ditamatkan.

Selepas itu Ariz cuba menghubungi Hanin semula tapi panggilannya tidak dijawab dan masuk ke peti suara.

Hati Ariz dipagut risau. Bagaimana kalau ada sesuatu yang buruk berlaku pada Hanin?

Sampai di hadapan rumah Hanin, Ariz lihat pintu rumah gadis itu terbuka tapi keadaan di dalam gelap gelita. Dia memberanikan diri untuk masuk ke dalam.

“Hanin!” panggil Ariz.

Dia langsung masuk ke dalam. Sempat dia menekan suis lampu. Rumah yang tadi gelap gelita kini menjadi terang.

Ariz tergamam melihat keadaan rumah Hanin yang bersepah-sepah seperti baru lepas digeledah. Dadanya dihempas debaran. Macam-macam yang bermain di kepalanya.

“Hanin!” Ariz terus mencari Hanin. Setiap bilik di dalam rumah itu dia masuk. Tapi kelibat Hanin langsung tidak kelihatan.

Ariz meraup kasar wajahnya. Hanin tiada di rumah. Waktu ingin keluar daripada rumah gadis itu, Ariz terpandangkan telefon bimbit Hanin yang berada di bawah sofa. Dia langsung tunduk mengambil telefon Hanin.

“Hanin, awak kat mana?” soalnya sendiri. Ariz sudah berkira-kira mahu ke balai polis. Dia perlu buat laporan polis. Entah-entah perompak itu sudah menculik Hanin.

Ariz bergegas meninggalkan rumah Hanin. Sambil dia memandu menuju ke balai polis berhampiran, dia cuba menghubungi Hadi. Tapi panggilannya tidak berjawab.

Sewaktu keretanya melintasi taman yang berdekatan dengan rumah Hanin, mata Ariz terpandangkan susuk tubuh seorang perempuan yang sedang duduk sambil menekup wajah di situ.

“Hanin!” Ya, Ariz yakin gadis itu adalah Hanin. Dia terus berhentikan keretanya.

“Hanin!” panggilnya. Ariz berlari anak menuju ke arah Hanin.

“Hanin...” panggilnya lembut. Luluh hatinya melihat keadaan Hanin ketika ini. Rambut Hanin yang selama ini dibaluti tudung kelihatan kusut masai. Baju yang dipakai juga terdapat kesan koyakan di bahagian bahu dan lengan.

Perlahan-lahan Hanin mengangkat wajah memandang Ariz. Air matanya mengalir bisu. Ulas bibirnya nampak bergerak-gerak seperti ingin mengatakan sesuatu tapi suaranya seperti tersekat di kerongkong.

Ariz terus membuka jaket yang tersarung di tubuhnya lalu disarungkan ke tubuh Hanin. Menutup bahagian tubuh Hanin yang terdedah gara-gara koyakan di bajunya.

Pandangan mata Ariz jatuh pula pada kaki Hanin yang tidak berkasut itu. Rasanya Hanin lari ke sini tanpa memakai kasut. Terdapat kesan-kesan luka di kaki gadis itu.

“Hanin...” Remuk hati Ariz melihat keadaan gadis itu. Rasa marah bergejolak di dada.

“Jangan tanya saya apa-apa. Saya tak akan jawab,” ujar Hanin perlahan. Suaranya kedengaran bergetar.

Ariz mengetap kuat bibirnya. Penumbuknya dikepal. Melihat keadaan Hanin, dia seperti dapat meneka apa yang telah berlaku pada gadis itu. Sungguh, kalau dia dapat orang yang melakukan hal terkutuk itu pada Hanin, dia tak akan lepaskan!

“Jom, Hanin. Saya hantar awak balik rumah keluarga awak,” pujuk Ariz. Dalam keadaan sekarang dia tidak mahu memaksa Hanin untuk memberitahunya apa yang berlaku.

Hanin perlahan-lahan bangun dengan bantuan Ariz.

“Awak nak pergi klinik? Atau... Kita pergi balai polis, buat report.” Dengan berhati-hati Ariz bertanya.

Hanin menggeleng. “Saya cuma nak balik Ariz. Saya tak nak pergi mana-mana. Jangan paksa saya. Please...” ujarnya separuh merayu.

Ariz mengangguk faham. Andai itu keputusan Hanin, dia tak akan memaksa gadis itu walaupun sepatutnya Hanin harus ke balai polis untuk membuat laporan ketika ini.

“Ya, kita balik.” Ariz menanggalkan sandal di kakinya lalu diletakkan di hadapan Hanin.

“Pakai ni. Nanti kaki awak sakit,” suruh Ariz.

Hanin hanya memandang kosong sandal Ariz. Nak bergerak pun dia sudah tidak berdaya sekarang ni.

Melihat Hanin masih berdiri kaku, Ariz bertinggung di hadapan Hanin. Dia membantu menyarungkan sandal miliknya di kaki gadis itu. Luluh hatinya melihat keadaan Hanin ketika ini.

Andai saja gadis itu halal untuknya, sudah lama dia menarik tubuh Hanin ke dalam pelukannya.

SUDAH seminggu berlalu. Selepas kejadian hitam yang menimpa Hanin tempoh hari, Hanin asyik berkurung di dalam bilik.

Sekarang Hanin berada di rumah keluarganya. Tak sanggup rasanya nak kembali ke rumah sewanya itu. Masih terbayang-bayang lagi kejadian malam itu.

Buat masa sekarang, Hanin mengambil cuti. Dia tak rasa yang dia boleh menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor dalam keadaan mentalnya yang masih tidak stabil.

Keadaan Hanin buatkan Hadi risau. Dia dihimpit rasa bersalah. Andai saja malam itu dia jawab panggilan telefon Hanin, mungkin maruah Hanin masih boleh diselamatkan lagi.

Mujurlah Ariz ada. Hadi benar-benar berterima kasih pada sahabat baiknya itu. Kalau Ariz tiada malam itu, tak tahulah apa yang akan berlaku pada Hanin.

Waktu Ariz hantar Hanin pulang ke rumah, seisi rumah dikejutkan dengan dengan keadaan Hanin waktu itu. Tapi sampai sekarang Hanin masih tidak mahu buka mulut menceritakan apa yang telah berlaku sebenarnya malam itu.

“Macam mana keadaan Hanin?” soal Ariz prihatin.

Hadi menghela nafas berat mendengar soalan yang terbit daripada bibir Ariz. Dia menggeleng lemah.

“Sampai sekarang Hanin tak nak buka mulut beritahu apa yang jadi. Dia asyik berkurung dalam bilik. Makan pun tak. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku dah tak tahu macam mana nak pujuk dia lagi.” Hadi meluahkan kerisauannya.

Jawapan Hadi buatkan Ariz tidak senang duduk. Ya, dia risaukan keadaan Hanin.

“Nak aku cuba pujuk dia?” tawar Ariz. Sebenarnya dia ingin sekali berjumpa dengan Hanin. Mahu melihat wajah gadis itu. Tapi dalam keadaan Hanin sekarang dia tahu mustahil untuk Hanin mahu berjumpa dengannya.

Hadi menggeleng perlahan. “Hanin tak nak jumpa sesiapa.”

Ariz mengangguk tanda mengerti. “Kau cuba pujuk dia lagi. Jangan mengalah. Tapi jangan paksa dia. Mungkin dia perlukan masa untuk terima semua ni.”

Hadi meraup perlahan wajahnya. Dia tak sangka hal ini berlaku pada adik kandungnya sendiri. Beratnya ujian Hanin...

“SAMPAI bila dia nak berkurung?”

Soalan Puan Yanti buatkan Hadi bangun daripada sofa. “Mama... Hanin tengah tak okey sekarang ni. Dia perlukan kita.”

“Itu masalah dia. Kenapa nak libatkan kita? Kalau balik sini setakat nak berkurung je dalam bilik tu, baik tak payah.”

Hadi menggeleng perlahan. Kerasnya hati seorang ibu...

“Hanin dah tak ada tempat selamat yang lain melainkan rumah ni mama. Takkan Hanin nak balik semula ke rumah sewa dia tu. Silap-silap Hanin boleh trauma dengan apa yang jadi.”

Puan Yanti mengetap kuat bibirnya. Entah mengapa Hadi tak habis-habis membela Hanin.

“Mama, Hanin tu anak mama juga. Janganlah layan Hanin macam tu. Kesian dia...” Suara Hadi seakan memujuk.

“Anak mama cuma Hadi dan Hanis je.”

“Mama...” Hadi hilang diksi. Sampai hati Puan Yanti membuang Hanin hanya kerana satu kesilapan yang Hanin sendiri tidak mampu mengawalnya.

“Tolong cakap dengan adik kesayangan Hadi tu, mama tak nak dia duduk dalam rumah ni lama-lama. Sampai bila dia nak ambil cuti tanpa gaji? Siapa pula nak tanggung makan minum dia nanti?”

Mengucap panjang Hadi mendengar ujaran Puan Yanti. Itu yang mamanya risaukan? Bukankah sepatutnya wanita itu perlu lebih risaukan mental dan emosi Hanin?

“SEMALAM aku dengar Hanin meracau lagi. Dia menangis-nangis dalam tidur,” cerita Hadi.

Kalau dulu mungkin dia lebih berahsia soal keluarganya tapi sekarang dia lebih terbuka berkongsi keadaan Hanin pada Ariz. Lagipun dia perlukan seseorang untuk menjadi tempat luahan perasaannya. Dia sendiri tertekan melihat keadaan adiknya itu.

Ariz telan liur yang terasa kesat. Dia dah tak sanggup lagi nak tengok keadaan Hanin berlarutan begitu.

“Hadi, kau percayakan aku?” soal Ariz tiba-tiba.

Hadi angkat wajah memandang Ariz. Hubungan persahabatan mereka lebih daripada sepuluh tahun. Mana mungkin dia tidak percayakan lelaki itu.

“Mestilah aku percayakan kau. Kenapa tiba-tiba kau tanya ni?” Hadi sudah mula tak senang duduk.

“Kau percayakan aku untuk jaga Hanin sampai hujung nyawa aku?”

Hadi terdiam seketika. Dia nampak terkejut. “Kau cakap apa ni Riz?”

“Aku nak minta izin dengan kau untuk kahwin dengan Hanin.”

Hadi bungkam tanpa kata. Dia pandang wajah Ariz dengan riak tidak percaya.

Happy reading semua!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience