BAB 33

Romance Completed 30249

ADLI berjalan perlahan-lahan ke dalam banglo dua tingkat milik Datuk Abdul Aziz. Semalam, Adriana ada mengajaknya ke rumah. Memandangkan Adli tiada kerja yang mahu dilakukan, dia ke rumah Adriana. Pasti Adrian dan Datuk Abdul Aziz ada di rumah. Maklum sajalah, hari Sabtu. Biasanya mereka akan duduk di rumah atau pun keluar bermain golf dan menunggang kuda dengan rakan-rakan perniagaan mereka. Biasalah, orang korporatlah katakan.

Adli tersenyum apabila terpandangkan Adrian dan Adriana sedang duduk di ruang rehat di bahagian kanan rumah itu. Tempat yang menjadi tempat dia berlari-lari dengan Adriana selepas keluarga Adriana membuat kenduri kesyukuran setelah dia pulang ke Malaysia.

Kelihatan Adriana duduk di kerusi sambil melunjurkan kakinya. Dia sedang membaca majalah dengan kepalanya diletakkan pada bahu Adrian. Adrian pula duduk bersandar pada kerusi sementara dia sibuk membaca surat khabar. Sesekali kedengaran mereka berdua ketawa. Pasti Adriana sedang mereka cerita lawaknya. Sudah lama Adrian tidak ketawa seperti itu. Setelah kepulangan Adriana ke tanah air, barulah Adrian nampak lebih ceria.

“Nak Kak Tijah panggilkan Yana?” suara pembantu rumah itu membuatkan Adli tersedar dari lamunannya.

“Eh, tak apalah Kak. Biar Adli pergi sendiri,” balas Adli sambil tersenyum.

Khatijah mengangguk dan berlalu ke dapur. Adli berjalan ke arah dua beradik itu.

“Assalamualaikum,” sapa Adli.

“Waalaikumussalam,” jawab Adrian dan Adriana serentak.

“Eh, Lee. Bila sampai?” Adrian bersalaman dengan Adli.

Adriana masih sibuk dengan majalahnya. Adrian menggerakkan bahu beberapa kali sebelum Adriana duduk menegak.

“Sibuk je datang sini. Nak apa?” gurau Adriana. Dia tersengih apabila Adli mencebik.

“Baru je sampai. Semalam ada orang call aku. Suruh datang sini. Rindu aku agaknya. Tu yang aku datang tu. Eh, mana parents korang?”

Adli mengambil tempat di sebuah kerusi yang berhadapan dengan Adrian.

“Abah aku ikut Ibu aku ke pasar. Nak beli barang. Siapa yang call kau? Yang pasti bukan aku. Kes rindulah tu. Bila depan mata, nak bergaduh je,” Adrian membalas usikan Adli. Matanya dilirikkan ke arah adiknya yang satu itu.

Adriana berpura-pura tidak mendengar. Sehelai demi sehelai kertas diselak. Khatijah kembali datang dengan menatang air dan sedikit snek.

“Kak Tijah ya, yang call Adli suruh datang?”

Adrian dan Adli tergelak. Macam-macam si Yana ni. Mengaku jelah. Apa yang susah sangat? Kesian Kak Tijah.

“Tak adalah. Bukan Yana ke? Manalah Kak Tijah berani usik bakal suami Yana. Takut nak berebut dengan Yana,” balas Khatijah sambil tersenyum.

“Kak Tijah ni.. memandai je. Mana ada Yana nak kahwin dengan Adli,” marah Adriana. Bibirnya dimuncung-muncungkan. Mereka yang berada di situ ketawa sekali lagi.

“Betullah apa Kak Tijah cakap tu, Yana. Dengan siapa aku nak kahwin kalau bukan dengan kau?” tambah Adli setelah Khatijah kembali ke dapur.

Adriana mencebik. Lagaknya seperti jijik mendengar kata-kata Adli. Adrian pula tidak menyampuk sebaliknya hanya tersenyum-senyum melihat telatah Adli dan adiknya.

“Lee, kau hantar je rombongan. Abah dengan Ibu aku pun suka dengan kau. Family kau kitorang dah kenal sangat. Dah lama korang berkawan. Yana tak boleh cakap apa-apa. Mesti jadi punya,” sampuk Adrian. Matanya nakal menjeling Adriana. Menunggu reaksi Adriana.

“Tak naklah. Abang ni. Supportlah Yana. Back up, back up. Ni tak, lagi kuat usik Yana. Malaslah layan!”

Adriana sudah mula merajuk. Dalam hati, dia tergelak suka. Semakin hari, semakin kuat pula rasa sayangnya terhadap penyanyi yang bersuara serak-serak basah itu.

“Merajuklah pulak. Nah. Minum,” Adrian menghulurkan gelas yang berisi sirap sejuk.

Adriana tersengih, menampakkan barisan giginya yang cantik dan tersusun rapi.

“Macam tu je nak pujuk kau? Senangnya,” celah Adli. Dia gembira dengan tingkah laku Adriana. Walaupun sudah dewasa, dia masih manja dan bersikap kebudak-budakan.

“Tak adalah. Dengan Abang Adrian, aku bagi advance. Tak boleh nak merajuk lama-lama. Nanti tak ada siapa nak pujuk. Lainlah kau. Memang patut aku merajuk kaw-kaw. Baru best,” jawab Adriana sambil meletakkan gelas ke meja.

Adli mengerling Adriana sekilas. Adrian tersenyum buat kesekian kalinya. Kalau cinta, jangan kacau. Kalau sayang, tak perlu marah. Adli ni takut nak berterus-terang. Kalau suka, cakaplah suka. Yana? Main tarik tali. Eloklah tu!

SYAHMI duduk di tempat yang masih kosong. Kelihatan beberapa orang pelajar lain juga sedang duduk di pondok menunggu bas itu. Ada yang menunggu bas tiba dan ada juga yang menunggu keluarga mereka datang menjemput. Syahmi baru sahaja habis kelas tambahan. Setelah Fairuz, Iskandar dan Affandi pulang, Syahmi menelefon Adli dan meminta Adli datang menjemputnya. Syahmi bersandar pada dinding. Matanya meliar memerhatikan kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang.

“Assalamualaikum.”

Syahmi mengangkat wajah. Salam lelaki yang berkemeja putih lengan pendek itu disambut mesra walaupun dia tidak kenal akan lelaki itu.

“Nama pak cik, Salim. Pak cik selalu nampak anak ni dekat sekolah ni. Anak sekolah dekat sini ke?” soal lelaki itu ramah.

Syahmi tersenyum.

“Nama saya Syahmi. Ha’ah, pak cik. Saya sekolah dekat sini. Pak cik jemput anak pak cik ke? Dia tingkatan berapa?” Syahmi pula yang bertanya.

“Tak adalah. Pak cik selalu singgah sini, makan dekat warung sana tu. Selalulah pak cik nampak anak ni. Hari ni hari Sabtu, kan? Ada sekolah ke hari ni?”

“Hari ni ada kelas tambahan. Sebab tahun ni saya SPM, pak cik. Kenalah pergi kelas tambahan. Tapi, bukannya selalu. Kadang-kadang je,” balas Syahmi. Senyum di bibirnya tidak pernah lekang. Wajahnya manis mengukirkan senyuman buat lelaki itu.

Pak Cik Salim mengangguk. Jika benar anak muda ini orangnya, dia telah membesar dengan baik. Sopan dan berbudi bahasa. Dia tidak lokek memberikan senyuman dan berbual dengan orang yang datang menegurnya. Wajahnya juga betul-betul seiras dengan seseorang yang dikenalinya. Bezanya, Syahmi kurus, tinggi dan berkulit cerah. Kulitnya putih bersih. Sudah hampir tiga bulan Pak Cik Salim memerhatikan Syahmi. Setelah yakin dia orangnya, Pak Cik Salim datang dan menegur Syahmi.

“Anak tunggu siapa? Kalau tunggu bas, pak cik boleh terus hantarkan anak ke rumah,” pelawa Pak Cik Salim lagi.

“Eh, tak apalah pak cik. Saya tunggu abang saya. Kejap lagi dia datang. Dia nak tunggu sampai semua orang dah tak ada.”

Pak Cik Anuar mengerutkan dahi. Mengapa pula begitu? Abangnya? Siapa? Dia difahamkan Syahmi ada dua orang abang. Hasif dan Adli. Tetapi, tidak pernah pula dia bertemu dengan mereka.

“Anak ada berapa orang adik-beradik?”

“Ada tiga, pak cik. Tiga-tiga lelaki. Saya yang bongsu.”

Syahmi masih tersenyum dan sabar menjawab pertanyaan dari lelaki yang tidak dikenalinya itu. Beberapa saat kemudian, bas Rapid KL berhenti betul-betul di hadapan pondok itu. Semua pelajar yang berada di situ mula bergerak dan beratur memasuki bas. Bas itu mula meluncur membelah jalan raya.

“Anak tinggal dengan siapa?” tanya Pak Cik Salim. Peramah sungguh.

“Tinggal dengan emak, abang dengan anak isteri dia. Sekali dengan abang yang nak datang ambil kejap lagi.”

Pak Cik Salim mengangguk.

“Ayah anak?”

Syahmi mengetap bibir. Hai pak cik.. tanyalah soalan lain. Kenapa perlu tanya soal bapak aku pulak ni?

Nasib Syahmi baik. Sebuah Toyota Lexus berhenti betul-betul di hadapan mereka. Adli menurunkan cermin kereta. Dia mengangkat kepalanya dan berpaling ke kiri, mengisyaratkan agar Syahmi masuk ke kereta. Sempat Adli tersenyum dan mengangkat tangan pada Pak Cik Salim. Pak Cik Salim turut melakukan hal yang sama.

“Pak cik, abang saya dah sampai. Saya nak balik dululah. Assalamualaikum.”

Syahmi berlalu setelah bersalaman dengan Pak Cik Salim. Pak Cik Salim mengangguk perlahan. Jadi, inilah abangnya. Mungkin abang kedua. Nampak muda. Seketika kemudian, Pak Cik Salim bergerak ke kereta dan menghidupkan enjin.

TAN SRI KAMAL membelek-belek fail yang berada di tangannya. Kontrak dengan Empire Holdings untuk pembinaan pangsapuri di Bangi. Terasa kerdil dirinya jika ingin dibandingkan dengan pemilik Empire Holdings yang kaya-raya tetapi merendah diri itu. Jika ingin dibandingkan dengan syarikat-syarikat lain yang membina bangunan-bangunan di seluruh Malaysia ini, syarikatnya tidaklah segah mana. Ada banyak syarikat yang lebih baik daripada syarikatnya. Tetapi, Datuk Abdul Aziz bersetuju dengan permintaan Tan Sri Kamal untuk membina bangunan tersebut.

Fikirannya mula menerawang, teringatkan kisah silamnya. Imah, maafkan Abang. Abang tak mampu jadi bapa dan suami yang baik untuk Imah dengan anak-anak kita. Tapi, Imah tak pernah merungut. Imah besarkan anak-anak kita seorang diri. Abang bangga dengan Imah. Abang rindukan Imah dengan anak-anak.

Tan Sri Kamal ataupun nama sebenarnya Ahmad Kamaruzzaman Ishak ada meminta pemandunya, Salim untuk mencari anak-anaknya. Lebih dua bulan lalu, Salim memberitahunya bahawa dia telah mengetahui serba sedikit tentang anak-anak Puan Halimah. Ya, anak-anaknya. Anak-anak yang ditinggalkan berbelas tahun dulu. Disebabkan itu, dia meminta Salim agar meneruskan kerjanya untuk mengambil tahu di mana rumah Puan Halimah, keadaan anak-anaknya serta kehidupan Puan Halimah.

Biarpun Tan Sri Kamal sudah memiliki keluarga baru, rasa itu tidak akan sama. Walaupun ketiga-tiga anak Puan Sri Mariam dijaga seperti anak sendiri, mereka tetap anak-anak tirinya. Sungguh dia rindu akan anak-anaknya. Jika tidak dek rasa tamak, pasti dia sedang berbahagia bersama isteri dan anak-anak tersayang.

Pintu biliknya diketuk seseorang.

“Masuk!”

Kelihatan Salim membuka pintu biliknya dan masuk ke dalam.

“Tuan, saya ada berjumpa dengan Syahmi. Baru sekejap tadi. Kebetulan dia tengah menunggu abang dia, Adli,” ujar Salim tanpa menunggu disoal. Dia duduk seperti yang diarahkan majikannya.

“Betul awak ada berjumpa dengan Syahmi? Ada jumpa Adli?” soal Tan Sri Kamal. Dia benar-benar ingin tahu akan keadaan anak-anaknya.

“Ya, tuan. Baik budaknya. Berbudi bahasa, hormat dengan saya, sopan. Saya banyak tanya, tapi sabar je dia jawab apa yang saya tanya tu. Saya dapat tengok muka Adli sekejap je. Dia dalam kereta. Itu pun dia bukak cermin kereta.”

Salim menghulurkan sebuah majalah kepada Tan Sri Kamal. Tan Sri Kamal mencapai majalah itu. Muka surat yang bertanda diselak. Ada juga tiga keping gambar seorang lelaki muda yang berpakaian kasual.

“Ini Adli ke?” soal Tan Sri Kamal. Anaknya yang ini pun sudah besar panjang.

Mata Tan Sri Kamal mula meneroka isi kandungan muka surat tersebut apabila soalannya dijawab dengan anggukan Salim. Matanya tertancap pada wajah yang tadinya sama dengan orang yang berada dalam gambar yang diberikan oleh Salim. Penyanyi rupanya. Tan Sri Kamal mengangguk kecil. Dibacanya kisah anak keduanya itu dengan rasa pedih dalam hati, akibat rasa menyesal yang tidak berpenghujung.

Alhamdulillah. Akhirnya Hasif dengan adik-adik boleh balas jasa emak kamu, bisik Tan Sri Kamal dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience