BAB 32

Romance Completed 30249

DANIAL berbaring di katil. Sejak tiga bulan yang lalu, bilik yang besar ini dihuninya bersama Alif dan Rayyan. Si kembar berdua itu dilayan seperti adik-adiknya sendiri. Ibu bapanya juga suka dengan Alif dan Rayyan. Walaupun begitu, Danial tidak menaruh perasaan cemburu terhadap mereka berdua. Mereka anak yatim piatu, tiada tempat bermanja. Sejak kecil lagi mereka tidak mendapat kasih sayang. Hidup mereka susah. Dihina dan dikeji oleh saudara-mara sendiri. Di pentas, mereka nampak hebat. Kacak dan berbakat. Tetapi, dalam alam nyata, mereka cuma dua beradik kembar yang masih belajar dan tidak terkecuali daripada masalah.

Benar kata orang. Apabila duduk sebumbung, barulah orang semakin mengenali. Danial tidak tahu mengapa Alif dan Rayyan dibenci seteruk itu. Mereka baik, menghormati orang tua dan tidak banyak karenah. Apa yang dimakan Danial, itulah juga yang mereka makan. Tidak pernah mereka meminta-minta. Segala perbelanjaan belajar, mereka sendiri yang uruskan. Bagi mereka, dapat menumpang sudah cukup bagus.

Danial menilik jam di pergelangan tangan kirinya. Sudah pukul sepuluh empat puluh minit pagi. Alif dan Rayyan sudah ke kuliah. Kata mereka, mereka akan pulang jam sebelas pagi. Danial memejamkan mata. Baru beberapa saat matanya pejam, dia mendengar loceng rumah dibunyikan. Sekali. Dua kali. Senyap. Mungkin ibunya sudah membuka pintu. Danial menghela nafas. Bilik tidurnya sekali lagi diamati.

Sejak mereka tinggal di rumah itu, bilik Danial dibaikpulih dan dibesarkan sedikit. Dua buah katil bujang ditambah di dalam bilik itu. Almari menyimpan pakaian pula, bertambah besar. Ada juga meja study yang tersedia. Danial tersenyum.

“Danny..”

Pintu bilik dikuak dari luar. Kelihatan Puan Zara berdiri di muka pintu.

“Ya, Mak?”

“Ada peguam datang. Katanya nak jumpa Alif dengan Rayyan. Mak kata diorang ke kelas. Danny tolong cakap dengan peguam tu, ya?”

Danial menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Peguam? Alif dengan Rayyan ada buat salah ke? Kenapa ada peguam yang nak berjumpa dengan mereka?

Danial bingkas bangun dan mengekori ibunya dari belakang. Sampai sahaja di ruang tamu, kelihatan seorang lelaki yang mungkin berusia dalam lingkungan lima puluhan sedang duduk dengan beberapa helai kertas di tangan. Cermin matanya dibetulkan letaknya.

“Assalamualaikum, Encik. Saya Danial. Kawan Alif dan Rayyan,” sapa Danial sambil menghulurkan tangan kanannya.

“Waalaikumussalam. Saya ni peguam keluarga Alif dan Rayyan.Nama saya Rashid,” balas Encik Rashid sambil menyambut tangan Danial.

“Boleh saya tahu tujuan Encik Rashid datang ke sini? Alif dengan Rayyan ada buat salah ke?” soal Danial, sopan.

“Oh.. tak adalah. Saya ni peguam keluarga mereka. Cuma nak bersua muka dengan mereka. Dah lama saya mencari Alif dengan Rayyan. Tak juga jumpa. Tak sangka dah jadi penyanyi,” ujar lelaki itu. Kagum dengan dua beradik itu.

“Oh.. ni.. Encik Hamdan yang hantar Encik Rashid ke?” tanya Danial lagi.

Encik Rashid ketawa kecil.

“Tidak. Saya datang bukan bagi pihak mereka. Tapi, bagi pihak arwah ibu bapa Alif dan Rayyan. Allahyarham Tuan Asmadi dan Allahyarhamah Puan Harlina. Mereka nak saya datang selepas Alif dan Rayyan berusia lapan belas tahun. Dah lebih setahun saya cari mereka. Nasib baiklah saya dapat berjumpa dengan mereka.”

Danial mengangguk. Tetapi, atas urusan apa?

“Boleh saya tahu untuk apa? Selama ni Alif dan Rayyan dibesarkan oleh ibu saudara mereka, dan kami langsung tak tahu apa-apa fasal arwah kedua ibu bapa Alif dan Rayyan. Maaflah kalau saya ni menyibuk, masuk campur dalam urusan ni. Tapi, saya dah anggap diorang macam adik-adik saya. Lagipun, diorang tinggal dengan saya sekarang ni,” Danial bersuara tenang.

“Eh, tak adalah. Saya faham. Saya cuma nak sampaikan wasiat terakhir keluarga Tuan Asmadi. Dua puluh tahun dulu, saya berkhidmat dengan keluarga Tuan Asmadi. Sebagai peguam keluarga. Semua hal berkaitan harta saya yang uruskan. Sebelum Tuan Asmadi meninggal dunia disebabkan sebuah kemalangan, dia sempat tandatangan wasiat penurunan harta untuk warisnya. Warisnya mereka berdua. Alif dan Rayyan. Sebab itulah saya ke sini.”

Harta? Adakah ini bermaksud Alif dan Rayyan dilahirkan dalam keluarga kaya atau kenamaan? Bukankah menurut Alif, Puan Suraya mengatakan mereka miskin? Tiada langsung harta buat mereka. Bahkan, sebuah tanah sekangkang kera pun tidak menjadi milik mereka.

“Puan Suraya cakap, arwah ibu bapa Alif dan Rayyan tak ada tinggalkan apa-apa,” jelas Danial sambil mengurut-urut dagunya.

“Kalau boleh, saya nak minta tolong dengan Danial. Boleh?” tanya Encik Rashid pula.

“InsyaAllah. Tapi, tolong apa?”

“Macam ni. Dua bulan lepas, saya ada ke rumah Encik Hamdan. Katanya, dia tak tahu ke mana Alif dan Rayyan pergi. Walhal, dialah yang sepatutnya menjaga Alif dan Rayyan sehingga wasiat ni sampai pada tangan mereka berdua. Yang saya hairankan, kenapa Alif dan Rayyan berada di sini? Apa yang sebenarnya berlaku?” Encik Rashid bertanya lagi, cuba mendapatkan kepastian.

Danial menarik nafas panjang.

“Saya sanggup buat apa saja demi adik-adik saya. InsyaAllah, saya akan bantu,” jawab Danial yakin.

Encik Rashid tersenyum tatkala mendengar jawapan Danial. Pasti ada yang tidak kena. Jika tidak, masakan Suraya berkata sedemikian? Bukankah dia sudah ditinggalkan sebilangan wang untuk membesarkan Alif dan Rayyan?

“Assalamualaikum,” Alif dan Rayyan memberi salam serentak.

Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Langkah mereka mati di saat terpandangkan Danial dan seorang lelaki sedang duduk di ruang tamu.

“Alif, Rayyan. Ada orang nak jumpa kamu tu. Pergilah,” tegur Puan Zara.

Puan Zara yang masih cantik dan memiliki wajah persis pelakon wanita cantik Aida Aris berlalu ke dapur setelah menepuk bahu Alif dan Rayyan. Rayyan menoleh, mencari wajah abang kembarnya. Alif menjungkit bahu. Mereka kemudiannya berjalan ke arah Danial dan Encik Rashid.

ADRIANA melarikan anak matanya pada setiap kawasan taman yang cantik, ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan bungaan. Baru tadi dia membantu ibunya menanam anak pokok bunga matahari di dalam pasu-pasu bersaiz sederhana besar. Ibunya sedang sibuk menyemai benih orkid ke dalam pasu yang diletakkan sedikit arang serta serpihan pasu-pasu yang pecah dengan bantuan dua orang tukang kebun.

Menurut ibunya, lebih baik diletakkan arang. Dia tidak pasti mengapa kerana sewaktu ibunya menerangkan kepentingan arang untuk orkid, dia sibuk menghidu bau harum bunga dari pokok-pokok orkid yang lebat berbunga. Orkid tidak mengeluarkan bau yang kuat. Ada pelbagai jenis orkid yang ditanam dan sudah pasti berwarna-warni. Ibunya membuat rak khas untuk menempatkan orkid-orkid kesayangannya. Di sebelah kiri dan kanan pondok orkid itu, pokok-pokok bunga mawar berbunga merah jambu ditanam rapat-rapat.

Adriana memandang pula ke arah air terjun buatan yang kecil berhampiran dengan pagar rumah. Ada banyak ikan koi yang dibela di situ. Saiznya pula, besar-besar. Pelbagai jenis bunga kertas pula ditanam di dalam pasu dan disusun di sekitar pagar. Tanah pula dilapisi dengan rumput karpet. Begitu tenang keadaan rumahnya. Apabila ada rawan yang bersarang di hatinya, di situlah Adriana akan duduk dan termenung.

“Haaa.. Yana! Apa termenung ni? Tak elok anak dara termenung,” sapa Datin Maznah sambil duduk di sisi anak gadisnya. Mereka duduk pada pangkin yang diperbuat dari besi di bahagian tepi rumah.

“Tak ada apa-apalah, Ibu. Tengok Ibu tanam pokok orkid. Salleh dengan Azmir dah balik ke, Ibu?” tanya Adriana.

Salleh dan Azmir merupakan tukang kebun di rumah itu. Mereka hanya datang dua kali sahaja seminggu memandangkan mereka masih belajar. Mereka berdua bekerja demi ingin mendapatkan wang belanja.

“Dah. Lepas habis tanam orkid, diorang terus balik. Ada assignment katanya,” jawab Datin Maznah.

Adriana hanya mengangguk.

“Ibu.. Abang Adrian tak ada girlfriend ke? Yana tengok, sama je macam dulu,” Adriana kembali bersuara setelah beberapa ketika.

“Macam Yana tengoklah. Dah jenuh Ibu kenalkan dengan anak kawan-kawan Ibu. Ibu kenalkan dengan anak dara dari kampung pun dia tak nak. Kalau yang dari kampung tu, sah-sahlah pandai memasak. Sopan, baik, cantik. Kata Abang Yana, dia tak bersedia lagi nak sara anak dara orang. Sebab itulah dia bujang lagi. Tapi, Ibu tahu dia asyik teringatkan Dhamirah,” jawab Datin Maznah.

“Abang tu.. entahlah. Tak baik kalau asyik ingatkan Kak Mira sampai hidup dia pun tak lancar, kan Bu? Nak ingat tu tak apa, tapi janganlah sampai dah tak boleh nak terima sesiapa jadi isteri.”

Datin Maznah pula yang mengangguk.

“Ibu dah jenuh bercakap dengan dia. Nanti Yana sendirilah yang cakap dengan Adrian ya? Ibu dah tak tahu nak cakap apa dengan dia. Kan Yana orang yang paling dia rapat?”

“Ibu.. dengan Ibu pun Abang rapat. Cuma dia segan kot. Lagipun, dia dah cukup menderita, rasa bersalah sebab dia rasa dia punca Kak Mira meninggal,” jelas Adriana. Dia tidak mahu ibunya salah faham. Di mana tempat seorang anak jika bukan di samping ibu bapa dan keluarga?

Datin Maznah tersenyum. Bangga memiliki anak seperti Adrian dan Adriana. Adriana turut tersenyum sambil memaut lengan ibunya

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience