BAB 22

Romance Completed 30249

ADLI meletakkan kereta di tempat letak kereta yang masih kosong. Nampaknya sudah ramai pengunjung pada waktu-waktu begini. Jam tangan dikerling. Hampir jam tiga petang. Sudah banyak kereta yang keluar masuk daripada kawasan riadah itu.Maklum sajalah, hari minggu begini, pasti ramai orang yang datang ke tempat-tempat rekreasi untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

“Jom,” ujar Adli.

Adriana cuma mengikut langkah Adli. Ramai kanak-kanak yang sedang bermain di gigi air. Apabila ombak kecil datang menghampiri, mereka berlari semula ke kawasan yang tidak terkena air. Apabila air kembali ditarik ke laut, mereka berlari ke air. Tidak ketinggalan juga orang dewasa. Mereka turut melakukan perkara yang sama. Adli dan Adriana menghampiri pantai.

“Nak naik banana boat?” soal Adli. Bibirnya dimuncungkan ke arah beberapa orang lelaki dan perempuan yang sedang menaiki banana boat.

“Tak naklah. Seram. Dahlah tak ada baju,” jawab Adriana.

Adli tertawa. Takutlah tu, bisiknya dalam hati.

“Kalau ada baju, nak naik tak?” tanya Adli lagi.

“Tak nak.Menakutkan. Nanti pengsan, macam mana?” balas Adriana. Matanya terarah pada bot yang berbentuk roket itu. Jeritan mula terdengar di saat bot itu mula bergerak. Adriana tersenyum.

“Penakut,” ejek Adli.

“Mana adalah. Gayat,” Adriana menjelirkan bibir.

“Kalau bukan penakut, jomlah try. Baju banyak jual kat sini,” Adli mula menyakat Adriana.

“Tak nak tu, tak naklah.”

Adriana berjalan mengundur, menjauhi Adli. Seperti apa yang disangkanya, Adli mula mengejarnya. Laju sahaja langkahnya diatur untuk mendapatkan Adriana. Adriana semakin pantas berlari, meninggalkan Adli.

“Okay, okay. Tak,” Adli menghentikan langkahnya.

“Elehh! Kau tipu. Ingat aku nak percaya?” Adriana berlari lagi.

Di saat dia ingin berpaling, kakinya terlanggar kayu mati yang terdampar di pantai. “Aduhhh!” jeritnya.

Cepat-cepat Adli menghampiri Adriana. Kerisauan jelas terpancar pada riak mukanya. Kasut tumit tinggi Adriana dibukanya. Nasib baik tiada yang tercedera. Adli mengeluh lega.

“Tu la.. lain kali, kalau jalan-jalan kat pantai, jangan pakai kasut tumit tinggi. Bahaya,” pesan Adli. Kedua-dua belah kasut Adriana ditanggalkan. Adriana yang masih terduduk di atas pasir hanya memerhati. Perlahan-lahan dilipatnya kaki seluar sebelah kiri Adriana.

“Hey, kau buat apa ni?” Adriana menguis pasir dengan kakinya.

“Diam jelah. Ni namanya nak enjoy berjalan kat pantai,” balas Adli tersenyum. Dia mengangkat kepala, menatap wajah Adriana. “Kaki kanan, please,” ujarnya lagi.

Adriana cuma menurut. Kaki kanannya dihulurkan kepada Adli. Sama seperti tadi, Adli melipat hujung kaki seluar Adriana separas betis, namun tidak terlalu tinggi. Setelah selesai dengan kaki seluar Adriana, dia beralih pula pada kaki seluarnya. Dia bangun. Tangannya dihulur pada Adriana. Adriana terkebil-kebil.

“Kau ni kenapa?” tanya Adli. Dia ketawa besar melihat wajah Adriana.

“Tak ada apa-apa!”

Adli menarik tangan Adriana memandangkan Adriana masih duduk membatu. Membantunya untuk bangun. Kasutnya dan kasut Adriana dicapai.

“Nah!” kasut Adriana dihulurkan kembali.

Entahlah. Cuma Adli sahaja yang dibenarkan menyentuh tangan mahu pun kakinya. Bukan Razin. Adriana menyambut kasutnya daripada tangan Adli.Mereka berjalan beriringan ke gigi air. Mereka berjalan sehingga ke bahagian hujung di mana kawasan terakhir yang ada pengunjung. Tidak mahu berjalan lebih jauh. Mereka kembali ke tempat di mana sebelum mereka menuju ke pantai. Setelah membayar harga sewa kerusi di situ, Adriana dan Adli duduk berehat. Gelagat manusia yang sedang mandi-manda, berkelah dan bermain-main di pantai menarik perhatian mereka. Loceng dari penjual ais krim yang melalui mereka membuatkan Adli dan Adriana saling berpandangan.

“Nak ais krim?” tanya Adli.

Adriana diam. Dia mengangguk. Lagaknya seperti kanak-kanak. Adli tersengih. Comel betul si Yana ni!

Adli menghampiri seorang lelaki yang menjual ais krim dengan menaiki basikal itu. Mujurlah lelaki itu menaiki basikal, tidak perlulah dia berlari demi membeli ais krim. Adli membetul-betulkan kaca mata hitamnya dan snow cap yang terletak elok di kepala. Adriana hanya memerhati.

“Nak beli ais krim ke dik?” lelaki yang berbasikal itu turun dari basikalnya. Basikalnya ditongkat. Penutup bekas penyimpan ais krimnya dibuka.

“Saya nak Cornetto. Dua. Dua-dua vanila,” balas Adli sopan.

Pantas sahaja tangan lelaki mengeluarkan dua ais krim kon. Disuakan kepada Adli. Adli menyambut sambil tersenyum. Beg duitnya dikeluarkan dari kocek seluarnya.

“Berapa ya?” soal Adli pula.

“Lima ringgit dua puluh sen,” jawab lelaki itu.

Adli membayar harga ais krim itu. Baru sahaja dia ingin melangkah pergi, kelihatan ramai pengunjung datang ke arah mereka. Belum sempat lelaki itu menutup bekas penyimpan ais krimnya, mereka meminta ais krim yang berbagai jenis.

Adli menghulurkan satu ais krim kepada Adriana. Perlahan-lahan dibukanya kertas pembalut ais krim itu. Adriana juga melakukan perkara yang sama.

“Untung kalau jual ais krim kat sini,” tutur Adriana setelah ais krim berperisa vanila itu melalui kerongkongnya.

“Ha’ah. Biasalah, laut. Panas-panas mesti nak ada ais,” balas Adli. Dia leka dengan hamparan biru yang menyimpan pelbagai rahsia di dalamnya.

Adriana kembali tertarik untuk menatap wajah kacak di sebelahnya.

“Adli.. aku nak tanya sikit. Boleh?” soal Adriana.

“Tanyalah,” Adli masih belum mengalihkan pandangan matanya.

“Kau.. kau tak ada girlfriend ke?”

Adli memalingkan wajah. Ada senyuman di bibirnya. Macam mana nak ada girlfriend kalau muka kau asyik muncul je. Hari-hari kau muncul. Dalam tidur aku, dalam jaga aku, jawab Adli dalam hati.

“Laa.. macam mana nak ada girlfriend. Kau dah ada. Tak payah cari jauh-jauh. Nak jadi girlfriend aku?” tanya Adli pula.

Adriana mencebik. Gila! Wajah Adli yang tersenyum mengusik dijeling.Mata Adli masih melekat pada wajah mulus Adriana. Entah mengapa, setiap kali matanya jatuh pada seraut wajah itu pasti jantungnya berdegup lebih kencang daripada biasa. Dahulu, dia tidak pasti. Kini dia sudah benar-benar yakin. Yakin akan cintanya terhadap Adriana.

“LAPARNYA!” Adli mengurut-urut perut. Kepalanya ditunduk-tunduk melihat keluar melalui tingkap kereta Adriana. Sesekali dia kembali fokus pada pemanduannya.

“Ha’ah. Aku pun. Lapar,” Adriana juga turut merasakan perkara yang sama. Dia juga ikut meninjau di bahagian luar kereta. Jam di dashboard dikerling sekilas. Sudah hampir jam lima suku petang. Sebelum mereka bergerak dari Lumut tadi, mereka sempat menunaikan solat di masjid.

“Itulah. Tadi tak nak makan dulu. Kalau tahulaj nak lapar macam ni, sure aku bawak kau makan dulu. Ni dah lepas Manjung dah ni. Mana nak cari tempat makan? Aku tak nampak pun,” Adli masih lagi mencari-cari kedai makan yang berhampiran.

Adriana menghalakan bola matanya pada wajah Adli. Satu butang yang berada berhampiran dengan radio di dashboard keretanya ditekan. Perlahan-lahan, bumbung kereta mula terbuka. Adli menoleh ke arah Adriana. Tawanya pecah.

“Lahhhh.. tak teringat langsung,” ujar Adli setelah tawanya reda. “Aku ingatkan kereta aku tadi.”

“Masalahnya sekarang ni, aku pun lupa,” balas Adriana. Dia masih tersenyum.

Dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Serta-merta dia terpandangkan satu bungkusan di tempat duduk belakang. Dicapainya plastik itu. Ada tupperware berwarna hitam di dalamnya. Besarnya bekal! Adli cuma memerhati sekejap-sekejap. Penutup bekal itu segera dibuka. Ada beberapa jenis buah yang siap dipotong disusun memenuhi bekas itu. Ada juga diselitkan dua lidi pencucuk. Diambilnya sepotong tembikai, lalu dimasukkan ke dalam mulut. Manis! Adriana tersenyum. Diambil satu lagi lidi dan sepotong tembikai dicucuk dengan lidi itu. “Nah!” lidi itu disuakan kepada Adli.

“Aaaa..” Adli membuka mulut.

Adriana mengerutkan dahi.

“Ambil ni,” katanya geram.

“Macam mana nak makan? Aku tengah fokus memandu ni. Karang accident, tak pasal-pasal je,” balas Adli. Idea nakalnya mula mencucuk saraf otaknya.

“Suapkan,” ujarnya lagi.

Adriana mengeluh. Sejak bilalah si Adli ni jadi manja macam ni? Or.. nak manja-manja dengan aku? Melihatkan Adli yang masih menganga itu, akhirnya Adriana mengalah. Sepotong tembikai mendarat di bibir Adli dengan selamat.

“Nanti dah sampai KL, kita pergi makan dulu,” kata-kata Adli membuatkan Adriana mengangguk. Tidak sabar rasanya ingin baring di atas katilnya yang empuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience