Bab 3

Romance Series 98146

SEWAKTU membuat rondaan di wad, langkah kaki Hanin terhenti bila nampak dua beranak yang sedang berpelukan. Hanin sedia maklum wanita itu dimasukkan ke hospital kerana terlibat dalam kemalangan kereta dua hari lepas.

Tapi apa yang menarik perhatian Hanin ialah ibu wanita itu. Setiap kali waktu melawat pasti ibu wanita itu akan berada di sini menemaninya walaupun keadaan kesihatannya nampak tidak berapa baik. Nak jalan pun terhincut-hincut. Tapi tetap dia gagahkan diri datang ke hospital menjenguk anaknya.

Hati Hanin dihurung sebak melihat mereka. Wanita itu sangat beruntung kerana memiliki ibu seperti wanita tua itu. Andai saja dia juga beruntung seperti wanita itu...

Hanin bayangkan seandainya dia yang berada di tempat wanita itu, adakah ada insan yang sudi menjaganya di hospital?

“Doktor Hanin.”

Hanin tersentak. Dia menoleh ke arah pemilik suara. Seorang jururawat menghampirinya.

“Ya?”

“Waris pesakit katil 2D nak jumpa dengan doktor,” beritahunya.

Hanin mengangguk perlahan. Jam tangannya dikerling sekilas. “Awak bawa dia ke bilik saya.”

“Baik doktor.”

Usai itu Hanin terus berlalu meninggalkan wad. Sempat dia mengerling sekilas ke arah dua beranak tadi. Dia nampak si ibu sedang memujuk anaknya yang menangis. Wajah si ibu nampak letih tapi demi anak tersayang, dia kuatkan dirinya.

KAKI bergerak ke kafeteria. Sejak pagi tadi perutnya masih kosong. Hanin sibuk sangat pagi ni sampai terlupa nak makan. Pagi ini ramai pesakit yang dibenarkan keluar hospital jadi sebelum mereka keluar, Hanin perlu memeriksa mereka terlebih dahulu.

Sampai di kafeteria, mata Hanin terpandangkan si ibu yang dia lihat di wad tadi. Wanita itu sedang duduk sambil meneguk air mineral. Perlahan Hanin menghampiri meja yang diduduki wanita itu.

“Assalammualaikum.”

Wanita itu panggung kepala memandang Hanin. “Waalaikumsalam doktor.” Dia senyum pada Hanin.

“Mak cik ni ibu kepada Fatiha kan?” soalnya.

Wanita itu mengangguk.

“Mak cik dah makan?” soalnya prihatin.

“Mak cik makan dekat rumah nanti je. Lagipun makanan dekat kafeteria ni mahal sikit. Mak cik kena berjimat. Nanti tak cukup duit nak naik bas datang ke sini lagi,” jelas wanita itu.

Tubir mata Hanin terasa hangat. Wanita itu datang ke hospital dengan menaiki bas?

“Mak cik tunggu sekejap ya.” Hanin terus berlalu. Dia tak sampai hati melihat wanita itu menahan lapar.

Hanin datang kembali bersama dua pinggan nasi campur. Alang-alang dia nak beli makanan untuk dirinya sendiri, dia belikan sekali makanan untuk wanita itu.

“Mak cik, makanlah.”

Wanita itu memandang Hanin dengan riak tidak percaya. “Mahal ni doktor.”

Hanin senyum segaris. “Saya belanja mak cik hari ni. Mak cik temankan saya makan boleh?”

“Boleh.” Wanita itu mengangguk.

Hanin tersenyum senang melihat wanita itu makan dengan begitu berselera sekali. Pasti dia lapar...

“Kenapa mak cik tak balik lagi?” soal Hanin.

“Mak cik nak tunggu waktu melawat yang seterusnya. Lepas habis waktu melawat baru mak cik naik bas balik,” jelas wanita itu.

“Terima kasih banyak-banyak ya doktor belanja mak cik. Semoga doktor dimurahkan lagi rezeki,” ucapnya terharu.

“Terima kasih doakan saya mak cik.”

“Doktor ni bukan sekadar cantik tapi hati budi pun baik. Sejuk perut ibu doktor mengandungkan doktor.”

Hanin terdiam. Hakikatnya tidak begitu...

“Doktor, rasanya bila anak saya boleh keluar wad ya? Kesian dia... Hari-hari menangis nak balik. Saya tak sampai hati nak tengok dia.”

“Insya-ALLAH dalam dua tiga hari lagi anak mak cik boleh balik. Bergantung kepada keadaan kesihatannya,” balas Hanin.

Wanita itu mengangguk tanda mengerti. Selepas itu macam-macam lagi yang mereka bualkan. Hanin nampak begitu gembira. Wanita itu melayaninya seperti seorang anak. Terubat rindunya kepada seorang ibu dengan layanan wanita itu kepadanya.

“WAKTU-WAKTU ni juga kau nak rosak,” rungut Hanin sendirian.

Enjin keretanya tiba-tiba tidak boleh dihidupkan. Selama ni tak pernah pula keretanya buat hal.

Hanin buntu. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Sekarang waktunya pulang ke rumah. Tapi macam mana dia nak balik kalau keretanya rosak? Nak minta tolong Maryam, kawan serumahnya itu sedang bertugas sekarang ni.

Tiada cara lain, Hanin terpaksa hubungi Hadi. Harap-haraplah Hadi boleh membantunya. Sudahlah esok dia bekerja shift pagi. Kalau keretanya masih rosak, macam mana dia nak ke hospital?

“Abang! Kereta Hanin rosak,” adu Hanin sebaik Hadi menjawab panggilannya.

“Rosak? Rosak kenapa?” soal Hadi.

“Hanin tak tahu. Tiba-tiba enjin tak boleh nak start,” balasnya. Dia bukanlah mahir bab kereta ni. Tahu bawa je!

“Hanin dekat hospital ke tu?”

“Ya. Hanin nak balik rumah.”

“Dah lewat malam ni. Tunggu dalam hospital atau dalam kereta. Jangan tunggu dekat luar, bahaya,” pesan Hadi sebelum panggilan ditamatkan.

Hanin menarik nafas lega. Nasib baiklah Hadi ada. Macam mana agaknya hidup dia kalau Hadi tak ada?

Patuh dengan arahan Hadi, Hanin masuk ke dalam kereta sementara menunggu Hadi tiba.

KETUKAN bertalu-talu pada cermin keretanya menyentakkan Hanin daripada tidurnya. Dia terlelap sementara menunggu Hadi sampai.

Bila Hanin toleh ke tingkap, dia terkejut melihat lelaki itu. Ariz! Apa lelaki itu buat di sini?

Hanin terus buka pintu kereta. Terpinga-pinga dia pandang Ariz sambil matanya meliar mencari Hadi.

“Hadi ada dekat Melaka. Dia minta tolong saya,” ujar Ariz tanpa ditanya.

Hadi ada dekat Melaka? Waktu dia telefon Hadi tadi, Hadi tak cakap pun yang dia berada di luar kawasan sekarang ni? Ah, mungkin Hadi sengaja tak nak beritahu dia Ariz yang akan datang membantunya kerana takut dia menolak pertolongan lelaki itu.

“Kenapa tidur dalam kereta? Awak tahu tak, bahaya?” soal Ariz dingin.

Hanin tersentak. Eh, mamat ni dah kenapa? Tiba-tiba nak naik angin pula? Bukan dia sengaja nak tidur dalam kereta. Dia pun tahu bahaya tidur dalam kereta.

“Saya tertidur,” jawab Hanin perlahan. Entah mengapa rasa sebak pula. Yang ditunggu Hadi tapi orang lain pula yang datang. Lepas tu nak marah-marah pula. Eii, tak suka!

Tengok riak wajah Hanin berubah, Ariz jadi serba salah. Bukan niatnya nak marah Hanin tapi dia risau jika apa-apa berlaku pada gadis itu.

“Saya check kereta awak sekejap,” ujar Ariz. Kali ini suaranya sudah tidak sedingin tadi.

Hanin hanya berdiri di sisi kereta sambil memerhati Ariz memeriksa keretanya.

“Bateri kereta awak habis. Bila kali terakhir awak tukar bateri?” soal Ariz.

Hanin angkat bahu. Dia memang betul-betul tak tahu. Selalunya Hadi yang akan menguruskan keretanya. Yang bawa pergi servis pun Hadi juga. Hanin cuma tahu memandu saja.

Ariz menggeleng perlahan. Perempuan...

“Bengkel dah tutup waktu-waktu macam ni. Tunggu esoklah kalau nak tukar bateri kereta pun,” beritahu Ariz.

Hanin mengangguk perlahan. Dia ambil tas tangannya daripada dalam kereta.

“Terima kasih datang tengokkan kereta saya,” ucap Hanin. Nampaknya dia terpaksa pulang dengan menaiki Grab.

“Nak pergi mana?” soal Ariz.

“Baliklah,” jawab Hanin sedikit geram. Dah lewat malam begini boleh pula Ariz tanya dia nak kemana. Dah lah tadi marah orang!

“Kereta saya kat sana.” Jari telunjuk Ariz dihalakan ke arah keretanya yang terpakir tidak jauh daripada situ.

“Jadi? Awak nak saya hantarkan awak dekat kereta ke?” soal Hanin kembali.

“Saya tak tahu pula Hadi ada adik yang kelakar macam awak.” Ariz ketawa mengejek.

Hanin ketap bibir. Eii, apa masalah mamat seorang ni eh?

“Biar saya hantar awak balik. Hadi dah amanahkan saya untuk pastikan awak balik rumah dengan selamat.”

“Takpalah. Saya boleh balik naik Grab,” tolak Hanin.

“Doktor Hanin Kirana, masuk kereta sekarang.”

Hanin berdecit geram. Pandai pula sebut nama penuh orang! Lambat-lambat Hanin mengikut juga Ariz ke keretanya.

SEPANJANG perjalanan pulang, Hanin hanya diam. Tidak berminat nak berbual dengan Ariz. Lagipun tak ada topik yang nak dibualkan.

“Sunyinya kawasan perumahan awak ni. Tak takut ke?” soal Ariz saat kereta yang dipandunya masuk ke kawasan perumahan Hanin.

Memang kawasan ini agak sunyi dan gelap. Tak ramai yang duduk sini. Hanya ada beberapa buah rumah saja yang berpenghuni.

Waktu awal-awal tinggal di sini dulu, Hanin rasa seram juga. Tapi lama-lama dia sudah terbiasa. Lagipun dia jarang berada di rumah. Masanya lebih banyak di hospital.

“Kawasan perumahan ni je yang dekat dengan hospital,” balas Hanin.

Ariz mengangguk tanda mengerti. “Esok kerja pukul berapa?” soalnya.

“Pagi,” jawab Hanin sepatah.

“Saya am...”

“Saya naik Grab,” pintas Hanin sebelum sempat Ariz menghabiskan ayatnya.

“Kereta awak tu nanti biar saya yang uruskan,” ujar Ariz.

“Takpalah. Saya boleh cari mana-mana pomen area sini nanti,” tolak Hanin. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lagipun Ariz tentu ada kerja lain.

Ariz ketawa mendengar ujaran Hanin. Buatkan Hanin melempar jelingan tajam kepadanya. Dekat mana yang lawaknya?

“Pomen dan perempuan... Hmm.”

Hanin faham maksud Ariz. “Saya lebih rela kena tipu dengan pomen daripada menyusahkan orang lain.”

Hujung bibir Ariz ternaik sedikit. Dia menahan senyum.

“Awak nak merendah-rendahkan saya ke?”

Laju Ariz menggeleng. “Bukan macam tu,” nafinya.

Hati Hanin mendongkol geram. Ariz memang annoying!

Tiba di hadapan rumah Hanin, Hanin cepat-cepat keluar daripada perut kereta. “Terima kasih,” ucapnya sebelum pintu kereta Ariz ditutup kuat.

“Oi! Awak ingat ni pintu lori ke?” Ariz menggeleng-gelengkan kepalanya.

Selepas memastikan Hanin masuk ke dalam rumah, barulah Ariz berlalu meninggalkan kawasan perumahan gadis itu.

Happy reading semua!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience