Bab 6

Romance Series 98146

PINTU peti sejuk dibuka. Coklat bar yang diberikan oleh Hanin tadi disimpan ke dalam peti. Tak lekang senyuman di bibir Ariz.

Walaupun itu cuma coklat bar biasa, tetapi baginya ‘luar biasa’. Sudah tentu kerana pemberinya adalah Hanin. Daripada coklat biasa, terus jadi luar biasa.

“Nah, happy birthday.”

Masih terngiang-ngiang di telinga Ariz ucapan Hanin. Dan Ariz rasa ulang tahunnya kali ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelum ini.

RUMAH keluarga Hanin meriah dengan kehadiran tetamu dan ahli keluarga besarnya. Malam ini Puan Yanti mengadakan sedikit kenduri kesyukuran dan sambutan ulang tahun Hanis.

Hanin tersenyum perit saat melihat Puan Yanti menyuapkan sepotong kek pada Hanis. Cemburu. Ya, Hanin benar-benar cemburu. Dia tidak pernah dilayan seperti itu.

Sewaktu ulang tahunnya, tiada siapa yang ingat. Bukan dia mahukan sambutan ulang tahun yang besar-besaran atau hadiah yang mewah. Hanya sebaris ucapan sudah cukup buat dia tersenyum sepanjang hari. Tapi dia tidak pernah dapatkannya.

Andai... Andai saja kejadian itu tidak pernah berlaku. Tentu Puan Yanti tidak akan membencinya.

Hanin membawa diri ke tepi kolam. Dia duduk di buaian yang terletak di situ. Dari kejauhan Hanin hanya mampu memerhati keriuhan ahli keluarga dan tetamu yang lain.

Bukannya dia tidak mahu menyertai mereka tetapi sejak daripada dulu lagi Hanin selalu dipinggirkan. Jadi dia lebih senang begini. Duduk sendirian. Hanya dia dan dunianya saja.

“Tuan rumah duduk sini?”

Hanin tersentak. Dia terus panggung kepala memandang pemilik suara itu.

Ariz.

Entah bila lelaki itu datang menghampirinya. Dia sendiri tidak sedar.

“Kenapa duduk sini?” soal Ariz. Bukannya dia tak tahu Hanin memang begini. Gadis itu lebih suka bersendirian.

“Saja,” balas Hanin sepatah.

“Dah makan?”

Hanin terdiam mendengar soalan Ariz. Sebak mencengkam dadanya. Daripada tadi tak ada siapa pun yang kisah dia dah makan atau belum. Tak ada siapa yang datang bertanya padanya.

“Hanin?” Ariz jungkit kening memandang gadis itu.

Hanin laju-laju menggelengkan kepalanya. “Tak lapar.”

“Tak lapar? Pelik. Makanlah sikit.”

Hanin bangun daripada duduknya. “Nanti kalau saya lapar, saya makanlah.” Usai dia terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Ariz menghela nafas perlahan. Sorotan matanya menghantar langkah Hanin. Terkadang dia ingin sekali tahu apa yang ada di dalam fikiran Hanin. Gadis itu nampak... Nampak sunyi.

“MAMA, kek tadi ada lagi?” soal Hanin saat dia melihat kelibat Puan Yanti di dapur.

Mereka baru saja siap mengemas. Mujurlah rakan-rakan Hadi membantu sama. Jika tidak, jenuh juga nak mengemas semua ni. Hanis awal-awal lagi dah angkat kaki tinggalkan rumah. Katanya mahu sambut hari jadinya dengan kawan-kawan di luar pula.

“Entah,” balas Puan Yanti dingin.

“Mama, bila birthday Hanin nanti boleh tak Hanin nak sambut sekali dengan mama?” pinta Hanin tiba-tiba.

Puan Yanti ketawa sinis. “Dah tua-tua pun nak sambut hari jadi lagi ke?”

“Tapi Hanis...”

“Jangan samakan diri kau dengan Hanis,” pintas Puan Yanti laju.

“Hanin pun anak mama juga.” Perlahan saja suara Hanin kedengaran.

“Lepas suami aku meninggal, anak aku cuma Hadi dan Hanis je.”

Jatuh air mata Hanin mendengar ujaran wanita itu. Hatinya bagai dirobek-robek.

“Mama... Mama masih marahkan Hanin ke?” Lengan wanita itu cuba dipegang tapi Puan Yanti pantas menepis tangannya.

“Kau fikirlah Hanin apa yang kau dah buat. Susah untuk aku nak maafkan kau. Aku betul-betul kecewa. Untuk apa kau jadi doktor kalau ayah kau sendiri pun kau tak dapat nak selamatkan? Useless.” Puan Yanti terus angkat kaki meninggalkan dapur.

Hanin terduduk lemah di lantai. Air matanya mengalir laju menuruni lekuk pipi. Perit hidupnya bila terpaksa menghadap kebencian si ibu.

Andai saja dia mampu ulang masa...

ARIZ memandu pulang ke rumahnya. Sebelum pulang tadi sempat dia membantu Hadi dan keluarganya mengemas rumah selepas majlis tamat.

Terlayar kembali di fikirannya kejadian tadi. Ariz tidak sengaja mencuri dengar perbualan Puan Yanti dan Hanin di dapur.

Lepas dengar perbualan mereka tahulah Ariz mengapa hubungan Puan Yanti dan Hanin kelihatan dingin. Patutlah Hanin menjauh daripada keluarganya.

Dia benar-benar bersimpati dengan nasib gadis itu. Sekarang baru dia faham mengapa Hanin menjadi seorang yang pendiam dan lebih suka bersendirian.

Berada di tempat Hanin pasti sakit. Dan Ariz sendiri tidak menyangka Puan Yanti berdendam dengan Hanin hanya kerana Hanin tidak dapat menyelamatkan arwah suaminya.

MALAM itu Hadi, Wais dan Talha datang ke rumah Ariz. Saja nak melepak dan jamming.

Wais melangkah ke dapur. Dia sudah biasa datang ke rumah Ariz. Ariz pun selalu cakap anggap je lah rumahnya macam rumah sendiri.

Pintu peti sejuk dibuka. Wais nampak ada sekeping bar coklat. Terus dia mengambilnya. Pastik coklat dikoyak sebelum coklat digigit rakus.

“Wais!” Ariz terus merampas bar coklat yang berada di tangan Wais.

Nak tercekik Wais dibuatnya bila tiba-tiba Ariz merampas kasar coklat di tangannya.

“Siapa suruh kau makan coklat ni?” soal Ariz. Cepat-cepat lebihan coklat yang digigit Wais tadi dibalut kembali dengan plastiknya. Nasib baiklah Wais baru gigit sikit je.

Punyalah lama dia simpan coklat pemberian Hanin tempoh hari sebab sayang nak makan.

“Lah, coklat pun kedekut ke Riz? Kat kedai aceh depan tu berlambaklah jual coklat,” balas Wais.

“Lain. Tak sama.” Perlahan saja suara Ariz kedengaran tapi masih jelas di pendengaran Wais.

“Hah? Tak sama? Coklat tu bukannya limited edition pun. Kau nak aku bawa pergi kilang coklat tu pun boleh. Dekat je dengan rumah aku.”

“Dah lah, pergi makan benda lain.” Ariz menyimpan kembali bar coklat tadi ke dalam peti sejuk.

“Kedekut!” selar Wais. Entah apa istimewanya coklat itu sampai Ariz larang dia makan. Mesti ada sesuatu yang lelaki itu sembunyikan daripadanya.

“HADI, kau tahu tak sekarang ni si Riz ni dah ada mata air,” ujar Wais. Nasi disuapkan ke dalam mulut. Berselera sekali dia makan lauk yang dimasak oleh Ariz.

Hadi terus panggung kepala memandang Ariz. “Mata air?”

Ariz mengeluh perlahan. Dah mula dah dia...

“Haa mata air! Tadi aku makan coklat dalam peti ais tu. Dia terus rampas daripada aku. Rasanya coklat tu daripada mata air dia.”

Hadi ketawa mendengar ujaran Wais. Ada-ada saja. Tapi tawanya langsung terhenti bila dia mula teringatkan sesuatu.

Coklat?

Baru dia ingat, waktu mereka keluar makan tempoh hari dia nampak Hanin ada memberikan coklat kepada Ariz.

“Coklat daripada siapa Riz?” soal Hadi mahukan kepastian. Takkan Ariz jatuh cinta dekat Hanin kut? Tak mungkin...

Ariz angkat wajah memandang Hadi. Riak wajahnya terus berubah. Takkan dia nak cakap coklat tu daripada Hanin kut. Kantoilah nanti.

“Kau dengarlah cakap Wais ni. Bukannya betul sangat dia ni,” balas Ariz.

Wais mencebik. Eleh, nak cover lah tu. Kita pula yang dikata tak betul. Dia yang tengah angau. Wais bertekad mahu mencari tahu perempuan mana yang sudah mencuri hati kawan baiknya itu. Sebelum ni dia tak pernah nampak Ariz rapat dengan mana-mana perempuan.

PETANG itu Hanin bersama doktor Imran membuat rondaan wad seperti biasa. Nampak saja papan tanda wad lelaki, Hanin sudah mengeluh dalam hati.

Bukan apa, pesakit lelaki ni lain macam sikit gelagatnya. Lagi-lagi bila doktor yang memeriksanya itu ialah doktor perempuan. Yang tak sakit pun tiba-tiba jadi sakit!

“Lepas tengok doktor, hilang terus rasa sakit saya.” Tersengih-sengih lelaki itu memandang Hanin. Tak padan dengan kaki yang berbalut.

Hanan melemparkan jelingan tajam. Malas nak layan! Kalau dilayan, makin menjadi-jadi miangnya nanti.

Doktor Imran di sebelahnya sudah memberi tatapan tajam pada lelaki itu. Hanin pula terus bergerak ke katil yang lain. Tirai yang menutupi katil pesakit itu ditarik.

Sebaik tirai dibuka, riak wajah Hanin terus berubah saat matanya beradu pandang dengan sepasang mata itu.

Ariz!

Happy reading semua!

Share this novel

Hawani Hashim
2024-01-23 00:27:31 

Xada new chapter lagi


NovelPlus Premium

The best ads free experience