BAB 27

Romance Completed 30249

ADRIANA menjinjing beg pakaiannya ke sebuah bilik kosong. Sewaktu mereka mendaftar sebentar tadi, rupanya ada sebuah bilik kosong yang sudah ditempah. Akhirnya Adriana mencadangkan dirinya untuk duduk di bilik itu. Mujurlah bilik itu berada dekat dengan bilik keluarganya dan bilik The Result.

Pintu bilik dikuak setelah kuncinya dibuka. Adriana tersenyum tatkala terpandangkan katil bersaiz queen di bahagian tengah bilik. Cepat-cepat pintu bilik itu ditutup kembali dan dia menghempaskan dirinya ke katil. Dinding bilik itu dicat dengan warna hijau muda, memebuatkan Adriana berasa tenang. Udara di pulau itu juga nyaman, walaupun matahari memancarkan cahaya yang agak terik. Biasalah, kalau laut mestilah panas.

Ternyata kawasan Pangkor Laut sangat menakjubkan. Dahulu, dia pernah ke Pulau Pangkor tetapi, dia dan rakan-rakannya hanya menetap di Seagull Beach Resort. Tidak sama rasanya dengan yang sekarang. Seagull juga menarik, bezanya Pangkor Laut Beach Resort betul-betul menghadap laut manakala Seagull pula berada di kawasan yang agak jauh sedikit daripada laut. Sekiranya ingin mandi laut atau bersiar-siar di pantai, pengunjung boleh berjalan kaki sahaja. Masih diingatinya lagi, ketika dia dan rakan-rakannya ke sana, rakan-rakan lelakinya gemar menghabiskan masa dengan mandi laut. Ikan-ikan laut yang comel dan berwarna-warni sentiasa bermain di gigi air. Rakan-rakan Adriana juga hebat dalam menangkap ikan-ikan itu menggunakan baju dan ada juga menggunakan tangan. Apabila berjaya menangkap ikan-ikan tersebut, pasti ikan itu akan dibebaskan kembali ke laut.

Adriana bangun dan berjalan ke arah balkoni yang terletak menghadap laut. Dia sukakan laut. Dapat dilihat beberapa buah bot mengelilingi kawasan pulau itu. Adriana tersenyum. Laut yang bewarna biru muda itu membuatnya ingin mendirikan sebuah rumah di tepi laut.

Tiba-tiba kenangannya sewaktu di Korea mengusik jiwanya, membuatkan dia tersenyum. Rumah rakan sekuliahnya yang berasal dari Korea, Kim Ji Seo terletak di Incheon. Incheon merupakan sebuah bandar yang berada betul-betul di sebelah Seoul. Incheon sebuah bandar besar yang pesat membangun. Lapangan terbang juga terdapat di Incheon. Ada juga stadium, taman-taman, bangunan-bangunan pencakar langit dan muzium di Incheon.

Apabila musim cuti tiba, pasti jejaka berbangsa Korea yang kacak itu menjemput mereka ke rumahnya. Biasalah, rumah orang Korea pasti sentiasa mencerminkan budaya mereka yang unik. Adriana memang suka dengan keadaan rumah Ji Seo. Ji Seo pula memang anak orang berada, rumahnya sangat besar, seperti dalam drama-drama Korea di televisyen. Ada ramai pembantu rumah, butler dan pengawal. Di belakang rumahnya ada kebun sayur, sama seperti rumah Hanis. Bezanya, mereka menanam kubis, salad dan sayuran lain yang beriklim sejuk seperti di Tanah Tinggi Cameron. Patutlah kulit Ji Seo dan orang Korea cantik, sebab selalu makan sayur rupanya. Setiap kali mereka ke Incheon, pasti Ji Seo akan membawa mereka ke Jeolla-do, dan mereka akan menghabiskan masa di Naejangsan.

Naejangsan merupakan sebuah gunung. ‘Naejang’ bermaksud penuh rahsia, manakala ‘san’ pula membawa maksud gunung. Pelbagai rahsia alam yang semulajadi tersimpan di situ. Sebab itulah gunung itu dinamakan Naejangsan. Jarak di antara Incheon dan Naejangsan tidaklah begitu jauh. Naejangsan adalah salah satu tempat yang menarik untuk dijadikan tempat melihat musim luruh yang dirasakan paling cantik di sana. Daun-daun maple yang berwarna merah dan kuning berguguran memenuhi setiap pelusuk tanah yang menyimpan khazanah negara itu.

Kadang-kadang mereka akan ke National Park ataupun Taman Negara Naejangsan yang masih lagi terletak dalam kawasan Jeolla-do. Di sana, pengunjung tidak pernah surut. Disebabkan itu, mereka hanya melawat Taman Negara itu beberapa kali sahaja. Panorama alam yang indah ciptaan Maha Esa dapat dilihat apabila menaiki kereta kabel yang tersedia di kaki gunung.

Kenangan paling indah buat Adriana adalah ketika mereka bercuti di Pulau Nami. Keindahan latar tempat dalam drama popular Korea, Winter Sonata membuatkan Adriana meminta Ji Seo membawa mereka ke tempat itu. Adriana sempat mengunjungi Pulau Nami setiap kali apabila perubahan musim berlaku. Laluan di mana watak utama drama itu berjalan kaki dan menaiki basikal menjadi tempat kesukaan Adriana. Dia dan rakan-rakannya turut menaiki basikal dan berjalan kaki apabila berada di sana. Di sana ada tempat di mana pengunjung boleh menyewa basikal.

Pokok-pokok besar ditanam sepanjang laluan itu. Apabila musim luruh singgah, pasti pokok-pokok itu akan botak. Tetapi apabila musim panas dan musim bunga mengambil tempat, daun-daun pokok akan mula tumbuh dan menghijau. Pokok ditanam dengan banyak sekali di kawasan Pulau Nami. Indah sungguh pulau itu. Cuaca di sana sentiasa baik dan udaranya juga sangat segar. Pokok-pokok bunga yang ditanam di sana sentiasa berkembang mekar pada setiap musim bunga. Ada beberapa buah kanopi seolah-olah milik Orang Nomad juga ada dibina menggunakan jerami-jerami kering. Meja kayu dan pangkin yang terdapat dalam drama itu masih ada di sana dan juga patung ataupun tugu Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo juga dibina sebagai tanda kenangan. Drama tersebut rasanya banyak membantu Korea menambahkan bilangan pengunjung saban tahun. Dia tidak sempat mengunjungi Pulau Nami bersama dengan Razin walaupun dia pernah berazam ingin membawa bakal suaminya ke sana, menghayati suasana romantik, suatu hari nanti.

Biarpun Pulau Nami adalah tempat kesukaan Adriana, kenangan di Pulau Jeju juga tidak dapat dilupakan. Pulau Jeju merupakan tempat di mana drama Spring Waltz dilakonkan ketika dua watak utama masih kecil. Bunga-bunga berwarna kuning kembang mekar apabila musim bunga tiba. Ladang-ladang limau banyak di tanam di sana. Sempatlah dia ke ladang-ladang limau tersebut dan memetik limau-limau itu dengan tangannya sendiri. Tetapi, itulah kali pertama dan terakhir Adriana ke Pulau Jeju, sewaktu musim bunga.

Selama lebih empat tahun di Korea, Adriana selalu mengunjungi tempat-tempat terkenal di sana. Itulah kelebihan mempunyai sahabat dari negara itu sendiri. Setiap pelusuk tanah di Korea Selatan itu sudah dijelajahi. Berkali-kali mereka menghabiskan masa di tempat kegemaran mereka, termasuklah Pulau Nami, Jeolla-do, Naejangsan, Busan serta kawasan membeli-belah yang sangat terkenal di kalangan pelancong asing mahupun penduduk di sana, iaitu Dongdaemun dan Namdaemun. Sebut sahaja apa yang mereka inginkan, pasti ada. Di sana, segala keperluan asas ada dijual dan harganya juga murah. Tidak hairanlah mengapa Dongdaemun menjadi pilihan untuk dijadikan tempat membeli cenderamata.

Indahnya kenangan itu. Pernah suatu hari Adriana dan rakan-rakannya gagal turun dari Naejangsan kerana hari sudah lewat malam. Maka, terpaksalah mereka bermalam di sebuah rumah milik penduduk kampung di Jeolla-do. Sampai sahaja di kawasan rumah di perkampungan itu, Adriana ternganga. Rupanya tidak ubah seperti tempat-tempat yang ada dalam drama Korea, seperti Tamra The Island. Tidak disangkanya, kampung-kampung seperti itu memang wujud. Sungguh! Dia jatuh cinta dengan kawasan perkampungan di sana. Orang Korea memang peramah dan baik hati. Tidak menjadi masalah untuk Adriana berkomunikasi dengan mereka. Yang berbeza hanya dialek ataupun loghat sahaja. Ada dialek Busan, Jeolla-do dan sebagainya yang mengikut tempat. Sama sahaja seperti di Malaysia. Ada loghat Perak, loghat Kelantan, loghat Negeri Sembilan dan sebagainya.

Baru sahaja Adriana ingin duduk di kerusi malas yang memang tersedia di balkoni itu, telefon bimbitnya menjerit-jerit memanggil namanya. Adriana berlari mendapatkan telefonnya. Ibu rupanya.

“Assalamualaikum. Kenapa,Bu?” tanya Adriana.

“Kami semua dah turun bawah ni. Nak makan. Cepat trurun,” jawab Datin Maznah setelah salam anaknya dijawab.

“Alaaa.. Yana tak nak makan. Petang sikit, baru Yana turun. Okey?”

“Yana tak lapar ke? Ni dah sampai waktu makan tengah hari,” tokok Datin Maznah.

“Tak naklah Ibu. Nanti Yana makan, okey? Yana nak tidur dulu before solat Zuhur,” balas Adriana.

“Betul ni, tak nak makan? Kalau macam tu, Ibu carilah apa-apa, belikan untuk Yana ya?”

Datin Maznah mematikan panggilan. Adriana tersenyum. Ibunya memang begitu. Tidak pernah lupa akan anak-anak. Sudah makan atau belum. Sekiranya belum, dia pasti akan membelikan sesuatu untuk anak-anaknya. Lagu Dear Mom nyanyian kumpulan Girls’ Generation dari Korea mula terngiang-ngiang di telinga. Benar, suara ibu yang bertanyakan adakah anak mereka sudah makan adalah sesuatu yang menggembirakan. Suara seorang ibu mampu membuat hari yang meletihkan bertukar menjadi hari yang membahagiakan.

Adriana masih lagi tersenyum. Dia berbaring di katil itu sekali lagi. Perjalanan yang jauh membuatkan dia penat. Disebabkan itu, beberapa saat kemudian, dia hanyut dibuai mimpi.

MALAM itu, mereka beramai-ramai duduk di tepi laut, menghadap unggun api. Ibu bapa Adriana, Danial dan Adli awal-awak lagi sudah surrender. Mereka lebih gemar dan duduk berbincang tentang perniagaan, politik dan ekonomi semasa.Julia dan Syakira juga memilih untuk duduk di bilik.

“Malam ni, kita main ‘honest words’. Biasanya main ‘spinning bottle’, right? Tapi kali ni, kita guna batang mancis,” Danial bersuara setelah kesemua peminat sudah duduk membentuk bulatan.

Mereka yang lain hanya bersorak. Orang yang memegang batang mancis ketika mancis padam, orang itulah yang harus menjawab soalan yang diberikan. Sekiranya The Result yang terkena, maka mereka akan menjawab pertanyaan peminat dan jika sebaliknya, The Result yang akan bertanyakan soalan kepada peminat. Danial menghidupkan batang mancis dan mancis itu bergerak dan terhenti pada salah seorang peminat lelaki.

Danial mula bertanya soalan kepada peminat itu. Permainan itu diteruskan dan dihabiskan tepat jam dua belas setengah malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience