07

Romance Series 40612

Hari ini jadual Dianne kosong. Dia juga sudah tidak sibuk lagi membuat persiapan untuk peperiksaan kerana minggu exam telahpun berakhir. Cuma masih ada beberapa assignment sahaja yang belum siap sepenuhnya.

Semalam Isaac menelefonnya lagi. Lelaki itu ada kata bahawa dia mungkin balik lewat sikit dari jadual yang telah ditetapkan kerana ada sedikit masalah dalam perbincangan kerja. Dan Isaac juga meminta maaf kerana terpaksa menunda hadiah yang sudah lelaki itu janjikan padanya.

Jangan tanya hadiah apa, Dianne juga tidak tahu.

Oleh itu, Dianne kini berada di dalam bangunan ini. Dia sedang menunggu di kaunter pertanyaan dengan penuh sabar dan gementar. Sudah hampir sebulan dia tidak datang menjenguk ke sini. Mungkin kerana itu, dia rasa seram sejuk sebegini.

"Cik Dianne boleh masuk sekarang." Kata pekerja di situ. Dianne mengangguk kepala serta berterima kasih.

Dia menyusun langkah satu per satu. Pintu berwarna putih itu dikuak perlahan, tidak mahu menghasilkan sebarang bunyi. Kakinya terhenti benar-benar di tepi insan yang langsung tidak sedar akan kehadirannya itu.

"Assalamualaikum, ibu. Anne datang ini." Sapa Dianne. Dia mengambil tempat duduk di birai katil bersebelahan ibunya.

Sedikitpun wanita itu tidak memandang ke arahnya. Malah ibunya hanya menatap kosong ke luar tingkap. Wajah ibunya cengkung dan tidak berseri. Tubuh wanita itu kelihatan tidak bertenaga dan tidak bermaya. Ibunya umpama mayat hidup.

Cuma ada jasad namun tak bernyawa.

"Ibu, ingat Anne tak? Anne rindu sangat dekat ibu." Luah Dianne sayu. Sebak dikawal, tangis ditahan.

"Anne?" Suara lemah itu menyebut namanya. Dianne angguk laju, seakan ada sinar ibunya akan mengingati dirinya.

"Ini Anne, anak ibu." Ujar Dianne lagi. Tangan kurus ibunya digapai.

Namun, riak wajah Dianne sedikit bertukar apabila ibunya menggeleng kecil dan gelengan itu semakin kuat.

"Aku takda anak! Anak aku dah mati!" Terhinjut bahu Dianne dengan jeritan itu. Ibunya menepis sentuhan dari dia lalu bangkit berdiri.

Tanpa diduga, Dianne yang sedang duduk di birai katil itu dicekik dengan seluruh tenaga yang ada. Dianne tak bersedia.

"Ibu..." rayu Dianne tersekat-sekat nafasnya.

"Anak aku dah mati! Kau bunuh dia!" Jerit suara itu kuat. Dalam kekalutan itu, Dianne tetap menggeleng kecil.

"Anak ibu... tak... mati..." ucap Dianne. Dianne mengerling ke arah pintu sambil tangannya berusaha untuk merungkaikan tangan ibunya di leher. Dia ingin mendapatkan bantuan.

Tenaga ibunya semakin kuat. Hal itu cuma berlaku apabila fikiran ibunya dalam keadaan yang tidak stabil. Ibunya jadi agresif.

"Kau bunuh dia! Kau buat aku jadi gila!"

Ibunya melepaskan cekikan itu, terus Dianne terbatuk dan dadanya berombak kencang mencari nafas. Tidak mampu ditahan air mata menitis jua di pipi.

"Mati! Mati! Mati!"

"Ibu..." panggil Dianne sayu dengan esakan. Ibunya sedang duduk di sudut dinding sambil meracau dan menarik-narik rambut sendiri.

"Kau anak Hamdi... Kau datang nak bunuh aku..." ibunya mengulang perkataan itu seakan berbisik pada dirinya.

"Puan Mariam!"

Beberapa orang nurse dan doktor datang mendapatkan ibunya. Dianne hanya berdiri kaku disitu memandang ibunya sedang dirawat dan diberikan ubat penenang.

Air matanya kian deras jatuh. Dia rindukan ibu. Dia rindukan pelukan dari sang ibu. Dia rindukan ibu yang selalu memujuknya. Di mana perginya ibu yang sanggup berkorban untuknya? Mengapa dia dan ibu diuji sebegini? Kenapa takdir hidup Dianne tak seperti orang lain?

˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚ ˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚

Cuaca panas tengahari itu sedikitpun tidak membuatkan Dianne mengeluh kepanasan. Dia duduk seorang diri di kantin universiti itu bertemankan jus carrot. Laila baru sahaja pulang bersama lelaki yang dia katakan mama's boy tempoh hari.

Dianne termenung sendiri. Dua hari sudah berlalu semenjak dia melawat ibunya di rumah sakit jiwa.

Fikirannya menerawang kembali mengingatkan tentang keadaan ibunya. Doktor kata, masalah mental ibunya semakin teruk. Ubat yang diambil pun kadang kala sudah tidak berkesan pada ibunya.

Dulu sempat Dianne merasakan bagaimana seronoknya berada dalam sebuah keluarga yang bahagia. Ibu dan ayahnya tidak kaya tetapi mereka sentiasa bersyukur apa adanya.

Sehinggalah kewangan keluarga mereka semakin merosot. Ayahnya, Hamdi dibuang kerja. Sejak itu juga dia sedar akan perubahan ayah. Ayah terjebak dalam gejala dadah hingga ketagihan yang teruk. Gaji ibu yang diperoleh hasil kerja di kedai makan habis dikebas oleh ayah. Sehinggakan ibu dan Dianne terpaksa ikat perut.

Dianne ke sekolah dalam keadaan yang lapar. Oleh kerana terdesak, pulang dari sekolah Dianne akan pergi mencari tong sampah. Dia mencari sisa makanan yang masih elok untuk dijadikan alas perut. Jika terjumpa tin kosong, dia akan bawa pulang untuk dikumpul dan dijual. Itupun cuma dapat seringgit dua.

Mengingatkan memori yang lepas, setitis air matanya jatuh di pipi, diusap lekas. Masih jelas bagaimana teruknya keadaan dia ketika itu. Rasa sakit dan pedih itu masih berbekas di hati. Hidupnya susah. Daif. Dianne tidak tahu sampai bila dia akan pulih dari masa silamnya.

Mungkin selamanya memori itu menghantui.

"Seorang sajakah?"

Dianne tersedar dari lamunan apabila disapa oleh Adib. Dianne melemparkan senyuman. Dia sememangnya agak rapat juga dengan Adib kerana lelaki berkulit putih pucat itu peramah dan suka membantu.

"Seorang je. You tak balik lagi ke?" Tanya Dianne. Adib sudah mengambil tempat duduk dihadapannya. Beg laptop pula diletakkan diatas meja.

"Memang nak balik tapi ternampak you dekat sini seorang, so I singgah kejap." Ujar Adib. Bibir lelaki itu tak lekang dari senyuman. Kerana itulah Adib punya ramai kawan, dia mempunyai watak yang selesa untuk didekati.

"I pun kejap lagi nak gerak. Tengah tunggu orang datang ambilkan."

Dianne mengerling sekilas pada telefonnya. Dia sedang menunggu mesej dari Isaac. Hari ini Isaac yang akan menjemputnya. Lelaki itu kata, dia ingin membawa Dianne jalan-jalan ke suatu tempat.

"Siapa ambilkan?" Soal Adib hairan. Setahunya, Dianne tidak punya ahli keluarga lagi. Cuma ada ibu, itupun dia tahu ibu Dianne tengah sakit. Sakit apa, Dianne tiada ceritakan.

Wanita itu sudah punya teman istimewakah? Maknanya, dia melepas?

"Oh... abang Laila. Family Laila ajak makan tengahari sama-sama so dia tolong ambilkan I." Kelentong Dianne. Takkan dia nak jujur pula Tengku Isaac Mateen yang datang menjemputnya.

Adib angguk faham. Dia sedia maklum, Dianne memang rapat dengan keluarga Laila dan dilayan seperti anak angkat.

"Kalau macam itu, kenapa tak gerak je sekali dengan Laila tadi?"

Dianne jadi mati akal. Haih, si Adib ini pun! Banyak betul soalan. Dan-dan itulah telefon Dianne berdeting. Mesej dari Isaac.

"Abang Laila dah sampai. I balik dulu." Pamit Dianne sambil menggalas beg laptopnya. Sempat jus carrot disedut sebelum dia berdiri.

Adib ikut berdiri.

"Jomlah, jalan sama-sama." Ajak Adib.

"Okay."

Sempat mereka berborak kecil ketika berjalan kaki menuju ke arah kawasan tempat letak kereta. Dianne lebih gemar mendengar Adib berbicara mengenai pasukan bola sepaknya, ada juga berkenaan gosip hangat di universiti.

Dianne ikut tertarik dengan ceritanya.

"Wait..." Adib tiba-tiba berhenti melangkah menyebabkan Dianne turut melakukan hal yang sama.

"Ada daun lekat kat rambut you." Adib mendekatkan diri lalu dengan mudah mengambil daun yang tersangkut pada rambut coklat Dianne.

"Thanks, Adib." Ucap Dianne. Kemudian matanya tertancap pada sebuah kereta Mercedes-Benz warna hitam terparkir di situ. Usai mengucapkan selamat tinggal dan berpisah haluan, kakinya melangkah laju ke arah kereta Isaac.

˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚ ˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚

Tup!

Pintu kereta ditutup cepat.

"You, jalan cepat." Arah Dianne sambil kepalanya terjenguk-jenguk dari dalam kereta melihat sekeliling. Risau sekiranya ada yang nampak dia bersama Isaac.

"Tinted kereta I cukup gelap, Anne. Jangan risau." Ujar Isaac seraya sebelah tangannya memutarkan stereng untuk keluar dari kotak parking.

Dianne jadi malu sendiri. Iya tak iya juga. Agaknya berapa kali Isaac kena saman kerana pasang tinted yang hitam gelap ini?

"Siapa lelaki itu tadi?" Isaac memulakan soal siasatnya.

Dia nampak dengan jelas Dianne dan lelaki itu tadi. Hampir-hampir dia ingin keluar dari kereta dan menarik tangan Dianne. Tapi dia perlu menahan diri, tidak mahu jika ia menjadi bualan mulut orang ramai.

"Oh, itu kawan sama course I." Balas Dianne cukup ringkas. Namun jawapan itu belum cukup buat Isaac.

"Kawan saja?" Dianne pandang Isaac disisi. Nada lelaki itu seakan tidak suka.

"Yeah, sekadar kawan."

"Betulkah kawan? I nampak bukan main mesra lagi dia usap rambut you." Nada Isaac tidak puas hati. Dianne dikerling sekilas.

"Dia bukan usap, dia cuma tolong ambilkan daun pada rambut I." Jelas Dianne. Isaac berdecit.

"Adib right? The same guy yang datang lawat you di hospital."

Semakin kuat kerutan pada kening cantik milik Dianne. Bagaimana Isaac tahu tentang itu? Tentang nama Adib dan Adib melawatnya.

"Macam mana you tahu?" Soal Dianne mahukan penjelasan. Isaac seakan menceroboh privasi dirinya.

"Cukup you tahu yang I tahu setiap gerak geri you, Anne. So my advice for the future, jangan tipu I." Suara garau itu rendah namun terselit ketegasan.

"Tapi betul, I dan Adib cuma kawan. Salahkah?" Dianne mengeluh.

"Kalau betul berkawan tak salah. Tapi kalau lebih dari kawan, itu yang salah. Jangan lupa syarat dalam perjanjian kita." Balas Isaac sambil masih memandu dengan tenang. Intonasinya rendah tetapi serius.

Dianne mendengus geram. Dia cukup tidak suka apabila Isaac mengugut dirinya menggunakan perjanjian mereka.

"Ya, I tahu Tengku Isaac. I tak lupa lagi." Tegas Dianne dan Isaac dapat menangkap nada rajuk dalam tutur wanita itu. Tidak susah baginya untuk meneka emosi Dianne.

Isaac mengerling sekilas memandang Dianne. Wanita itu sudah berpeluk tubuh sambil memandang ke arah luar tingkap kereta. Justeru itu, Isaac menghentikan kereta di bahu jalan.

Sebaik sahaja kereta sudah berhenti, Isaac membuka tali pinggang kemudian keluar dari keretanya. Dianne ingin bertanya tetapi dia malas mahu menegur Isaac. Dari cermin sisi, dia nampak bonet kereta sedang terbuka. Mungkin Isaac ingin mengambil barang, simpulnya.

Tup! Sekali lagi kedengaran bunyi pintu ditutup, Isaac masuk bersama satu beg kotak kelihatan mahal ditangan. Dianne tidak mempedulikan itu malah fokus menatap telefon.

"Baby" panggil Isaac. Badannya disengetkan separa menghadap susuk tubuh Dianne disebelah. Beg kotak masih berada di ribanya.

"Baby..." meleret nada itu meminta perhatian Dianne. Dia tahu Dianne sedang merajuk dan kecil hati padanya.

"Sayang, look at me."

Dianne tersentak. Ini kali pertama Isaac memanggilnya sayang. Serasa bagai ada elektrik mengalir dalam tubuh ketika panggilan itu keluar dengan lembut di bibir Isaac.

Isaac memaut lembut dagu Dianne agar memandangnya. Dianne menurut.

"I minta maaf, okay? And this for you." Ucap Isaac lalu memberikan beg kotak yang diambilnya tadi kepada Dianne. Sebenarnya dia ingin memberikan itu kepada Dianne sebaik sahaja mereka sampai ke destinasi nanti. Tetapi bagi awal pun tiada masalah.

"Apani? Rasuah ke?" Tanya Dianne dengan muka acuh tak acuh.

Isaac tidak menyahut dan sekadar mengangkat keningnya menyuruh Dianne membuka beg kotak itu. Ya, memang rasuah supaya Dianne tidak merajuk lagi!

"Wow!" Dianne tidak dapat menyorok rasa kagumnya.

Beg tangan mewah jenama Hermes Birkin itu ditiliknya depan belakang dengan teruja. Dianne rasa tidak percaya dia dihadiahkan beg itu kerana setahunya harga beg ini boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

"I punya?" Soal Dianne masih ragu-ragu. Isaac angguk kecil.

"For you, oleh-oleh dari Singapore." Balas Isaac yang sedari tadi leka menatap wajah ceria Dianne.

"Lain macam oleh-oleh you. Selalunya orang bagi oleh-oleh berupa keychain, fridge magnet ke. Ini tak! Gedebuk satu beg mahal you bawa pulang." Dianne membebel kecil kepada Isaac yang sedang menyambung kembali pemanduannya.

"You nak keychain dan fridge magnet jugakah? Nanti I suruh Mike-"

"No lah! I cakap je. Lagi mahal lagi I suka. Thanks tau." Ucap Dianne yang sedang sibuk menangkap beberapa keping gambar beg tersebut dari pelbagai sudut.

"Thanks saja tak cukup."

Anak mata Dianne terus mencari wajah kacak Isaac. Apa maksudnya terima kasih saja tidak cukup? Isaac tak ikhlas?

"Selain ucapan thanks, I kena tunduk hormat yang macam orang Jepun buat itukah?" Selamba Dianne menjawab. Isaac tersenyum nipis mendengar balasan Dianne. Wanita itu ada-ada saja.

"Buat apa nak tunduk hormat, bukannya kenyang pun. I just need kisses." Isaac menunjuk ke arah pipi kirinya.

Kali ini Dianne yang melongo. Banyak cantik nak kisses! Berapa ciuman yang perlu dia berikan agar Isaac menerima ucapan terima kasihnya?

"Habis itu, kiss boleh buat you kenyang ke?" Sinis Dianne menyoal.

"Bolehlah buat alas perut. Tapi kalau nak lagi kenyang, kena buat lebih lagi daripada itu." Sahut Isaac nakal.

"Jangan harap!"  Tawa halus terbit di bibir Isaac apabila wanita itu menjelingnya tajam.

"Cepatlah baby, I tengah drive ini. Kepunan nanti, bahaya." Desak Isaac mengada-ngada.

Dianne jelas tak menyangka, Isaac mempunyai sisi gedik seperti ini. Benarkah lelaki yang sedang memandu itu Tengku Isaac? Kalau dia cubit sikit, agak-agak Isaac marah tak?

"Satu..."

"Dua...

Isaac mula mengira.

"Ti-"

Cup! Terus lebar senyuman di wajah Isaac tatkala pipinya merasakan hangat bibir lembut Dianne berlabuh di pipinya walaupun tak lama. Tidak mengapa, dia ada banyak lagi masa untuk menuntut ciuman yang selebihnya.

tbc ۫ ꣑ৎ

Hint next chapter :

"Kau sudah dapat maklumat dia?"

"It's okay. Kau emailkan saja maklumat yang setakat ini kau sudah dapat. Nanti aku tengok."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience