Bab 5

Romance Series 98146

“ABANG tak tahu yang Hanin balik sini. Sebab tu abang ajak Ariz tidur rumah kita,” jelas Hadi.

Hanin tak tahu nak letak mukanya dekat mana sekarang ni. Kenapalah setiap kali berjumpa dengan Ariz mesti ada saja kejadian yang memalukan?

Lepas Ariz buka pintu bilik Hadi tadi, Hanin terus larikan diri. Mana tidaknya, dia tidak memakai tudung. Siap dengan pakej baju tidur corak kartun-kartun lagi.

“Hanin pun tak tahu kawan baik kesayangan abang tu ada dekat rumah kita.”

Hadi garu kepalanya yang tidak gatal. “Bila Hanin balik sini?”

“Semalam,” jawab Hanin ringkas.

“Abang minta maaf.”

Hanin menghela nafas berat. Kalau dia marah Hadi pun, bukannya dia boleh putarkan semula masa. Benda dah nak jadi dah pun. Cuma sekarang ni dia tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Ariz lagi lepas apa yang dah jadi.

TERKEBIL-KEBIL mata Ariz merenung kipas siling biliknya yang berpusing laju. Lepas kejadian tadi, dia terus pulang ke rumahnya. Tak jadi nak bermalam di rumah Hadi malam ni.

Rasa bersalah melilit tangkai hatinya. Melihat reaksi Hanin tadi dia tahu pasti gadis itu akan tidak selesa dengannya selepas ini.

Bukan niatnya nak melihat Hanin dalam keadaan begitu. Sungguh kalau dia tahu Hanin mengetuk pintu bilik Hadi dalam keadaan dia tidak bertudung, Ariz tak akan munculkan diri di muka pintu.

Ariz meraup kasar wajahnya. Tadi dia sempat meminta Hadi nombor telefon Hanin. Dia mahu meminta maaf atas kejadian yang berlaku tadi.

Telefon bimbit yang diletakkan di sisinya dicapai. Jari pantas menaip di atas papan kekunci.

Hantar!

Berdebar-debar Ariz menanti pesanannya dibalas oleh Hanin. Harap-haraplah Hanin tak benci dia lepas apa yang berlaku tadi.

BARU nak lelapkan matanya, telefon Hanin berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Matanya yang terasa layu tadi terus segar bila baca pesanan itu.

Ariz! Mana lelaki itu dapat nombor telefonnya? Ah, sudah tentu dia minta daripada Hadi.

Hanin, ini saya Ariz. Maaf menganggu awak. Saya betul-betul minta maaf dengan apa yang jadi tadi. Saya harap awak maafkan saya.

Hanin tutup telefon bimbitnya lalu dicampakkan ke tepi. Tak ada niat nak balas pesanan Ariz. Bantal dicapai lalu ditekup ke wajahnya. Hanin harap selepas ini mereka tidak akan bertemu lagi dan Hanin akan pastikan dia tidak akan pulang ke rumah jika lelaki itu berada di rumahnya.

BANGUN saja daripada tidur, Ariz terus capai telefon bimbitnya. Mahu melihat sama ada pesanannya dibalas atau tidak oleh Hanin.

Keluhan berat terlepas daripada bibirnya apabila melihat tiada sebarang balasan daripada Hanin. Marahkah gadis itu kepadanya?

Ariz terus capai tuala dan bergerak ke kamar mandi. Azan subuh sudah berkumandang.

Selepas menunaikan solat subuh, telefon bimbit Ariz tiba-tiba berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Tergesa-gesa Ariz bangun. Tak sempat lipat sejadah, dia terus capai telefon bimbitnya yang berada di atas katil.

Akhirnya! Hanin balas juga pesanannya. Bibirnya tersenyum lebar. Tapi bila lihat pesanan yang dia terima, senyuman di bibir Ariz perlahan-lahan memudar.

Dia silap. Pesanan itu bukan daripada Hanin tetapi Hadi. Ariz mengeluh kecewa. Ingatkan Hanin yang hantar pesanan. Rupanya abang Hanin.

Ariz mengeluh kecewa. Agaknya sampai sekarang gadis itu masih marahkannya.

TENGAH hari itu Hanin paksakan diri datang ke majlis perkahwinan rakan sekerjanya. Kalau tak fikirkan Najwa itu rakan sekerjanya, Hanin tak akan berada di sini hari ini.

Setibanya dia di situ, Hanin melangkah ke pintu utama dewan. Dia disambut ceria oleh ibu bapa Najwa.

“Hanin datang seorang je ke? Tak bawa kawan?” soal ibu Najwa.

“Seorang je mak cik,” balas Hanin sambil tersenyum kecil.

“Lepas ni turn Hanin pula naik pelamin,” usik wanita itu.

Hanin hanya tersenyum hambar. Ada ke lelaki yang mahukan perempuan seperti dia? Sudahlah pendiam. Tak pandai bergaul pula tu. Membosankan! Hanin sendiri tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Cukuplah sekali dia jatuh cinta pada lelaki yang salah.

Usai berbual dengan orang tua Najwa, Hanin berlalu ke tempat makan. Selepas mengambil makanan, matanya meliar mencari meja kosong.

Baru Hanin nak labuhkan duduk pada kerusi, namanya diseru seseorang.

“Hanin.”

Hanin angkat wajah. Tubuhnya mengeras sebaik melihat figura itu. Apa lelaki itu buat di sini? Kenapalah semua tempat yang dia pergi, dia asyik berjumpa dengan Ariz!

Hanin tak boleh nak mengelak lagi. Dia hanya tersenyum hambar pada Ariz.

“Hanin kawan pengantin ke?” soal Ariz.

Hanin mengangguk kecil.

“Oh... Saya photographer pengantin,” ujar Ariz tanpa ditanya sambil menunjukkan kamera yang tergantung di lehernya.

Hanin mengangguk lagi. Dia hampir terlupa yang Ariz adalah seorang jurugambar profesional.

“Makanlah,” ujar Ariz bila lihat Hanin masih berdiri di sisi meja.

Hanin terus duduk. Dia mahu makan cepat-cepat dan pulang dengan segera!

Sedang enak Hanin menikmati makanannya, Ariz kembali ke mejanya. Kali ini di tangan lelaki itu ada sepinggan nasi.

“Tumpang meja boleh?” pinta Ariz.

Hanin hanya diam. Kalau dia tak bagi pun, Ariz tetap akan duduk di sini juga.

“Hanin, awak masih marahkan saya ke dengan apa yang ja...”

“Stop! Jangan cakap apa-apa,” pintas Hanin laju. Mematahkan bicara lelaki itu.

Terpinga-pinga Ariz pandang Hanin.

“Saya dah tak nak ingat lagi tentang apa yang jadi hari tu.”

Ariz mengangguk faham. “Maaf. Saya betul-betul minta maaf.”

Selepas itu masing-masing hanya mendiamkan diri. Lagipun Ariz perlu makan cepat. Sebentar lagi dia perlu jalankan tugasnya sebagai jurugambar.

MALAM itu Hanin bersiap-siap mahu keluar makan bersama dengan Hadi. Tadi Hadi ada menelefonnya. Mengajaknya keluar makan.

Hanin hanya memakai sehelai blouse satin dipadankan dengan palazzo. Tudung bawal bercorak dililit kemas di atas kepalanya. Siap!

Sementara menunggu Hadi sampai, Hanin duduk di ruang tamu. Malam ini dia sendirian saja kerana Maryam bekerja syif malam. Pagi esok baru gadis itu pulang.

Pin!

Bunyi hon kereta kedengaran. Hanin terus capai tas tangannya dan berlalu keluar daripada rumah.

“Hanin, duduk belakang eh,” arah Hadi.

Hanin kerling sekilas ke arah tempat duduk sebelah pemandu. Wais ada rupanya. Patutlah! Ingatkan nak keluar makan berdua je malam ni. Rupanya Hadi heret kawannya sekali.

Kalau tahu, baik Hanin tak payah ikut! Niatnya cuma mahu temankan Hadi makan je. Kesian pula tengok Hadi makan seorang-seorang. Rupanya kawan-kawan Hadi ada sekali.

Sebaik Hanin buka pintu tempat duduk belakang, dia tergamam melihat figura lelaki itu.

Ariz! Sumpah dia rasa macam nak cekik Hadi sekarang ni. Ingatkan Wais seorang je yang Hadi bawa. Rupanya orang yang paling dia elak untuk jumpa juga ada.

“Cepatlah Hanin, masuk,” gesa Hadi bila Hanin masih berdiri tegak di luar kereta.

Lambat-lambat Hanin masuk juga ke dalam perut kereta. Punyalah jauh jarak dia duduk di sebelah Ariz. Tubuhnya disandar rapat ke pintu.

Ariz mengerling sekilas ke arah Hanin. Dia cuba sorokkan senyuman yang terbit di bibir.

“Malam ni kami nak sambut birthday Ariz sebenarnya,” ujar Hadi.

Hanin hanya diam sambil melemparkan pandangan ke luar kereta. Jadi kenapa ajak dia sekali? Dia tiada kena mengena pun dengan lelaki itu.

Sepanjang perjalanan menuju ke restoran, Hanin hanya diam. Ditanya sepatah, sepatahlah dia jawab. Rasa macam nak cepat-cepat sampai restoran sekarang ni. Berada dekat dengan Ariz buat dia tak senang duduk.

HANIN tak senang duduk bila Ariz duduk berhadapan dengannya. Hadi pula duduk di sebelahnya. Manakala Wais duduk berhadapan dengan Hadi. Sumpah Hanin rasa canggung sangat sekarang ni.

Nak suap nasi dalam mulut pun Hanin rasa terseksa sangat sekarang ni. Walaupun yang lain sibuk berbual termasuk Ariz, dia perasan sesekali mata lelaki itu menjeling sekilas ke arahnya.

Tiba-tiba beberapa orang pelayan datang datang ke meja mereka sambil menyanyikan lagu happy birthday. Mereka turut membawa sebiji kek. Semua ini rancangan Hadi dan Wais. Saja nak buat kejutan untuk Ariz walaupun dia tahu Ariz tak akan suka dengan kejutannya ini.

“Tadi korang cakap nak makan-makan je kan,” ujar Ariz tak puas hati. Dia sudah tidak senang duduk bila pelanggan di meja lain turut memandang ke arahnya. Dia tak tahu nak beri reaksi apa!

Bila semua nyanyikan lagu happy birthday untuk Ariz, Hanin turut sama menyanyi. Kalau dia tak beri reaksi apa-apa nanti, nampak pelik pula. 

Ariz tersenyum kelat. Belakang lehernya digosok perlahan. Nampaknya Hadi dan Wais memang sengaja nak kenakan dia!

“Hanin nak pergi toilet sekejap,” bisik Hanin perlahan pada Hadi.

Hadi mengangguk kecil. “Pergilah,” balasnya.

Hanin terus bangun dan meninggalkan meja.

SEMENTARA menunggu Hadi dan Wais membuat pembayaran, Ariz dan Hanin menunggu mereka di kereta.

“Ariz.”

Ariz tak jadi nak buka pintu kereta. Dia menoleh ke arah Hanin. Rasa macam tak percaya bila Hanin panggil namanya.

“Nah, happy birthday.” Hanin terus menghulurkan satu bar coklat kepada Ariz. Waktu dia ke tandas tadi, dia nampak coklat itu di kaunter. Terus dia belikan untuk Ariz. Dia tak ada apa-apa nak bagi pada lelaki itu sempena ulang tahunnya.

Dan setahu Hanin, Ariz memang suka makan coklat. Dah beberapa kali dia nampak Ariz makan coklat waktu berada di rumah keluarganya.

Ariz terus menyambut huluran Hanin. Jantungnya tak payah cakaplah. Rasa macam nak melompat keluar dah sekarang ni.

“Terima kasih Hanin.”

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience