Bab 4

Romance Series 98146

PIN! Pin!

Terkocoh-kocoh Hanin berlari ke muka pintu saat mendengar bunyi hon kereta di luar rumahnya. Siapa pula yang buat bising pagi-pagi ni?

Buka pintu, Hanin lihat kereta milik abangnya berada di hadapan rumah.

“Dah siap ke belum?” soal Hadi daripada dalam kereta.

“Macam mana abang tahu Hanin kerja shift pagi?” soal Hanin kembali.

“Ariz beritahu. Cepatlah kunci pintu. Abang hantar Hanin pergi kerja.”

Hanin mengangguk. Dia berlalu masuk ke dalam rumah kembali untuk mengambil tas tangannya.

Pintu tempat duduk sebelah pemandu dibuka, Hanin masuk ke dalam kereta. “Bila abang balik sini?”

“Subuh tadi abang sampai.”

Hanin mengangguk. “Kenapa tak cakap semalam yang abang tak ada kat sini? Susahkan Ariz tu buat apa?”

“Habis tu Hanin nak minta tolong siapa? Ada orang lain yang boleh tolong Hanin?”

Hanin terdiam. Riak wajahnya terus berubah. Baru dia sedar dia tiada tempat bergantung lain selain daripada Hadi. Kalau Hadi dah berumahtangga nanti, bagaimana dengan dia? Takkan dia masih nak mengharapkan Hadi lagi?

Sedih betul kehidupan seorang Hanin Kirana!

“Abang minta maaf. Jangan ambil hati,” ucap Hadi bila Hanin tiba-tiba diam.

“Ariz tak kisah pun tolong Hanin. Dia okey je. Lagipun semalam dia ada dekat area situ juga. Sebab tu abang minta tolong dia,” jelas Ariz.

“Erm.” Hanin mengangguk.

“Hanin marah abang ke?” Hadi yang sedang memandu itu mengerling sekilas ke arah adiknya. Tu lah, sebelum cakap tak fikir dulu!

“Taklah. Buat apa Hanin nak marah abang? Lagipun apa yang abang cakap tu memang betul. Hanin memang tak ada sesiapa melainkan abang.” Perit Hanin ungkapkapkan ayat terakhirnya itu tetapi itulah hakikatnya.

“Hanin patut kahwin. Suami Hanin boleh jadi tempat untuk Hanin bergantung. Jadi rumah untuk Hanin berteduh. Boleh jadi kawan Hanin juga.”

Hanin terus panggung kepala memandang Hadi. Semudah tu je Hadi suruh dia kahwin? Ingat pilih suami ni macam pilih ikan dekat pasar ke?

“Hanin boleh jaga diri Hanin sendiri. Kalau abang dah bosan dengan Hanin, lepas ni Hanin janji Hanin tak akan susahkan abang lagi.” Suaranya seakan berjauh hati. Pagi-pagi lagi Hadi dah rosakkan mood dia!

“Hanin, sebagai seorang abang memang tanggungjawab abang untuk jaga dan lindungi Hanin. Tapi abang tak akan selamanya ada dengan Hanin. Sekurang-kurangnya kalau Hanin kahwin, abang taklah risau lagi tentang Hanin. Abang tahu dah ada seorang lelaki yang hebat boleh jaga adik abang ni.”

“Lelaki yang hebat?” Hanin angkat kening.

“Ya. Lelaki yang hebat je boleh kahwin dengan perempuan yang hebat macam Hanin.”

Hanin mencebikkan bibirnya. Hadi sajalah tu nak bodek dia. Entah apa yang hebat pada dirinya. Menyedihkan adalah!

“Tapi sebelum Hanin kahwin dengan lelaki tu, make sure dia kena jumpa abang dulu. Abang akan tapis habis-habis. Hanya lelaki yang terbaik dapat miliki Hanin.”

Hanin menggelengkan kepalanya. Cepatlah sampai hospital. Makin lama makin jauh Hadi melalut!

HANIN merenung lama telefon bimbitnya. Tadi Hadi memberikannya nombor telefon Ariz.

“Ariz yang tukarkan bateri kereta Hanin. Abang nak bayar balik tapi dia tak nak.”

“Kenapa dia tak nak? Hanin tak nak hutang apa-apa dengan dia.”

“Selalunya orang lagi suka dapat benda free ni. Hanin ni dah rosaklah abang rasa.”

Hanin ketap bibir. “Kan Hanin cakap Hanin tak nak ada hutang dengan orang.”

“Ariz cakap tak payah bayar balik. Apa yang hutangnya?”

“Mana tahu suatu hari nanti dia ungkit balik.”

Hadi ketawa. Jauh betul Hanin fikir. “Hanin bukannya tak mampu kalau nak bayar semula duit bateri kereta tu. Gaji Hanin lebih dari cukup.”

“Bukan itulah maksud Hanin. Hanin tak nak terhutang budi dengan orang.”

“Ariz tu kawan abang. Dah lama kami ni berkawan. Hanin tak payah risaulah.”

Hanin mengeluh lemah. “Nanti abang tolong cakap dekat dia Hanin ucap terima kasih,” pesan Hanin.

“Hanin cakaplah sendiri. Tu... Abang dah share nombor telefon dia.”

Sekarang ni Hanin tak tahu nak buat apa. Dah hampir setengah jam dia tenung nombor telefon Ariz. Patut ke dia telefon Ariz dan ucap terima kasih? Atau cukup sekadar hantar pesanan ringkas? Ah, buntu!

Jarinya mula bergerak menaip sesuatu di atas papan kekunci telefon. Tapi tak lama selepas itu dia memadamnya kembali.

“Skema sangat ayat kau ni Hanin. Mahu kena bahan dengan dia nanti,” ujar Hanin sendiri. Cukuplah dengan kejadian yang memalukan tempoh hari. Hanin dah tak sanggup nak memalukan diri di hadapan Ariz lagi. Sampai sekarang kejadian tu jadi mimpi ngeri untuknya.

Sudahnya dia tidak jadi mahu menghubungi Ariz. Lain kali kalau bertemu lagi dengan lelaki itu, dia akan ucapkan terima kasih secara berhadapan saja.

HUJUNG minggu itu Hanin buat keputusan untuk pulang ke rumah keluarganya. Tempoh hari dia pulang, dia tidak dapat bertemu dengan Puan Yanti.

Berat sebenarnya hati ini nak jejakkan kaki ke sana tapi Hanin tiada pilihan lain. Walaubagaimanapun hubungannya dengan Puan Yanti, wanita itu tetap ibu kandungnya.

“Kak, nak duit belanja,” pinta Hanis selamba tanpa rasa bersalah.

Hanin diam sesaat. Dia sudah biasa jadi bank bergerak gadis itu.

“Gaji hari tu baru je akak transfer duit. Takkan dah habis?”

Hanis ketawa sinis. “Ingat Hanis ni budak-budak ke? Mana cukup!”

“Kalau nak cukup, kerja sendiri. Cari duit. Lagipun sampai bila nak harapkan duit daripada akak dan abang?” sembur Hanin. Dia sudah hilang sabar. Selama ini dia masih boleh pejam mata lagi tiap kali Hanis minta duit.

Mencerlung mata Hanis memandang Hanin. Dia tak sangka Hanin akan seberani itu bercakap dengannya. Selama ini gadis itu hanya diam. Kalau dia minta duit pun, Hanin akan hulur tanpa banyak tanya.

“Ada apa bising-bising ni?” celah Puan Yanti yang baru keluar daripada dapur itu.

“Kak Hanin ni lah mama. Mentang-mentang Hanis ni belajar tak sepandai dia, kerja pun belum, dia nak hina Hanis pula,” adu Hanis.

Hanin terkedu. Rasanya tadi tiada langsung ayat menghina keluar daripada mulutnya. Dia cuma minta Hanis bekerja. Itu saja.

Tajam Puan Yanti memandang Hanin. Terbias kebencian pada tatapan matanya. “Kalau balik setakat nak cari masalah dengan orang, lebih baik tak payah balik.”

Zap! Pedih hati Hanin mendengarnya. Namun riak wajahnya cuba dikawal.

“Hanin minta maaf. Hanin cuma minta Hanis kerja. Itu saja. Hanin tak ada niat nak merendahkan sesiapa,” ujarnya perlahan. Tahu jika dia bersungguh pertahankan diri pun, pada akhirnya dia tetap akan dipersalahkan.

Di mata Puan Yanti itu Hanis adalah intan permata. Hanis tidak bekerja? Tiada masalah. Tidak mahu melanjutkan pengajian? Juga tiada masalah. Tapi kalau Hanin yang begitu, dah berbakul kata cacian yang diterima agaknya.

Salahkah andai Hanin cakap dia cemburu dengan adik kandungnya sendiri? Hanis tak perlu buat apa-apa pun untuk mengambil hati Puan Yanti. Tapi dia dilimpahi dengan kasih sayang daripada wanita itu. Sedangkan Hanin, dia perlu mengemis kasih sayang daripada seorang ibu yang melahirkannya.

Sungguh tidak adil...

“Jangan nak ajar anak aku. Kalau anak aku tak kerja sekali pun, bukannya dia mengemis duit kau! Sudah Hanis, jangan dilayan orang macam ni. Baik tak payah balik kalau nak buat kecoh!”

“... Datang tak diundang, kalau nak berambus pun tak ada orang yang larang.” Usai itu Puan Yanti terus berlalu naik ke tingkat atas.

Hanis tersenyum mengejek memandang Hanin. Dia turut sama berlalu ke tingkat atas selepas itu.

Hanin menarik nafas dalam-dalam. Air mata yang mula menitik cepat-cepat dikesat. Dia tersenyum perit. Agaknya sampai bila dia harus hidup begini? Mungkin bila dia sudah tiada nanti baru orang di sekelilingnya akan tenang...

BUNYI muzik yang kuat membuatkan Hanin terjaga daripada tidurnya. Dia cuba melelapkan matanya kembali selepas itu tapi bunyi muzik itu terlalu kuat.

Ni mesti kerja Hadi! Mentang-mentanglah Puan Yanti dan Hanis tiada. Mereka berdua bermalam di rumah saudara mereka. Tinggallah Hadi dan Hanin saja di rumah.

Hanin menyelak selimut. Dia turun daripada katil dan berlalu ke bilik Hadi yang terletak di sebelahnya.

“Abang! Bisinglah...” Tangan dihayun mengetuk pintu bilik Hadi sekuat yang mungkin. Kalau ketuk perlahan nanti, mustahil lelaki itu nak dengar.

“Abang!” jerit Hanin kuat melawan bunyi muzik yang dipasang.

Beberapa detik kemudian pintu bilik Hadi terbuka. Tapi bukan Hadi yang terjengul di muka pintu.

“Hanin?” Lelaki itu nampak terkejut saat melihat Hanin.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience