Bab 2

Romance Series 98146

MERAH muka Hanin bila menyedari lelaki itu bukanlah abangnya. Rasa macam nak menyorok je sekarang ni. Manalah dia tahu ada orang lain dalam rumahnya lewat malam begini.

“Hanin.” Ariz tergamam melihat gadis itu. Terkejut pun ya. Yalah, tiba-tiba je punggungnya ditampar gadis itu. Mahu tak terkejut!

“Sorry. Saya ingatkan Abang Hadi.” Perlahan saja suara Hanin kedengaran. Nak pandang muka lelaki itu pun dia tak sanggup sekarang ni.

Bibir Ariz ternaik sedikit. Kepala digeleng perlahan. “Hanin cuba ambil kesempatan dekat saya ke?”

Mencerlung mata Hanin mendengar tuduhan lelaki itu. “Kan saya cakap saya tak sengaja. Manalah saya tahu awak ada dekat rumah saya,” balasnya geram. Apa lelaki itu ingat dia pervert ke?

Ariz tahan tawa. Dia memang sengaja nak mengusik gadis itu. Sudah lama rasanya dia tak jumpa Hanin. Rasanya kali terakhir mereka jumpa tiga tahun lepas. Waktu arwah ayah Hadi dan Hanin meninggal.

Hanin melempar jelingan tajam. Dia pernah tahu lelaki di hadapannya ini kawan Hadi. Tapi dia tak ingat nama lelaki itu. Lagipun sudah lama mereka tidak berjumpa.

“Ariz!” Suara Hadi kedengaran. Dia turun mencari Ariz di dapur. Tadi Ariz cakap nak makan coklat. Puas dia tunggu Ariz tak naik-naik lagi ke bilik. Itu yang dia turun mencari lelaki itu.

Hah! Tu lah nama dia. Ariz. Hanin menoleh ke belakang mencari figura abangnya.

“Hanin?” Hadi terkejut saat melihat adik keduanya itu.

Hanin langsung mendapatkan Hadi. Tangan abangnya itu disalam hormat.

“Hanin saja tak beritahu abang yang Hanin nak balik,” ujarnya. Lupa terus kejadian yang berlaku antara dia dan Ariz tadi.

Ariz masih lagi berdiri di situ sambil memerhati dua beradik itu berbual.

“Ish budak ni, suka betul balik mengejut. Kalau abang tahu Hanin nak balik, tak adalah abang ajak Ariz tidur sini.”

Dengar nama Ariz buatkan Hanin kembali mengingati kejadian tadi. Ariz tidur di rumah mereka rupanya. Patutlah!

“Jumpa tak coklat dalam peti tu?” soal Hadi.

Ariz mengangguk sambil menayangkan plastik coklat di tangannya. Gara-gara nak ambil coklat ni tadilah punggungnya ditampar Hanin.

“Mama dengan Hanis tak ada dekat rumah. Dia orang pergi Langkawi,” beritahu Hadi.

Hanin terdiam. Nampaknya dia balik tak kena waktu.

“Takpalah,” balas Hanin. Kalau mama dan adiknya ada di rumah pun, keadaannya masih sama. Tak ada beza pun.

“Hanin pergilah naik atas berehat. Dah lewat ni. Esok kita berbual lagi.”

Hanin mengangguk. Sempat dia mengerling ke arah Ariz. Janganlah Ariz mengadu dekat Hadi yang dia tampar punggung lelaki itu tadi. Cukuplah hanya dia dan Ariz saja yang tahu apa yang berlaku antara mereka tadi.

Sorotan mata Ariz menghantar langkah Hanin. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

“Kau kenapa?” tegur Hadi.

Laju Ariz menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa.”

PINTU bilik dibuka. Mata Hanin meliar memerhati sekeliling bilik. Bilik ini masih sama seperti kali terakhir dia tinggalkannya tiga bulan lepas.

Tutup pintu. Hanin bergerak ke katil. Beg pakaiannya diletakkan di tepi almari. Esok je lah dia kemas. Shawl yang tersarung kemas di kepalanya dibuka.

Duduk dilabuhkan ke katil. Pandangan matanya terarah pada bingkai gambar yang diletakkan di meja kecil bersebelahan katilnya. Hatinya dihurung sebak melihat gambar mereka sekeluarga.

Waktu itu mereka berlima sangat bahagia. Tapi siapa sangka, sekarang semuanya berubah. Hanin hilang keluarga kecilnya.

Kelopak matanya perlahan dirapatkan. Membiarkan air matanya gugur. Kalaulah dia boleh mengulangi waktu...

“Papa nak Hanin jadi seorang doktor yang hebat. Papa bangga dengan Hanin. Nanti bila Hanin dah jadi doktor, Hanin boleh rawat papa.”

Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata arwah papanya. Menambahkan lagi kesedihan di hatinya. Tangisannya semakin kuat.

LANGKAH Ariz perlahan sewaktu melintasi bilik Hanin. Sayup-sayup suara orang sedang menangis menyapa gegendang telinganya. Ariz toleh kepala memandang sekeliling. Meremang bulu romanya. Takkan hantu kut?

Kalau bukan hantu... Hanin? Hanin ke yang menangis? Tapi kenapa? Tadi Hanin nampak baik-baik je.

“Riz!”

Ariz terkejut. Cepat-cepat dia kembali ke bilik Hadi. Hish, Hadi ni pun satu. Daripada tadi asyik nak menjerit panggil nama dia je. Tak bolehlah dia jauh sikit daripada pandangan mata lelaki itu.

“Lama ke Hanin balik?” soal Ariz.

Hadi angkat bahu. “Budak tu sibuk memanjang. Jarang dia nak melekat lama kat rumah,” balasnya bersahaja.

Ariz mengangguk. “Takpa ke aku tidur sini? Takut Hanin tak...”

“Dia tak kisah pun. Kalau dia balik sini pun selalunya dia akan terperap dalam bilik je,” pintas Hadi sebelum sempat Ariz menghabiskan bicaranya.

Ariz mengangguk lagi. Hujung bibirnya ternaik sedikit apabila mengenangkan kembali kejadian di dapur tadi. Bukannya dia tak nampak betapa merahnya muka Hanin tadi. Mesti Hanin malu. Tak sampai hati dia nak cerita dekat Hadi apa yang jadi tadi. Biarlah hanya dia dan Hanin je yang tahu.

PAGI itu selepas solat subuh, Hanin keluar daripada bilik. Hampir-hampir dia terlupa yang Ariz ada di rumahnya. Sempat dia capai shawl jersey untuk menutup rambutnya.

Turun ke tingkat bawah, Hanin lihat tiada sesiapa di ruang tamu mahupun di dapur. Entah-entah dua bujang tu pun belum bangun tidur lagi.

Serba salah Hanin nak kejut. Kalau Hadi je tak apa. Masalahnya Ariz pun ada. Seganlah. Lagi-lagi apabila dia ingat kembali kejadian semalam. Malunya masih terasa sampai sekarang. Kalau boleh dia dah tak nak jumpa Ariz lagi.

Tapi kalau Hanin tak kejut mereka bangun solat subuh, dia pula yang berdosa nanti. Belum sempat Hanin buka langkah naik ke tingkat atas, pintu utama rumah tiba-tiba dibuka daripada luar. Terdengar suara Hadi dan Ariz sedang berbual.

Lah, dah bangun rupanya...

Hanin pandang mereka berdua. Baru balik masjid agaknya. Kedua-dua mereka memakai baju Melayu dan kain pelikat. Siap bersongkok lagi.

“Hanin... Dah bangun,” tegur Hadi.

Hanin mengangguk perlahan. “Hanin ingatkan abang tak bangun lagi.”

“Ariz ajak berjemaah dekat masjid tadi. Dia nak cuci mata cari bakal zaujah,” usik Hadi.

Ariz menggelengkan kepalanya. Pandai-pandai je si Hadi ni.

“Hanin dah solat subuh ke belum?” soal Hadi.

Hanin mengangguk.

“Jadi kita nak sarapan apa hari ni?”

Soalan Hadi buatkan Hanin terpinga-pinga. Macamlah abangnya itu tak tahu yang dia memang tak pandai memasak.

“Abang gurau je lah. Harini kita ada chef Ariz. Kau buat breakfast eh pagi ni, Ariz.” Bahu Ariz ditepuk. Selamba saja Hadi memberi arahan.

“Hanin naik atas dulu,” ujar Hanin seraya berlalu naik ke tingkat atas kembali. Tak betah dia nak berlama-lama di situ. Bukannya dia tak perasan Ariz asyik memandang ke arahnya.

“Hanin tak pandai masak ke?” soal Ariz. Ingatkan bila Hanin ada, bolehlah dia rasa masakan gadis itu.

Terlepas tawa Hadi mendengar soalan Ariz. “Goreng telur pun dia tak pandai, Riz.”

PAGI itu Ariz memasak nasi lemak bersama rendang kerang. Talha dan Wais juga datang ke rumah Hadi untuk makan bersama.

“Sedap betullah rendang kau ni Riz,” puji Wais. Rasanya dah dua pinggan dia tambah.

“Betul. Kalau buat jual ni, confirm laku,” celah Talha pula.

“Inilah yang dinamakan lelaki perfect 10. Dah lah hensem. Pandai main gitar. Pandai menyanyi juga. Masak pun pandai,” ujar Hadi.

Ariz hanya geleng kepala mendengar ujaran kawan-kawannya itu. Eleh, macamlah dia tahu yang dia orang nak bodek dia. Lepas ni confirm disuruh masak lagi!

“Hanin tak turun makan ke?” soal Ariz. Lepas Hanin naik atas tadi, gadis itu langsung tak turun-turun dah.

“Hanin ada dekat rumah ke?” soal Wais.

“Ada dekat dalam bilik tu. Nanti dia lapar pandailah dia turun makan,” balas Hadi bersahaja. Sengaja dia tak panggil Hanan turun makan sekarang ni. Kawan-kawannya ramai. Dia takut Hanan tak selesa.

“ABANG telefon Hanis tadi,” beritahu Hanis.

Puan Yanti yang sedang mengemas beg pakaiannya itu panggung kepala memandang anak bongsunya.

“Ada apa?” soalnya.

“Kak Hanin balik.”

Dengar sebaris nama itu, raut wajah Puan Yanti langsung berubah. Jelas dia tidak senang.

“Ingatkan dah tak jumpa jalan nak balik rumah,” perlinya sinis.

Hanis angkat bahu. “Bagus jugalah dia balik waktu kita tak ada dekat rumah. Hanis tak boleh nak tengok muka dia.”

Puan Yanti hanya diam. Dengar nama Hanin saja sudah cukup buat hatinya geram apatah lagi jika bertembung empat mata dengan Hanin.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience