T-7

Romance Series 98146

TELEFON bimbit milik Hadi yang berada di tangannya direnung sepi. Tadi sengaja dia meminta untuk meminjam telefon Hadi. Saja nak cuba hubungi Ariz dengan nombor telefon abangnya. Manalah tahu kalau-kalau Ariz jawab panggilannya.

Rasanya sudah hampir lima kali Hanin telefon Ariz hari ini tapi panggilannya masih tidak berjawab. Pesanan Hanin pun dibiarkan sepi tidak berbalas. Sampai Hanin rasa Ariz seolah-olah sengaja cuba menjauhkan diri daripadanya? Salah apa dia dengan lelaki itu sampai Ariz tiba-tiba saja berubah?

Tanpa berfikir lama, Hanin terus mendail nombor Ariz menggunakan telefon milik abangnya. Tak ambil masa lama, panggilannya terus disambut Ariz.

“Hello Hadi.”

Dengar saja suara sang suami di hujung talian, tubir mata Hanin terasa hangat. Dia terlalu rindukan Ariz...

“Hadi?” panggil Ariz sekali lagi.

Laju saja Ariz menjawab panggilan Hadi. Tapi kenapa Ariz tidak mahu menjawab panggilannya? Sungguh hati Hanin bagai disiat-siat rasanya ketika ini.
“Abang, Hanin ni...”

Terus keras tubuh Ariz bila suara isterinya menyapa gegendang telinga. Suara ini... Suara yang selama ini dia rindukan...

“Sayang? Kenapa guna telefon Hadi?” tanya Ariz.

“Hanin call abang tapi abang tak jawab. Bila Hanin call guna telefon Abang Hadi, cepat je abang jawab. Kenapa abang dah tak nak jawab call Hanin? Hanin ada buat salah ke?” Suara Hanin kedengaran seperti menahan sebak. Air mata sudah bertakung di tubir mata. Bila-bila masa saja empangannya akan pecah.

Ariz jeda seketika. Nafas dihela berat. “Abang sibuk sikit. Abang minta maaf.”

Hanin tahu Ariz sengaja memberinya alasan. Takkanlah sibuk sangat sampai tak sempat nak jawab panggilannya walaupun sekejap? Tapi bila dia telefon guna nombor Hadi, bolehlah pula Ariz jawab.

“Hanin rindu abang. Bila abang nak balik?”

“Kerja abang masih banyak. Abang tak tahu bila abang akan balik.”

“Abang ada dekat mana sekarang? Biar Hanin pergi dekat abang.”

“Sayang sihat?” tanya Ariz mengubah topik. Jelas dia sengaja tidak mahu Hanin tahu di mana dia berada sekarang ini.

Hanin memejamkan matanya perlahan. Hati memalu pilu.
“Hanin sihat. Abang? Abang sihat?”

“Abang sihat juga. Sayang jaga diri.”

“Hanin rindu abang...” luah Hanin sekali lagi.

“Abang rindukan sayang juga. Abang ada kerja ni. Abang letak call dulu ya. Assalammualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Air mata Hanin mengalir laju menuruni lekuk pipi. Sakitnya menanggung rindu...

***

“RIZ!” Tangan dihayun mengetuk pintu bilik. Talha baru perasan sejak pagi tadi Ariz hanya berkurung di dalam bilik.

Senyap. Tiada balasan.

“Riz, kau buat apa? Tak nak makan ke?” Talha mengetuk pintu bilik dengan lebih kuat kali ini. Mungkin Ariz tidur

Tapi masih sama. Tiada balasan daripada Ariz.

“Apa dia buat dekat dalam tu? Takkan tidur mati kut?” ujar Talha sendiri. Dia berlalu ingin mengambil kunci pendua bilik tetamu itu.

Beberapa minit kemudian Talha datang kembali bersama kunci pendua di tangannya.

“Riz, aku masuk tau!” ujarnya meminta izin sebelum tombol pintu bilik dipulas.

Buka saja pintu, mata Talha meliar mencari figura Ariz.

“Riz!” panggilnya.

“Talha...” Lemah saja suara itu menyeru namanya.

Talha terus menoleh ke kamar mandi. Dia lihat Ariz sudah terduduk di hadapan sinki.

“Ya ALLAH, Riz!” Meluru dia mendapatkan kawan baiknya itu.

“Kenapa ni?” soal Talha cemas. Dia memapah Ariz bangun. Lelaki itu nampak lemah. Mukanya juga kelihatan pucat.

“Aku muntah tadi. Lepas tu aku tiba-tiba pitam,” balasnya lemah.

Talha membawa Ariz duduk di birai katil. “Jomlah pergi klinik,” ajaknya.

Ariz menggeleng perlahan. Menolak. Dia rasa dia masih larat lagi.

“Aku okey lagi ni. Aku nak tidur sekejap.”

“Okey apanya kalau sampai pitam. Jomlah pergi klinik,” pujuk Talha lagi. Risau dia melihat keadaan kawannya itu.

“Tak apa. Bangun tidur nanti, aku okeylah. Jangan risau.” Ariz terus merebahkan badannya di atas katil. Mata dipejam perlahan.

Talha hanya mampu menghela nafas berat melihat keadaan Ariz. Dia bersimpati dengan Ariz tapi dia sendiri masih tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku pada lelaki itu memandangkan Ariz sendiri memilih untuk menutup mulutnya.

***
Happy reading!

Orked share teaser dulu je kat sini ya. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you.

ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu

Happy reading! Orked share teaser dulu je kat sini ya. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you. ig - orkedungu_14 fb - Orked Ungu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience