BAB 30

Romance Completed 30249

ADRIANA membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Adli berkali-kali.

‘Yana, kenapa balik tak beritahu? Aku risaulah. I’m sorry. Please.. don’t be angry ?’

Terasa berat tangannya membalas pesanan itu. Adriana duduk di kerusi berhadapan dengan kolam renang. Hari ini hari Isnin, esok pasti rombongan itu pulang ke Kuala Lumpur semula. Adriana mengeluh. Baru sahaja telefon bimbitnya mendarat di meja kopi yang diletakkan di tepi kolam renang itu, telefon bimbitnya berdering. Siapa pulak yang call ni?

“Ya, saya,” jawab Adriana setelah salam pemanggil dijawab.

“Ni Kak Kira. Yana okey ke? Kenapa tiba-tiba je balik KL?” tanya Syakira.

Hai.. sejak bila pulak aku rapat dengan Kak Syakira ni?

“Saja. Rasa rindu pulak dengan KL. Tu yang balik tu,” jawab Adriana, tergelak.

Kedengaran Syakira juga tertawa di hujung talian.

“Hmm.. actually, tadi Adli yang beritahu Akak. Mintak Akak call Yana. Yana gaduh dengan Adli ke?” tanya Syakira lagi.

“Gaduh? Tak adalah, Kak. Nak gaduh kenapa pulak?”

“Yana..” tiba-tiba sahaja suara Syakira bertukar garau.

Adriana merengus.

“Apa?” tempelak Adriana. Terasa geram dengan mereka berdua. Berpakat-pakat pulak.

“Janganlah garang sangat. Haaa.. buat apa tu? Kenapa call aku tak nak angkat? Text pun tak balas. Sedih aku,” rungut Adli.

Sedih? Adriana mencebik.

“Kalau rindu, cakap jelah. Aku faham,” gurau Adriana. Entah mengapa, nada suaranya begitu kasar.

“Ha’ah. Memang pun. Kalau ikutkan hati aku, sekarang jugak aku balik jumpa kau. Kalau rindu aku pada kau belum hilang lagi, aku suruh mak aku hantar rombongan meminang esok jugak. Haaa.. boleh?”

Adriana menelan air liur. Sejak bilalah si Adli ni suka bergurau macam ni?

“Buat apa pinang aku? Pergi pinang Julia tu,” marah Adriana.

Kedengaran Adli mengeluh di sebelah sana. Balik-balik Julia. Cemburu sangatkah dia pada gadis semuda Julia?

“Sorrylah, Yana. Taste aku bukan budak-budak.”

Adriana mengetap bibir. Entah sejak bila perasaan ini kembali padanya. Perasaan yang mula tumbuh semenjak dia berada di tingkatan lima dahulu. Adli yang mengajarnya subjek Fizik, Biologi dan Kimia. Setiap petang, pasti Adli akan menunggang skuternya menuju ke rumah Adriana. Sejak Adli menyambung pelajaran di Universiti Malaya, memang sukar untuk dia berjumpa dengan jejaka itu. Terpaksalah dia menunggu sehingga Adli ada masa untuknya. Kini, Adriana sudah berusia dua puluh tiga tahun. Tidak disangka perasaan rindu itu selalu menemani hari-harinya sehingga kini. Gambarnya bersama Adli sentiasa berada dalam simpanannya. Ada kalanya, rasa rindu yang singgah terlalu kuat mencengkam jiwanya shingga menjemput air mata.

“Adriana Izdihar! Kau kenapa? Kenapa kau senyap?”

Adriana mengurut dada.

“Apa kau cakap tadi?” tanya Adriana. Serta-merta fikirannya kembali ke alam nyata. Alam di mana dia sedang bercakap dengan Adli Syafiq. Ya, Adli Syafiq yang membuatkan dia tidak betah untuk tinggal lama di Pulau Pangkor.

“Esok aku balik, kita jumpa. Okey?” pinta Adli. Nada suaranya kedengaran serius.

Adriana memutuskan panggilan setelah bersetuju dengan permintaan Adli. Bayangan tadi kembali bersambung. Bersambung pula dengan kehadiran Razin Asyraf. Sejak adanya Razin, hidupnya berubah. Dia berubah menjadi seorang yang matang. Masa yang dihabiskan bersama Razin adalah antara waktu-waktu yang terindah dalam hidupnya.

Pemergian Razin dalam hidupnya adalah sesuatu yang membuatkan dia sengsara. Penat dia menunggu kepulangan lelaki itu, namun semuanya sia-sia. Andai Razin kembali waktu itu, sudah tentu Adriana sekarang sedang menyediakan dulang-dulang hantaran, memilih baju pengantin dan mula menghias rumah. Janji Razin, mengahwini Adriana setelah Adriana tamat belajar. Razin lewat menyambung pelajarannya. Sebab itulah dia sempat bertemu dengan Adriana. Jika tidak, pasti tiada peluang berjumpa dengan gadis yang sudah mencuri hatinya itu.

Adriana menarik nafas sedalam-dalamnya, sambil matanya mengamati air yang tenang di dalam kolam di hadapannya. Jelas kelihatan dasar kolam dari permukaan air yang jernih. Barangkali tukang kebun di rumahnya sudah menukar air kolam tersebut. Adriana menggaru-garu dahinya dengan jari telunjuk kanannya. Badannya disandarkan pada kerusi malas.

Entah mengapa, sejak pulang ke Malaysia, dia lupa langsung akan wajah Razin. Adakah kerana rasa sayang sudah bertukar benci? Jauh di sudut hati, dia berharap agar dapat dipertemukan dengan Razin sekali lagi. Setiap peluang datang sekali sahaja, tetapi tidak salah untuk mencuba buat kali kedua. Mungkin benar kata orang. Peluang yang datang buat kali kedua tidak akan menjadi sehebat peluang yang pertama.

Tetapi, yang menghairankan Adriana adalah, mengapa Adli? Bukankah dia juga membuka hatinya buat kali kedua buat Adli? Perasaannya pada Adli begitu kuat, bahkan terlalu kuat. Lebih kuat daripada rasa yang pernah dialaminya dulu. Gurauan Adli selalu membuat dia ketawa. Suara Adli pula adalah seolah-olahsesuatu yang membuatkan Adriana selalu rindu padanya. Dan senyum lelaki itu bagaikan sebuah magis yang memukau dirinya agar terus membeku. Sejak kembali bertemu dengan Adli, tiada lagi Razin. Hampir dua tahun dia menanti kepulangan Razin. Tetapi, apabila Razin sudah kembali, berdiri di hadapannya, tiada lagi rasa sayang seperti dahulu. Perasaannya sama seperti kali pertama bertemu lelaki itu. Tenang dan dingin.

Adli pula? Langsung tidak memikirkan Adriana. Kata Laila, mungkin Adli adalah cinta pertama Adriana. Mungkin kerinduan akibat berjauhan dengan Adli yang membuatkan Adriana cepat matang. Kehadiran Razin adalah bagaikan datangnya hujan yang membawa air matanya pergi. Tetapi, apabila hujan sudah berhenti, air mata Adriana akan bergenang semula. Samalah seperti dia dan Razin. Benarkah semua itu? Benarkah kata Laila bahawa Adriana sekalipun tidak pernah berpaling dari perasaannya? Sangkanya cinta monyet yang tidak memberi makna. Akhirnya dia akur. Ya, Muhammad Adli Syafiq bin Kamaruzzaman adalah cinta pertamanya. Cinta yang tidak pernah padam biarpun dibadai taufan.

“LEE.. kau kenapa? Masam je? Macam cekodok dah aku tengok muka kau. Apasal?” tanya Alif tiba-tiba. Bahu Adli ditepuk perlahan.

“Tak ada apa-apalah,” jawab Adli setelah Alif dan yang lain duduk di sisinya. Mereka semua menalakan pandangan pada laut biru.

“Takkan tak ada apa-apa? Kau senyap je,” tukas Danial pula.

Sebenarnya mereka sudah tahu apa yang berlegar dalam kepala vokalis mereka itu. Sengaja mereka bertanya sendiri pada Adli. Mereka tidak mahu dikatakan menyibuk. Masakan mereka tidak tahu, sudah bertahun-tahun mereka sudah bersahabat.

“Tadi aku call Yana. Dia okey je, just macam garang-garang je time bercakap. Aku rasa bersalahlah pada dia. Dia bukannya selalu macam tu. Sejak akhir-akhir ni dia banyak marah. Dulu tak ada pun. Setakat merajuk-rajuk tu, biasalah. Tapi sekarang.. sebab benda kecik pun nak marah-marah.”

Akhirnya, Adli berterus-terang. Tidak berguna cuba menyorokkan sesuatu daripada mereka berempat. Kalau dah namanya macam adik-beradik, sudah tentu yang lain dapat menghidu mengapa Adli berkelakuan pelik.

“Benda kecik macam mana maksud kau?” tanya Rayyan.

“Yalah.. hari tu aku buat dia terkejut. Alih-alih dia marah aku dekat depan kakak-kakak yang jual makanan kering dekat kilang hari tu. Lepas tu, dia macam nak menangis je. Bila aku tanya, dia cakap tak ada apa-apa. Tapi, yang paling obvious dia selalu jealous dengan Julia. Aku risaukan dia.”

“Mungkin bagi kau, benda tu kecik. Tapi pada dia, mestilah tak sekecil yang kau sangka. Dia perempuan, lebih sensitif. Sebab itulah aku takut nak ada girlfriend sampai sekarang. Kita ni artis, public figure, mesti busy. Show sana sini, balik pun kadang-kadang tak tentu masa. Sebab aku takut aku tak mampu nak jaga dia betul-betul. Nanti jadi macam kau dengan Yana,” sampuk Adam.

“Eh, bila masa pulak Yana in a relationship dengan kau ni, Lee? Tak beritahu aku pun,” celah Danial.

Adli tergelak. Adam juga.

“Mana adalah. Aku dengan Yana tu kawan je. Belum sampai ke situ lagi. Slowly. Moving with the flow,” ujar Adli, tersenyum.

“Terkejut aku. Bila pulak kau dengan Kak Yana declare?” Rayyan mengurut dada.

Adli menggeleng dalam senyuman.

“Kau jangan terkejut kalau satu hari nanti kau dapat tahu dia sukakan sama macam kau sukakan dia, tapi masa tu dah terlambat. Macam mana?” Adam pula menyoal.

Adli mengerutkan dahi.

“Takkanlah. Benda tu takkan jadi. Sebab Adriana tu still in love with her ex boyfriend. Razin,” jawab Adli tenang.

“Oh! Patutlah selama ni Yana macam tak suka dengan Razin. Razin pulak asyik pandang-pandang Yana. Sebab itu rupanya. Tapi.. mana kau tahu?” Danial mula bertanya mengenai hubungan Adriana dan Razin.

“Adriana sendiri beritahu aku. Dah lama dah dia beritahu. Dia selalu cuba mengelak daripada Razin. But, every time she’s talking with Razin, she will cry. Itu ke tanda dia sukakan aku?”

Adam merenung wajah Adli lama.

“Aku ingatkan kau dah matang, Lee. Rupanya belum lagi.”

Kini, giliran Adli pula merenung Adam.

“Apa maksud kau? Aku tak faham.”

Adam menarik nafas. Dia mengangkat bahu kemudiannya sambil tersenyum. Dibiarkan soalan Adli tergantung, tanpa sebarang jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience